“Himmatur rijal tahdimul jibal.”
Tekad seorang lelaki mampu menghancurkan gunung. Memecahkan gunung dengan hanya menggunakan pahat dan penukul adalah perkara terakhir yang terlintas di fikiran kebanyakan orang yang waras. Namun, terbukti ia tidak mustahil. Seringkali kita dengar kisah bagaimana seorang raja di India yang ingin mengabadikan kisah cintanya dengan permaisuri hatinya lalu membina Taj Mahal.
Tapi kali ini, lelaki India ini sanggup memecahkan gunung! Semuanya bermula apabila isteri kepada Dasrath Manjhi, iaitu Phaguniya Devi tergelincir semasa melintasi Gunung Gehlaur, lalu meninggal dunia akibat gagal mendapatkan rawatan dalam tempoh waktu yang sepatutnya. Kecewa dengan kecelakaan yang menimpa dirinya dan enggan perkara yang sama menimpa orang lain, Manjhi bersumpah akan memecahkan gunung tersebut dengan tangannya sendiri.
Dilahirkan pada tahun 1934 di daerah Gehlaur, di Bihar, India dalam kasta yang terendah iaitu Masahoor atau pemakan tikus. Akibat masalah kemiskinan yang serius, Manjhi dikahwinkan dengan isterinya di usia muda. Gehlaur dipisahkan dari dunia luar oleh sebuah pergunungan batu yang tinggi menyebabkan kawasan ini terus ketinggalan. Walaupun setelah 12 tahun mencapai kemerdekaan, kemudahan asas seperti klinik, sekolah, dan jalan raya masih tiada. Lebih menyedihkan, penduduk kampung terpaksa mendaki gunung yang berbahaya atau menempuh perjalanan sejauh 55 km mengelilingi gunung semata-mata untuk mendapatkan rawatan kesihatan di bandar terdekat, Wazirganj.
Oleh kerana kesempitan wang, bapa Manjhi iaitu Magru terpaksa berhutang demi menyara keluarganya. Ketiadaan duit untuk membayar hutang memaksa Magru untuk menjadikan Manjhi sebagai ganti bayaran hutang. Enggan menjadi khadam, Manjhi bertindak melarikan diri meninggalkan keluarga dan isterinya. Setelah 7 tahun menghilangkan diri, Manjhi pun pulang ke Gehlaur. Dia terkejut apabila mendapati bapa mertuanya cuba untuk mengahwinkan isterinya dengan orang lain. Setelah puas bertekak dengan keluarga mertua di majlis perkahwinan isterinya, Manjhi tekad membawa lari Phaguniya untuk membina kehidupan baru yang bahagia.
Manjhi sangat mencintai isterinya, tapi sayang jodoh mereka tak lama. Suatu hari,semasa Phaguniya sedang melintasi pergunungan batu dalam perjalanan membawa bekal makan tengah hari untuk suaminya, dia tergelincir dan cedera parah. Malang sekali ketika itu dia sedang sarat mengandung anak mereka yang ke-2. Apabila berita tersebut sampai ke telinga Manjhi, dia segera membawa isterinya ke pusat rawatan di Wazirganj. Sudah jatuh ditimpa tangga. Phaguniya gagal diselamatkan. Berita ini memberi kesan yang mendalam kepada Manjhi. Walau bagaimanapun, syukur anak perempuannya itu sempat diselamatkan. Ketika inilah Manjhi bersumpah di hadapan Gunung Gehlaur bahawa dia akan musnahkan gunung tersebut dengan tangannya sendiri.
Manjhi menggadaikan kambing terakhirnya semata-mata untuk membeli pahat dan penukul. Apabila dia mula menukul gunung batu tersebut, penduduk kampung menggelarkannya “Orang Gila”. Tetapi segala kata cacian yang dilemparkan kepadanya hanya akan menjadikan pendiriannya semakin teguh. Dia terpaksa menghadapi segala ujian bersendirian seperti tercedera ketika menukul, dipatuk ular dan kehausan di musim kemarau demi memecahkan gunung itu. Tiada apa lagi yang yang dapat menghalang dia.
Manjhi juga pernah dipujuk oleh beberapa orang pegawai supaya memohon upah dari kerajaan atas usahanya memecahkan gunung. Malangnya, setelah permohonan itu diluluskan, Manjhi tidak memperoleh walau sesen pun oleh kerana upahnya yang bernilai 2 juta Rupiah India itu diseleweng. Manjhi tidak berpuas hati setelah menyedari dirinya ditipu lalu bertekad untuk ke Delhi semata-mata untuk mengadu perkara tersebut kepada Indra Ghandi iaitu Perdana Menteri India ketika itu. Oleh sebab Manjhi tidak mempunyai wang walau sesen pun dipoketnya, dia bertekad untuk berjalan kaki dari Bihar ke Delhi.
Siapa sangka lelaki yang berkaki ayam, yang hanya mengenakan kain pelikat dan baju yang diperbuat daripada guni, yang bertongkatkan kayu dan bertopikan plastik sampah ini akan berjaya menjejakkan kaki di hadapan banggunan pejabat perdana menteri. Sudah semestinya kisah perjuangan hidup Manjhi yang naif ini menjadi peluang keemasan bagi politikus-politikus untuk mengemis populariti murahan. Walau bagaimana pun, perjuangan Manjhi menempuh perjalanan sejauh 1,300 km ini menjadi sia-sia apabila dia tidak dibenarkan untuk bertemu perdana menteri dan dihalau.
Suatu malam, Phaguniya pun muncul dalam mimpi Manjhi. Akhirnya, Manjhi berpeluang melepaskan rindu dan mengadu segala keperitan yang selama ini dia pendam bersendirian. “Mereka mengejek aku gila. Mereka semualah yang betul, akulah yang salah. Dunia ini penuh dengan ilusi yang diatur oleh mereka yang berkuasa. Aku dah penat. Aku berseorangan. Lagi pun, aku dah tua.” Adu Manjhi. “Baru tersadung sedikit kau dah berputus asa? Manjhi, gunung tersebut akan hancur dan kaulah yang akan menghancurkannya. Aku ingatkan kau ingin menghadiahkan aku Taj Mahal. Sekarang ambillah penukul dan pahatmu, pergilah pecahkan gunung.” Pujuk Phaguniya. Berbekalkan semangat baru yang membara, esoknya, pagi-pagi lagi Manjhi sudah ke gunung untuk menukul.
Setelah 22 tahun (1960-1983) membanting tulang mengharungi segala perit jerih, akhirnya Manjhi berjaya memecahkan gunung tersebut dan membuat laluan 30 kaki luas, 360 kaki panjang dan 25 kaki tinggi yang memendekkan jarak jalan dari Gehlaur ke Wazirganj daripada 55 km kepada 15 km. Penduduk kampung yang dulunya mengejek Manjhi, kini dapat menikmati sendiri kemudahan akses ke bandar Wazirganj yang lebih dekat dan selamat. Selesai menunaikan hajatnya, Manjhi pun meninggal dunia pada 17 Ogos 2007 ketika berumur 73 tahun akibat kanser hempedu di All India Institute of Medical Sciences (AIIMS), New Delhi. Dia telah dikurniakan pengebumian negara oleh kerajaan Bihar. Hanya 52 tahun setelah bermulanya Manjhi menukul gunung, 30 tahun setelah selesainya jalan dibuat dan 4 tahun setelah Manjhi meninggal dunia, akhirnya kerajaan pun membina jalan baru.
Pada tahun 2006, kerajaan Bihar mencadangkan namanya sebagai calon penerima anugerah Padma Shri Award, iaitu anugerah awam ke-4 tertinggi di India. Pada tahun 2011, kisah hidup Manjhi didokumentarikan dalam sebuah dokumentari yang bertajuk The Man Who Moved The Mountain. Pada tahun 2015, sebuah filem yang bertajuk Manjhi – The Mountain Man, menceritakan kisah perjuangan hidupnya dilancarkan. Selain anugerah-anugerah ini, banyak lagi penghargaan-penghargaan lain yang dirakamkan khusus kepada Manjhi atas jasanya yang sanggup mengorbankan lebih daripada seperempat daripada usianya hanya untuk membuat jalan.
Kisah hidup Manjhi membuktikan kepada kita betapa sebuah cinta yang tulus ikhlas mampu memberikan kekuatan kepada seseorang sehingga dapat melakukan perkara yang mustahil akal bayangkan. Selain itu, Manjhi juga menegaskan pada hari pelancaran jalan yang dibuat, bahawa hidup kita ini jangan terlalu berharap. Barangkali yang dimaksudkan ialah jangan terlalu mengharapkan bantuan kerajaan dan jangan terlalu mengharap simpati masyarakat sekeliling. Sebaliknya kita sendiri harus bekerja keras menentukan masa depan kita.
Hakikatnya tidak wujud di dunia ini walau satu pun cita-cita yang mustahil untuk dicapai asalkan kita teguh pendirian dan cekal menghadapi dugaan. Sebelum mengakhiri penulisan ini, suka penulis menjelaskan bahawa bukanlah niat penulis menulis artikel ini untuk menafikan kebolehan kaum hawa, tinggal lagi penulis berpendapat bahawa perkataan “lelaki” adalah perkataan yang paling tepat bagi menggantikan kalimah “rijal” dalam pepatah arab yang disebutkan di awal-awal artikel ini. Adapun pengajaran daripada kisah ini bolehlah difahami secara umum buat lelaki dan perempuan. Sebagai penutup, penulis mengajak pembaca sekalian agar kita sama-sama mentadabbur potongan ayat al-Quran yang berikut buat motivasi diri dalam mengharungi hari-hari yang mendatang.
Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (94:5-6)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih