Tamadun China bermula pada kira-kira tahun 1700 SM yang bermula di Sungai Huang He. Kedudukan geografi tamadun yang terasing dari Dunia Barat seperti Eropah dan AsiaTengah seperti tamadun Mesopotamia menjadikan tamadun China sebagai tamadun yang berdiri sendiri dan mampu membangunkan dan mengekalkan budaya unik mereka. Kemudian menjadi sebuah kerajaan dengan jajahan paling besar dan masyarakat paling maju di dunia.

Tidak bermaksud tamadun China sendiri mengamalkan dasar tutup pintu kepada dunia luar. China mengambil masa lebih 1000 tahun untuk menjalin hubungan tetap dengan tamadun Asia barat dan selatan. Keupayaan China dapat berhubung dengan dunia luar adalah berkat usaha seorang tokoh penjelajah awal termasyhur China yang sanggup mengembara keluar dari tempat kelahiran. Tokoh itu adalah Chang Ch’ien, tokoh yang menjadi pencetus kepada pembukaan Jalan Sutera.

Chang Ch’ien adalah pegawai rasmi dinasti Han yang berperanan sebagai pengutus diraja ke luar China pada abad ke-2 SM. Beliau adalah pegawai pertama yang membawa informasi penting tentang Asia Tengah kepada Maharaja Wu dan menjadi watak penting dalam kolonisasi kaum China di kawasan Xinjiang. Pembukaan Jalan Sutera sekitar 114 SM adalah hasil penjelajahan Chang Ch’ien, seterusnya menjadi tokoh yang disegani, penyebab kepada kekayaan ekonomi empayar China.

Chang Ch’ien adalah anak jati kawasan Hanzhong, utara daerah Shaanxi, China. Di kota Chang’an (Xi’an), dahulunya ibu kota empayar China, Chang Ch’ien berkhidmat sebagai pegawai diraja (140 – 134 SM) di bawah perintah Maharaja Wu. Ketika itu, kaum gasar Xiongnu (Hun) menguasai tanah Mongolia dan kawasan barat yang berjiran dengan empayar China, Xiyu. Maharaja dinasti Han teringin untuk mengadakan hubungan dagangan dengan kerajaan luar China namun penempatan kaum Xiongnu mengelilingi China membantutkan impian maharaja.

Dinasti Han mengarahkan Chang Ch’ien yang familiar dengan kaum Xiongnu, ke Xiyu untuk berhubung dan berpakat kepada kerajaan Yuezhi (bertempat di Tajikistan sekarang) bagi menentang kaum Xiongnu. Ekspedisi Chang Ch’ien ke Xiyu bersama 99 orang tentera bersama seorang pembimbing jalan bernama Ganfu, orang tahanan berbangsa Xiongnu. Malang tidak berbau, hampir tiba ke Yuezhi ekspedisi Chang Ch’ien tergendala kerana ditahan oleh kaum Xiongnu dan beliau dijadikan sebagai hamba selama 10 tahun.

Beliau bersama Ganfu berjaya melepaskan diri dari cengkaman Xiongnu dan melalui kawasan Tanim Basin dan Pergunungan Kunlun bagi mencari jalan pulang. Mereka kemudian tiba di walayah jajahan kerajaan Yuezhi. Sebelum meneruskan perjalanan pulang, Chang Ch’ien menetap di wilayah Yuezhi selama setahun bagi memahami dan mencatat ekonomi, gaya hidup dan kebudayaan mereka. Dalam perjalanan balik melalui selatan Tarim Basin, beliau sekali lagi ditangkap Xiongnu dan dijadikan hamba sekali lagi. Dua tahun berlalu, Chang Ch’ien bersama Ganfu berjaya sekali lagi, melepaskan diri dari Xiongnu dan berjaya kembali ke China.

GAMBAR 1: Ekspedisi ketenteraan dinasti Han. Anak panah kuning menunjukkan pengembaraan Chang Ch’ien ke Barat China.

Chang Ch’ien membawa informasi penting kepada maharaja akan peluang hubungan dagangan dengan kerajaan luar China walaupun gagal melaksanakan misi pertamanya. Beliau merekodkan wujudnya kerajaan Dayuan bertempat di Tarim Basin, Yuezhi di Tajikistan kini, Bactria, Shendu iaitu India, Parsi, empayar Seleucid di Mesopotamia, Kangju dan Yancai. Dengan usaha keras Chang Ch’ien, beliau dinobatkan sebagai penasihat diraja dan dengan informasinya empayar China berjaya membuka Jalan Sutera dan menjalankan hubungan perdagangan dengan Parsi.

RUJUKAN

  1. Silk Road: Monks, Warriors & Merchants on the Silk Road, p. 61. (2004) Luce Boulnois. Translated by Helen Loveday. Odyssey Books & Guides.
    2. Frances Wood, “The Silk Road: Two Thousand Years in the Heart of Asia”, 2002, University of California Press, 270 pages

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.