‘UNIQLO’ adalah sebuah jenama pakaian antarabangsa yang tidak asing lagi, khususnya buat penggemar-penggemar fesyen yang berada di Malaysia dan seluruh dunia secara amnya. Jenama Uniqlo diasaskan oleh usahawan terkemuka Jepun, iaitu Tadashi Yanai pada tahun 1984.

Secara asasnya, jenama ini dimiliki sepenuhnya oleh sebuah syarikat berstatus pegangan awam (public holding), iaitu syarikat ‘Fast Retailing Co. Limited’ yang berpusat di wilayah Yamaguchi, bahagian selatan negara Jepun.

Menurut sejarah, syarikat ‘Fast Retailing Co. Ltd’ atau nama asalnya; ‘Ogori Shoji Co. Ltd’ telah dibangunkan oleh bapa Tadashi, iaitu Kanichi Yanai pada tahun 1963 dengan modal berbayar sebanyak ¥6 Juta Yen.

Empayar fesyen ini sebenarnya bermula 14 tahun lebih awal, iaitu pada tahun 1949, setelah Kanichi Yanai membuka perusahaan menjual dan menjahit (tailor) pakaian lelaki di Bandar Ube, Yamaguchi yang dikenali sebagai ‘Men’s Shop Ogori Shoji’.

Tadashi Yanai kemudiannya mula mengambil bahagian di dalam perniagaan bapanya itu selepas beliau menamatkan pengajiannya di Universiti Waseda, dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda (Bachelor) Ekonomi dan Politik pada tahun 1971.

Memasuki tahun 1984, Tadashi dilantik sebagai Presiden syarikat ‘Ogori Shoji Co. Ltd’, yang pada waktu itu sudah pun diiktiraf sebagai empayar perniagaan fesyen dengan rangkaian 22 unit kedai pakaian di seluruh Jepun.

Di bawah pengurusan Tadashi, syarikat ini kemudiannya mengembangkan lagi empayar perniagaan mereka dengan membuka lebih banyak rangkaian kedai baharu di bawah penjenamaan komersil; ‘Unique Clothing Warehouse’. Untuk pengetahuan, penggunaan singkatan nama ‘Uniqlo’ bermula setelah berlaku sedikit kesilapan ketika mereka ingin membuat pendaftaran nama syarikat subsidiari baharu di negara Hong Kong.

Menurut laman Forbes, perancangan asal yang dibuat adalah untuk menggunakan singkatan berbunyi ‘UniClo’, yang diambil bersempena dengan nama panjangnya; ‘Unique Clothing Warehouse’. Namun, huruf ‘C’ dikatakan telah tertukar dengan huruf ‘Q’, sekali gus menjadikan ejaan ‘UniQlo’ kekal sebagai singkatan baharu kepada jenama fesyen terkemuka dari Jepun itu.

Sebagai info, Tadashi melaksanakan penjenamaan semula syarikat ‘Ogori Shoji Co. Ltd’ kepada ‘Fast Retailing Co. Ltd’ pada bulan September tahun 1991.

Selain jenama Uniqlo, syarikat ini turut memiliki beberapa rangkaian jenama fesyen bertaraf antarabangsa lain, seperti ‘G.U’, ‘Theory’, ‘Helmut Lang’, ‘PLST’, ‘Comptoir des Cotonniers’ (CDC), ‘Princesse tam.tam’ (PTT) dan ‘J Brand’.

Uniqlo terkenal dengan struktur perniagaannya yang agak unik, yang mana jenama ini terlibat secara langsung dengan keseluruhan rantaian proses pembuatan pakaian yang bermula daripada perolehan bahan asas (basic material) sehingga lah menjadi produk akhir. Walau bagaimanapun, jenama ini tidak memiliki sebarang kilang produksinya di Jepun.

Sebaliknya, mereka menggunapakai kaedah ‘outsource’ persis syarikat-syarikat gergasi dunia seperti Apple Inc, Samsung Corporation dan sebagainya, menerusi jalinan usahasama (partnership) dengan beberapa kilang produksi tekstil di negara luar.

Kilang-kilang produksi jenama Uniqlo rata-ratanya berada di Benua Asia, antaranya; wilayah Shanghai (China), Ho Chi Minh City (Vietnam), Dhaka (Bangladesh), Jakarta (Indonesia), dan Bengaluru (India), termasuk sebuah kilang di Eropah Timur, yang terletak di wilayah Istanbul (Turki).

Setakat tahun 2019, secara keseluruhannya, syarikat Fast Retailing Co. Ltd menggajikan pekerja seramai 56 523 orang yang terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan. Daripada jumlah itu, kakitangan Uniqlo sahaja adalah berjumlah kira-kira 44 424 orang berdasarkan data terbitan tahun 2018.

Dalam pada itu, jenama Uniqlo membahagikan segmen ‘retail’-nya kepada dua segmen utama, iaitu segmen ‘Uniqlo Japan’ untuk pengurusan pasaran domestik Jepun dan segmen ‘Uniqlo International’ untuk menguruskan 21 pasaran perniagaan di peringkat antarabangsa.

Secara kumulatifnya, Uniqlo memiliki 2196 rangkaian kedai (Stores) di seluruh dunia setakat bulan Ogos 2019, menurut data rasmi daripada portal fastretailing.com.

Lebih spesifik, segmen Uniqlo Japan membuka 817 unit kedai di seluruh negara Jepun, termasuk 43 cawangan yang tertakluk di bawah sistem ‘franchise’. Manakala, segmen Uniqlo International pula memiliki 1379 unit kedai.

Pasaran terbesar Uniqlo berada di negara China (termasuk Hong Kong dan Taiwan), yang mana jenama ini telah menempatkan jumlah cawangan tertinggi dengan rekod sebanyak 807 unit kedai.

Diikuti 188 unit kedai di Korea Selatan, 231 kedai di wilayah Asia Tenggara & Oceania (Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam dan Australia), 91 unit kedai di Benua Eropah dan 61 unit di Benua Amerika Utara.

Terbaharu, Uniqlo dilaporkan baru sahaja merasmikan pembukaan sebuah ‘megastore’ bersaiz 51 000 kaki persegi dengan menggunakan konsep ‘roadside store’, yang terletak di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya.

Berdasarkan nilaian semasa, syarikat Fast Retailing memiliki ‘market capitalization’ berjumlah $49.2 Bilion USD setakat bulan Mei 2020. Sementara itu, analisis Forbes terbitan bulan Julai 2020 mendapati bahawa nilai keseluruhan (brand value) jenama Uniqlo adalah sebanyak $9.2 Bilion.

Dari segi saiz pendapatan jualan (sales revenue) pula, Uniqlo merekodkan pendapatan keseluruhan berjumlah $15.9 Bilion USD atau ¥1.650 Trilion Yen pada tahun 2020. Untuk itu, segmen Uniqlo Japan mencatat perolehan sebanyak $7.8 Bilion, manakala segmen Uniqlo International pula $8.17 Bilion.

Angka ini menunjukkan penurunan yang singnifikan jika dibandingkan dengan pendapatan jualan yang direkod pada tahun 2019 ($21.2 Bilion) dan tahun 2018 ($17.0 Bilion), ekoran penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Pun begitu, senario penurunan hasil jualan yang menimpa syarikat fesyen terkemuka Jepun itu tidak pun menghalang pemiliknya untuk dinobatkan sebagai salah seorang individu terkaya di Jepun, setelah harta kekayaannya melonjak naik kepada $41.6 Bilion USD atau RM168.1 Bilion pada awal bulan Disember 2020 menurut Forbes.

Sebagai pembandingan, jenama Uniqlo berada pada kedudukan ke-9 global di dalam senarai ‘Apparel 50 2020 Ranking’ terbitan brandfinance.com, dengan nilaian (valuation) berjumlah $12.9 Bilion.

Nike pula dinobatkan sebagai jenama ‘apparel’ paling bernilai dunia dengan rekod sebanyak $34.79 Bilion, diikuti Gucci ($17.63 Bilion), Adidas ($16.48 Bilion), Louis Vuitton ($16.47 Bilion), Cartier ($15.01 Bilion), ZARA ($14.58 Bilion), H&M ($13.86 Bilion) dan Chanel ($13.70 Bilion)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sekadar penulis amatur.

Comments are closed.