Anda tidak yakin untuk berborak dengan individu lain kerana gigi yang terlalu kuning? Atau anda berasa tidak yakin untuk bertemu dengan klien disebabkan oleh keadaan gigi yang tersepih? Gigi hadapan yang begitu jarang sehingga anda malu untuk bertemu sahabat? Usah bimbang. Ada jalan penyelesaiannya.

Untuk mengatasi masalah ini, antara solusinya adalah dengan menjalani rawatan veneer. Veneer di sini bukanlah bahan yang digunakan ke atas kayu, namun merupakan penyelesaian masalah seperti mengembalikan bentuk dan warna gigi yang asal. Dalam penulisan pada kali ini, saya akan berkongsi serba sedikit maklumat berkaitan rawatan yang semakin digilai orang pada mutakhir ini, terutamanya golongan belia.

APA ITU VENEER?

Secara mudahnya, rawatan ini berkonsepkan melekapkan kerangka tampalan yang sangat tipis pada permukaan gigi. Rawatan ini dibuat secara khusus terhadap individu yang mengalami perubahan warna gigi yang amat ketara dan gigi yang terserpih sehingga menyebabkan berubah bentuk asal gigi. Ada banyak lagi indikasi untuk menjalani rawatan ini. Akan saya terangkan selepas ini. Tampalan di sini bukan bermaksud menutup lubang pada gigi. Namun, tampalan dalam rawatan veneer dilakukan pada permukaan gigi sahaja.

HUKUM MEMASANG VENEER.

Dalam ajaran Islam, segenap aspek kehidupan kita mempunyai garis panduan dan SOP-nya. Bukan semberono dan hentam kromo sahaja untuk melangkah. Takut-takut nanti ditimpa susah. Perkara ini termasuklah dalam aspek rawatan pergigian. Hukum-hakam atau disebut sebagai hukum fiqh juga terpakai dalam bidang rawatan pergigian. Sedangkan di jalan raya pun kita banyak undang-undang dan peraturan untuk menjaga keselamatan nyawa, inikan lagi dalam perjalanan kehidupan. Silap langkah, maka ke jurang nerakalah jawabnya!

Untuk menjawab persoalan ini, saya nukilkan daripada laman sesawang rasmi  Mufti Wilayah Persekutuan melalui siri tulisan dalam Irsyad al-Hadith siri ke-62 dan al-Kafi siri yang ke-720. Dalam kedua-dua tulisan tersebut, bekas mufti Wilayah Persekutuan iaitu Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli bin Mohamad al-Bakri berkata,

  • Hukum membaiki gigi yang tersepih atau patah ialah dibolehkan kerana perbuatan tersebut tidak termasuk dalam mengubah ciptaan Allah SWT kerana rawatan itu bertujuan untuk mengembalikan sesuatu pada asalnya. Ini termasuk dalam menghilangkan aib yang terdapat pada diri seseorang. Perkara ini juga dibolehkan selagi tidak mengandungi bahan-bahan yang terlarang padanya.
  • Sekiranya hukum menjalani rawatan pergigian adalah semata-mata untuk kecantikan, maka perbuatan ini ditegah sama sekali dalam agama Islam. Hal ini demikian kerana, perbuatan tersebut termasuk dalam mengubah ciptaan Allah SWT dan berdasarkan hadis yang berbunyi,Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda, “Allah SWT melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu. Orang yang mencabut bulu mata dan orang yang diminta cabut bulu matanya. Orang yang menjarangkan giginya demi kecantikan sehingga merubah ciptaan Allah SWT.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
  • Kata Ibnu Hajar al-Asqalani dalam mensyarahkan hadis di atas,

Difahami daripada hadis ini bahawa menjadi satu bentuk perbuatan mazmumah jika dia melakukannya untuk tujuan kecantikan. Jika perbuatan tersebut dilakukan kerana keperluan, maka diharuskan.

  • Al-Qastalani juga turut mensyarahkan hadis di atas,

Jika perbuatan yang dilakukannya itu adalah dengan tujuan kecantikan, maka jatuh haram hukumnya. Jika perbuatan itu diperlukan untuk tujuan mengubati atau terdapat aib pada gigi, maka dibolehkan.

  • Ada kisah seorang sahabat yang bernama ‘Arjafah bin As’ad yang telah terputus hidungnya dalam peperangan Kulab. Beliau telah menggantikan hidungnya dengan perak. Kemudian, setelah berlalunya beberapa waktu, hidungnya mula membusuk. Lantas, Nabi Muhammad SAW memerintahkan ‘Arjafah untuk menggantikan hidungnya dengan emas.
  • Yusuf al-Qaradhawi juga ada mengatakan,

“Jika terdapat pada manusia kecacatan yang menyebabkan kesakitan sama ada yang nyata atau secara emosi, maka tidak mengapa untuk merawatnya. Selagi yang dilakukan untuk menghilangkan kesakitan tersebut yang menyusahkan dan mengganggu kehidupannya. Sesungguhnya, Allah SWT tidak menjadikan agama ini sesuatu yang payah.”

Setelah meneliti sumber-sumber di atas, maka dapat disimpulkan bahawa selagi perbuatan merawat gigi bertujuan untuk menghilangkan rasa sakit dan menutup cela pada diri seseorang, maka hukumnya adalah diharuskan. Namun, sekiranya menjalani rawatan gigi (termasuk veneer) adalah sekadar suka-suka dan demi kecantikan semata, maka perkara ini adalah diharamkan. Antara tujuan rawatan veneer adalah untuk mengembalikan bentuk gigi dan warna gigi yang berubah sehingga mendatangkan ketidakselesaan serta mengganggu emosi seseorang. Maka, perbuatan ini dibolehkan.

ADA BERAPA JENIS VENEER?

Menurut Pertubuhan Pergigian Amerikan (ADA), ada dua jenis veneer yang biasa digunakan.

  • Porselin (Porcelain).

Veneer jenis ini perlu dibawa dan dihasilkan oleh juruteknologi pergigian yang terlatih sebelum dilekatkan pada permukaan gigi. Veneer ini merupakan lapisan tipis yang akan dilekatkan pada permukaan gigi seseorang. Antara jenama yang terkenal dalam jenis ini adalah Zirconia dan Emax.

Antara kelebihan veneer jenis porselin adalah,

  1. Kukuh dan tahan lama.
  2. Lebih dekat dan menghampiri warna asal gigi.
  3. Hanya sedikit struktur gigi yang perlu dibuang atau dikikis berbanding rawatan korona (crown).
  4. Warna yang tahan lama dan tidak mudah ternoda (stain).
  5. Tempoh ketahanan adalah 10-15 tahun.
  • Komposit (composite).

Veneer jenis ini pula dihasilkan daripada bahan yang digunakan untuk rawatan tampalan gigi dan akan melekat pada permukaan gigi melalui medium cecair yang dikenali sebagai bond. Satu sinaran khusus digunakan untuk memastikan campuran komposit dan cecair bond melekat pada permukaan gigi.

Kelebihan veneer komposit adalah:

  1. Struktur gigi yang dibuang lebih sedikit berbanding veneer
  2. Tempoh rawatan yang lebih singkat.
  3. Kos yang agak rendah berbanding veneer
  4. Lebih mudah untuk dibetulkan seandainya ada kesilapan yang berlaku dengan lebih mudah dan cepat, tidak seperti veneer
  5. Tempoh ketahanan adalah 4-8 tahun.

INDIKASI PEMASANGAN VENEER.

  • Perkara terpenting sebelum mendapatkan apa-apa sahaja rawatan pergigian ialah anda wajib untuk berjumpa dengan doktor gigi yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) – bukan doktor Youtube ya! – di klinik pergigian. Bukan di rumah. Bukan di hotel. Perkara ini saya katakan wajib kerana doktor akan membuat penilaian secara menyeluruh secara klinikal untuk melihat sama ada anda sesuai untuk menjalani satu-satu rawatan pergigian atau tidak. Dalam kes ini, ialah rawatan
  • Gigi dan gusi mestilah dalam keadaan yang sihat. Apa-apa masalah pada gigi atau gusi perlu ditangani terlebih dahulu sebelum pemasangan
  • Gigi yang mengalami perubahan warna yang sangat ekstrem. Perkara ini boleh jadi disebabkan oleh banyak faktor antaranya pengambilan ubat yang mengandungi tetracycline yang berlebihan (gambar), penyakit fluorosis atau perubahan warna yang disebabkan oleh rawatan akar (root canal treatment, RCT).

  • Gigi yang terserpih atau retak sedikit (enamel crack).

  • Untuk menutup jarak di antara gigi tengah hadapan (diastema) atau jarak di antara gigi-gigi yang lain (multiple spacing).

  • Masalah pada bentuk gigi (malshaped) yang lain daripada kebiasaan seperti peg laterals (gambar), gigi yang susunan tidak sejajar dan kedudukan tidak teratur (malpositioned).

KONTRAINDIKASI PEMASANGAN VENEER.

  • Struktur gigi yang telah rosak dan hancur yang memerlukan rawatan lain seperti tampalan (filling) atau rawatan korona (crown).
  • Struktur gigi yang rosak lebih daripada separuh.
  • Gigi yang sedang tumbuh.
  • Masalah gigi berlapis yang sangat teruk.
  • Individu yang mempunyai masalah menggesek gigi (bruxism) atau keadaan rahang yang tidak sekata.

MANFAAT VENEER.

Veneer merupakan salah satu rawatan pergigian yang sangat konservatif dengan tidak membuang atau mengikis struktur gigi dengan terlalu banyak. Tidak seperti rawatan korona atau tampalan, veneer biasanya hanya memerlukan pengurangan pada lapisan enamel sebanyak 0.3 – 1.0 milimeter.

Di samping itu, rawatan ini juga tidak memerlukan penggunaan bius setempat (local anesthesia), tidak seperti rawatan pergigian yang lain. Selain daripada dapat mengembalikan warna asal gigi, veneer juga berupaya untuk memperbaiki dan mengembalikan bentuk asal gigi dengan prosedur yang sangat minima berbanding rawatan lain. Rawatan ini juga hanya memerlukan jumlah lawatan ke klinik yang sangat sedikit iaitu daripada sekali sehingga tiga kali lawatan sahaja.

RISIKO VENEER.

Walau bagaimanapun, rawatan ini juga mempunyai beberapa risiko yang perlu dititikberatkan. Antara risiko rawatan veneer ialah,

  • Gigi akan menjadi sensitif terutama terhadap suhu panas dan sejuk sekiranya pengurangan lapisan enamel yang melindungi gigi dikurangkan dengan agak banyak sehingga menampakkan lapisan dentin. Lapisan inilah yang akan menyumbang kepada rasa sensitif, ngilu dan tidak selesa. Namun begitu, terdapat juga prosedur dalam rawatan ini yang tidak perlu kepada pengurangan lapisan enamel.
  • Gigi yang dipasang veneer akan kelihatan lebih besar berbanding saiz asalnya jika pengurangan enamel tidak mencukupi dan ini akan membuatkan gigi individu itu kelihatan tidak asli.
  • Kematian akar atau tisu pulpa (pulp necrosis) juga berkemungkinan berlaku sekiranya gigi terlalu tipis. Hal ini disebabkan oleh lapisan dentin yang terdedah akan menjadi risiko kepada rasa sensitif yang keterlaluan atau jangkitan bakteria melalui lapisan ini sehingga menyerang kawasan akar dan tisu pulpa.
  • Kos rawatan yang agak mahal.
  • Pada awal pemasangan veneer, akan ada sedikit ketidakselesaan pada gusi kerana sedang beradaptasi dengan benda yang baharu. Kendatipun begitu, sekiranya veneer yang dipasang tidak menutup gigi dengan baik dan kebersihan yang tidak dijaga, masalah pada gusi akan menjadi lebih teruk.
  • Veneer terdedah kepada risiko pecah dan rosak. Justeru, individu yang mempunyai masalah seperti bruxism, terlibat dengan aktiviti atau sukan lasak dan masalah pada gigitan adalah tidak digalakkan untuk menjalani rawatan ini.
  • Veneer bukan rawatan pilihan sekiranya gigi rosak sehingga strukturnya sangat sedikit dan masalah gusi yang sangat teruk.
  • Apabila veneer sudah dipasang, maka amat sukar – boleh kata mustahil – untuk memperbaiki semula apatah lagi untuk mencabutnya.

KOS RAWATAN.

Secara purata, sekiranya anda ingin memasang veneer di klinik swasta, harga puratanya ialah RM250-RM2500. Manakala di klinik kerajaan, anggaran kos rawatannya ialah RM200 untuk setiap unit gigi termasuk korona sementara tidak termasuk caj bahan dan makmal.

PANTANG LARANG PEMAKAIAN VENEER.

  • Veneer akan lebih mudah pecah dan rosak apabila terdedah kepada tekanan (pressure). Jadi, elakkan untuk melakukan sebarang aktiviti lasak, menggigit jari atau mengunyah benda-benda keras seperti kiub ais.
  • Menjadi perkara yang biasa sekiranya anda berasa tidak selesa dalam beberapa hari kerana anda sedang beradaptasi dengan benda baharu. Namun, sekiranya perkara tersebut berlarutan begitu lama, atau anda rasakan ada masalah dengan gigitan maka segera berjumpa dengan doktor gigi anda untuk rawatan lanjut.
  • Perkara paling penting dalam penjagaan gigi selepas menerima apa-apa rawatan ialah kebersihan. Anda wajib untuk menjaga kebersihan mulut dan gigi dengan menggosok gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari serta menggunakan flos untuk membersihkan sisa-sisa makanan pada celah-celah gigi.

BAHAYA VENEER PALSU (FAKE VENEER).

Dewasa ini, doktor gigi palsu – dan Youtube! – semakin bermaharajalela. Mereka ibarat cendawan tumbuh selepas hujan yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan tanpa menimbang tara keburukan perbuatan mereka. Selepas pendakap gigi palsu (fake braces), veneer palsu juga sudah menunjukkan taringnya. Sakit mata (dan hati) saya melihat kegiatan mereka ‘berniaga’ di Instagram dan Facebook. Oleh hal yang demikian, saya tergerak untuk menulis artikel ini untuk mendidik masyarakat di luar sana tentang veneer yang asli dan betapa bahayanya untuk mendapatkan rawatan veneer palsu.

  • Kalau Nampak individu atau klinik yang menawarkan perkhidmatan rawatan pergigian, tanya lesen mereka. Tanya sama ada mereka diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau tidak.
  • Doktor gigi yang sah dan diiktiraf tidak akan menawarkan perkhidmatan dari rumah ke rumah atau sekadar di hotel sahaja. Hal ini demikian kerana, kebersihan ialah antara asas utama dan terpenting untuk dititikberatkan. Barang-barang yang dinyahkuman, pelitup muka, sarung tangan dan ubat-ubat yang sesuai sekiranya terjadi perkara yang tidak diinginkan berlaku tersedia di klinik pergigian yang sah. Cuba bayangkan kalau sekadar buat di rumah kemudian terjadinya pendarahan yang banyak, bagaimana caranya untuk memberhentikannya? Adakah cukup sekadar dengan kain lap sahaja? Itu pun kalau kain lapnya bersih. Kalau tidak?
  • Kos rawatan yang sangat murah dan tak masuk akal. Pernah sekali saya terjumpa di Instagram, kos yang ditawarkan ialah serendah RM50 sahaja! Cuba bayangkan bagaimana dengan kebersihan tempatnya? Adakah ada prosedur nyahkuman dan disinfektasi sebelum bermula rawatan?
  • Warna veneer palsu seakan-akan mangkuk tandas atau gigi yang baru saja diklorok. Warnanya putih semacam! Sepatutnya sekiranya veneer yang digunakan adalah asli, maka akan kelihatan sedikit bahagian gusi apabila bercakap akan tersenyum. Namun, cuba perhatikan gambar di bawah, gusi yang kelihatan tidak sekata bahkan tertutup di bahagian hadapan.

  • Bentuk gigi juga memainkan peranan yang penting. Perempuan, lelaki, kanak-kanak dan perwatakan adalah antara faktor yang akan menentukan pemilihan bentuk gigi pada veneer.

Namun, kebanyakan veneer palsu bentuknya sama saja. Petak dan besar! Bentuknya pelik. Bentuk gigi juga penting dalam menyumbang bentuk senyuman (smile line). Ini dipanggil nilai estetik. Cuba perhatikan gambar di bawah.

Bentuk senyuman sekiranya individu tersebut memakai veneer asli adalah seperti di bawah.

  • Pemakaian veneer palsu akan menyebabkan pemakainya bercakap dengan agak pelat. Seperti tak cukup angina yang keluar dari mulutnya. Hal ini demikian kerana, kawasan kontak (contact area) yang terlalu besar yang menyukarkan cara bercakap secara normal. Cuba perhatikan pada gambar pada isi (5).
  • Apabila kawasan kontak ini terlalu rapat seperti itu, ini akan menyukarkan pembersihan gigi menggunakan flos. Maka, makanan yang tersekat dan tidak dibersihkan akan menyebabkan jangkitan pada gusi (gingivitis). Seterusnya merebak ke tulang menyebabkan periodontitis. Gusi berdarah, tulang mengecut dan mulut berbau busuk!
  • Saya ada terjumpa dua keeping gambar daripada akaun Twitter Dr. Ib Shah. Beliau merupakan pengamal pergigian yang sah. Gambar pertama menunjukkan bahawa veneer dipasang tanpa merawat masalah yang lain terlebih dahulu. Si pemasang tampal sahaja veneer pada permukaan gigi tanpa kisah sama ada gigi ada caries (gigi berlubang) atau infeksi yang lain. Caries boleh bertambah besar dan infeksi boleh menjadi lebih teruk sehingga boleh menyumbang kepada nanah.

  • Gambar kedua pula menunjukkan bahawa veneer palsu yang dipasang oleh si pemasang menyumbang kepada gigitan yang tidak normal dan sukar untuk menutup mulut. Perkara ini akan menyukarkan anda untuk mengunyah makanan, dan lama-kelamaan rahang mulut akan mula sakit. Paling teruk apabila lock jaw terjadi, ini akan menyebabkan anda tidak dapat menutup mulut setelah membukanya dengan besar.

KESIMPULAN.

Akhir kalam, tulisan saya ini bertujuan untuk mendidik masyarakat di luar sana perbezaan antara perkara yang hak dan yang batil. Setiap perkara dalam kehidupan ini penuh dengan nikmat dan rahmat yang sekiranya digunakan dengan niat kerana Allah SWT, insya-Allah kita akan disirami dengan reda-Nya. Allah SWT telah mengutuskan masalah dan setiap masalah itu ada solusinya. Maka, tugas kita adalah untuk memilih penyelesaian terbaik yang akan memelihara lima perkara yang disebutkan dalam fiqh aulawiyat ; agama, nyawa, keturunan, kehormatan, akal dan harta.

Kepada individu yang menjalankan ‘kerja’ veneer palsu anda, saya seru supaya berhentilah. Usah leka bermandi dengan harta dunia yang tidak dibawa ke kubur pun. Cukup-cukuplah mengelirukan masyarakat dengan kepandaian anda. Kasihani mereka yang tidak tahu kerana akibat daripada pengetahuan anda yang serba-serbi itulah akhirnya akan mencelakakan dan mengancam keselamatan masyarakat. Saya tidak menghalang anda untuk berniaga, namun carilah sumber pendapatan lain yang lebih, halal.

Manakala kepada masyarakat yang tahu tentang rakan-rakan atau sudah terlanjur memakai veneer palsu, segeralah berjumpa doktor gigi yang diiktiraf di klinik pergigian yang sah. Jangan dah terhantuk baru nak terngadah. Sediakan payung sebelum hujan kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Maka, beringat-ingatlah sebelum terkena kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Sekiranya anda ada ternampak iklan atau tawaran rawatan seperti ini, maka jangan bertangguh untuk membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

RUJUKAN.

  • Dr. Tamer Hamza (2020). Crown & Bridge: Ceramic Veneers. Al-Azhar University, Cairo, Egypt.
  • Hesham Ibrahim Othman (2020). Crown & Bridhe: Aesthetic Principles. Al-Azhar University, Cairo, Egypt.
  • Brian P. Lesage (2020). Esthetic Oral Rehabilitation With Veneers, Richard D. Trushkowsky (ed): New York University College of Dentistry: Springer.
  • Aspen Dental (2020). What are veneers?https://www.aspendental.com/dental-service.com
  • The Rohani (2020). Veneer Gigi: Rawatan dan Anggaran Harga Veneer Gigi di Malaysia.https://www.therohani.com/veneer-gigi-malaysia-harga-rawatan.com

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Mahasiswa Jurusan Pergigian, Universiti al-Azhar. Anak jati Kota Tinggi, Johor. Keturunan Jawa mengalir dalam pembuluh darahnya. Puisi Buya Hamka dan Pak Natsir menjadi bacaan saban hari. Suka berkawan dengan sesiapa sahaja. Kalau bosan, gitar dan irama puisi menjadi peneman.

Comments are closed.