Dalam sejarah antarabangsa moden, terdapat dua tatanan liberal antarabangsa. Tatanan yang pertama adalah Pax Britannica, sebuah tatanan yang berlangsung dari tahun 1815 hingga meletusnya P3rang Dunia Pertama. Tatanan yang kedua sudah tentunya adalah Pax Americana pada pasca P3rang Dunia Kedua.

Seperti mana yang disedari oleh Robert Gilpin, kedua-dua tatanan antarabangsa ini ‘tidak muncul secara spontan kerana campur tangan kuasa yang tidak dapat dilihat dan tanpa adanya tindakan kekuasaan. Sebaliknya, setiap sistem ekonomi bergantung pada tatanan politik tertentu; sifat sesuatu sistem ekonomi itu tidak dapat difahami secara terpisah daripada politik.'[1]

Britain pada abad ke-19 dan Amerika Syarikat pada pasca 1945, kedua-duanya menggunakan kuasa ekonomi dan ketenteraan yang dimiliki mereka untuk membentuk tatanan antarabangsa yang berfungsi untuk memajukan kepentingan ekonomi dan geopolitik mereka sendiri terutamanya (walaupun negara-negara lain secara kebetulan mendapat manfaatnya).

Pax Britannica sudah tentunya, dimusnahkan oleh apa yang disebut sejarawan Correlli Barnett sebagai ‘kejatuhan kuasa Inggeris’ yang berpunca daripada pengerahan ekonomi dan kewangan dalam dua p3rang dunia.[2] Persoalan geopolitik yang utama pada zaman kita adalah, adakah pendakian kuasa China dan melemahnya kuasa Amerika akan menyebabkan Pax Americana mengalami nasib yang serupa.

Ketika P3rang Dunia Kedua berakhir, Amerika Syarikat tanpa dapat dipertikaikan lagi adalah aktor yang paling berkuasa dalam sistem antarabangsa. Hal ini adalah disebabkan oleh supremasinya yang luar biasa dalam lapangan ekonomi dan ketenteraan. Betul, tahun 1945 merupakan detik unipolar pertama Amerika Syarikat.[3]

Amerika menyumbang 50 peratus daripada KDNK dunia, dolar menggantikan pound sterling sebagai mata wang rizab utama sistem ekonomi antarabangsa, dan AS memegang bahagian terbesar daripada rizab pertukaran asing dan emas. Pada akhir P3rang Dunia Kedua, kuasa tentera udara dan laut Amerika memberikannya kemampuan projeksi kuasa global yang tidak dapat ditandingi. Dan AS sudah tentunya memiliki monopoli terhadap senjata nuklear.

Pada tahun-tahun setelah P3rang Dunia Kedua, Amerika Syarikat memanfaatkan gabungan kuasanya yang amat besar dari sudut ketenteraan, kewangan dan ekonomi untuk mewujudkan institusi keselamatan dan ekonomi yang menyokong tatanan antarabangsa selepas p3rang (dan sekurang-kurangnya buat masa ini, ia masih lagi berlaku): Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Organisasi Perdagangan Dunia (sebelum tahun 1995 ianya adalah Perjanjian Am mengenai Tarif dan Perdagangan/GATT).

Washington juga membangunkan kembali ekonomi Eropah barat dan Jepun yang telah hancur, dan mencipta sebuah kerangka pakatan yang masih berkuatkuasa sehingga ke hari ini untuk menstabilkan wilayah Eropah dan Asia timur. Tatanan antarabangsa yang wujud pada pasca p3rang dunia ini juga disokong oleh ‘kuasa lunak’ Amerika: iaitu daya tarikan ideologi, idea dan budaya yang dimiliki oleh AS. Walaupun kadang-kadang AS melanggari nilai-nilai tersebut lebih banyak berbanding mengikutinya, Amerika Syarikat sejak tahun 1945 telah memprojeksikan nilai-nilai liberalnya ke luar negara dengan mempromosikan demokrasi dan hak asasi manusia.

Semasa P3rang Dunia Pertama, salah satu matlamat p3rang yang utama oleh Amerika Syarikat dan Britain adalah untuk mewujudkan tatanan antarabangsa pasca-p3rang yang liberal.[4] Woodrow Wilson adalah orang awal yang percaya kepada apa yang dikenali pada hari ini sebagai teori keamanan demokratik. Untuk mengamankan wilayah pasca-p3rang Eropah, beliau menganjurkan polisi ‘perubahan rejim’ yang akan menggulingkan autokrasi ketenteraan Wilhelmine Jerman dan menggantikannya dengan pemerintahan demokratik.

Wilson juga menyatakan kepercayaan bahawa ekonomi antarabangsa yang terbuka sangat penting untuk kemakmuran Amerika dan—sekurang-kurangnya sama pentingnya—memberikan insentif yang kuat untuk mewujudkan keamanan dengan menghilangkan rungutan ekonomi sebagai penyebab p3rang, dan menghubungkan ekonomi kuasa-kuasa besar dengan begitu dekat sehingga kos pep3rangan akan dilihat sangat tinggi.[5]

Wilson turut memperjuangkan pembentukan institusi antarabangsa yang baru iaitu Liga Bangsa (League of Nations), institusi ini adalah sebagai mekanisme keselamatan bersama yang akan menstabilkan sistem antarabangsa. Namun, ketika Senat AS menolak Liga Bangsa, visi liberalis antarabangsa Wilson masih belum berjaya.

Walaupun ketika P3rang Dunia Kedua sedang dilangsungkan, puak liberalis antarabangsa di Amerika walau bagaimanapun menyedari bahawa natijah pep3rangan tersebut akan membawa kepada pertambahan kuasa AS secara dramatik—dan ini seterusnya akan memberikan Amerika Syarikat ‘peluang kedua’ untuk membangunkan tatanan liberal antarabangsa.[6]

Dengan ketiadaan kuasa hegemonik Amerika, tatanan antarabangsa liberal pada pasca-1945 tidak dapat dibangunkan. Seperti yang diperhatikan oleh John Ikenberry, tatanan antarabangsa selepas p3rang ‘dikuasai oleh Amerika Syarikat–tetapi diselitkan dengan ciri-ciri liberal’.[7] Secara ringkasnya, semenjak saat ‘penciptaannya’, tatanan antarabangsa liberal yang berasaskan peraturan (LRBIO) telah dijalin dengan rapat ke dalam Pax Americana; dan ia kekal sebegitu.[8]

Dalam cara-cara yang penting, institusi yang dibentuk oleh Amerika Syarikat selepas tahun 1945 menyokong dominasinya di peringkat antarabangsa pada pasca p3rang. Sebagai contohnya, pelan biru untuk arkitektur kewangan antarabangsa yang dibuat oleh Persidangan Bretton Woods pada 1944 merupakan produk kepada ambisi hegemonik Amerika dan pengaruh ekonomi dan kewangannya yang luar biasa.

Seperti mana yang diperhatikan oleh Benn Steil, pengarah Ekonomi Antarabangsa di Council on Foreign Relations, Amerika Syarikat ‘menggunakan pengaruh ekonominya ke atas sekutunya yang bangkrap iaitu kuasa imperial Great Britain untuk menetapkan syarat-syarat, yang mana Britain akan menyerahkan penguasaannya yang semakin merosot terhadap peraturan dan norma perdagangan asing dan kewangan’.[9]

Bukan hanya Britain sahaja yang disasarkan oleh Amerika di Bretton Woods. Kejatuhan tatanan Eropah yang lama memberikan Washington peluang untuk dapat mengakhiri proteksionisme, mewujudkan ekonomi antarabangsa yang terbuka, dan ‘menghapuskan persaingan dan rintangan Eropah yang lama di pentas global’ dengan menonjolkan kuasa ekonomi dan kewangannya.[10]

Kuasa hegemoni AS dengan kata lain memungkinkan tatanan antarabangsa liberal pada pasca-1945 untuk muncul, dan pada akibatnya ia memperkuatkan keunggulan Amerika di pentas global. Teori kestabilan hegemonik menjelaskan mengapa Pax Americana diciptakan, mengapa ia bertahan sejak tahun 1945 (sekurang-kurangnya hingga sekarang) —dan mengapa ia menghadapi masa hadapan yang belum tentu.

Teori kestabilan hegemonik berpendapat bahawa, sebuah tatanan antarabangsa yang liberal memerlukan kuasa hegemon untuk mengurus dan menstabilkan sistem politik dan ekonomi antarabangsanya.[11] Itulah yang telah dilakukan oleh Amerika Syarikat sejak tahun 1945 dengan menyediakan kepentingan bersama dalam ruang ekonomi dan keselamatan, dan dengan bertindak sebagai penggerak kepada tindakan kolektif di peringkat antarabangsa.

Michael Mandelbaum dari Johns Hopkins University – mungkin dimabukkan oleh kemenangan pasca P3rang Dingin Amerika – sememangnya berpendapat bahawa, berikutan kemusnahan Soviet, Amerika Syarikat sebagai penyedia keselamatan global dan pengurus ekonomi antarabangsa pada dasarnya bertindak sebagai kerajaan de facto untuk sistem antarabangsa.[12]

Kuasa hegemon ekonomi dunia bertanggungjawab membuat peraturan untuk tatanan ekonomi antarabangsa; memulakan ekonomi antarabangsa semasa tempoh kemerosotan dengan bertindak sebagai pasaran terakhir dengan membeli barangan negara-negara lain; membekalkan kecairan untuk ekonomi global; bertindak sebagai pemberi pinjaman langkah terakhir; dan menyediakan mata wang rizab.

Secara ketenteraan, kuasa hegemon bertanggungjawab menstabilkan wilayah-wilayah yang sangat penting untuk perekonomian antarabangsa yang berfungsi dengan lancar, dan melindungi jalur komunikasi (iaitu ‘global commons’) yang padanya bergantung ekonomi antarabangsa yang terbuka.[13] Pada kebanyakan masa semenjak tahun 1945, Amerika Syarikat–lebih kurang berjaya–melaksanakan tugas-tugas ini. Namun, ianya masih jauh daripada jelas bahawa Amerika Syarikat akan dapat terus melakukan tugas-tugas ini di masa depan.

Artikel asal milik Christopher Layne yang diterjemahkan oleh Muaz Malik. 

NOTA KAKI

1. Robert Gilpin, US power and the multinational corporation (New York: Basic Books, 1975), hlm. 40–4.

2. Correlli Barnett, The collapse of British power (New York: William Morrow, 1972).

3. Seperti mana yang diamati oleh Robert Gilpin: ‘Amerika Syarikat pada tahun 1945 dari segi kuasa mutlak (absolute power) telah begitu mengungguli seluruh dunia’ (Gilpin, US power, hlm. 103–104). Untuk gambaran yang serupa mengenai dominasi Amerika Syarikat dari sudut ekonomi, ketenteraan dan kewangan pada akhir P3r4ng Dunia Kedua, lihat buku Paul Kennedy, The rise and fall of the Great Powers: economic change and military conflict from 1500 to 2000 (New York: Random House, 1987), hlm. 357–61.

4. Berhubung pemikiran British dalam pembinaan tatanan antarabangsa liberal pada pasca P3r4ng Dunia Pertama, lihat buku George W. Egerton, Great Britain and the creation of the League of Nations: strategy, politics, and international organization, 1914-1919 (London: Scholar Press, 1979).

5. Untuk pernyataan tesis pra-1914 yang paling berpengaruh bahawa saling kebergantungan ekonomi di antara Kuasa-kuasa Dunia mengekalkan keamanan, lihat buku Norman Angell, The great illusion (New York: Cosimo Classics, 2007; terbitan pertama tahun 1909).

6. Robert Devine, Second chance: the triumph of liberal internationalism in America during World War II (New York: Atheneum, 1967).

7. G. John Ikenberry, Liberal Leviathan: the origins, crisis, and transformation of the American world order (Princeton: Princeton University Press, 2011), hlm. 334.

8. Dean Acheson, Present at the creation: my years in the State Department (New York: Norton, 1969).

9. Ben Steil, The battle of Bretton Woods: John Maynard Keynes, Harry Dexter White, and the making of a new world order (Princeton: Princeton University Press, 2013), hlm. 348.

10 Steil, The battle of Bretton Woods, hlm. 225–6.

11. Gilpin, US power, hlm. 40–1.

12. Michael Mandelbaum, The case for Goliath: how America acts as the world’s government in the 21st century (New York: PublicAffairs, 2005).

13. Barry Posen, ‘Command of the commons: the military foundations of US hegemony’, International Security 28: 1, Musim panas 2003, hlm. 5–46.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pelajar agama yang (entah macam mana) minat hubungan antarabangsa. Buat terjemahan berkaitan subjek IR sebagai hobi masa lapang.

Comments are closed.