Baru-baru ini heboh di media sosial tentang filem Badang yang dilakonkan Dato’ Aliff
Syukri. Ada yang mengatakan filem itu menjengkelkan dan ada juga yang memuji kehebatan Badang di dalam filem itu. Saya tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut tentang filem Badang versi Dato’ Aliff Syukri. Apa yang saya ingin tulis di sini ialah tentang filem BADANG (1962) versi seniman Wahid Satay.

Filem BADANG diarahkan oleh S. Roomai Noor di studio Cathay-Keris Film. Ia merupakan  sebuah kisah dongeng purbawara yang dekat dengan masyarakat Melayu. Semasa beliau membuat uji lakon ataupun screen test untuk watak “Badang”, ramai individu hadir untuk mencuba nasib. Setelah uji lakon dibuat kepada hampir 30 orang, S. Roomai Noor masih belum berpuas hati kerana tidak ada orang yang betul-betul memenuhi kehendaknya pemilihannya.

Secara kebetulan Wahid Satay turut berada di tempat screen test dijalankan pada ketika itu. S. Roomai Noor terpandang kelibat beliau lalu memanggilnya, “Wahid, mari sini.” Wahid Satay pun pergi menghampiri S. Roomai Noor. “Engkau jadi Badanglah” kata S. Roomai Noor. “Eh tak bolehlah bang, saya ni pelakon komedi nak jadi Badang memang tidak kenalah, lagipun saya kurus kering tak sesuai” balas Wahid Satay. Lalu S. Roomai Noor menjawab, “Ini bukan soal komedi tapi sebab kau kuruslah aku nak kau jadi Badang!”. Wahid Satay kemudiannya berseloroh, “Abang pernah tengok Badang ke? Bagaimana abang tahu dia kurus?” S. Roomai Noor membalas, “Aku pun tak pernah tengok Badang, tapi kau kenalah dengan Badang versi yang aku nak”. S. Roomai Noor mengakhiri perbualan itu dengan menawarkan watak utama filem terbaharunya itu kepada Wahid Satay.

Wahid Satay telah bersetuju mengambil peranan sebagai “Badang” di bawah arahan S.
Roomai Noor. Menurut Wahid Satay, beliau sangat takut ketika melakonkan watak “Badang” kerana dia perlu berlakon melawan seekor gajah. “Saya mengucap entah berapa ratus kali ketika berhadapan dengan gajah itu!” tambah beliau lagi ketika mengenang lakonannya dalam babak itu. Anak gajah tersebut telah dipinjamkan dari sebuah sarkis di Singapura. Ketika hendak menjinakkan gajah itu, jurulatih sarkas itu memukulnya beberapa kali. Wahid Satay yang melihat perbuatan itu jatuh pengsan akibat ketakutan, malah heroinnya Roseyatimah menangis sekuat hati kerana kasihankan anak gajah itu.

Filem BADANG turut dibintangi oleh Zainal Gemok, Umi Kalthoum, Shariff Medan, Yem,
Dollah Serawak, Siti Tanjong Perak, Udo Omar, Abdullah Sani, Ismail Boss dan beberapa
lagi orang pelakon dari studio Cathay-Keris. Filem ini mula ditayangkan pada 30 Ogos 1962. Untuk mempromosikan filem ini, Wahid Satay telah digelar sebagai “Hercules Malaysia” oleh pihak studio.

Apabila filem ini ditayangkan di pawagam, ia mendapat sambutan yang sederhana. Ini
kerana penonton akan ketawa melihat lakonan Wahid Satay yang kurus kering sebagai
Badang sedangkan mereka menggambarkan Badang itu mestilah besar dan gagah. Tetapi filem BADANG ini sangat berjaya menguji lakonan Wahid Satay yang sebelum itu sangat sinonim dengan watak-watak komedi.

Sumber
• Berita Filem (Mei, Jun, Julai 1962)
• Singapore Cinema by Raphaël Millet
• Memoir Hamzah Hussin: Dari Keris Film ke Studio Merdeka
• Hidir Ali Razali
• Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang peminat sejarah filem tanah air. Suka menonton filem-filem Melayu hitam putih, terutama sekali arahan Hussain Haniff dan M. Amin.

Comments are closed.