Dalam subtopik awal pada bab kelima buku Dajal, The Quran and Awwal Al-Zaman (2017), Syeikh Imran Hosein (SIH) menyatakan bahawa halangan pada masakini dalam menubuhkan Khilafah datang dalam bentuk tentangan daripada dunia Barat moden.

Di bawah penolakkan terhadap sistem Khilafah ini, dunia Barat moden telah menggantikan sistem Khilafah dengan sistem negara republik moden yang menjadikan undang-undang manusia sebagai undang-undang tertinggi berbanding undang-undang Allah Taala. SIH juga turut menyatakan mengenai negara yang wujud pada hari ini perlu menyertai PBB, dan dengan demikian mereka perlu menyetujui piagam institusi antarabangsa tersebut.(Hosein, I. N., hlm. 157-158)

Dalam konteks dunia semasa, jika negara Khilafah atau Pax Dei hendak ditubuhkan dan dipertahankan kewujudannya, SIH berhujah negara Khilafah tersebut perlu memiliki kuasa untuk mempertahankan survival dirinya. Dengan kata lain, negara Khilafah ini menurut SIH mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan kuasa ketenteraan ke tahap maksimum yang mampu dilakukannya.

Walau bagaimanapun, menurut SIH, dunia Barat pada hari ini bukan sahaja telah berjaya memasukkan seluruh umat manusia ke dalam PBB yang didominasi oleh penindas-penindas dunia moden daripada kalangan Barat Zionis, malah mereka juga berjaya memaksakan terhadap seluruh dunia Perjanjian Penghalang Perebakan Nuklear (NNPT) yang melarang negara yang menggangotai pejanjian ini daripada membangunkan senjata nuklear. (Hosein, I. N., hlm. 163) Sedangkan senjata nuklear ini menurut SIH termasuk dalam membangunkan kuasa ketenteraan yang dituntut dalam al-Quran.

Dalam perbincangan SIH berkenaan mewujudkan Khilafah ini juga, SIH ada menyatakan berkenaan peranan institusi antarabangsa yang membentuk dan membataskan tingkahlaku negara anggotanya dengan berdasarkan kepada undang-undangnya.

Sebagai contohnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai institusi antarabangsa yang dianggotai oleh negara-negara yang wujud di seluruh dunia menurut SIH, ianya didominasi oleh negara penindas daripada kalangan Barat Zionis (Zionist Western). Terdapat banyak kajian hubungan antarabangsa yang menyokong dakwaan SIH ini.

Dalam satu kajian khusus berkenaan pengaruh Zionis terhadap Amerika Syarikat yang bertajuk The Israel Lobby and US Foreign Policy (2007), didedahkan secara panjang lebar mengenai pengaruh lobi Israel dalam membentuk dasar luar Amerika, khususnya terhadap wilayah Asia Barat. (Walt, 2007) Amerika sebagai kuasa hegemon dunia Barat mewakili kuasa-kuasa Barat itu sendiri, dan sebagai negara yang berstatus kuasa dunia (great power), Amerika Syarikat memiliki kuasa dan pengaruh yang sangat besar dalam pelbagai aspek, terutamanya dalam ketenteraan. (Monteiro, hlm. 1-3)

SIH juga tidak silap apabila memperkatakan mengenai pengaruh kuasa-kuasa Barat dalam institusi antarabangsa seperti PBB melaui Majlis Keselamatannya. Berdasarkan kajian seorang sarjana hubungan antarabangsa daripada Amerika iaitu John J. Mearsheimer, institusi antarabangsa merupakan sebahagian daripada blok binaan yang membentuk tatanan dunia. (Mearsheimer, 2019, hlm. 9)

Institusi ini menurut Mearsheimer merupakan peraturan yang dicipta oleh kuasa-kuasa dunia yang mana mereka setujui untuk mengikutinya. Namun begitu, apabila peraturan-peraturan ini tidak bersesuaian dengan kepentingan mereka, kuasa-kuasa dunia ini tidak teragak-agak untuk mengabaikan peraturan yang menjadi sebahagian daripada institusi antarabangsa tersebut atau mereka akan berusaha untuk mengubahnya.

Institusi antarabangsa juga dicipta oleh negara yang paling berkuasa (great power atau kuasa dunia) dan dipergunakannya untuk mengekang dan menguruskan tingkahlaku negara-negara yang lemah supaya bersesuaian dengan kepentingan kuasa dunia tersebut. (Mearsheimer, 2019, hlm. 11) Sebagai contohnya, negara-negara kuasa dunia pada era Pe-rang Dingin seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet telah berusaha untuk membina apa yang disebut sebagai rejim pengawalan senjata nuklear (nonproliferation regime).

Dalam usaha mereka untuk membentuk rejim pengawalan senjata nuklear, kedua-dua Amerika dan Soviet telah mencipta NPT pada tahun 1968. NPT merupakan sebuah perjanjian antarabangsa (international treaty) yang secara berkesan menjadikan ia adalah sesuatu yang menyalahi undang-undang untuk mana-mana negara anggota perjanjian ini yang tidak memiliki senjata nuklear untuk memperolehinya. Menurut Mearsheimer lagi, Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat secara semula jadinya telah berusaha keras untuk mendapatkan sebanyak mungkin negara untuk menyertai perjanjian ini. (Mearsheimer, 2019, hlm. 11)

Berdasarkan kajian Mearsheimer seperti mana yang dikemukan di atas, dakwaan SIH mengenai dominasi penindas-penindas dunia moden daripada kalangan Barat Zionis dalam institusi antarabangsa ini dapat disahkan. Contoh Amerika dan Soviet yang dikemukakan oleh Mearsheimer ini juga adalah bersesuaian dengan dakwaan SIH bahawa negara-negara Barat ini telah memaksakan terhadap seluruh dunia satu perjanjian yang menghalang negara-negara yang menandatanganinya bagi memperolehi senjata nuklear.

Di samping dakwaan SIH mengenai dominasi Barat Zionis terhadap PBB dan perjanjian NPT yang mencegah pemerolehan senjata nuklear, pandangan SIH berhubung pembangunan kuasa ketenteraan dengan semampu yang mungkin oleh negara Khilafah demi survival dirinya juga dapat dikenalpasti keabsahannya dengan berdasarkan kepada kajian hubungan antarabangsa.

Dijelaskan dalam buku The Tragedy of Great Power Politics (2014) yang juga dikarang oleh John J. Mearsheimer bahawa, lebih berkuasa sesebuah negara berbanding negara-negara pesaingnya, lebih kurang kemungkinan untuk mana-mana negara pesaingnya itu untuk menye-rang dan mengancam survival negara yang berkuasa tersebut.

Negara yang lebih lemah menurut Mearsheimer lebih merasa keberatan untuk mencari gaduh dengan negara yang lebih kuat. Hal ini kerana negara yang lemah tersebut lebih berkemungkinan untuk mengalami kekalahan dalam pepe-rangan. Menurut Mearsheimer lagi, lebih besar jurang kuasa di antara dua buah negara, lebih kurang kemungkinan untuk negara yang lebih lemah untuk menye-rang negara yang lebih kuat. (Mearsheimer, 2014, hlm. 40)

Oleh yang demikian, pandangan SIH bahawa negara Khilafah perlu membangunkan kuasa ketenteraan dengan semampu yang mungkin demi survival dirinya, sebenarnya memiliki justifikasinya jika merujuk kepada pandangan Mearsheimer tersebut mengenai prospek negara yang lebih lemah menye-rang negara yang lebih berkuasa.

RUJUKAN:

Hosein, I. N. (2017). Dajjal (the Anti-Christ), The Quran and Awwal Al-Zaman. San Fernando, Trinidad and Tobago: Imran N. Hosein Publications.

Mearsheimer, J. J. (2014). The Tragedy of Great Power Politics. New York: W.W. Norton & Company, Inc.

__________________. (2019). Bound to Fail: The Rise and Fall of the Liberal International Order. International Security, 7-50.

Monteiro, N. P. (2014). Theory of Unipolar Politics. New York: Cambridge University Press.
Walt, J. J. (2007). The Israel Lobby ad U.S. Foreign Policy. New York: Farrar, Straus and Giroux.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pelajar agama yang (entah macam mana) minat hubungan antarabangsa. Buat terjemahan berkaitan subjek IR sebagai hobi masa lapang.

Comments are closed.