“Sullaesullae ganggangsullae,
Bulan telah naik, bulan telah naik,
Bulan telah naik di kampung kita,
Ganggangsullae, ganggangsullae,
Yang hijau itu adalah kobis musim bunga, menanti hadirnya si embun pagi.”
Sepertimana lagu Arirang yang menjadi simbol budaya di Korea, Ganggangsullae juga adalah antara ciri budaya yang membentuk masyarakat di negara ini. Ganggangsullae merupakan salah satu daripada tradisi rakyat Korea, yang mana ia dipanggil ‘permainan rakyat’ oleh masyarakatnya. Artikel ini akan mengupas serba sedikit mengenai sejarah ganggangsullae, ciri-ciri serta peranan tarian ini dalam masyarakat di Korea.
Apa itu Ganggangsullae?
Ganggangsullae (강강술래) adalah suatu bentuk kesenian tradisional Korea yang menggabungkan elemen tarian bersama nyanyian. Ia merupakan tarian Korea purba yang digunakan untuk membawa hasil pertanian yang subur dan akhirnya menjadi simbol budaya Korea.
Menariknya, tarian ini adalah khusus untuk golongan wanita sahaja. Tarian ini biasanya dipersembahkan sewaktu perayaan Chuseok dan Daeboreum. Ia telah diisytiharkan sebagai salah satu khazanah budaya di Korea dan dipelihara keasliannya untuk generasi akan datang.
Maksud sebenar istilah ganggangsullae ini sukar untuk dikenalpasti, kerana ia telah diberitahu secara turun temurun dari mulut ke mulut sejak dahulu lagi. Namun, istilah ini paling menepati perkataan asal daripada dialek Jeolla-do, yang mana ‘gang (gam)’ bermaksud bulatan dan ‘sullae (su-re)’ pula bermaksud berpusing bersama-sama. Ini membentuk istilah ganggangsullae yang membawa erti berpusing-pusing dalam bulatan.
Sejarah kewujudan Ganggangsullae
Berdasarkan sejarah, ganggangsullae ini dipercayai telah wujud sejak zaman purba lagi, yang mana tarian ini dilakukan sewaktu bulan penuh pada setiap tahun bagi menyeru semangat untuk menyuburkan hasil tanaman. Lama-kelamaan, ia menjadi seperti satu tarian ritual bagi masyarakat pada waktu itu.
Kewujudan ganggangsullae ini menjadi signifikan pada era dinsti Joseon yang mana pada waktu itu Laksamana Yi Sun Shin telah menggunakan tarian ini sebagai salah satu taktik perang dalam Perang Imjin bagi melawan pihak Jepun. Kisah menarik di sebalik penggunaan ganggangsullae ini berlaku apabila Yi Sun Shin mendapati bahawa bilangan tentera Jepun adalah terlalu ramai dan melebihi jumlah tentera Joseon.
Laksamana Yi Sun-Shin akhirnya telah mengarahkan agar golongan wanita memakai pakaian seragam tentera dan menari ganggangsullae di atas pergunungan selama beberapa malam.
Ketika pihak musuh melihat kelompok tentera yang berpusing-pusing dalam bulatan ini, mereka merasakan bahawa Joseon mempunyai ramai tentera yang sedang bersiap sedia untuk menyerang, sedangkan itu hanyalah tarian semata-mata. Taktik pintar Yi Sun Shin serta keberanian golongan wanita menari ganggangsullae ini telah membawa kemenangan kepada pihak tentera Joseon.
Setelah penjajahan Jepun dan Perang Korea berakhir, pihak pemerintah Korea Selatan mula mencari langkah bagi memulihkan warisan budaya Korea untuk menghidupkan kembali identiti nasional negara itu. Dalam usaha ini, Ganggangsullae telah menjadi sebahagian daripada Important Intangible Cultural Heritage of Korea pada tahun 1966.
Hasil daripada perletakannya sebagai simbol budaya penting di Korea, para seniman di seluruh wilayah Korea mula meneruskan Ganggangsullae dengan mempersembahkannya di festival rakyat kebangsaan sejak tahun 1970-an. Pada tahun 2009, UNESCO telah menyenaraikan Ganggangsullae ini sebagai sebahagian daripada Intangible Cultural Heritage of Humanity.
Wanita dan Ganggangsullae
Pada era Joseon, golongan wanita mempunyai peraturan yang ketat untuk membuat apa-apa persembahan kesenian serta mendedahkan diri mereka. Namun, untuk ganggangsullae, hanya wanita sahaja yang dibenarkan menyertai tarian ini kerana golongan lelaki waktu itu dilarang daripada menyertai apa-apa ritual kerana pegangan ajaran Confucian. Sewaktu bulan penuh, wanita di kampung-kampung akan menari ganggangsullae sepanjang malam bagi meraikan perayaan Chuseok (tahun baru dalam kalendar Lunar) bagi mengharapkan hasil pertanian mereka kekal subur sepanjang tahun.
Malah, tarian ganggangsullae ini juga sebenarnya memberi makna yang lebih besar buat golongan wanita pada waktu itu. Ganggangsullae adalah simbolik untuk mereka melepaskan rasa marah dan kecewa mereka terhadap masyarakat patriarki sewaktu era Joseon. Ketika itu, kebanyakan rakyat banyak meluahkan perasaan mereka dalam nyanyian lagu dan tarian.
Golongan wanita Joseon menyanyikan lagu bagi ganggangsullae dengan lirik yang mencerminkan kehidupan mereka sebagai wanita era tersebut. Keperitan hidup, putus asa, kekecewaan, bagaimana untuk bertahan hidup dan takdir yang mereka terima kerana menjadi seorang wanita telah diluahkan melalui ganggangsullae. Ini merupakan antara versi lirik dalam ganggangsullae yang mencerminkan kehidupan wanita:
Wahai anak perempuanku, anak perempuanku,
Anak perempuan bongsuku, Ganggangsullae..
Adakah kamu menuju ke air terjun dengan berkaki ayam? Ganggangsullae..
Haruskah saya menjual padi untuk membelikan sepasang kasut? Ganggangsullae..
Atau adakah saya harus menjual ladang untuk memberikan kamu seorang hamba? Ganggangsullae..
Saya tidak memerlukan kasut atau pelayan, Ganggangsullae ……
Lirik-lirik begini bukan hanya menggambarkan keperitan hidup wanita, tetapi turut menceritakan kasih sayang antara ibu dan anak perempuan yang ditonjolkan melalui rasa penyesalan seorang ibu yang tidak dapat memberikan kehidupan yang sempurna buat anaknya. Selain itu, banyak juga lirik dalam Ganggangsullae yang menceritakan mengenai bunga dan bulan.
Bunga-bunga itu mewakili kehidupan masyarakat yang hidup dalam keadaan harmoni, atau kehidupan itu sendiri, malah ia juga menunjukkan simbolisme artistik dan objektif dalam lingkaran alam yang mewakili kehidupan wanita yang rendah hati yang merindukan kekasih mereka. Sebaliknya, bulan adalah simbol kerinduan, menghubungkan kekasih yang terpisah, dan sebagai ayat puitis yang mampu mewujudkan perasaan kehilangan.
Ciri dan elemen Ganggangsullae
Terdapat beberapa elemen dan ciri utama yang membentuk ganggangsullae. Ini adalah elemen-elemen utama dalam ganggangsullae:
- Nyanyian
Ganggangsullae ini mempunyai ciri nyanyian tongsok minyo, iaitu sejenis lagu rakyat Korea. Minyo (lagu rakyat Korea) merupakan lagu untuk masyarakat dan terbahagi kepada dua jenis utama. Jenis pertama adalah tosok minyo, iaitu lagu rakyat tempatan yang dinyanyikan sewaktu bekerja, bermain dan sebagai ritual oleh orang-orang biasa.
Jenis kedua pula adalah tongsok minyo (lagu rakyat popular) iaitu lagu-lagu rakyat popular yang dinyanyikan oleh para penyanyi profesional. Gangganggsullae ini mempunyai ciri lagu tongsok minyo yang mana ia telah berevolusi daripada tarian ritual, menjadi persembahan rakyat dan seterusnya popular dalam kalangan rakyat.
Cara nyanyian dalam ganggangsullae ini mempunyai kaedahnya yang tersendiri, yang mana penyanyi utama akan menyanyikan bahagian utama panggilan (call) dan yang lain akan memberikan respons dalam nyanyian sambil menari.
- Tarian
Ganggangsullae ini dimulakan dalam bulatan penuh, dan kemudian berubah kepada beberapa jenis bulatan lain, berpecah menjadi barisan, dan akhirnya kembali kepada bulatan semula. Tarian dalam ganggangsullae adalah pendek dan berulang-ulang, dan setiap gerak tari menunjukkan budaya, kepercayaan sosial serta kehidupan dalam masyarakat tradisional.
Sebagai contohnya, setiap fasa bulan penuh menggambarkan musim untuk bertani bagi masyarakat Korea sejak zaman purba lagi. Masyarakat akan mengadakan ganggangsullae ini untuk meraikan semangat bulan penuh yang membawa kepada hasil pertanian yang banyak. Oleh kerana itulah, tarian dalam ganggangsullae ini dilakukan dalam bentuk bulatan sebagai satu simbol menunjukkan bulan penuh.
- Jangdan
Jangdan ini membawa maksud ‘panjang dan pendek’, iaitu satu elemen yang membezakan muzik Korea daripada muzik Barat. Jangdan adalah satu susunan bentuk ritma yang diulang-ulang tanpa sebarang bantuan muzik.
Sebagai tambahan kepada asas jangdan, pemain dram boleh mengubah ritma (variasi jangdan) yang menunjukkan kemahiran artistiknya. Dalam ganggangsullae, tempo bagi tarian bulatannya akan meningkat bergantung kepada jangdan (berdasarkan pernafasan penyanyi) yang mengiringi tarian tersebut.
- Mundapnori
Mundapnori adalah dialog yang diucapkan sewaktu persembahan ganggangsullae ini. Ia mempunyai beberapa tujuan utama dalam ganggangsullae ini.
Sebagai contohnya, ketua bagi kumpulan ganggangsullae dan tail leader (orang di hujung) boleh memulakan sesi ‘soal dan jawab’ bagi menunjukkan dalam konteks apakah persembahan itu dilakukan. Malah, ia juga dilakukan sebagai sebagai satu short break bagi penyanyi utama merehatkan suaranya. Mundapnori juga dibuat sebagai satu simbol menyerahkan bahagian nyanyian kepada penyanyi lain.
Fungsi dan Peranan Ganggangsullae
Selain daripada peranan utamanya sebagai satu tarian ritual untuk menyeru semangat bulan yang menyuburkan hasil pertanian, ganggangsullae juga berperanan sebagai persembahan untuk mencari jodoh. Ini banyak berlaku di kawasan Shinan, yang mana ia kadangkala turut melibatkan lelaki dalam tarian ini.
Ganggangsullae juga dipersembahkan sebagai satu simbol meraikan pemergian seseorang, pengakhiran bagi sesebuah acara dan menyambut kelahiran. Kebanyakan daripada persembahan ganggangsullae ini adalah untuk tujuan pendidikan semata-mata dan simbol budaya dalam masyarakat Korea.
Ganggangsullae pada hari ini, bukanlah sekadar warisan budaya, tetapi telah menjadi suatu tradisi muzikal bagi orang-orang Korea. Tradisi ini diteruskan dalam acara-acara kebangsaan rakyat, dan masyarakat dari pelbagai peringkat umur menyertainya untuk meraikan perayaan Chuseok. Malah, kanak-kanak di Korea juga mempelajari ganggangsullae di sekolah mereka sebagai sebahagian daripada kurikulum muzik.
RUJUKAN:
Cultural Heritage Administration. (2014). Korean Heritage (Vol. 7). Seoul, South Korea.
Hae Sook, S. (2017). Ganggangsullae. Retrieved November 23, 2020, from https://folkency.nfm.go.kr/en/topic/detail/1454
Yi, G. J. (2019). Teaching about the Korean Ganggangsullae Folk Tradition in General Music Class . Music Educators Journal, 105(3), 45–53.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih