Sebut saja Diego Armando Maradona, ramai membayangkan gol ‘Tangan Tuhan’ atau gol solo semasa menentang England pada suku akhir Piala Dunia 1986. Tetapi hari ini, ramai peminat bola sepak dunia berduka kerana si genius yang menjadi kebanggaan Napoli dan Argentina itu telah kembali menemui Penciptanya pada tengah malam waktu Malaysia hari ini.

Maradona lahir pada 30 Oktober 1960 di Lanus, Buenos Aires dalam sebuah keluarga yang miskin. Anak kelima daripada tujuh adik-beradik, bakatnya mula dikesan oleh kelab pertamanya Argentinos Juniors dan ramai menyuarakan keyakinan pemain ini akan menjadi terkenal satu hari nanti. Ini ditambah dengan pendedahan Maradona sendiri yang menjadikan George Best dan Rivelino sebagai inspirasi karier permainannya.

Membuat kemunculan pertama bersama El Bicho pada usia 16 tahun, ini menjadikan Maradona pemain termuda membuat penampilan dalam Liga Primera Argentina (kini Liga Profesional de Fútbol). Beliau membuat 167 penampilan dan menjaringkan 115 gol sebelum memilih berpindah ke Boca Juniors pada tahun 1981 dengan yuran perpindahan AS$5 juta.

Sebenarnya, Maradona banyak mendapat tawaran pelbagai pasukan termasuk pasukan gergasi River Plate. River sanggup berbelanja besar termasuk menyediakan gaji yang lumayan sekaligus menjadikannya sebagai penerima gaji tertinggi untuk Los Millonarios. Tetapi Maradona menolak semua tawaran atas alasan beliau mahu bermain dengan pasukan kegemarannya sejak dari kecil lagi iaitu Boca Juniors.

Rajah 1: Maradona membantu Boca bergelar juara liga pada tahun 1981.

Beliau kekal di kelab selama semusim sebelum berpindah ke Barcelona pada tahun 1982 dengan yuran perpindahan £5 juta. Walaupun hubungannya dengan pengurus ketika itu Silvio Marzolini kurang baik, itu tidak menghalang Maradona membantu Xeneizes memenangi kejuaraan liga pada tahun tersebut. Kejuaraan itu juga merupakan satu-satunya kejuaraan liga yang dimenangi dalam liga domestik Argentina.

Di Nou Camp, Maradona bergabung dengan bekas jurulatih lamanya dalam pasukan kebangsaan Cesar Luis Menotti. Di bawah bimbingan bos lamanya itu, beliau membantu Barca memenangi Copa del Rey dengan mengatasi Real Madrid dan Piala Super Sepanyol selepas menewaskan Athletic Bilbao.

Rajah 2: Maradona bersama rakan senegara, Mario Kempes yang ketika itu beraksi bersama Valencia.

Semasa perlawanan El Clasico, Maradona merupakan antara beberapa pemain Barca yang mendapat penghormatan penyokong Real selepas menjaringkan gol cantik untuk Blaugrana. Penyokong yang melihat gol tersebut bangun dan memberi penghormatan kepadanya. Selain Maradona, hanya Ronaldinho dan Andres Iniesta yang menjadi sebahagian daripada kelab eksklusif ini.

Begitupun, tempoh dua musimnya di Nou Camp tidak lari daripada kontroversi. Bukan sekali pihak lawan membuat terjahan keras yang membuatkannya terkeluar daripada pasukan akibat kecederaan. Kecederaan yang paling teruk dialami ialah kecederaan lutut yang serius akibat terjahan pemain Athletic Bilbao, Andoni Goikotxea yang memaksanya berehat selama tiga bulan.

Lawan yang sama ini juga bertanggungjawab mencetuskan kontroversi yang memaksa Maradona keluar dari Barca. Pada final Copa del Rey 1984, sepanjang perlawanan beliau diejek secara perkauman oleh penyokong Bilbao termasuk menghina bapanya yang datang dari latar belakang orang asli Amerika.

Tambah lagi dengan terjahan-terjahan keras, keputusan perlawanan memihak kepada Bilbao dan provokasi daripada pemain lawan, itu sudah cukup untuk Maradona mengamuk. Beliau menanduk pemain tengah Bilbao, Miguel Sola sekaligus mencetuskan pergaduhan kedua-dua pasukan selepas tamat perlawanan.

Raja Juan Carlos yang hadir bersama 100,000 penyokong di stadium melihat apa yang berlaku di atas padang. Bagi presiden Josep Lluis Nunez, itu saja sudah cukup untuk Barca menghalau Maradona ke Napoli dengan yuran perpindahan rekod ketika itu £6.9 juta.

Di Napoli, beliau dijulang sebagai wira oleh penduduk Naples kerana merasakan mereka mempunyai peluang memecahkan dominasi Serie A oleh pasukan utara dan tengah Itali seperti A.C dan Inter Milan, Juventus dan A.S Roma. Sebelum Maradona membantu Gli Azzurri memenangi Serie A pada tahun 1986-1987, belum pernah kelab dari belah selatan Itali menjulang kejuaraan liga domestik negara itu.

Selain membantu Partenopei memenangi Serie A pada 1986-1987 dan 1989-1990, Maradona turut membantu mereka menjulang kejuaraan Coppa Italia 1987, Piala UEFA 1989 dan Piala Super Itali 1990. Tetapi 1986 dianggap tahun terbaik untuknya kerana membantu Argentina menjulang Piala Dunia 1986 selepas gagal berbuat demikian empat tahun sebelumnya.

Rajah 3: Maradona semasa menjulang Piala Dunia 1986

Begitupun, tempohnya bersama Napoli juga tidak lari daripada kontroversi. Semasa tempoh inilah, Maradona dikatakan mula terjebak dengan ketagihan da-dah dan bukan sekali didenda kelab kerana terlepas menghadiri perlawanan dan latihan. Beliau juga turut terjebak dalam skandal mempunyai anak luar nikah dan dikhabarkan pernah mempunyai hubungan dengan Camorra (salah satu organisasi mafia di Itali).

Masalah ini dilihat mempengaruhi prestasinya semasa Piala Dunia 1990 dan Piala Dunia 1994. Pada tahun 1990, pengaruh Maradona tidak sedominan empat tahun sebelumnya tetapi masih berupaya membantu Albiceleste menjadi naib juara Piala Dunia 1990. Tetapi semua itu berubah pada Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat.

Maradona ketika itu bukan saja berdepan isu ketagihan da-dah tetapi juga isu berat badan yang dilihat berpotensi mengakibatkannya tidak terpilih bermain di Piala Dunia 1994. Ramai merasa skeptik sama ada Maradona mampu berbuat demikian atau tidak tetapi beliau berjaya melakukannya dan sempat bermain dua perlawanan sebelum disingkirkan daripada kejohanan kerana ujian da-dahnya positif.

Dengan pengesahan ujian tersebut, ia juga menandakan pengakhiran kariernya di peringkat antarabangsa. Selepas Napoli, Maradona sempat beraksi bersama Sevilla, Newell’s Old Boys dan Boca sebelum bersara secara rasmi pada tahun 1997. Sebelum karier pengurusan solonya, Maradona sebenarnya sudah mula aktif sebagai pengurus bersama rakan lamanya Carlos Fren di Textil Mandiyu (1994) dan Racing Club (1995) tetapi tidak berjaya.

Begitupun, itu langsung sama sekali tidak menghilangkan kecintaannya terhadap bola sepak. Pada 2005, Boca merekrutnya sebagai pengarah bola sepak mereka menerusi gelaran naib presiden sukan. Maradona bertanggungjawab memulihkan kembali pasukan termasuk melobi Alfio Basile sebagai pengurus dan mempunyai hubungan baik dengan para pemain.

Ini membawa kepada pencapaian cemerlang kelab pada musim tersebut termasuk menjulang Copa Sudamericana pada tahun 2005. Bagaimanapun, Maradona memilih meninggalkan La Bombonera pada 2006 selepas bertelagah dengan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) kerana memilih Basile sebagai jurulatih baru pasukan.

Pada tahun 2008, beliau dipilih sebagai jurulatih pasukan kebangsaan dan seperti karier permainannya, tak sah tanpa kelibat kontroversi. Pada satu ketika, Albiceleste dilihat tidak berpeluang layak ke Piala Dunia 2010 kerana ketika itu menduduki tempat kelima pusingan kelayakan Piala Dunia untuk Amerika Selatan. Tetapi entah bagaimana, Argentina berjaya memenangi baki dua perlawanan dan berjaya layak secara merit.

Rajah 4: Maradona semasa bergelar jurulatih Argentina pada tahun 2009.

Selepas perlawanan, Maradona menggunakan ‘bahasa berwarna’ kepada pihak media kerana memperlekeh keupayaan pasukan untuk layak ke Piala Dunia. Akibatnya, beliau dikenakan penggantungan selama dua bulan oleh FIFA dan denda 25,000 franc (RM112,692).

Semasa Piala Dunia 2010, Maradona berjaya membantu pasukan layak ke peringkat suku akhir sebelum tumbang di tangan Jerman yang dibimbing Joachim Low dengan keputusan 4-0. Pada awalnya, AFA bersetuju menyambung kontraknya bagi membolehkan beliau terus membimbing Argentina untuk edisi Piala Dunia 2014 di Brazil.

Tetapi entah di mana silapnya, wujud pertelagahan besar antara Maradona dengan pasukan pengurusan AFA yang menyaksikan beliau dipecat pada Julai 2010. Sejak itu, Maradona mencuba nasib sebagai pengurus di Al-Wasl (Emiriah Arab Bersatu (UAE)), Deportivo Riestra (Argentina/sebagai penolong pengurus), Fujairah (UAE), Dorados (Mexico) dan Gimnasia de La Plata (Argentina).

Beliau juga dikenali kerana mempunyai pandangan berhaluan kiri dan tidak segan silu menyatakan sokongan kepada figura seperti Hugo Chavez dan Nicolas Maduro (Venezuela) dan Fidel Castro (Cuba). Disebabkan perkara ini juga, ia mengakibatkan Maradona didenda oleh Persatuan Bola Sepak Mexico pada tahun 2019 kerana mendedikasikan kemenangan Dorados kepada Maduro.

Selain anak lelakinya Diego Sinagra (anak hasil hubungan sulitnya semasa di Itali), beliau turut dikurniakan dua anak perempuan hasil perkahwinannya dengan Claudia Villafane iaitu Dalma Nerea dan Giannina Dinorah. Giannina pernah berkahwin dengan peny3r4ng Manchester City, Sergio Aguero dan dikurniakan seorang anak bernama Benjamin sekaligus menjadikannya cucu Maradona. Sementara cicit saudaranya Hernan Lopez beraksi bersama River Plate.

Tidak ramai tahu tidak lama dahulu, sekumpulan peminat yang menggilainya menubuhkan sebuah organisasi keagamaan yang dipanggil sebagai Gereja Maradona. Semasa ditemubual akhbar The Guardian pada tahun 2008, ahli gereja Alejandro Veron berkata, “Agama kami ialah bola sepak dan seperti mana-mana agama lain, ia mesti mempunyai Tuhan.

“Kami tidak pernah melupakan keajaiban yang ditonjolkannya di atas padang dan semangat yang dibangkitkan dalam diri kami, kumpulan fanatik,” ujarnya. Sementara Hernan Amez pula menambah dalam temubual bersama ESPN, “Realitinya, gereja ini bukan sebuah bangunan seperti disangka orang ramai, gerejanya ialah peminat, orang yang setia terhadap Maradona.

“Bila kita bercakap tentang perkara yang unik dan luar biasa dalam bola sepak, nama Maradona yang menjadi sebutan.” Ketika ini, Gereja Maradona mempunyai hampir 200,000 orang ahli gereja dari 130 buah negara.

Maradona kembali ke negeri cacing pada usia 60 tahun selepas mengalami sakit jantung di kediamannya di Tigre, Buenos Aires. Pemergiannya ditangisi ramai pihak dengan Presiden Argentina, Alberto Fernandez mengisytiharkan tiga hari sebagai tempoh berkabung di seluruh negara.

Mungkin bagi bukan peminat bola sepak, ramai tertanya-tanya mengapa lelaki pendek ini menjadi kegilaan ramai. Kata-kata akhbar The Houston Chronicle ini sangat sesuai untuk menjelaskan perihal Maradona:

“Bagi memahami bayangan besar Maradona ke atas tanah airnya yang gilakan bola sepak, seseorang itu harus membawa kekuatan Michael Jordan, kuasa Babe Ruth dan kelemahan yang dihadapi Mike Tyson. Kumpulkan ini dalam seorang lelaki pendek berambut hitam kerinting dan anda mempunyai El Diego, idola kepada jutaan yang memanggilnya D10S, gabungan nombor jersinya dan perkataan Tuhan dalam Bahasa Sepanyol.”

Orang menggilai Maradona bukan saja kerana bakatnya. Tetapi kerana keupayaannya untuk bangkit semula daripada sesebuah krisis sama ada kesihatan, sukan atau peribadi, satu perkara yang memperlihatkannya sebagai manusia biasa. Malah, ia mengharumkan lagi namanya sebagai legenda bola sepak.

RUJUKAN:

BBC. (2020). Diego Maradona: Obituary – Argentina’s flawed football icon. https://www.bbc.com/sport/football/44627510


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.