Pernah dengar lagu “Tanya Sama Itu HudHud”? Susah nak jumpa orang yang tak pernah dengar lagu ini. Walau tak tahu judul lagu sekali pun, iramanya pasti serasi di telinga kita. Lagu ciptaan M.Nasir ini bukan saja mengandung irama yang unik, malah liriknya juga menimbulkan teka-teki kepada pendengar.

Tahukah anda bahawa sebenarnya lirik lagu lagenda tersebut merupakan inspirasi daripada sebuah karya agung, iaitu Mantiq al-Thoyr (منطق الطير)  yang membawa maksud Persidangan/Pertururan Unggas, atau Musyawarah Burung.

Pengarang Karya Agung

Mantiq al-Thayr merupakan gugusan puisi yang dikarang oleh seorang penyair muslim yang masyhur pada kurun pertengahan, iaitu Farīduddīn Muhammad ibn Ibrahīm atau dikenali sebagai Fariduddin al-Attar. Dunia Barat lebih mengenali beliau sebagai Attār of Nishapūr kerana beliau berasal dari Naisabur, sebuah kota di Khurasan, Parsi.

Dikatakan lahir sekitar tahun 1140-1160 semasa era Kesultanan Seljuk dan meninggal dunia sekitar 1220-an ketika penj4r4h4n Monggol keatas Khurasan yang dipimpin Genghis Khan. Dan dikatakan beliau men1ngg4l dunia setelah menjadi m4ngs4 penj4rah4n tersebut.

Tentang aqidah beliau, sepertinya jelas bahawa beliau seorang sunni, dan sama sekali bukan seorang syiah kerana di dalam Mantiq al-Thoyr sendiri pun beliau memuatkan puji-pujian terhadap Khalifah yang Empat. Dan karya-karyanya yang banyak terinspirasi daripada Imam Ghazali menambah lagi keyakinan perkara tersebut.

Perkataan Attar yang menjadi nama pena beliau boleh diterjemah sebagai penjual minyak wangi atau ahli farmasi, ahli herba atau mungkin juga doktor.

Attar masyhur dengan karya-karyanya yang berunsur sufism. Mantiq al-Thayr ini adalah antara yang paling masyhur, menjadi gambaran puncak kegemilangan sastera Parsi kurun pertengahan. Sehingga ke hari ini pun karya-karyanya masih menjadi perbahasan.

Pengenalan Mantiq-Al-Thayr (Persidangan Unggas)

Karya agung Mantiq al-Thayr ini sebenarnya diilhamkan daripada sepotong ayat di dalam al-Quran:

(وَوَرِثَ سُلَیۡمَـٰنُ ۖ وَقَالَ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ عُلِّمۡنَا مَنطِقَ ٱلطَّیۡرِ وَأُوتِینَا مِن كُلِّ شَیۡءٍۖ إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡمُبِینُ)

Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: “Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata”. [Surah An-Naml 16]

Ketika menelusuri kisahnya, kita akan dihanyutkan ke dalam suatu pengembaraan panjang di mana sekawan burung dan unggas yang banyak bilangannya berkumpul untuk mencari siapakah sebenarnya raja mereka.

Dalam perkumpulan itu, muncul Hudhud dengan dakwaan bahawa raja burung yang dicari-cari mereka adalah Raja Simurgh yang berada di puncak Gunung Kaf. (mitologi Yunani Kuno lebih sinonim dengan Phoenix).

Hudhud diangkat sebagai “ketua rombongan” kerana dia dilihat lebih arif dan mampu membimbing unggas yang lain persis seorang “guru murshid” yang membimbing sālikīn (orang-orang yang menempuh jalan menuju tuhan berpaksikan syariat yang benar). Keakrabannya dengan Nabi Sulaiman A.S pula menambah integriti burung tersebut.

Sebelum pencarian dimulakan, Hudhud menyatakan kesukaran yang bakal mereka tempuh sepanjang pengembaraan tersebut, iaitu 7 lembah yang berbeza-beza cabarannya.

  1. Lembah Pencarian

Di lembah ini, mereka diminta agar membuang segala kerakusan kuasa dan rasa kebergantungan dengannya. Mengikis sifat-sifat mazmūmah (keji dan tercela) yang selama ini menjadi kotoran penutup hati. Hanya setelah semua itu selesai, mereka mampu dengan jelasnya melihat tuhan.

  1. Lembah Kecintaan

Lembah di mana cinta perlu ditanam dalam hati. Cinta yang ampuh yang mampu menjadikan sang pencinta buta untuk memandang selain yang dicinta, memekakkan telinga daripada mendengar keburukan yang dicinta. Cinta yang tidak perlu kepada sebab.

Cinta yang seperti itu akan mendorong pencinta menyerahkan segala yang dimilikinya, berterusan melakukan apa sahaja usaha demi mengecap nikmat meraih cinta daripada yang dicintainya.

Selama mana belum meraihnya, dia digambarkan seperti ikan yang kehausan air di lautan, namun menggelupur di daratan.

  1. Lembah Kesedaran

Lembah di mana mereka celik terhadap ruang rahsia yang menyimpan pancaran cahaya kebenaran. Di sini, ilmu duniawi tidak lagi berharga kerana ia tak lagi mampu menjustifikasikan apa-apa pun yang dirasa dan dilihat mata.

Setiap orang akan melihat kebenaran dari pandangan masing-masing melalui jalan masing-masing, sesuai seterang mana pancaran itu menyinari tubuh mereka.

Ada yang menemukannya di masjid, ada pula yang di hadapan berhala. Seperti rangkap yang dipetik “Jalan yang menjadi laluan gajah tak sesuai digunakan semut”.

  1. Lembah Kebebasan

Di sini, segala tuntutan nafsu dan keinginan untuk tahu tidak lagi ada. Begitu juga segala yang disebut sebagai realiti, semuanya lebur di dalam keterasingan.

  1. Lembah Perpaduan

Di sini, segalanya dilihat sebagai tunggal. Segalanya adalah suatu paduan kerana angka, nombor dan bilangan tidak lagi wujud.

  1. Lembah Kebingungan

Di sini mereka kebingungan. Semuanya adalah ketidakpastian. Tidak ada apa-apa yang difahami hatta perasaan sendiri. Berasa kagum tapi tak tahu terhadap siapa. Rasa kosong tapi hati penuh dengan cinta. Seperti petikan rangkap “dalam ais rasa panas, dalam api jadi beku”.

  1. Lembah Kemiskinan

Lembah yang melebur diri. Fana dalam ketiadaan. Tidak merasakan kewujudan masa lalu dan masa hadapan.

Ratusan ribu unggas yang ikut serta, dan hanya 30 ekor yang berjaya melepasi kesemua lembah. Setelah penuh carikan luka dan hati yang tak lagi berharap.

Akhirnya mereka tiba di balairung yang dituju, disambut oleh bentara raja. Mereka tidak dihadapkan ke raja, tetapi ternyata cermin yang dilihat. Memantulkan wajah mereka sendiri.

Ketika itulah mereka tahu, bahawa Sang Simurgh yang digembar-gemburkan selama ini adalah diri mereka sendiri. Andai 40 ekor yang melihat, maka 40 Simurgh yang ada. Andai 50 maka 50. Kerana keagungan yang tercinta itu seperti pancaran mentari yang boleh dilihat di pantulan cermin.

Mereka meleburkan kewujudan diri dalam Simurgh, seperti bayang-bayang yang lebur dipancaran cahaya. Andai muncul cahaya, hilanglah bayang.

Perkataan Simurgh itu sendiri membawa maksud 30 ekor burung dalam Bahasa Parsi, “سي” (Si) bermaksud 30, dan “مرغ” (Murgh) bermaksud burung.

Itulah sedikit sebanyak penceritaan yang menghiasi karya ini. Fariduddīn Attār merupakan salah seorang inspirasi utama kepada Jalaluddin Rumi, figura yang tak perlu diperkenalkan lagi. Maka tak hairanlah karya yang sehebat Mantiq-Thoyr ini mampu dihasilkan.

RUJUKAN:

  1. Bhutia, T.K. (2018, Jan) Farid Addīn Attār: Additional Information. Retrieved from https://www.britannica.com/biography/Farid-al-Din-Attar
  2. Harvard University, (June, 2020) Farid Ud-Din Attar: “The Conference of The Birds”. Retrieved from https://projects.iq.harvard.edu/80books/blog/june-30-farid-ud-din-attar-conference-birds
  3. Lisa Khalili (2017) Sidang Unggas. Institut Terjemahan & Buku Malaysia

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Muhammad Fateh bin Abdul Shukor. Pelajar Usuluddin di Universiti Al-Azhar. Mempercayai ilmu sebagai teras tamadun, bahasa dan penulisan sebagai penghubung.

Comments are closed.