Sesiapa yang menonton Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 yang dianjurkan di Pyeongchang, Korea Selatan pasti akan terkejut melihat Korea Selatan dan jirannya, Korea Utara berarak di bawah satu panji semasa upacara perasmian. Dan sempena temasya ini juga, kedua-dua negara bersetuju bertanding dalam sukan hoki ais dalam satu pasukan sama atas nama keamanan. Namun hakikatnya, kedua-dua negara ini sudah terbahagi sejak 70 tahun lepas gara-gara dua pelaku Perang Dingin: Amerika Syarikat dan Rusia.

Sejak berabad lamanya, Semenanjung Korea bersatu dan diperintah oleh kerajaan-kerajaan dinasti melangkaui generasi. Namun semua itu berubah apabila Jepun menjajah semenanjung tersebut selepas berjaya menang dalam Perang Rusia-Jepun pada tahun 1905 dan secara rasmi diilhak sebagai sebahagian daripada jajahan baru Jepun pada tahun 1910. Penjajahan Jepun ini berterusan sehinggalah berakhirnya Perang Dunia Kedua (WWII). Dan menurut Profesor Emeritus Michael Robinson dari Bahagian Kajian dan Sejarah Asia Timur, Universiti Indiana, tempoh ini yang menjadi benih permulaan kepada pemisahan dua negara.

Pada Ogos 1945, dua negara sekutu WWII iaitu Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet membahagikan kawalan ke atas Semenanjung Korea. Untuk tiga tahun berikutnya (1945-1948), kedua-dua negara meletakkan kerajaan masing-masing mengikut kehendak mereka. Di sebelah utara, Soviet dan proksi-proksinya mewujudkan rejim komunis sementara di sebelah selatan, sebuah kerajaan tentera yang disokong Amerika dibentuk. Reaksi pada kedua-duanya berbeza-beza. Rejim komunis di sebelah utara mendapat sokongan golongan pekerja dan petani. Di sebelah selatan pula, golongan kelas pertengahan yang menolak rejim komunis berhijrah ke selatan mempunyai pendirian anti-komunis dan berhaluan kanan menurut Robinson.

Objektif awal pembahagian tersebut ialah selepas membantu kedua-dua negara membentuk kerajaan sendiri, Amerika Syarikat dan Rusia seharusnya meninggalkan Semenanjung Korea dan membiarkan rakyat di semenanjung tersebut menentukan masa hadapan mereka. Menurut Robinson, itu tidak berlaku kerana pada ketika itu, Perang Dingin sudah bermula dan sebarang cubaan untuk mencari jalan tengah untuk menyatukan kedua-dua negara juga gagal menncapai kesepakatan berikutan campur tangan Kremlin dan Uncle Sam. Ini berlaku kerana kedua-duanya mempunyai kepentingan berbeza berkenaan Semenanjung Korea.

Pada tahun 1948, Amerika mahu satu referendum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan di Semenanjung Korea bagi memberi peluang rakyat di situ menentukan masa hadapan semenanjung tersebut. Selepas Pyongyang enggan mengambil bahagian, Seoul membentuk kerajaannya sendiri diketuai seorang pemimpin anti-komunis bernama Syngman Rhee. Pyongyang bertindak balas dengan membentuk Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) dan melantik Kim Il-Sung sebagai presiden pertama mereka. Perang Korea (1950-1953) juga gagal memecah kebuntuan siapa sebenarnya yang berhak mewakili semenanjung tersebut. Namun satu perkara pasti bagi Korea Utara, konflik yang mengorbankan 2.5 juta orang ini menyaksikan Amerika Syarikat dianggap sebagai musuh bagi negara tersebut. Ini berikutan tindakan kuasa besar tersebut kampung-kampung dan bandar-bandar di bahagian utara semenanjung itu.

Tindakan Amerika mengebom bandar-bandar dan kampung-kampung di Korea Utara semasa Perang Korea menyebabkan mereka menjadi musuh ketat negara tersebut.

Konflik yang berakhir dengan gencatan senjata 1953 ini menyaksikan kedua-dua negara semakin terbahagi dengan satu zon bebas tentera sepanjang Garisan 38. Tidak seperti apa yang berlaku di Jerman, di semenanjung tersebut, pergerakan antara kedua-dua negara amat sedikit sejak tahun 1953 dan dianggap tertutup menurut Robinson. Maka atas sebab itu, kedua-dua negara memilih haluan berbeza dan menambah lagi jurang perbezaan antara mereka. Hasil hubungan kuat dengan negara-negara Barat terutama Amerika Syarikat, Korea Selatan muncul sebagai antara negara maju di rantau Asia Timur dan memberi pengaruh kuat di seluruh dunia terutama dari segi hiburan.

Tetapi bagi Korea Utara pula, mereka masih mengamalkan dasar pemencilan di mana ekonominya masih tidak membangun lebih-lebih lagi selepas kejatuhan Tirai Besi pada tahun 1990-an. Selain itu,  negara tersebut dianggap negara polis di mana ia dikawal oleh keluarga Kim selepas tiga generasi dengan tampuk pemerintahan kini dipegang oleh Kim Jong-un. Bagi menambah pening kepala Korea Selatan dan sekutunya, Jong-un turut meneruskan program nuklear walaupun dibantah ramai pihak.

Tindakan beliau mencetuskan ketegangan di Semenanjung Korea dan keresahan di sebelah Amerika, lebih-lebih lagi selepas tampuk pemerintahan diambil alih oleh Donald Trump. Dan Trump tidak segan-silu melancarkan perang mulut dengan rakan sejawatnya dari sebelah utara itu berkenaan siapa yang mempunyai butang nuklear yang lebih besar. Peristiwa ini pernah dianalisis oleh salah seorang rakan penulis The Patriots, Ayman Rashdan Wong tak lama dahulu.

Tindakan presiden Korea Utara, Kim Jong-un meneruskan program nuklear mencetuskan ketegangan di Semenanjung Korea dan keresahan pada Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Isu penyatuan dua Korea ini ada graf naik dan turunnya. Bagi sesetengah pemimpin seperti Kim Dae-jung dan presiden sekarang, Moon Jae-in, mereka cuba mengamalkan dasar berbaik-baik dengan harapan ia membuka ruang kepada penyatuan dua negara. Namun perbezaan kedua-dua negara terus menjadi jurang kepada penyatuan. Tatkala Korea Selatan sibuk menyambut kehadiran atlet-atlet dari pelbagai negara sempena Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018, Pyongyang pula sibuk menganjurkan perarakan tentera di Dataran Kim Il-sung dengan empat peluru berpandu baru Korea Utara, Hwasong-15 dibawa terbang melintasi perarakan tersebut.

Dalam perarakan yang sama, Jong-un berucap kepada warga Korea Utara berkenaan imperialisasi dan mengapa ia menjadi ancaman kepada mereka. Perarakan diadakan sempena memperingati peristiwa Il-sung menubuhkan Tentera Rakyat Korea (KPA) pada tahun 1948. Ironinya, itulah juga tahun di mana kedua-dua negara itu terpisah dan ia masih berlaku sehingga ke hari ini.

SUMBER

 

Pruitt, Sarah. (2018). History.com. Why Are North and South Korea Divided? http://www.history.com/news/north-south-korea-divided-reasons-facts

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.