Peminat manga Naruto mesti sudah biasa melihat ukiran batu para Hokage yang pernah mentadbir Konoha sama ada dalam manga atau adaptasi anime televisyen. Bagi penduduk Konoha, ukiran-ukiran ini seolah menunjukkan walaupun mereka sudah tiada, para Hokage ini akan terus memantau kampung.

Monumen ini dikatakan diinspirasikan daripada Mount Rushmore di South Dakota. Tetapi tidak ramai tahu, terdapat sejarah hitam di sebalik monumen yang menempatkan empat wajah Presiden Amerika Syarikat iaitu George Washington, Abraham Lincoln, Theodore Roosevelt dan Thomas Jefferson itu.

Sebelum ia dikenali dengan nama modennya hari ini, puak orang asli Lakota memanggil satu kawasan pergunungan di Black Hills itu dengan nama Tunkasila Sakpe Paha (Enam Datuk). Menurut ketua jabatan sejarah Kolej Sheridan di Wyoming, Donovin Sprague, di sinilah tempat di mana orang-orang asli dari pelbagai puak di Great Plains datang dan mengadakan upacara keagamaan di situ.

Sprague yang juga seorang ahli puak orang asli Sioux Sungai Cheyenne berkata kawasan ini menjadi tumpuan bukan saja puak Lakota tetapi juga komuniti Cheyenne dan Arapaho. Kawasan ini bukan saja penting dari segi spiritual tetapi ia juga digunakan untuk mengumpul makanan dan tumbuhan yang boleh digunakan sebagai ubat-ubatan dan bahan binaan petempatan mereka.

Pada akhir abad ke-19, peneroka-peneroka Eropah-Amerika mula masuk ke kawasan Black Hills sekaligus mencetuskan konflik dengan puak orang asli. Untuk mengelak konflik tersebut timbul, kerajaan persekutuan dan puak Lakota bersetuju memeterai Perjanjian Fort Laramie pada tahun 1868. Menerusi perjanjian ini, puak Lakota diberi hak eksklusif untuk kawasan Black Hills.

Tetapi selepas seorang pelombong menjumpai emas di kawasan itu 10 tahun kemudian, kerajaan AS mengambil keputusan melanggar perjanjian itu dan mengambil alih tanah tersebut. Menurut Profesor Christine Gish Hill dari Universiti Negeri Iowa, apa yang dilakukan Washington pada ketika itu dianggap satu jenayah kecurian mengikut lunas undang-undang AS sendiri.

Sejak itu, peneroka dan pelombong berpusu-pusu ke Black Hills dengan harapan membina kehidupan baru seterusnya bergelar orang kaya baru. Pada tahun 1884, seorang peguam dari New York, Charles Rushmore datang ke situ untuk merundingkan perjanjian melombong bijih timah. Dalam masa singkat, namanya diambil dan dijadikan nama baru Tunkasila Sakpe Paha iaitu Mount Rushmore.

Begitupun, isu kecurian tanah Black Hills masih belum diselesaikan. Puak Lakota yang masih marah dengan perilaku Washington menyaman mereka di mahkamah pada tahun 1920-an kerana mencuri Black Hills. Pertikaian tentang status Black Hills terus berlarutan sehingga hari ini.

Dekad 20-an turut menyaksikan South Dakota yang kini bergelar negeri AS memerlukan kawasan tarikan pelancong yang baru. Ini dinyatakan oleh Doane Robinson dari Persatuan Sejarah Negeri South Dakota. Selepas mendapat tahu cubaan mengukir pemimpin Negeri-Negeri Konfederasi pada sisi Stone Mountain, Georgia pada tahun 1924, beliau tahu negeri tersebut memerlukan ukiran sama yang unik.

Sebagai penghormatan kepada perbatasan Barat AS, Robinson merancang mahu mengukir wajah individu-individu yang memberi impak kepada perbatasan tersebut seperti Lewis dan Clark serta pemimpin puak Lakota, Red Cloud. Justeru, dia mahu mengupah individu sama yang cuba mengukir ukiran wajah di Stone Mountain: Gutzon Borglum.

Rajah 1: Gutzon Borglum

Tidak ramai tahu organisasi yang membiayai usaha Borglum di Stone Mountain ialah Ku Klux Klan, sebuah pertubuhan perkauman kulit putih. Tetapi tidak lama selepas terlibat dengan projek Stone Mountain, dia dipecat atas alasan menyeleweng dana organisasi dan terlalu ego. Sebagai tindak balas, Borglum kemudiannya memusnahkan model ukiran Stone Mountain dan melarikan diri dari Georgia.

Pada Ogos 1925, dia bersetuju untuk mengukir wajah-wajah pada Mount Rushmore. Tetapi Borglum memilih mengukir empat wajah presiden atas sebab yang berbeza. Washington dipilih kerana membantu memerdekakan AS daripada Britain, Jefferson bertanggungjawab memperluaskan negara itu, Roosevelt pula bertanggungjawab membina Terusan Panama sekaligus simbol pertumbuhan ekonomi dan Lincoln kerana menyatukan negara dan menamatkan P3rang Saudara.

Begitupun, dalam tempoh 16 tahun Borglum bekerja di Mount Rushmore, ada saja hal yang mencetuskan pertelagahan dengan kerajaan persekutuan. Mengikut rancangan asal, dia mahu mengukir empat presiden itu hingga ke paras pinggang dan penerangan memorial di sebelah mereka. Tetapi mendapati tiada ruang untuk berbuat demikian, Borglum mahu membina sebuah bilik di belakang empat wajah presiden itu untuk menempatkan semua pameran sejarah AS.

Rancangan itu dilaksanakan pada tahun 1938 bagi membolehkan Hall of Records dibina. Tetapi tidak mahu berdepan risiko kekurangan wang berikutan prospek p3r4ng di Eropah, kerajaan mengarahkan Borglum menyiapkan empat wajah presiden tersebut sebelum pembinaan bilik tersebut diteruskan. Apabila Borglum meninggal dunia pada 6 Mac 1941, kerja ukiran diteruskan oleh anaknya Lincoln.

Rajah 2: Hall of Records

Dengan dana projek sudah habis, kerajaan mengisytiharkan projek Borglum siap pada 31 Oktober 1941. Hall of Records yang dicadangkannya terbiar kosong selama beberapa dekad sebelum ia diisi dengan peti titanium mengandungi maklumat tentang Mount Rushmore, empat presiden dan sejarah AS sendiri. Ruang sebegini mencetuskan idea teori konspirasi selama bertahun-tahun dan ada disebut dalam filem National Treasure: Book of Secrets pada 2007.

Mount Rushmore juga menjadi saksi pertelagahan pengarah filem terkenal Sir Alfred Hitchcock dengan Perkhidmatan Taman Negara AS. Semasa sibuk membikin filem North by Northwest pada tahun 1958, beliau berjaya mendapatkan kebenaran daripada pihak taman negara untuk menggunakan kawasan tersebut sebagai kawasan penggambaran.

Bagaimanapun, perkhidmatan taman memberitahu memorial tidak boleh digunakan sebagai latar tempat untuk sebarang adegan aksi mendebarkan. Untuk rekod, Hitchcock memenuhi janjinya dengan pihak taman dengan membuat penggambaran di lot tempat meletak kereta dan kafeteria. Tetapi untuk adegan aksi pula, beliau meminta produksi menghasilkan replika berskala Mount Rushmore untuk dijadikan sebagai babak akhir filem yang ditayangkan pada 1959.

Rajah 3: Babak aksi filem North by Northwest yang dibuat pada replika Mount Rushmore amat realistik sehingga penonton menyangka ia difilemkan di Mount Rushmore sebenar.

Babak yang dirakam sangat realistik sehinggakan ramai menyangka adegan tersebut dibuat di Mount Rushmore sebenar. Berang dengan apa yang dilihat sebagai melanggar perjanjian, perkhidmatan taman kemudiannya meminta Metro-Goldwyn-Mayer membuang senarai kredit yang menyenaraikan nama mereka.

Dari segi perundangan, pertikaian tentang status Black Hills sebenarnya sudah diputuskan oleh Mahkamah Agung AS pada tahun 1980. Dalam penghakiman mereka, pihak mahkamah mendapati pihak AS telah melakukan kesalahan mencuri Black Hills dari puak Lakota dan memutuskan puak itu diberi pampasan sebanyak AS$106 juta (RM437 juta). Bagaimanapun, puak Lakota mahukan Black Hills dipulangkan kembali kepada mereka dan isu ini berterusan sehingga hari ini.

Tatkala puak Lakota berusaha mendapatkan kembali tanah mereka, ada pula yang mencadangkan agar satu lagi wajah diukir pada Mount Rushmore. Antara nama yang dicadangkan ialah John F. Kennedy, Ronald Reagan, Franklin Roosevelt dan Susan B. Anthony. Dan ada juga yang mencadangkan agar semua ukiran ini diruntuhkan.

Bagi Sprague, beliau melihat ini sebagai peluang untuk mendidik para pelancong tentang sejarah di sebalik monumen tersebut. Beliau berkata, “Ramai melawat monumen ini setiap tahun tetapi mereka pulang tanpa sedikit pun pengetahuan tentang hal ini.”

RUJUKAN:

McKeever, Amy. (2020). The heartbreaking, controversial history of Mount Rushmore. https://www.nationalgeographic.com/travel/destinations/north-america/united-states/south-dakota/the-strange-and-controversial-history-of-mount-rushmore/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.