`The Queen’s Gambit adalah salah satu karya baru dari Netflix. Aku tahu mengenai Queen’s Gambit sebelum Netflix buat tahi dengan Cuties dan permainan eksploitasi kanak-kanak mereka, jadi aku tetap menonton Queen’s Gambit sebagaimana pelan asal aku dengan meminjam akaun orang lain.
Sejujurnya, The Queen’s Gambit adalah setara dengan filem catur yang lain seperti Searching For Bobby Fischer dan Pawn Sacrifice. Maka disini aku akan tulis beberapa perkara menarik mengenai The Queen’s Gambit, menurut pandangan aku.
- Queen’s Gambit Opening
Queen’s Gambit merupakan satu bentuk opening (permulaan pergerakan) yang wujud dalam dunia sebenar. Queen’s Gambit bermula dengan gerakan 1. d4 d5 2. c4… di mana putih memberikan bidak c-nya untuk ditangkap oleh hitam, dengan harapan mendapat ruang tengah dari papan catur. Queen’s Gambit adalah antara bentuk ‘Umpanan’ atau pengorbanan bidak yang popular dalam catur, selain umpan lain seperti King’s Gambit atau Evan’s Gambit. [1]
Dalam drama TQG, sewaktu Beth belajar bermain catur dengan Encik Shaibel di bilik bawah tanah, salah satu adegan menunjukkan bahawa Beth membuka dengan 1. d4, dan Encik Shaibel membalas dengan “Queen’s Gambit”. Itu sebenarnya adalah terma yang salah, kerana tiada “Gambit” yang sedang dimainkan (itu sekadar Queen’s Pawn opening biasa).
Selain itu, significant nama Queen’s Gambit ini kelihatan pada babak perlawanan akhir Beth melawan Borgov, sang juara. Beth yang lebih dikenali sebagai pemain King’s Pawn opening telahpun menggunakan Queen’s Gambit sebagai satu “surprise opening”, hampir sama situasinya dengan keadaan sebenar sewaktu Bobby Fischer melawan Boris Spassky, di mana Fischer menggunakan line 1.c4 (transpose Queen’s Gambit Decline) yang merupakan opening yang dia jarang guna (Fischer – Spassky World Championship Match (1972)). [2]
- Seorang wanita sebagai Juara Dunia
Dalam drama TQG, Beth merupakan seorang role model dan dilihat sebagai idola, kerana dia berjaya menempatkan dirinya sebagai seorang wanita dalam sukan yang didominasi lelaki. Tahukah anda, bahawa sehingga ke hari ini, dunia masih lagi belum memiliki seorang wanita sebagai Juara Dunia?
Jangan salah faham. Ini bukan satu kenyataan yang ingin merendahkan wanita, cuma terdapat perbezaan yang amat ketara antara rating pemain catur lelaki dan pemain catur wanita, sehinggakan kita terpaksa membuka dua kategori berbeza (satu kategori terbuka, dan satu kategori wanita), dan kini, kita ada dua orang juara, iaitu Magnus Carlsen (Juara Dunia) dan Ju Wenjun (Juara Dunia kategori Wanita).
Berbalik kepada TQG, melihat Beth bermain dalam kejohanan di Russia mengingatkan kita kepada Judit Polgar, salah seorang pemain wanita terkuat yang pernah wujud dalam sejarah catur. Judit pernah layak untuk menyertai kejohanan World Championship pada tahun 2005, namun dia mendapat tempat terakhir (kelapan dari lapan peserta).
Mungkin dunia masih lagi memerlukan masa untuk membentuk seorang wanita sebagai Juara Dunia. [3]
- Russia dan sejarah catur.
Drama TQG bermain dengan masa sewaktu p3rang dingin sedang berlangsung. Pada ketika itu, Russia, atau USSR, sedang mendominasi sukan catur, kerana seperti yang dinyatakan dalam drama TQG, pemain catur dari Russia memang dibayar untuk bermain catur.
It is a part of their life, and their culture.
Hal ini adalah apa yang menyebabkan mereka menjadi juara dunia sedari tahun 1948 (Mikhail Botvinnik) sehinggalah Bobby Fischer (USA) mengalahkan Boris Spassky pada tahun 1972. Hampir 25 tahun Russia memegang takhta sebagai sang raja, dan pemain catur mereka sendiri amat digeruni oleh pemain dari negara lain. [4]
- Menjana pendapatan dan populariti dari catur
Salah satu elemen yang menyeronokkan dalam TQG adalah apabila melihat Beth dan ibunya mengembara ke sana sini, menyertai pertandingan catur dan membuat duit daripada wang kemenangan mereka. Beth sendiri sering ponteng sekolah kerana menyertai kejohanan.
Dalam kes ini, Beth seperti membawa watak Bobby Fischer yang berhenti sekolah pada usia 16 tahun (waktu dibenarkan untuk berbuat demikian) kerana mengejar kerjaya dalam catur.
Membina kerjaya dalam apa-apa bidang sukan adalah sesuatu yang amat berisiko, kerana pada zaman tersebut, jumlah tajaan adalah amat terhad, dan hal ini dapat dilihat sewaktu Beth terpaksa mencari dana untuk kejuaraannya di Russia. Dalam kes Bobby Fischer pula, dia bernasib baik kerana kerajaan US membiaya beliau kerana dia dilihat sebagai wakil USA sewaktu perang dingin – (USA vs USSR).
Selain mendapat wang, Beth juga menjadi model muka hadapan beberapa majalah seperti Times, hal yang sama seperti Fischer yang menjadi muka depan majalah Time pada edisi November 1971, beberapa bulan sebelum pertarungan Fischer menentang Spassky. Fischer pada waktu itu adalah seorang selebriti nasional, mendapat jemputan ke program television, sebagai seorang “artis catur”.
- Kenapa tengok siling?
Satu tabiat Beth sedari kecil adalah dia suka melihat ke atas siling dan membayangkan buah caturnya bergerak. Hal ini bermula sedari rumah anak yatim, dan berterusan sehingga ke perlawanan terakhir Beth dalam series The Queen’s Gambit.
Tabiat Beth ini adalah satu perkara yang menarik, kerana pengiraan pergerakan catur di atas papan sebenarnya adalah kurang berkesan, dan hal ini pernah diulas oleh Nikolai Krogius, seorang Grandmaster dalam bukunya, Psychology in Chess.
Nikolai menulis berkenaan dengan residual image, satu bentuk gambaran yang kekal apabila kita cuba membayangkan masa lampau, masa sekarang dan masa akan datang dalam detik waktu yang sama. Hal ini akan menjadikan pengiraan pemain catur sedikit kabur, dan melihat ke siling adalah antara langkah yang sering dipraktikkan.
Antara mereka yang sering merenung ke siling dalam perlawanan catur sebenar adalah Vassily Ivanchuk dan Hikaru Nakamura, seorang Grandmaster dari US.
- Mendapat bantuan professional.
Krew produksi The Queen’s Gambit perlu diberi pujian kerana mereka sebenarnya mendapatkan bantuan professional dalam proses teknikal drama ini. Dalam pergerakan buah Beth (sewaktu Beth sedang melihat siling) atau segala pergerakan buah catur dalam kejuaraan yang disertai oleh Beth, kedudukan kesemua buah adalah betul (bukan sekadar main-main) kerana krew produksi TQG telah mendapatkan bantuan nasihat dari jurulatih dan pemain catur professional, Bruce Pandolfini dan bekas juara dunia, Garry Kasparov. [7]
Sedikit trivia menarik, channel youtube Agadmator ada membuat analisa perlawanan catur terakhir Elizabeth Harmon menentang Vasily Borgov, yang diambil dari pertarungan sebenar oleh Vassily Ivanchuk vs Patrick Wolff dalam kejohanan Biel Interzonal di Russia pada tahun 1993. Dalam perlawanan itu, mereka seri, namun watak fiksiyen Beth kita telah berjaya memberi sedikit kelainan dan menang menentang Borgov. [8] [9]
Banyak perincian lain yang menarik dalam perlawanan akhir, sebagai contoh sewaktu Borgov kalah dan dia berdiri memberi tepukan kepada lawannya yang sama dengan situasi sewaktu Boris Spassky kalah menentang Bobby Fischer pada perlawanan ke-6 World Chess Championship 1972 (Bila Juara Dunia Chess Bertepuk Tangan Atas Kekalahannya) dan pengorbanan ratu yang pastinya merupakan semangat yang diambil dari perlawanan ternama yang lain. [10]
Rumusan
Sekiranya kau sedang mencari satu drama untuk dilayan, The Queen’s Gambit adalah drama yang baik untuk ditonton. Ia membawa kau ke satu dunia yang menarik, memberikan kau sedikit sebanyak insight kepada apa sebenarnya kehidupan sebagai pemain catur pada era Perang Dingin, sambal memerhatikan jatuh bangun seorang wanita dalam melawan stigma masyarakat dan membina hidupnya seorang diri.
Untuk season kedua, aku agak Beth akan mula berlatih untuk mendapatkan gelaran Juara Dunia, kerana kemenangan dia menentang Borgov hanyalah kemenangan dalam kejohanan, dan Beth maasih lagi belum menjadi sang juara. [11]
RUJUKAN:
[1] Queen Gambit Opening – https://www.thechesswebsite.com/queens-gambit/
[2] “The Applause” | Fischer vs Spassky | (1972) | Game 6 – Agadmator https://www.youtube.com/watch?v=dv52uwNfFZg
[3] Why there’s a separate World Chess Championship for women – The Conversation https://theconversation.com/why-theres-a-separate-world-chess-championship-for-women-129293
[4] Valedictorians of the Soviet School: Professionalization and the Impact of War in Soviet Chess https://muse.jhu.edu/article/476302
[5] Life Magazine https://oldlifemagazine.com/november-12-1971-life-magazine.html
[6] Fischer Interview https://www.youtube.com/watch?v=MPlXC3M8hbg
[7] Why The Queen’s Gambit Is the No. 1 Netflix Show Right Now – wired https://www.wired.com/story/the-queens-gambit-netflix-chess-addiction/
[8] Vassily Ivanchuk vs Patrick Wolff|Biel Interzonal (1993) https://www.chessgames.com/perl/chessgame?gid=1060353
[9] Bether Than The Original || Harmon vs Borgov – Final Game || Netflix’s Queen’s Gambit – Agadmator https://www.youtube.com/watch?v=oIMaTKOZG-8
[10] Bila Juara Dunia Chess Bertepuk Tangan Atas Kekalahannya – The Patriots https://thepatriots.asia/bila-juara-dunia-chess-bertepuk-tangan-atas-kekalahannya/?fbclid=IwAR0NtE8arPX7UzO7Yitv_kPKBod2hG9O16jgai5I7qIflDd6AhI7K0P8pWY
[11] Will There Be a ‘Queen’s Gambit’ Season 2 on Netflix? What We Know So Far – Decider https://decider.com/2020/10/28/the-queens-gambit-season-2/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih