Dunia lebih suka bercakap mengenai ahli falsafah dari dunia Barat seperti dari Yunani atau ketika zaman Rennaisance atau ahli falsafah dari dunia Islam ketika zaman keemasan Islam di Abbasiyah, namun ahli falsafah dari Timur seperti dilupakan. Salah seorang daripadanya ialah Confucius, di mana falsafahnya menjadi tiang peradaban dinasti teragung China iaitu Dinasti Han selain beberapa buah dinasti terkenal yang lainnya dalam sejarah China seperti Dinasti Tang dan juga Dinasti Song.

Perkenalkan kepada Confucius atau juga dikenali sebagai Kongzi, seorang ahli falsafah yang hidup ketika abad ke-6 sebelum Masihi, dipercayai hidup ketika 551 sehingga 479 SM, sezaman dengan era peradaban Melayu Sungai Batu di Kedah. Kisah Confucius dibelenggu dengan mitos, legenda dan fakta. Lagipun rekod terawal mengenai kisah hidupnya pun ditulis kira-kira 100 tahun selepas pemergiannya oleh Sima Qian.

Confucius dipercayai merupakan anak luar nikah kepada ayahnya dan seorang gadis berusia 15 tahun. Confucius merupakan seorang yang berketurunan dari kasta bangsawan, kemungkinan kelas Shih. Ketika itu, kebanyakan mereka dari kelas Shih merupakan pegawal kerajaan, cendekiawan dan juga guru.

Dipercayai bahawa dalam darahnya mengalir darah keluarga dinasti yang memerintah China ketika zaman Dinasti Shang, dinasti yang memerintah China sebelum zaman dinasti Confucius lahir iaitu Dinasti Zhou. Dikatakan kononnya ketika kelahiran Confucius, terdapat seekor unicorn bertemu dengan ibunya dan mengatakan bahawa Confucius akan menjadi raja, namun tidak memakai sebarang mahkota.

Walaupun dari keturunan bangsawan, kehidupan awal Confucius adalah susah. Dia dibesarkan dalam keluarga yang miskin dan dipaksa untuk mempelajari pelbagai kemahiran untuk kekal hidup ketika zaman feudal China. Namun, berkat daripada pertolongan sahabatnya, kehidupan yang miskin tidak menghalang Confucius daripada mendapatkan akses ke buku-buku yang wujud pada zaman itu pada usia mudanya, sekaligus membentuk pandangan awalnya terhadap dunia.

Kehidupan awal Confucius ialah bekerja untuk kerajaan dan menjawat pelbagai jawatan kerajaan sebelum menjadi penasihat kepada pemerintah Lu (negeri tempat Confucius lahir). Namun, hadiah berupa seperti gadis-gadis cantic dan harta yang melimpah ruah kepada pemerintah Lu sehingga pemerintah Lu ini mengabaikan setiap tanggungjawab sebagai pemimpin membuatkan Confucius menjadi jijik lalu meletakkan jawatannya. Ternyata, zaman Feudal China bukanlah sesuatu yang kena dengan jiwa Confucius.

Selepas itu, ia memaksa Confucius meletakkan jawatannya dan mengembara ke serata China bersama beberapa orang pengikutnya, ke negeri-negeri di dalam China ketika itu yang sudi mendengar setiap ajarannya dan mana-mana pemerintah yang sudi untuk memeluk idealogi baru yang disebarkan yang ternyata ketika itu, sungguh berbeza dengan situasi zaman feudal China. Selepas mengembara dan mendapati bahawa tidak ada pemerintah negeri-negeri China menerima idealoginya, Confucius kembali semula ke negeri Lu lalu membuka sekolah dan mengabadikan hidupnya menjadi guru menyebarkan ajaran falsafahnya.

Meskipun ketika hidupnya, Confucius banyak menulis, sebagai contoh seperti Book Of Odes yang mengandungi koleksi puisi yang ditulis oleh Confucius dan juga buku sejarah yang mengandungi sejarah negeri Lu sendiri dalam bukunya seperti The Spiring Of and Autmn Annals, namun malangnya setiap falsafahnya tidak pernah dicatatkan dalam sebarang tulisannya. Kita hanya mengetahui, memahami dan mempelajari salsafah Confucius melalui buku yang ditulis oleh catatan kedua seperti Lun Yu atau dikenali sebagai The Analects Of Confucius. Selain itu, sumber utama Confucius diketahui melalui anak muridnya iaitu Mencius melalui buku Great Learning dan Mean.

Artikel ini mungkin tidak cukup untuk membahaskan tentang segala idealogi yang dibahaskan oleh Confucius sepanjang hidupnya. Namun, yang paling berkesan dalam diri saya ialah bagaimana saranan Confucius kepada para pemerintah China ketika itu yang menyuruh para pemerintah China supaya melihat kepada waktu silam, terutama ketika era pemerintahan Maharaja-Maharaja Bertaraf Pendeta (Sage) yang di mana ketika itu,  pemerintahan maharaja yang mementingkan rakyat dan sangat baik sehingga dicadangkan oleh Confucius supaya perlu dicontohi.

Prinsip ini tidak banyak beza dengan apa yang saya percaya pada bangsa Melayu. percaya bahawa bangsa Melayu mampu bangkit kalau mereka melihat kepada waktu silam, menekuni tokoh-tokoh Melayu hebat yang wujud dalam sejarah. Cuma bezanya, saranan Confucius agar ketokohan silam dicontohi untuk menepati salah satu prinsip dalam falsafah Confucius manakala saranan saya pula berbaur kepada nasionalism dan jati diri dalam bangsa Melayu.

Adapun Confucius mengatakan bahawa setiap “pemerintah” harus menunjukkan contoh yang baik agar nanti diikuti oleh orang laiunnya. Prinsip ini dikenali sebagai Te dalam falsafah konfucius, di mana pemimpin mengetuai dengan memberikan contoh pada perlakuan mereka sendiri.

Selain itu, antara prinsip lain dalam ajaran Confucius adalah seperti berikut:

  1. Jen (Kebaikan, Kebajikan – benevolence)
  2. Li (ritual,” “proper conduct,” atau “propriety) [Saya merasakan bahawa terjemahan saya masih belum cukup kuat dalam Bahasa Melayu kerana konsep ini agak abstrak dan perlu dibahas lebih mendalam.]
  3. Yi (Kebenaran – righteousness)
  4. Hsiao (hubungan filial antara ayah dan anak – filial piety)
  5. Chih (Hikmah – moral wisdom)

Namun, untuk saya mengulas setiap prinsip memerlukan artikel lain yang fokusnya adalah pada setiap perbahasan dalam falsafah Confucius yang masih dibahaskan sehingga hari ini setiap maknawi yang cuba disampaikan oleh tokoh agung dari China. Untuk dalam artikel ini, saya suka untuk menyentuh mengenai “Hsiao” yang sangat menarik perhatian saya.

Hsiao menuntut penghormatan dalam sebuah keluarga terutama antara anak dan ayah. Kalau si ayah tugasnya untuk mendidik si anak, maka si anak pula tugasnya untuk menjaga si ayah. Bahkan betapa pentingnya institusi kekeluargaan dalam falsafah Confucius itu sehingga dalam bacaan saya mengatakan bahawa Confucius mengangkat institusi kekeluargaan mengatasi negara. Bahkan, Confucius menekankan bahawa selagi si ayah dalam sebuah keluarga masih hidup, maka si anak itu dilarang untuk mengembara jauh dari mereka dan lebih baik menyumbang bakti selagi ayah masih hidup.

Saya percaya kerana setiap manusia, mereka mula dibentuk dari rumah. Apabila sebuah institusi kekeluargaan itu kukuh, maka anak yang lahir daripadanya juga merupakan anak yang hebat, sekaligus akan menyumbang kepada pembentukan masyarakat dan negara yang lebih baik. Hubungan filial ini juga boleh dipandang pada peranan seorang Maharaja yang boleh juga dianggap sebagai figura seorang ayah kepada rakyatnya. Maharaja akan berterusan memberikan contoh yang baik, yang diambil daripada figura silam dan prinsip yang lain dalam ajaran Confucius, dan rakyat akan berterusan menjaga Maharaja sambil belajar dari contoh yang diketengahkan dalam mengetuai negara.

Dalam bidang Pendidikan, Confucius percaya bahawa rakyat harus didik melalui enam cabang ini. 1. Memanah 2. Kaligrafi 3. Menunggang kereta kuda (chariot) 4. Muzik 5. Pengiraan dan 6. Ritual. Fokus utama seorang pendidik adalah melahirkan manusia yang berintergriti yang dapat dicapai melalui prinsip kesopanan, kebajikan dan juga “ritual” yang wujud dalam tradisi masyarakat tradisional Cina itu sendiri.

Saya suka untuk memandang ritual sebahagian alat pendidikan kerana pada upacara dan ritual-ritual dan amalan yang berkait rapat dengan masyarakat cina itu atas nama jati diri. Saya juga percaya, pada ritual, amalan dan upacara yang wujud dalam kebudayaan masyarakat Cina, ada falsafah dan akar bangsa mereka seperti mana yang wujud pada amalan dan kebudayaan masyarakat Melayu.

Adapun, ketika ditanyakan kepada Confucius apa yang mampu merumuskan segala ajarannya, maka kata Confucius:

“Janganlah kau melakukan sesuatu yang kau tidak senangi ke atas dirimu pada orang lain.”

Tokoh hebat yang idealoginya masih dibahaskan selepas 2000 tahun masa berlalu ini menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 479 SM. Idealogi yang cuba disebarkan oleh Confucius kemudian menjadi tiang peradaban untuk dinasti-dinasti yang berdiri dalam negara China seperti Han dan Tang.

Kejatuhan Dinasti Qin yang berasaskan idelaogi Legalism yang lebih mengutamakan hukuman yang berat untuk mendidik rakyat berbanding dengan falsafah Confucius yang berasaskan pendidikan harus datang daripada dengan contoh moral yang terbaik menyebabkan pengadaptasikan falsafah Confucius dalam Dinasti Han.

Rujukan:

Reid, T. R. (1999) Confucius Lives Next Door. New York: Random House.

Johnson, Spencer. (1979) The Value of Honesty: The Story of Confucius. La Jolla, CA: Value Communications

Cartwright, M. (2012). Confucius. Ancient History Encyclopedia.

Biography.com (2018) Confucius Biography. A&E Television Networks

CrashCourse (2012) 2,000 Years of Chinese History! The Mandate of Heaven and Confucius: World History #7. Youtube. https://www.youtube.com/channel/UCX6b17PVsYBQ0ip5gyeme-Q

Philosophy.lander.edu. Philosophy 312: Oriental Philosophy Main Concepts of Confucianism


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.