Nasionalisme adalah sebuah falsafah politik atau sosial di mana kesejahteraan dan kebajikan sebuah negara-bangsa sebagai satu entiti adalah dianggap penting. Nasionalisme pada dasarnya adalah satu keadaan bentuk pemikiran atau kesedaran secara kolektif di mana seseorang percaya bahawa tanggungjawab paling utama dan kesetiaan mereka hanyalah kepada negara-bangsa.

Selalunya nasionalisme membawa maksud ketuanan bangsa dan mengagungkan pelbagai kesejahteraan nasional. Oleh itu, cinta terhadap negara mungkin boleh terlalu ditekankan sebagai keprihatinan terhadap kepentingan peribadi nasional sehingga mengecualikan hak-hak bangsa lain boleh menyebabkan konfl*k antarabangsa.

Nasionalisme adalah fenomena yang secara perbandingannya relatif dan masih baru, berkemungkinan lahir dari Revol*si Perancis, tetapi walaupun sejarahnya pendek, ia sangat penting dalam membentuk ikatan yang menyatukan negara-negara moden.

Hari ini ia beroperasi di samping struktur undang-undang yang sah dan melengkapi institusi formal masyarakat dalam menyediakan banyak perpaduan dan undang-undang yang diperlukan untuk kewujudan negara-bangsa moden.

Jika dalam konteks gerakan atau parti-parti politik, terdapat banyak gerakan di seluruh dunia yang menjadi pelopor kepada pembentukan sebuah negara bangsa, antaranya ialah Kuomintang (Parti Nasionalis China) yang pernah menubuhkan Republik China, Nacionalista Party (Parti Nasionalis) yang memperjuangkan kemerdekaan Filipina, Türk Ulusal Hareketi (Gerakan Kemerdekaan Turki) yang menghalau pendudukan barat, atau UMNO yang menjadikan agenda utamanya didalam perlembagaan parti adalah memerdekakan negara Malaya (Malaysia).

SEJARAH

Walaupun idea nasionalisme ini lebih diketahui sebagai sinonim dan unik untuk dunia zaman moden, namun beberapa elemennya masih boleh ditelusuri sepanjang sejarah. Sejarawan percaya bahawa akar kepada fahaman nasionalisme yang terawal mungkin boleh dijejak seawal hingga ke zaman masyarakat berbahasa Ibrani kuno, iaitu Bani Israil yang menganggap diri mereka sebagai ‘bangsa yang terpilih’.

Ketika itu Bani Israil amat percaya bahawa kedudukan serta darjat mereka selaku bangsa Yahudi secara keseluruhannya lebih tinggi (ketuanan bangsa, superioriti) daripada semua bangsa lain dan sesiapa sahaja dengan garis masa sejarah budaya yang sama.

Bangsa Yunani kuno juga pernah memiliki kecenderungan untuk merasakan diri mereka lebih unggul berbanding semua bangsa yang lain dan lebih-lebih lagi apabila mereka merasakan mereka mencipta tahap kesetiaan yang paling besar kepada masyarakat politik.

Fenomena perasaan ketinggian superioriti budaya (etnosentrisme) ini, yang amat menyamai konsep nasionalisme, telah membuka jalan kepada pengiktirafan yang lebih jauh pada tahap antarabangsa ketika kebanyakan kerajaan-kerajaan di sekitar Eropah, Afrika, dan Asia Barat berada di bawah pengaruh kekuasaan Empayar Rom dengan Gereja Kristian melalui ajarannya tentang kesatuan manusiawi.

Sebagai sebuah kerajaan monarki berpusat yang kuat, dibina dari negara-negara feudal yang kecil, ketika bahasa wilayah dan corak seni wilayah berkembang, dan ketika ekonomi tempatan semakin berkembang dengan luas, pengiktirafan yang popular melalui proses perkembangan ini menjadikan mereka semakin kuat.

Di kawasan seperti di Itali, ketika belum lagi menjadi sebuah negara bangsa tunggal, pencerobohan secara berulang menyebabkan pemikir seperti Niccolò Machiavelli menganjurkan persekutuan politik nasional. Pep*rangan keagamaan dan reformasi menyebabkan satu bangsa akan melawan bangsa yang lain, walaupun kesetiaan yang teguh terus konsisten berpegang terhadap kuasa yang paling berdaulat.

Pada abad ke-16 dan ke-17. Muncul sebuah doktrin ekonomi nasionalisme mengenai mercantilisme, sebuah sistem ekonomi negara-negara perdagangan utama pada abad ke-16, ke-17, dan ke-18, berdasarkan premis bahawa kekayaan dan kuasa negara akan berkembang lebih baik dengan meningkatkan aktiviti eksport dan mengumpul sumber logam berharga sebagai balasannya.

Perkembangan pesat golongan kelas pertengahan, keinginan mereka untuk menguasai politik, dan perkembangan teori politik demokratik amat berkait rapat dengan kemunculan ideologi nasionalisme moden. Pakar teori Revol*si Perancis berpendapat bahawa rakyat harus menubuhkan sebuah pemerintahan yang setara dan bebas untuk semua orang.

Bagi mereka, sebuah negara itu tidak dapat dipisahkan dari rakyat, dan untuk pertama kalinya dalam sejarah seseorang dapat mewujudkan pemerintahan sesuai dengan kehendak bangsa secara umum. Walaupun tujuan mereka bersifat universal, mereka memuliakan negara atau bangsa yang akan menetapkan matlamat mereka, disinilah nasionalisme menemui pandangan politiknya yang pertama.

NEGARA-BANGSA

Negara-bangsa adalah sebuah negara di mana majoriti besar rakyat dan pemerintahnya mempunyai sejarah budaya yang sama dan menyedari akan hal itu. Negara bangsa adalah ideal di mana batas budayanya adalah sesuai dengan batas politik.

Menurut satu definisi, “negara bangsa adalah negara berdaulat di mana kebanyakan rakyatnya disatukan juga oleh faktor-faktor yang menentukan negara seperti bahasa atau keturunan bersama.”  Ini adalah konsep yang lebih tepat daripada konsep “negara”,  kerana sesebuah negara tidak perlu mempunyai kepentingan satu kumpulan etnik yang dominan. Malaysia boleh dianggap sebagai sebuah negara-bangsa yang harmoni.

Suatu bangsa, dalam erti etnik yang sama, mungkin melibatkan diaspora atau pelarian yang tinggal di luar negara bangsa; sebilangan bangsa dari sudut ini tidak memiliki keadaan di mana etnik itu mendominasi. Dalam pengertian yang lebih umum, sebuah negara-bangsa hanyalah sebuah negara atau wilayah pentadbiran yang berdaulat secara politik. Adakalanya negara-bangsa mungkin berbeza dengan:

  • Negara Multinasional di mana tidak ada satu pun kumpulan etnik yang mendominasi. Negara seperti itu juga boleh dianggap sebagai negara multi-budaya bergantung kepada tahap asimilasi budaya dari pelbagai kumpulan.
  • Negara Kota iaitu negara yang lebih kecil daripada “bangsa” atau “negara besar berdaulat” dan mungkin akan atau mungkin tidak dikuasai oleh semua atau sebahagian dari satu “bangsa” tunggal yang bermaksud etnik yang sama.
  • Empayar atau pemerintahan yang terdiri daripada banyak negara (mungkin negara-negara yang tidak berdaulat) dan negara-negara di bawah satu kerajaan monarki tunggal (pemerintahnya biasa dirujuk sebagai maharaja) atau apa saja jenis pemerintahan.
  • Konfederasi ialah gabungan negara berdaulat, yang mungkin atau tidak termasuk dalam sebuah gabungan negara-bangsa.
  • Negara Persekutuan merupakan sebuah negara yang mungkin atau bukan sebuah negara-bangsa, dan sebahagian atau semua negeri-negerinya akan memerintah dan memiliki pemerintah mereka sendiri didalam sebuah kerajaan persekutuan yang lebih besar. Misalnya, sempadan negara Bosnia dan Herzegovina dibuat berdasarkan garis etnik, tetapi negara-negara Amerika Syarikat tidak begitu. Malaysia adalah sebuah negara-bangsa yang mengamalkan konsep persekutuan.

Hubungan antara bangsa atau etnik dengan sebuah negara boleh menjadi kompleks. Kewujudan sebuah negara boleh mendorong kepada etnogenesis, iaitu permulaan atau pembentukan sebuah etnik dan bangsa yang baru, dengan kumpulan yang memiliki identiti jatidiri etnik sedia ada mampu mempengaruhi pemisahan sempadan wilayah atau memperjuangkan keabsahan pengaruh politik melalui perjuangan nasionalisme.

Seorang saintis politik yang pakar dalam kajian mengenai ideologi nasionalisme, Walker Connor membincangkan kesan yang terdapat pada ciri-ciri bangsa, negara (yang berdaulat), negara-bangsa dan nasionalisme. Connor, yang juga mencipta istilah “etnonasionalisme” yang luas, juga membincangkan kecenderungan untuk mengelirukan bangsa dan negara dan bentuk setiap negara yang seolah-olah bercirikan konsep negara-bangsa.

KRITERIA PENTING UNTUK MENJADI NASIONALIS

Bagi seseorang yang mahu mengekspresikan sisi nasionalisme mereka, pertama sekali adalah amat perlu bagi mereka untuk mengakui diri mereka sebagai hakmilik sebuah negara atau hakmilik sekelompok besar golongan yang mempunyai persamaan, iaitu sebuah bangsa.

Kebangkitan kerajaan monarki berpusat, yang menempatkan rakyat di bawah satu undang-undang dan mengh*puskan konsep feudalisme, menjadikan ia satu perkara yang tidak mustahil. Kesedaran yang tinggi bahawa mereka mungkin memiliki sejarah, agama, bahasa, budaya atau bangsa yang sama juga menyumbang kepada pembentukan identiti nasional. Apabila kedua-dua identiti yang ada persamaan dan struktur kewibawaan formal di wilayah yang luas (iaitu negara) wujud, maka sebuah entiti nasionalisme sudah wujud.

Dalam manifestasi pertama yang sangat berkuasa dalam Revol*si Perancis, nasionalisme membawa konsep kedaulatan rakyat, di mana beberapa pihak menyimpulkan bahawa nasionalisme hanya dapat direalisasikan di negara-negara demokratik. Walau bagaimanapun, tesis ini dinafikan oleh nasionalisme ekstrim yang membina karakter Empayar Jerman dan kemudian N*zi Jerman.

Di mana jua ideologi nasionalisme itu muncul, ciri-ciri khasnya adalah hasil dari sejarah setiap bangsa tertentu, ia sama seperti komunisme, walaupun asasnya sama, ideanya tidak semestinya kekal konsisten kepada fahaman lama. Inilah yang melahirkan sub-ideologi baharu seperti Stalinisme atau Maoisme.

ABAD KE-SEMBILAN BELAS

Pada abad ke-19 idea nasionalisme menjadi satu fahaman yang diterima secara meluas dan sangat berkuasa. Selama ini nasionalisme dizahirkan dalam pelbagai bidang dan tempat sebagai pemacu kepada semangat penyatuan atau kemerdekaan kebangsaan.

Semangat nasionalisme bercambah dan semakin kuat di Jerman, di mana pemikir seperti Johann Gottfried von Herder dan Johann Gottlieb Fichte telah mengembangkan idea Volk. (völkisch, istilah Jerman yang bermaksud negara atau kebangsaan). Namun, elemen nasionalisme yang memberi ilham kepada rakyat Jerman untuk menentang empayar pemerintahan Napoleon I adalah lebih konservatif, agak terikat dengan tradisi, dan agak lapuk berbanding liberal, progresif, dan universal.

Dan ketika Jerman yang berpecah belah akhirnya disatukan sebagai Empayar Jerman pada tahun 1871, ia adalah sebuah negara yang sangat autoritarian dengan pemerintahan ketent*raan.

Setelah bertahun-tahun bertemp*r, Itali juga mula mencapai penyatuan nasional dan merdeka dari penguasaan asing, tetapi wilayah-wilayah tertentu yang dihuni oleh orang Itali (Trieste misalnya) tidak termasuk sempadan wilayah negara baru, dan ini menimbulkan masalah irredentisme, yang asalnya adalah sebuah gerakan nasionalis Itali untuk menuntut wilayah-wilayah Italia irredenta (Itali yang tidak dituntut), ia dihuni oleh majoriti orang Itali tetapi dikekalkan oleh Austria selepas tahun 1866.

Di Amerika Syarikat pula, di mana idea nasionalisme telah muncul dalam doktrin politik yang dikenali sebagai Manifest Destiny, penyatuan secara nasional telah dipertahankan tetapi mereka terpaksa membayar harga korb*n yang tinggi P*rang Saudara Amerika.

Pada separuh akhir abad ke-19, terdapat gerakan nasionalis yang kuat di antara rakyat-rakyat yang merupakan subjek kepada Empayar Austria dan Empayar Uthmaniyyah yang supranasional atau mempunyai kuasa dan pengaruh yang melampaui sempadan negara pemerintahannya, seperti yang pernah berlaku terhadap Ireland di bawah pemerintahan British, dan Poland di bawah pemerintahan Rusia.

Namun, pada waktu yang sama, dengan munculnya negara-negara bangsa yang kuat dan bersepadu di Eropah, nasionalisme semakin menjadi sentimen konservatif. Ia bertukar menjadi idea yang menentang gerakan antarabangsa seperti sosialisme, dan ia menemui jalan keluar dalam mengejar kegemilangan dan imperialisme. Konfl*k nasionalis banyak terlibat dalam mencetuskan P*rang Dunia Pertama.

ABAD KE-DUA PULUH

Pada awal abad ke-20, dengan perpecahan Empayar Austria-Hungary dan Empayar Uthmaniyyah telah menyaksikan penubuhan banyak negara yang mengisytiharkan kemerdekaan, terutamanya setelah memeterai perjanjian damai yang mengakhiri P*rang Dunia Pertama.

Persidangan Keamanan Paris menetapkan prinsip sebuah negara yang menentukan nasib mereka sendiri, disokong oleh Liga Bangsa-bangsa dan kemudian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Walaupun penentuan nasib sendiri adalah prinsip nasionalis, ia juga mengiktiraf persamaan asas semua bangsa, besar atau kecil, sekaligus menolak fahaman nasionalisme yang menuntut hak superioriti atau ketuanan bangsa untuk kepentingan bangsanya sendiri.

Mungkin inilah salah satu konsep nasionalisme ketuanan bangsa yang terakhir, ia bangkit dan muncul di N*zi Jerman, yang menyebarkan dakyah tentang ketinggian status dan superioriti bangsa Aryan dan perlunya mengh*puskan orang Yahudi dan memperh*mbakan orang-orang Slavik di “tempat tinggal” mereka melalui ideologi Nasionalis Sosialisme.

Fasis Itali turut mempraktikkan kaedah yang seakan sama berdasarkan sentimen nasionalis yang ekstrim. Pada masa yang sama, wilayah kolonial Asia dan Afrika, yang berusaha melepaskan diri daripada diikat oleh kuasa imperialis, turut menubuhkan gerakan nasionalis. Manakala mungkin yang paling terkenal adalah Kongres Nasional India, yang memperjuangkan kemerdekaan India selama lebih dari 60 tahun.

Selepas P*rang Dunia Kedua, ideologi nasionalisme di Asia dan Afrika tersebar dengan begitu pantas sehingga berpuluh-puluh negara yang baru tertubuh setelah merdeka sebagai bekas wilayah penjaj*han.

Walaupun saling bergantung dan komunikasi global saling menghubungkan semua negara pada tahun 1990-an, nasionalisme nampaknya telah berkembang lebih ekstrim dengan perpecahan kerajaan Kesatuan Soviet, pertumbuhan pesat fundamentalisme Muslim, kejatuhan Yugoslavia, gerakan Xenofobik, dan perjuangan gerakan pemisah tidak semestinya terhad kepada negara-negara yang baru merdeka; mereka kerap muncul di kebanyakan negara Eropah dan Kanada, serta India, Iran, Iraq, Turki, Lubnan, Indonesia, Sri Lanka, Thailand, dan banyak lagi.

Organisasi antarabangsa, seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Negara-negara Amerika, dan Pertubuhan untuk Penyatuan Afrika, mewakili usaha antarabangsa bagi mengekang fahaman nasionalisme ekstrem, yang menekankan kepentingan hubungan dan kerjasama antara negara-negara.

RUJUKAN:

  • L. Snyder, The Meaning of Nationalism (1954, repr. 1968).
  • A. Tiryakian and R. Rogowski, ed., New Nationalisms of the Developed West (1985).
  • Kohn, The Idea of Nationalism (1944, repr. 1967) and Nationalism: Its Meaning and History (rev. ed. 1965)
  • Wikipedia: Nation-state

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.