“Kami maju lebih kurang 30 kilometer lagi, sebelum aku sampai ke kawasan tanggungjawabku. Kompeni A dan B berada di sisi kiriku dan Kompeni D di sebelah kananku. Setiap kompeni rifel disertai dua atau tiga anggota Polis Sempadan Thai (BPP) – satu kehendak pihak Thai bila kita beroperasi di kawasan mereka. Bersama-sama ku adalah tiga anggota BPP. Berkomunikasi dengan mereka merupakan satu cabaran, kerana mereka tidak tahu berbahasa Melayu atau Inggeris. Mereka mendapati ianya susah untuk mengikut corak operasi kami di dalam hutan. 

Permukaannya sungguh mencabar. Lantai hutan lembab dan berpaya. Pokok-pokok tumbang yang besar menghalang laluan kami. Dengan beban berat di belakang kami, melepasinya bukan perkara yang mudah. Pada hari pertama, kawasan sukar sebegitu memang memperlahankan kami.

Aku sentiasa dalam pergerakan – mencari tanda-tanda yang ditinggalkan PGK yang mungkin memberikan aku petanda untuk diikuti. Tidak ada satu kesan pun. Kami melepasi hutan primer dan sekunder, melintasi bukit dan paya penuh dengan jerangkap samar, estet getah dan kampung. Masih tidak ada tanda-tanda dan pertembungan dengan PGK. Aku semakin yakin yang kami berada di tempat yang salah. Perancang-perancang operasi itu juga mungkin menyedari perkara tersebut. Selepas dua minggu, kami telah diarahkan untuk berkumpul semula di Markas Taktikal Batalion di sebuah kampung bernama Ban Tao.

Satu strategi baru telah dirancang. Operasi itu akan disambung pada skala lebih kecil. Beberapa unit, termasuk senjata bantuan akan ditarik balik ke belakang sempadan Malaysia. Hanya 3 Renjer akan kekal meneruskan operasi itu.

Setiap daripada empat kompeni rifel telah ditugaskan semula ke sektor baru. Berdasarkan maklumat risik musuh yang telah diberikan kepada kami, kali ini, aku tidak boleh memandang ringan kepada PGK itu. Menurut angka yang diberi, aku dinisbahkan 3:1 kepada musuh.  Aku masih mempunyai tiga anggota BPP yang disertakan bersamaku. Aku diberikan pula seorang Agen Khas Kerajaan (SGA) tambahan – seorang budak lelaki 15 tahun berketurunan Melayu Pattani. Dia telah bekerja dengan PGK di sebuah kebun sayur sejak setahun sebelumnya. Kerana kebun sayur itu dikatakan terletak di dalam kawasan tanggungjawabku, mencari lokasinya menjadi misi utamaku.

Didorong oleh kemiskinan, budak Pattani itu telah diumpan untuk bekerja di kebun sayur itu oleh PGK. Dia tidak dapat menunjukkan secara tepat lokasinya atau mengingati jalan menuju ke situ kerana dia dibawa ke sana dengan mata tertutup. Dia tahu kebun itu terletak di sebuah lembah. Dia dan hampir 30 orang PGK lain akan bekerja di kebun itu setiap hari dari jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang. Kebun itu boleh ditemui melalui satu laluan. Untuk dua hari seterusnya, aku cuba mencantumkan maklumat yang aku berjaya keluarkan daripada budak lelaki itu.

Aku menetapkan pengkalan, segera menggali dan memasang kedudukan menembak mortar 60mm. Aku tidak mahu dikejutkan oleh PGK yang mungkin mahu menguji kekuatanku. Ketika meronda sambil memeriksa anggota-anggotaku, aku terkejut bila menemui sebuah ladang marijuana berhampiran lokasi itu. Setelah membakar ladang itu, kami bergerak ke lokasi lain.

Pada hari ketiga, dengan lima anggotaku, aku memutuskan untuk membawa budak lelaki itu untuk rondaan tinjauan untuk mencari kedudukan kebun itu. Aku tidak membawa BPP Thai itu kerana aku rasa mereka hanya membebankan aku, dan mereka juga tidak meminta untuk ikut sama. Selepas sejam, kami sampai ke sebuah hutan sekunder. Terdapat tanda-tanda dan kesan-kesan lama. Buluh dan anak – anak pokok telah ditebang dan diheret pergi. Hanya tunggul dan ranting-ranting yang tidak diperlukan yang ditinggalkan. Kemunginan besar ia digunakan di kebun itu. Ketika itu, aku tahu. Kebun itu pasti berada berdekatan. Aku berhenti secara kerap untuk mengimbas lembah-lembah dan bukit-bukit di berhampiran menggunaan binokularku.

Kemudian pada lebih kurang pukul 11 pagi, ketika aku berjalan di sepanjang sebuah rabung, aku terperasan satu lembaga berpakaian hijau di bawah sebatang pokok betik, lebih kurang 600 meter ke bawah sebuah lembah. Dia membelakangiku. Dua lembaga membawa sebuah guni besar di atas belakang masing-masing sedang mendaki tebing sebuah rabung lain. Jantungku terhenti sebentar. Aku telah menemui kebun sayur itu!

Aku menganalisa situasi itu dan berkira-kira tentang tindakanku seterusnya. Aku hanya mempunyai empat anggota bersamaku dan kami hanya bersenjata ringan.

Menurut budak lelaki itu, biasanya terdapat tidak kurang 30 anggota PGK di kebun itu. Menyerang mereka dengan hanya empat anggota adalah risiko yang terlalu besar dan membunuh diri. Aku menghantar balik dua anggota kumpulan rondaku ke pengkalan tetap kompeni dan mengarahkan mereka kembali bersama-sama bantuan dan beberapa senjata sokongan kompeni – mesingan kegunaan am (GPMG) 7.62 mm, sebuah pelancar grenad dan mortar 60mm.

Menjelang ketibaan platun sokongan itu ke lokasiku, ianya sudah jam 3.00 petang. Sebelum melancarkan serangan itu, aku harus betul-betul pastikan yang sasaran sudah dilembutkan. Aku menghubungi Markas Batalionku melalui radio dan memberitahu mereka rancanganku dan meminta bantuan tembakan artileri. Walaubagaimanapun, Bateri Artileri telah ditarik balik melepasi sempadan Malaysia ke Kroh (sekarang Pengkalan Hulu). Untuk meletakkan mereka kembali ke kedudukan menembak di tanah Thai akan mengambil beberapa jam, kerana mereka perlu mendapatkan kebenaran yang diperlukan. Aku menunggu dan sementara itu, memberikan rancangan kepada anggota-anggotaku dan bersiap sedia untuk serangan itu.

Penantian yang panjang itu sungguh menyiksakan dan aku mula tertanya-tanya samada PGK itu akan masih terus berada di kebun sayur itu. Aku memegang kata-kata budak lelaki itu – yang mereka akan berada di situ dari pukul 6.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari – tapi itu adalah ketika keadaan normal. Sekarang mereka mengetahui yang terdapat operasi di kawasan itu. Adakah mereka akan kekal dan meneruskan waktu bekerja mereka seperti biasa? Pada lebih kurang jam 6.00 petang, unit Artileri telah menghubungiku. Mereka sudah berada dalam kedudukan.

Aku memberikan kedudukan di belakang kebun itu kepada mereka. Aku tidak dapat mendengar letupan dari tembakan pertama dan memberitahu mereka untuk menjatuhkan tembakan seterusnya 800 meter lebih dekat dengan kedudukanku. Aku masih juga tidak mendengar sebarang letupan.Kegelapan sedang menyerkup dengan pantas. Aku tidak ada banyak waktu siang yang tinggal.

Aku memutuskan untuk melupakan tembakan persediaan artileri itu dan menggunakan senjata bantuan kompeniku sendiri untuk melembutkan sasaran itu. Selepas lima minit tembakan berat ke dalam rumah yang kelihatan samar-samar dari kedudukanku menggunakan mortar 60mm, pelancar grenad dan GPMG 7.62mm, platun serangan, diketuai Lt. M. Othman Baki, di dalam cahaya yang semakin malap, menjalankan serangan ke atas kebun sayur itu.

Tidak ada bunyi pertempuran. Tidak ada satu tembakan pun dilepaskan. Ianya adalah kenyataan yang pahit dan sukar untuk ditelan – kebun itu telah kosong! PGK telah meninggalkan tempat itu lebih awal. Ketika aku ternampak mereka pada pukul 11.00 pagi itu, mereka sebenarnya dalam perjalanan keluar.

Pada subuh esok paginya, kami menghampiri kebun sayur itu untuk meninjau lebih dekat. Malang sekali, seorang anggota telah terpijak jerangkap samar dan terpaksa dipindahkan keluar dari kawasan operasi dengan sebuah helikopter ke hospital terdekat di Pulau Pinang.

Kebun sayur itu adalah sebuah kebun lama, yang telah diusahakan sejak beberapa tahun, melihat kepada beberapa denai yang biasa digunakan di dalam dan sekitar kebun itu. Sebuah pondok beratap zink menjadi tempat berehat. Sebuah motorsikal diletak di dalamnya – menunjukkan hubungan dengan dunia luar.

Penggeledahan di kawasan itu mendedahkan sebuah denai yang digunakan yang membawa ke sebuah rabung di mana aku terlihat dua PGK mendaki bukit sebelumnya. Kebun sayur itu berselerakan dengan kartrij lama yang kosong. Budak itu memberitahuku, PGK biasa menembak ke arah helikopter dan pesawat Malaysia yang terbang rendah. Aku mendapat tahu kemudiannya yang lokasi itu adalah bersebelahan saja dengan Gubir di Kedah.

Pasukan Pemusnah Jerangkap Samar dari Kor Jurutera Diraja telah dihantar untuk membantuku. Dengan bantuan mereka, aku mengikut denai terguna yang sudah berusia berdekad itu yang nampaknya menghala ke Gubir di Kedah. Dalam proses itu, kami telah menjumpai tidak kurang 10 jerangkap samar sepanjang perjalanan itu. Menjelang masa itu juga, kami sudah berada hampir dengan sempadan Malaysia, kemungkinan tidak jauh dari Gubir di Kedah. Entah bagaimana, atas sebab-sebab yang hanya diketahui para perancang, aku telah diarahkan untuk menghentikan penjejakan itu. Aku sangat yakin, denai itu aan membawaku kepada salah satu kem besar mereka. Ianya adalah peluang yang terbuang.

Malam sebelumnya, Kompeni D telah menjalankan serang hendap dan membunuh dua PGK. Dua hari selepas penemuanku di kebun sayur itu, operasi itu telah berakhir dan kami telah diundurkan ke Kroh dan akhirnya balik ke kem kami di Taiping, Perak. Budak lelaki itu telah mengikutku dan tinggal di kuartersku selama beberapa hari sebelum dia pulang ke kampungnya di selatan Thailand.” – Petikan daripada autobigrafi Lt. Kol. (B) Robert Rizal Abdullah ( PGB), My Adventures. Diterjemahkan kepada “Perjalananku”oleh Aenid Abdullah

Autobigrafi “My Adventure”oleh Lt. Kol. Robert Rizal Abdullah

Ketika itu, antara tahun 1977-1978,  Leftenan Jeneral(B) Datuk Abdullah bin Samsudin menyandang jawatan selaku Panglima 8 Bridgade di kelantan. Setelah sekian lama berhadapan dengan masalah dek komunis yang bermain pukul curi, buat pertama kali pada ketika itu, kerajaan Thailand telah memberikan kebenaran bagi pasukan Tentera Malaysia untuk menjalankan pemburuan melepasi sempadan, dengan had kawasan operasi ditetapkan di  wilayah Narathiwat,Thailand.

Operasi cahaya bena II telah berlangsung di antara 7 Julai 1977 sehingga 28 Julai 1977,  dan pasukan Tentera Malaysia diketuai Datuk Abdullah telah  dibenarkan untuk mendirikan Markas Taktikal di Rong Rian Nikhon Weng bersama Markas Tentera Thai. Objektif utama pihak 8 Briged ketka itu adalah untuk menghapuskan  Regimen ke-10, PKM tetapi pihak tentera Thai tidak bersetuju dengan alasan agama Buddha melarang penganutnya membunuh orang lain.

Tetapi, mereka tidak ada masalah untuk membenarkan pihak malaysia melembutkan sasaran dikenalpasti melalui kaedah tembakan mortar dan artileri melepasi sempadan. Antara hasil operasi tersebut adalah  kem Regimen ke-10 yang ditawan di kawasan Bukit Batu Batong. Datuk Abdullah ketika itu memasuki sendiri kem tersebut, kerana tidak mahu anggotanya terkena jerangkap samar yang berselerak di pasang di situ.

Leftenan Jeneral(B) Datuk Abdullah bin Samsudin

Meski selama ini masyarakat dipasakkan dengan kepercayaan bahawa Rejimen ke-10 itu patut disokong kerana ia terdiri daripada mereka yang beragama Islam dan berketurunan Melayu, realitinya ketika menggeledah kem itu, Datuk Abdullah tidak menjumpai tempat solat,Al-Quran atau apa-apa yang berkaitan dengan ajaran agama Islam. Yang ada hanyalah  risalah-risalah dalam tulisan jawi berkaitan ajaran komunis,  buku merah Mao Tze Tong dan buku nyanyian Komunis dalam bahasa Melayu.

Di manakah bukti bahawa mereka di dalam rejimen itu adalah manusia-manusia yang tegar memegang agama Islam, tidaklah diketahui. Selepas perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya bersetuju meletak senjata, ahli-ahlinya bukan tidak sedar akan  kesalahan mereka, tetapi malu untuk mengakui perbuatan mereka dan berusaha menaikkan semangat dan menulis memoir untuk mengagungkan dasar perjuangan mereka.

Malah, Op Cahaya Bena II juga turut menjadi salah satu elemen yang mereka perlekehkan, di mana dikatakan bahawa teknik peperangan mereka begitu efektif sehingga menyebabkan pasukan Tentera Malaysia terpaksa berundur dengan kegagalan. Sedikit tidak mereka ceritakan tentang bagaimana mereka memprovokasikan penduduk Thailand untuk sama-sama berpiket bagi mendesak kerajaan Thailand menghalau keluar pasukan kita, atau bagaimana mereka sendiri berkelakuan sebagai penakut apabila hanya sekadar berani memasang jerangkap samar atau menembak secara curi-curi, dan bukannya bertempur secara berhadapan dengan pasukan Malaysia.

Encik Hamidun B Samsudin atau dikenali sebagai Pak Lang, berada di sana ketika Operasi itu dijalankan. Beliau yang bernombor badan 933550 merupakan anggota batalion ke-3 Rejimen Renjer Diraja ( 3RRD) ketika itu, yang diletakkan di dalam pasukan Risek Gempur / Unit’s Combat Intelligence Squad ( UCIS) yang dipertanggungjawabkan bersama-sama Lt. Kol. Robert Rizal ketika itu. Penyertaan beliau semasa Op Cahaya Bena II mengumpulkan bagi beliau antara pengalaman paling berharga sepanjang kerjaya dan hidupnya. Antara yang paling mengesankan adalah jumpaan terowong komunis ketika terlibat di dalam operasi tersebut. Apa yang dikisahkan oleh Lt. Kol. Robert Rizal di dalam biografi beliau, turut dilalui oleh Pak Lang.

Encik Hamidun B Samsudin

Menurut Pak Lang, anak komunis yang ditumpangkan bersama-sama pasukannya itu bernama Ismail, dan beliau memang mengenali budak itu kerana unitnya yang ditugaskan menjaga budak tersebut. Bersama 5 lagi orang anggota termasukPak Lang dan Ismail, Lt. Kol. Robert telah ke lokasi tersebut. Setelah ditinjau kawasan kebun yang dimaksudkan, mereka ternampak 3 orang komunis sedang bekerja, dan jarak kebun tersebut daripada kedudukan asal pasukan adalah agak jauh.

Berdasarkan maklumat daripada Ismail, mereka merasakan sekadar senjata M16 yang mereka bawa itu tidak mencukupi kekuatannya jika mereka mahu berhadapan dengan pasukan musuh yang dikatakan berkekuatan agak besar, yang selalunya ada di situ. Maka, 2 orang anggota telah diarahkan untuk pulang ke kedudukan pasukan mereka dan kembali bersama-sama senjata bantuan lain iaitu mesingan kegunaan am (GPMG) 7.62 mm, sebuah pelancar grenad dan mortar 60mm. Bantuan tembakan yang diminta daripada pasukan yang diundurkan melepasi sempadan  tidak mengenai sasaran, dan disebabkan jarak yang agak jauh, pasukan yang tiba dengan senjata yang diminta juga sampai agak lambat.

Segalanya seakan serba tidak kena. Dengan menggunakan senjata apa yang ada, pasukan Lt. Kol. Robert bertindak menembak sendiri ke arah sasaran. Sayangnya, musuh sudah pun tidak kelihatan. Hendak dijadikan cerita pula, ketika membuat tinjauan selepas usaha melembutkan sasaran itu, seorang daripada anggota platun mereka terkena jerangkap samar, menyebabkan tumitnya putus. Pak Lang tidak ingat namanya dengan tepat. Yang diingatnya, anggota tersebut bernama Din.

Apa yang berlaku adalah, ketika turun untuk memeriksa kebun itu dengan lebih terperinci, 4 orang anggota itu telah berpecah, sedang anggota yang lain mengekalkan kedudukan mereka di bukit di atas kebun tersebut. Din secara bersendirian, kebetulannya telah menghampiri sebuah tokong yang terdapat di kebun itu. Tanpa diduga, satu letupan telah berlaku menyebabkan Din tercampak dan tumitnya putus. Din sendiri telah meminta agar tumitnya itu – kalau dijumpai, agar ditanam di situ saja. Itulah yang dilakukan oleh Pak Lang dan rakan-rakannya.

Kecewa dengan apa yang berlaku, sebagai ketua platun, Lt. Kol. Robert melepaskan geramnya dnegan menembak selaras GPMG. 200 butir peluru berselerakan kelonsongnya di kebun itu kala hari sudah menghampiri senja. Manakan tidak kecewa – musuh sudah di depan mata, tapi segalanya seakan tidak berfungsi atau berjaya.

Lt. Kol. (B) Robert Rizal abdullah

Keesokan paginya, mereka melakukan penjejakan sekali lagi. Tujuannya adalah untuk mengesan jerangkap samar yang dipasang di kebun itu, yang antaranya telah menyebabkan kecederaan pada salah seorang anggota mereka. Ketika menjejak itulah, mereka terjumpa pintu terowong yang terletak kira-kira 500 meter daripada tokong di mana Din terkena jerangkap itu.

Dan di situ, ternyata jerangkap samar yang dipasang begitu berselirat. Melihat kepada keadaan pintu terowong itu, Pk Lang dapat membuat andaian yang ianya adalah cukup luas dan selesa untuk dilalui, dan itu adalah kali pertama jumpaan sebegitu terjadi kerana sebelum itu, pasukan Tentera Malaysia sememangnya tidak pernah beroperasi di kawasan tersebut yang terletak di sebelah Thailand. Jumpaan secara kebetulan itu – tanpa mereka ketahui, sebenarnya banyak membantu operasi pasukan Malaysia selepas itu. Terowong itu adalah sebahagian daripada sistem terowong yang sebenarnya digunakan oleh komunis untuk melarikan diri setiap kali berhadapan dengan tindak balas daripada pasukan Tentera kita, dan disebabkan oleh kekangan sempadan, mereka boleh lolos dan bersembunyi di sebelah Thailanda tanpa gusar.

Esoknya, terowong itu telah diletupkan. Bantuan artileri juga diminta menembak musnah kebun tersebut bagi menggalkan usaha musuh mendapatkan bekalan makanan dari situ. Usaha penjejakan tidak dapat diteruskan memandangkan jerangka samar yang terlapau banyak di situ.

Meski Rejimen ke-10 mempropagandakan bahawa Op Cahaya Bena II adalah satu kegagalan, hakikatnya, ia menjadi permulaan yang baik bagi pasukan Malaysia. Dengan penemuan pintu terowong di situ, ia telah membawa kepada penemuan pintu terowong lain, antaranya yang terdapat di Gubir, dan pada masa yang sama, membantu pasukan Tentera merencanakan operasi lebih efektif dengan menyekat laluan melarikan diri buat mereka… =WRA=

 

 

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

Comments are closed.