Siapa yang tidak kenal dengan bangsa Viking, iaitu salah satu suku yang berasal dari tanah Skandinavia, yang sekarang ianya lebih dikenali sebagai belahan dari negara Norway dan Sweden. Bangsa yang selalu diceritakan memiliki tubuh fizikal yang kuat dalam berperang dan suka menjelajah di sekitar lautan bermula dari Laut Baltic, Laut Mediterranean, Laut Hitam sehinggalah mencapai ke pesisiran pantai Afrika serta Amerika Utara ini terkenal dengan mitos topi bertanduk dua di serata dunia, walhal bangsa Viking tidak pernah dicatatkan memakai topi besi sedemikian rupa.

Banyak kartun, drama mahupun filem yang menunjukkan bagaimana kehidupan bangsa Viking seperti How To Train Your Dragon, The 13th Warrior, Viking, Pathfinder dan sebagainya.

Jika anda pernah menonton filem The 13th Warrior keluaran tahun 1999, anda pasti akan mengingati tokoh utama dalam filem itu, iaitu Ibnu Fadlan yang dilakonkan semula oleh Antonio Banderas. Filem ini diadaptasikan dari sebuah novel tahun 1973 yang bertajuk ‘Eaters of the Dead’ karya seorang penulis dari Amerika Syarikat iaitu Micheal Crichton.

Tahukah anda novel fiksyen Micheal ini diolah semula dari catatan sebenar duta Abbasiyah ke kerajaan Volga pada tahun 921 M, Ibnu Fadlan. Beliau menuliskan beberapa maklumat emas melalui seluruh pemerhatiannya ke atas bangsa Viking ketika dalam perjalanan menuju ke kerajaan Volga.

Catatan Ibnu Fadlan yang sekarang dikenali sebagai ‘The Mission to the Volga’ ini pada mulanya hanyalah sebagai laporan perjalanannya kepada khalifah Abbasiyah pada zaman itu, tidak semena-mena menjadi sebuah sumber rujukan pembelajaran dan kajian untuk para sejarawan sekarang mengetahui bagaimana suasana kehidupan seharian bangsa Viking pada abad pertengahan.

Jadi bagaimana gambaran isi kandungan catatan perjalanan Ibnu Fadlan ini menjadi sebuah sumber rujukan yang dikaji sehingga ke hari ini?

21 Jun 921 M.

Khalifah Bani Abbasiyah yang ke-18, al-Muqtadir billah menghantar suatu rombongan diplomatik dibawah pimpinan Susan al-Rassi ke kerajaan Volga. Tujuan utama Khalifah al-Muqtadir menghantar rombongan ini adalah untuk mengajarkan hukum syariat Islam kepada masyarakat Bulgaria yang telah memeluk Islam dan membina masjid. Masyarakat mualaf Volga Bulgaria ini mendiami kawasan di sekitar persisiran Sungai Volga. Tugas untuk berdakwah ini dipimpin pula oleh Ahmad bin Fadlan bin al-Abbas bin Rashid bin Hammad yang lebih dikenali dunia sebagai Ibnu Fadlan.

Dari segi diplomatiknya pula, tujuan lain Khalifah al-Muqtadir menghantar rombongan ini adalah untuk menolong penguasa Islam kerajaan Volga iaitu Raja Almysh Elteber untuk menghadapi musuh mereka, bangsa Khazar yang sedang meluaskan kuasa mereka sehingga memberikan ancaman ke atas kedaulatan kerajaan Volga.

Khalifah al-Muqtadir pernah menyatakan janjinya kepada Raja Almysh Elteber untuk memberikan sejumlah bantuan kewangan untuk pembinaan tembok pertahanan menghadapi ancaman kuasa bangsa Khazar.

Raja Almysh Elteber juga memohon dana kewangan dan tenaga dari khalifah al-Muqtadir untuk membina masjid dan mimbar yang bertujuan untuk mendoakanya di dalam doa khutbah Jumaat. Sekiranya begitu, maka jelaslah yang Raja Almysh Elteber ingin meletakkan kekuasaannya di bawah naungan Kekhalifahan Dinasti Abbaisyah dan berharap kerajaannya diiktiraf sepenuhnya oleh khalifah al-Muqtadir billah.

LALUAN PERTEMUAN BANGSA VIKING

Rombongan Ibnu Fadlan memulakan perjalanan dari pusat pentadbiran kerajaan Bani Abbasiyah di kota Baghdad lalu melintasi Laut Hitam menuju ke wilayah Baku, Derbent, Balanjar, Samandar dan Atil menggunakan laluan perdagangan Volga.

Dalam catatannya, Ibnu Fadlan menuliskan tentang beberapa peristiwa yang berlaku sewaktu beliau melintasi laluan ini dan bertemu dengan rombongan bangsa Viking.

Sebelum sampai ke wilayah kerajaan Volga, rombongan Ibnu Fadlan melalui wilayah bangsa Khazan, suku Oghuz Turki, suku Pechnegs dan Bashkir.

Tetapi daripada kebanyakan suku yang beliau temui, orang Arab memanggil mereka sebagai bangsa Russiyah iaitu atau di dalam nama yang lebih popular, bangsa Viking yang lebih menarik perhatian baginya.

Ibnu Fadlan mencatatkan beberapa hal penting berkaitan bangsa ini dan catatan ini jugalah dikenalpasti sebagai laporan pertama yang merekodkan tentang sejarah Viking.

12 Mei 922 M.

Setelah beberapa bulan lamanya menempuh perjalanan berjarak 4000 km jauhnya, maka rombongan Ibnu Fadlan tiba dengan selamatnya di ibukota Volga Bulgaria lalu disambut oleh Raja Almysh Elteber sendiri.

Mengikut rekod catatan Muslim, nama Islam Raja Almysh Elteber ialah Raja Jaafar bin Abdullah dan Ibnu Fadlan menyebutkan raja ini di dalam catatannya dengan panggilan ‘Raja Saqaliba’.

Nama lain Raja Almysh ialah Almish bin Shilki Yiltawar.

Setibanya rombongan ini di hadapan Raja Jaafar, Ibnu Fadlan mewakili rombongannya membaca surat perdamaian dari Khalifah al-Muqtadir billah serta mempersembahkan pelbagai hadiah yang bernilai kepada raja tersebut.

Walaupun Raja Jaafar kecewa dengan sikap Khalifah al-Muqtadir yang tidak mengotakan janjinya untuk memberikan bantuan kewangan dalam projek membina benteng pertahanan, baginda tetap menerima segala hadiah pemberian khalifah. Para ahli rombongan dilayan dengan baik dengan dijamu pelbagai makanan dan tempat istirahat yang selesa.

BANGSA VIKING MENGIKUT CATATAN IBNU FADLAN

Ibnu Fadlan merekodkan beberapa maklumat penting mengenai bangsa Viking ini, diantaranya adalah ciri tubuh fizikal mereka, tatacara majlis pengkebumian, senjata yang dibawa ketika dalam perjalanan mahupun berdagang dan sebagainya. Di sini, saya akan meringkas beberapa maklumat yang diambil berdasarkan catatan Ibnu Fadlan sendiri.

1. Tubuh fizikal bangsa Viking dan senjata yang dibawa.

Ibnu Fadlan mengklasifasikan, fizikal tubuh badan mereka adalah amat sempurna seperti yang dituliskannya sendiri:

“Saya tidak pernah melihat sosok yang lebih sempurna daripada mereka. Mereka tinggi seperti pokok kurma, warna kulit yang cerah dan kemerah-merahan. Mereka memakai jubah yang menutupi separuh badan dan satu tangan lagi yang tidak ditutupi oleh kain. Setiap orang lelaki (daripada kalangan mereka) membawa sebilah kapak, pedang dan belati. Pedang mereka mengikut (jenis) Frank yang mana bilahnya besar dan bergerigi.”

Ditambahkan lagi, tubuh badan mereka ditato dari jari kuku sehingga ke paras leher dengan pelbagai unsur, angka atau elemen alam.

2. Barang apa sahaja yang didagangkan oleh bangsa Viking?

Bangsa Viking berdagang jauh sehingga ke timur dengan menjual pelbagai macam kulit haiwan, baju zirah besi, pedang, kulit pokok Birch dan biji pokok Ek.

Bangsa Viking juga memperdagangkan hamba suruhan. Melalui rekod Ibnu Fadlan, ketika orang Russiyah (Viking) datang ke kota Volga untuk menjual hamba, raja memiliki hak untuk mengambil hamba yang dipilihnya tanpa bayaran.

3. Mengapa bangsa Viking berminat untuk berdagang sehingga ke timur?

Bangsa Viking amat menyukai mata wang dirham (perak) sehingga mereka terpaksa mengembara jauh untuk berdagang dengan bangsa Arab.

Bukti arkeologi dapat dilihat pada zaman sekarang dengan beberapa penemuan di tapak-tapak peninggalan bangsa Viking di Skandinavia. Di Sweden, telah ditemui ribuan keping mata wang perak milik Kerajaan Bani Abbasiyah yang pernah dicetak di wilayah Baghdad, Mesir, Damaskus dan Tashkent.

4. Bagaimana majlis pengkebumian bangsa Viking?

Dalam kisah ini, Ibnu Fadlan melihat dengan sendirinya bagaimana pengkebumian seorang bangsawan Viking menurut kepercayaan agama kuno Norse pegangan bangsa Viking.

Ibnu Fadlan menceritakan:

Salah seorang dari bangsa Rūsiyyah (Viking) berdiri di samping aku lalu aku mendengar lelaki itu bercakap dengan penterjemah aku.

Setelah berakhirnya kedua orang itu berbicara lalu aku pun bertanya kepada penterjemah aku tentang apa yang lelaki (Viking) itu bicarakan.

Dan penterjemah aku menceritakan.

“Dia (Viking) itu berkata, ‘Bangsa Arab sangat bodoh!”.

Jadi aku bertanya semula: “Kenapa?”.

Dan dia menjawab: “Kalian mengambil orang-orang yang sangat sayang kepada anda dan siapa yang paling anda hormati lalu menempatkan mereka ke dalam tanah di mana serangga dan cacing akan memakan jasad mereka. Kami membakarnya dalam sekejap, sehingga ia masuk ke syurga setelah itu juga”.

Melalui kisah ini juga, Ibnu Fadlan melihat dengan kepala matanya sendiri bagaimana bangsa Viking menguruskan majlis pengkebumian yang bagi saya ianya amat sadis juga kalau nak diceritakan. Konsep syurga dan neraka dalam kepercayaan bangsa Viking disebut sebagai alam Valhalla.

Apabila seorang dari kalangan bangsa Viking itu meninggal dunia maka si hamba akan turut dibunuh untuk disemadikan bersama tuannya. Jikalau anda yang pernah menonton filem The 13th Warrior, anda akan disajikan dengan salah satu adegan yang memaparkan bagaimana proses pengkebumian itu dijalankan.

Sekiranya anda mahu tahu kisah disebalik pengebumian mengikut kepercayaan bangsa Viking maka bacalah catatan Ibnu Fadlan di dalam buku terjemahan bahasa Inggeris iaitu, The Mission to the Volga.

5. Bagaimana seorang isteri Viking ingin menunjukkan kekayaan si suaminya?

Ibnu Fadlan menceritakan yang si isteri akan memakai alat perhiasan yang diperbuat daripada emas, perak ataupun tembaga di leher mereka seperti kalung gelang dan sebagainya. Setiap alat perhiasan itu dinilai dengan harga 10.000 dirham. Jika makin banyak alat perhiasan dipakainya, maka makin jelaslah kekayaan si suaminya.

6. Bagaimana kebersihan bangsa Viking?

Walaupun Ibnu Fadlan mengagumi sosok tubuh bangsa ini, beliau kecewa dengan sikap mereka ini juga sebenarnya.

Bangsa Viking amat kurang dari segi penjagaan kebersihan diri. Bangsa ini tidak mencuci tangan selepas makan, tidak mandi setelah melakukan hubungan seksual dan tidak mencuci alat kemaluan setelah membuang air kecil mahupun besar.

Daripada kesemua catatan ini, saya hanya mengambil satu sahaja tentang bagaimana bangsa ini ‘menjaga’ kebersihan mereka.

Setiap pagi, akan ada seorang pelayan wanita yang akan membawa sebaldi air sahaja kepada tuannya. Tuannya itu akan menyikat rambut menggunakan air itu, termasuk mencuci muka, berkumur dan meludah kembali ke dalam air tersebut. Setelah tuannya selesai maka bekas air itu akan dibawa kepada orang berikutnya tanpa ditukar airnya sehingga semuanya telah selesai maka barulah airnya dibuang.

Begitulah ringkasan mukaddimah mengenai catatan kembara ‘traveller’ Ibnu Fadlan merentasi gurun, padang rumput dan lautan yang luas dalam memegang amanah dari seorang penjaga Haramain, Khalifah al-Muqtadir billah dalam menyampaikan maksud misi utamanya; meninggalkan sebuah karya dalam menyelesaikan persoalan “Adakah bangsa Arab pernah bertembung dengan bangsa Viking ketika abad pertengahan?” selanjutkan memberikan kita petunjuk berharga yang menyedarkan kita betapa hebatnya keberanian dan kehebatan manusia zaman dahulu dalam menyelesaikan misi mereka tanpa pelbagai alasan mahupun ‘makan gaji’ seterusnya meninggalkan sebuah bukti jejak emas yang pengaruh Islam pernah mencapai ke bumi Russia pada suatu ketika dahulu.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Comments are closed.