Ada dua orang dalam sejarah, yang menurut pandangan aku, menjadi mahsyur dan ternama kerana karya mereka mengenai Masa. Orang yang pertama adalah Stephen Hawking, yang mana karya pop-sainsnya, “A Brief History of Time” meletakkan dia sebagai salah seorang saintis dan penulis terkemuka. Di dalam buku ini Hawking menceritakan mengenai peristiwa besar alam semesta bagi bacaan umum, dan telah terjual lebih dari 25 juta naskah seluruh dunia.
Orang yang kedua pula, adalah Christopher Nolan. Nolan merupakan antara penerbit filem yang banyak menerbitkan filem berkisarkan masa dari pelbagai sudut pandang berbeza, seperti Memento, di mana jalan ceritanya adalah tak linear (permulaan cerita adalah penamat, dan penamat cerita adalah permulaan), Inception dengan konsep masa di dalam mimpi lebih panjang, dan Interstellar, yang membawa idea Teori Relativiti Einstein ke layar perak.
Justeru apabila Nolan mengumumkan satu lagi filem baru berkisar tentang masa, TENET, maka aku adalah antara yang terawal pergi menonton filem ini.
Keluar dari panggung wayang, aku kira aku sudah dapat menangkap hampir kesemua isi yang ingin Nolan sampaikan. TENET, bagi aku, tidaklah serumit kisah merentas masa lain yang pernah dibikin seperti Back to The Future, Groundhog Day, mahupun Dark. Dari segi kerumitan cerita, aku berikan TENET 5 atau 6 bintang (average), kerana plotnya adalah mudah, dan terasa seperti menonton filem perisik lain, seperti James Bond atau Mission Impossible.
Jadi, kalau TENET seperti filem perisik yang lain, apa yang membuatkan TENET istimewa?
Keistimewaan Tenet adalah ia menggabungkan idea realistik pengunduran masa. Nolan mengambil idea asas dari filem-filem risikan lain, dan dia menyambungkan idea tersebut dengan konsep sains berkenaan dengan masa, dan itulah apa yang menjadikan TENET lain dari yang lain.
Masa dan Entropi
Masa akan sentiasa mengalir, seumpama air sungai yang mengalir, dari mata air menjadi anak-anak sungai, dan kemudiannya bercantum menjadi sungai, dan destinasi akhirnya, iaitu laut. Masa juga begitu sifatnya. Sebagaimana hakikat air yang megalir akan sentiasa menuju ke laut, masa juga akan mengalir, sentiasa menuju ke lautan “masa hadapan”.
Fenomena ini, dalam fizik, dipanggil sebagai Anak Panah Masa (Arrow of Time).
Kalau dalam kes air yang mengalir tadi, kita tahu bahawa air tidak boleh mengalir bertentangan arus kerana adanya apa yang dipanggil sebagai perbezaan potensi (potential difference) antara kawasan rendah dengan kawasan tinggi, dan untuk air dari kawasan rendah bergerak ke kawasan tinggi, maka kerja perlu dilakukan dan tenaga perlu digunakan.
Sebagai contoh, sekiranya kita duduk di rumah flat dan ingin mengalirkan air dari tingkat bawah ke tingkat 1 (naik ke atas), kita memerlukan paip air dan hos. Kerja akan dilakukan, dan tenaga akan digunakan, dalam kes ini, semata-mata untuk mengubah aliran air melawan sifat arusnya.
Tapi bagaimana dengan masa? Adakah boleh sekiranya kita ubah aliran masa ini dengan tenaga, atau dengan melakukan kerja, sebagaimana kes air tadi?
Dalam filem TENET, Nolan membawa idea bahawa manusia telah berjaya melakukan perkara yang mustahil. Lebih spesifik lagi, di masa hadapan, seorang saintis berjaya membina “pili dan hos” yang boleh menerbalikkan arus masa, dan menyebabkan masa itu bergerak ke arah belakang. “Pili dan hos” tersebut, yang dikenali sebagai Algorithm, merupakan satu bahan yang tak diterangkan mekanismanya, yang dipecahkan menjadi sembilan bahagian oleh saintis tersebut, dengan niat supaya tiada siapa mampu meniru hasil ciptaannya (reverse engineering).
Jadi, adakah perkara ini mustahil untuk dilakukan menurut sains?
Antara topik besar dalam Fizik adalah Termodinamik. Termodinamik diambil dari perkataan termo (haba: Thermo) dan pergerakan (dinamik: Dynamics). Mengambil pengertian mudah, termodinamik adalah cabang bidang yang mengkaji pergerakan haba. Entropi pula adalah darjah keselerakan sesuatu sistem.
Katakan kita ada satu dek kad yang baru, kad tersebut akan tersusun dari bentuk spade hingga ke diamond, dari susunan nombor Ace sehingga ke King. Ini adalah aturan sekiranya dek kad kita adalah dek yang baru. Maka, apabila kita mula mengocok kad itu, kad itu mula berselerak, dan darjah keselerakannya semakin bertambah, dan analogi yang sama boleh diambil bagi menggambarkan ‘keselerakan’ sesuatu sistem yang semakin bertambah.
Salah satu aturan dalam Termodinamik, dipanggil Hukum Termodinamik Kedua (Second Law of Thermodynamics) menerangkan entropi dalam bentuk haba. Menurut hukum ini, entropi bagi apa-apa sistem akan sentiasa bertambah, sebagaimana kad kita tadi akan sentiasa berselerak, apabila semakin lama kita mengocok kad tersebut. Nak kad dengan susunan yang teratur? Maka kita perlu melakukan kerja, dan apabila kita melakukan kerja, maka kita sendiri akan menggunakan tenaga, sekaligus menambahkan entropi semesta.
Inilah idea yang wujud dalam Tenet, dan menurut Tenet, konsep ini dinamakan sebagai Inversion. Konsep Inversion ini lain dengan konsep pengembaraan masa filem-filem lain kerana kau tiada kereta mesin masa terbang macam Back to The Future, kau tiada tangkal azimat untuk pergi ke masa lampau macam Harry Potter, tiada mesin penerowongan kuantum yang Tony Stark buat, dan kau tiada mesin masa berbentuk beg bimbit macam dalam Predestination.
Dalam erti kata lain, Nolan menghilangkan kebergantungan terhadap mesin masa seperti Nobita bergantung kepada Doraemon, dan membawa sedikit elemen realiti dalam genre filem rentas masa.
Free Will and Determinism
Pada suatu masa dahulu, aku percaya dengan kewujudan masa yang fizikal. Masa yang berdetik tiap saat, yang terdiri daripada saat, minit dan jam. Segala-galanya berubah apabila aku mula mempelajari Teori Relativiti Einstein. Dari situ, aku mula faham bahawa secara realitinya, masa yang fizikal (saat, minit dan jam) hanyalah satu sandaran kepada satu lagi entiti fizikal yang lain, iaitu hari. Satu hari ditafsirkan sebagai masa diambil oleh Bumi untuk berputar.
Maka, ini satu pertanyaan aku – adakah masa masih bergerak sekiranya Bumi berhenti berputar?
Jawapan kepada persoalan ini adalah: bergantung kepada bagaimana soalan itu dilontarkan.
Sekiranya Bumi ini berhenti berputar, dan segala isinya masih bergerak, maka pada detik itu, kita tahu bahawa masa juga turut bergerak bersama objek yang lain. Meskipun pada waktu itu definasi hari telahpun hilang (kerana Bumi tidak berputar), namun kita tahu bahawa masa tetap bergerak – kerana kita merasai pergerakan masa.
Hal yang berbeza terjadi sekiranya yang berhenti bergerak itu Bumi, dan segala isinya dan alam semesta seluruhnya. Pada waktu itu, meskipun kita menyangka bahawa masa terus bergerak, namun akibat tiadanya nisbah masa terhadap sesuatu yang lain, maka masa hilang pedoman – ia tidak lagi wujud.
Masa hanya wujud kerana adanya kerelatifan, hubungkait antara satu peristiwa dengan peristiwa yang lain. Itulah apa yang Einstein ajarkan. Hasil dari ajaran Einstein, masa itu wujud, namun hanyalah bersandarkan kepada takrifan sebab-akibat (cause and effect) semata.
Justeru, pergi kepada perbincangan sebab-akibat, salah satu perkara yang aku perhatikan dalam Tenet (serta filem-filem rentas masa yang lain) adalah bagaimana mereka menyantuni permasalahan sains dan falsafah yang agak besar ini – Free Will atau Determinism?
Free Will merujuk kepada idea bahawa alam ini memiliki kebebasan yang tersendiri. Kita berkahwin dengan isteri kita, adalah kerana itu adalah pilihan hati kita, meskipun pada asalanya kita memiliki banyak pilihan lain. Determinism pula adalah ajaran yang merujuk kepada ketiadaan free will, bagaimana manusia sebenarnya tiada daya dalam menentukan sesuatu.
Kita berkahwin dengan isteri kita mungkin kerana kita sangka kita memilihnya, namun hakikatnya adalah kerana itu merupakan suratan takdir. Ditolak atau ditarik, telah ditulis bahawa nama isteri kita dan kita bersatu dalam ikatan pernikahan, dan meskipun satu dunia menentang, ia akan tetap terjadi. Dialah jodohku dan akulah miliknya
Antara filem mahsyur menggunakan tema ini adalah filem Back to The Future, di mana watak utama mengubah sejarah ibu bapanya, maka realiti dia sendiri turut terubah. Konsep ini juga digunapakai dalam banyak filem dengan tema Multiverse, seperti dalam komik adiwira DC dan Marvel (Flashpoint Paradox contohnya).
Dalam filem Tenet, Nolan menggunakan idea determinism penuh. Dalam membangunkan cerita dengan determinism penuh, segala sebab dan akibat yang terhasil, akan terhasil, tanpa kebolehupayaan watak untuk meneroka alternatif yang lain. Hal ini terserlah ketika watak sedang dalam Inversion, mereka akan bergerak dengan hanya menggunakan intuisi (tanpa mampu mengawal dengan sepenuh kewarasan).
Perkara ini dipanggil sebagai causal loop.
Aku puji causal loop yang cuba diteroka oleh Nolan, kerana bukan mudah sebenarnya ingin membina satu cerita dengan causal loop yang koherens tanpa lompongan cerita (plot hole). Untuk filem Tenet, Nolan berjaya memaksa penonton menerima lengkungan realiti tersendiri, di mana Protagonist mencipta Temporal Pincher Tenet, dan Tenet itu sendiri mencipta Protagonist. Maka, setiap akibat adalah terhasil dari satu sebab, dan setiap sebab adalah terhasil dari akibat yang sama.
What’s happened, happened. Sic mundus creates est.
One-Electron Universe
Satu lagi idea lain yang dibawa oleh Tenet adalah idea One-Electron Universe, satu idea gila dari John Wheeler, seorang ahli fizik terkenal. Menurut cerita, Wheeler telah menelefon Richard Feynman (seorang pemenang hadiah Nobel) dan menceritakan tentang ideanya mengenai elektron. Kata Wheeler, ada sebab kenapa elektron memiliki berat yang sama, dan cas elektrik yang sama. Sekiranya kita membayangkan elektron bergerak melawan masa, elektron tersebut akan kelihatan seperti positron, partikel yang mempunyai berat yang sama dengan elektron, namun mempunyai cas positif (cas elektrik yang berlawanan).
Menurut Wheeler lagi, kalau elektron boleh bergerak merentas masa, adakah mungkin kesemua elektron dalam alam semesta ini sebenarnya merupakan satu elektron, yang berulang-ulang bergerak ke masa lampau?
Izinkan aku kembangkan idea ini dengan lebih mendalam.
Andaikata seorang lelaki, Abu, meraikan hari jadinya yang ke 24 tahun pada tahun 2020. Pada tahun 2021, Abu terfikir untuk mencipta satu mesin masa. Dia bertukang dan menghabiskan masa dua tahun, 2022 dan 2023 untuk menyiapkan mesin masa tersebut. Pada tahun 2025, Abu berjaya menghabiskan mesin masa beliau ketika usianya 29 tahun, dan dia mengambil keputusan untuk singgah ke tahun sebelumnya, 2024, dan mengambil Abu yang berusia 28 tahun untuk merentas masa bersamanya. Setelah mengambil Abu pada tahun 2024, dia bertindak mengambil Abu pada tahun 2023, 2022 dan 2021 dan membawa kesemua Abu ini ke tahun 2020.
Soalan mudah. Sekarang, ada berapa banyak Abu yang berhimpun pada tahun 2020?
Kiraan secara manual akan memberi kita Abu pada tahun 2020, 2021, 2022, 2023,2024 dan 2025 semua akan berkumpul bersama pada tahun 2020. Maka sekarang, kita ada 6 orang Abu, kesemuanya adalah individual yang sama, namun muncul dari masa yang berbeza.
Ganjil.
Menurut idea Wheeler, disebabkan elektron adalah satu zarah yang amat asas dan mungkin terhasil sewaktu Big Bang, mungkin elektron sebenarnya telahpun sampai ke satu ‘pengakhiran masa’, di mana ia tidak mampu pergi lebih dari pengakhiran masa, maka ia pun bergerak mengundur, melawan arus masa. Dari idea itu, kita boleh ada hanya satu elektron, namun satu elektron yang bergerak kebelakang banyak kali, akan menghasilkan ‘pelbagai elektron’ yang hakikatnya hanyalah satu elektron dari masa yang berbeza*.
*(Ini hanyalah idea Wheeler yang dipermudahkan. Ada perbincangan Wheeler dan Feynman yang lebih mendalam yang melibatkan sifat anti-matter, dan ia tidak dibincangkan di sini. One-atom universe ini ditolak kerana banyak kelompongan saintifik)
Dalam dunia Tenet, manusia dibenarkan untuk hidup bersama meskipun ada antara mereka yang bergerak dalam keadaan menyongsang melawan masa. Sebagai contoh dalam babak kedua, Tallinn Heist, Sator wujud sebagai dua jasad fizikal yang berbeza pada masa yang sama (sewaktu menyoal siasat Protagonist). Ini merupakan aplikasi terus idea One-Electron Universe.
Satu lagi idea lain dalam Tenet adalah berkenaan dengan larangan bersentuhan antara dua orang sama dalam keadaan yang berbeza. Manusia yang sedang dalam keadaan Inversion (bergerak arah masa mengundur) dilarang untuk bersentuhan dengan dirinya sendiri yang dalam keadaan normal. Idea bagi ‘peraturan’ ini adalah diambil dari fenomena annihilation dalam fizik zarah.
Seperti diterangkan tadi, positron adalah ‘lawan’ bagi elektron, atau dipanggil anti-elektron – ia memiliki berat yang sama, dan yang membezakan elektron dengan positron adalah cas elektriknya. Elektron memiliki cas negatif, manakala positron memiliki cas positif.
Sekiranya positron dan elektron bertembung, ia akan menghasilkan fenomena tenaga tinggi (high energy phenomena) yang dipanggil annihilation, yang mana tenaga yang kuat, dalam bentuk sinaran gamma, akan terbebas dari interaksi tersebut. Proses annihilation juga terjadi bagi apa-apa partikel yang bertembung dengan anti-partikelnya yang tersendiri. Proses ini banyak aplikasinya di hospital, seperti Positron Emission Tomography (PET scan).
Dalam kes Tenet, adalah munasabah sekiranya watak yang sedang bergerak melawan arus masa untuk tidak bersentuhan dengan dirinya sendiri, kerana pada waktu itu, ia sedang berada dalam keadaan anti-matter, ia adalah anti-matter kepada dirinya sendiri.
Tidak sah kalau kau buat satu filem rentas masa tanpa membicarakan mengenai Grandfather Paradox. Grandfather Paradox adalah satu usul yang membincangkan apa yang sepatutnya terjadi sekiranya kita pergi ke masa lampau dan membunuh atuk kita sendiri. Cara menjawab soalan ini terbahagi kepada dua bahagian: jawapan yang mengakibatkan garismasa yang tidak stabil, dan jawapan yang mengakibatkan garismasa yang stabil.
Kebanyakan ahli fizik setuju sekiranya merentas masa itu wujud, jawapan kepada Grandfather Paradox sepatutnya wujud dalam konteks garismasa yang stabil. Hal ini kerana, meskipun kita membunuh datuk kita dan ayah atau ibu kita tidak wujud, kita sendiri tidak akan wujud, dan ketidakwujudan kita akan menghapuskan asbab yang membunuh datuk kita pada asalnya. Dalam kes ini, masa sendiri akan membetulkan realiti (self-correcting).
Satu lagi solusi bagi Grandfather Paradox yang stabil, yang berakar dari idea free-will adalah munculnya ranting realiti baru (a new branch of reality). Ranting baru ini, seperti yang diterangkan oleh The Ancient One dalam Avengers Endgame, terjadi apabila realiti baru tercipta, sebagai contoh, kita kini membunuh datuk kita, akan wujud satu realiti di mana ayah dan ibu kita tidak lahir, dan kita tidak lahir. Meskipun realiti ini agak kelam, namun ia selari dengan idea Many World Interpretation dalam Fizik Kuantum.
Dalam filem Tenet, Protagonist dan Neil ada berbicara mengenai bagaimana orang dari masa hadapan cuba mendapatkan algorithm kerana mereka ingin membunuh nenek moyang mereka. Protagonist bertanya, kalau kita (orang pada masa lampau) dibunuh, bukankah mereka (orang dari masa hadapan) tidak akan wujud? Neil berkata bahawa mereka percaya realiti baharu akan muncul, dan apabila ditanya apa yang Neil percaya, Neil memberitahu, “Whatever happened, happened”.
Dalam konteks Tenet, sebenarnya, Grandfather Paradox ini berkebarangkalian besar tidak akan berlaku. Neil memberi gambaran bahawa Tenet berpaksikan dunia dimana fenomena rentasan masa akan sentiasa berada dalam suatu causal loop, yang mana sekiranya mereka dari masa hadapan mampu untuk pergi ke masa lampau dan cuba untuk membunuh mereka di masa lampau, mereka tidak akan berjaya, kerana takdir akan sentiasa mencari jalan untuk membolehkan mereka di masa lampau untuk terus hidup hingga ke masa hadapan. Ini adalah sebahagian dari idea Determinism penuh, mereka dari masa hadapan boleh mencuba untuk memusnahkan mereka di masa lampau, namun mereka tidak akan pernah berjaya.
Everything is predestined.
Rumusan: Untuk mereka yang bertanya Tenet ni best ke tak, bintang yang saya bagi untuk Tenet adalah 6 bintang dari segi plot, namun perlu saya akui saya menonton berulang kali untuk menangkap beberapa babak yang agak mengelirukan (Based on technicality merit). Tenet bukan satu filem kembara masa seperti filem-filem lain, namun paksi asal filem ini pula pastinya bukan dari pseudosains. Mungkin kelemahan mereka yang tidak biasa dengan idea saintifik yang berat dan sudah biasa disajikan dengan idea rentas masa ala Doraemon yang menyebabkan filem Tenet ini dilihat janggal.
RUJUKAN:
https://www.youtube.com/watch?v=AZGcmvrTX9M Tenet – Final Trailer. Warner Bros. (2020)
“Determinism vs Free Will: Crash Course Philosophy #24”, CrashCourse (2016). https://www.youtube.com/watch?v=vCGtkDzELAI“The One-Electron Universe”, PBS Space
Time (2017). https://www.youtube.com/watch?v=9dqtW9MslFk&t=524s
“Solution to Grandfather Paradox”, MinutePhysics (2016). https://www.youtube.com/watch?v=XayNKY944lY
“The Physics and Philosophy of Time – with Carlo Rovelli”, The Royal Institution (2018). https://www.youtube.com/watch?v=-6rWqJhDv7M
“Particle Physics – Electron positron annihilation”, intrigano (2017). https://www.youtube.com/watch?v=ROXx75pSBAQ&t=36s
“The Thermodynamic Arrow: Puzzles and Pseudo-puzzles”, Huw Price (2004). arXiv. https://arxiv.org/abs/physics/0402040
“Freewill vs Determinism”, Saul McLeod (2019). SimplePsychology. https://www.simplypsychology.org/freewill-determinism.html#:~:text=The%20determinist%20approach%20proposes%20that,which%20we%20have%20no%20control.
“What If Every Electron Is the Same Electron?”, Avery Thompson (2017). Popular Mechanics. https://www.popularmechanics.com/science/news/a27731/what-if-every-electron-was-the-same-electron/
“The Order of Time”, Carlo Rovelli (2017). Penguin Books.
“Positron Emission Tomography and Computed Tomography (PET-CT) Scans”, Cancer.Net https://www.cancer.net/navigating-cancer-care/diagnosing-cancer/tests-and-procedures/positron-emission-tomography-and-computed-tomography-pet-ct-scans
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih