Pada 18 Januari 2018, 2 orang pasangan anak beranak dibunuh oleh militan Taliban di Pakistan. Dua orang pasangan anak beranak itu, Sakina Bibi (38 tahun) dan Rizwana Bibi (16 tahun) merupakan petugas kesihatan yang ditugaskan untuk melakukan vaksinasi polio di Wilayah Quetta, selatan barat Pakistan. Kematian dua beranak itu merupakan siri kekejaman terbaru yang terhasil dari peresapan doktrin teori konspirasi. Dua pasangan beranak tersebut dibunuh oleh militan Pakistan kerana mereka percaya bahawa vaksin adalah agenda Freemason/Illuminati untuk melemahkan umat Islam. Setakat tahun 2017, seramai 70 orang petugas kesihatan telah dibunuh oleh mereka yang terlalu taksub dengan teori konspirasi ini.
Mungkin selama ini, ramai di antara kita yang menganggap yang teori konspirasi ini adalah benda yang remeh sahaja dan sesiapa yang percaya kita anggap sebagai paranoid. Malah tidak kurang juga ada di antara kita yang percaya teori konspirasi ini adalah sebahagian dari disiplin ilmu akhir zaman/ ilmu eskatologi. Tapi tak ramai antara kita yang sedar akan keburukan dan impak yang boleh dibawa oleh Teori Konspirasi ini jika ia sudah meresap menjadi kepercayaan masyarakat. Artikel saya akan cuba merungkai sebab kenapa orang terlalu mempercayai teori konspirasi dan kesan buruk teori konspirasi kepada masyarakat.
Kenapa orang Percaya Teori Konspirasi?
Ada banyak sebab yang dicanangkan oleh para psikologi dan juga para cendekiawan atas mengapa ramai orang mempercayai teori konspirasi. Saya lebih suka mengambil hasil kajian melalui Jurnal “The Psychology of Conspiracy Theories” dari ahli psikologi Britain, Karen Douglas. Menurutnya jika dikumpulkan sebab-sebab mengapa orang mempercayai teori konspirasi, ianya boleh dikategorikan dalam tiga kategori serumpun:
- Keinginan untuk memahami dan menghapuskan ketidakpastian.
- Keinginan untuk merasa selamat dan berada di dalam kawalan
- Keinginan untuk merasa kepentingan diri kepada masyarakat
1) Keinginan untuk memahami dan menghapuskan ketidakpastian
Kajian ahli psikologi mendapati yang manusia tidak suka berada dalam keadaan ketidakpastian. Kalau ada sahaja perkara yang tidak difahami berlaku, setiap individu pasti akan berasa takut dan tidak menentu (contoh terbaik pengalaman seram). Sebab itulah bila adanya satu teori yang menjelaskan kebanyakan ketidakpastian yang berlaku, tentulah teori itu kita akan terima bulat-bulat tanpa kita fahami dan pastikan kesahihannya.
Satu contoh terbaik yang saya boleh beri adalah teori konspirasi mengenai penipuan pendaratan bulan. Kebanyakan orang awam tidak memahami bagaimana pendaratan bulan berlaku. Kronologi dan sains di sebalik pendaratan bulan adalah terlalu kompleks untuk difahami oleh orang kebanyakan. Itulah sebabnya, bila datang teori konspirasi penipuan pendaratan bulan, ianya lebih mudah difahami oleh orang kebanyakan dan lebih mudah diterima berbanding dengan fakta yang sebenar.
2) Keinginan untuk merasa selamat dan berada di dalam kawalan
Setiap orang inginkan perasaan selamat dan berada di dalam kawalan. Sebab itulah manusia ini dijadikan fitrahnya beragama. Bila kita beriman kepada Allah, hidup kita lebih teratur dan di dalam kawalan. Begitu jugalah, prinsip manusia apabila berhadapan dengan teori konspirasi. Kebanyakan teori konspirasi memberi penjelasan terhadap peristiwa atau tragedi yang berlaku dan mengaitkannya dengan konspirasi yang sedia ada. Antara contoh yang popular, adalah Teori Konspirasi HAARP. Apabila Aceh dilanda Tsunami pada tahun 2004, wujud teori konspirasi popular yang mengatakan yang Acheh sebenarnya dibadai Tsunami yang disebabkan oleh angkara teknologi HAARP milik Amerika Syarikat. Manusia yang tidak beriman dengan Qada’ dan Qadar lebih senang mempercayai yang adanya orang yang menyebabkan peristiwa Tsunami berbanding mempercayai yang ianya semua ketentuan dari Allah melalui asbab pergerakan tektonik.
3) Keinginan untuk merasa kepentingan diri kepada masyarakat
Kajian juga mendapati kebanyakan orang yang mempercayai teori konspirasi, adalah mereka yang diasingkan oleh masyarakat. Mereka adalah orang umum yang kebanyakannya tidak memegang jawatan yang penting dan tidak diiktiraf dalam masyarakat. Sebab itulah bila adanya teori yang bercanggah dengan pemahaman majoriti masyarakat umum, mereka ini akan cepat-cepat menerimanya kerana menganggap yang teori ini akan menjadikan mereka lebih dikenali dan diiktiraf dikalangan masyarakat. Sebab itulah, kebanyakan orang yang mempercayai teori konspirasi ini akan berkumpul bersama, membentuk organisasi untuk menyebarkan fahaman mereka kepada orang awam. Contoh yang kuat adalah geng anti-vaksin, geng Bani Tenang, Geng Bumi Datar dan banyak lagi. Mereka cukup bersemangat untuk menyebarkan fahaman mereka kepada orang awam kerana mereka sangka yang teori yang mereka jumpa itu akan menaikkan taraf dan kepentingan mereka di dalam masyarakat.
Atas tiga sebab utama di ataslah, orang yang sudah mempercayai teori konspirasi, sukar untuk diubah pegangan dan pandangannya. Bagilah beribu hujah sekalipun, disebabkan psikologi mereka yang begitu, amat sukar sekali kita untuk membetulkan dan mengubah fahaman dan kepercayaan mereka. Ini dianggap amat berbahaya, kerana golongan yang mempercayai teori konspirasi lebih senang menjadi taksub ke atas fahaman yang mereka percayai. Kerana itulah teori konspirasi berpotensi dan berisiko tinggi untuk membawa bahaya dan mudarat kepada masyarakat.
Bahaya dan Impak Teori Konspirasi
Teori konspirasi walaupun nampak kelakar pada pandangan sesetengah orang dan hanya sebagai teori dan peringatan menurut pandangan sesetengah yang lain, ia membawa banyak impak dan keburukan kepada masyarakat. Kita boleh nampak impak dan kesan keburukan itu seantero dunia, malah negara yang maju seperti Amerika Syarikat juga mengalami kesan yang buruk akibat teori konspirasi. Antaranya adalah:
Menyebabkan Kematian dan Kemudaratan
Peristiwa di Pakistan seperti yang saya cerita di atas adalah salah satu contoh yang terbaik dalam menunjukkan kesan buruk teori konspirasi. Namun begitu, bukan itu sahaja contoh yang kita boleh dapat. Jika anda membuat analisa terperinci, anda boleh dapati yang teori konspirasi sudah banyak menyebabkan kematian dan kebinasaan kepada masyarakat sepanjang sejarah manusia.
Antaranya adalah apabila Hitler menggunakan Teori Konspirasi “Jewish-Bolshevik” untuk mengjustifikasikan dan meyemarakkan lagi kebencian terhadap yahudi. Teori konspirasi Jewish-Bolshevik secara ringkasnya menyatakan yang Yahudi adalah pendominasi komunisme (nampak mengarutnya teori ni, bila Karl Marx sendiri adalah anti-semitik) dan ia dipopularkan dan disebarkan oleh Parti Nazi di German. Dan hasilnya? Berjuta-juta Yahudi dibunuh oleh Nazi dalam tragedi Holocaust sewaktu Perang Dunia ke-2.
Selain dari itu, teori konspirasi vaksin adalah teori konspirasi sangat berbahaya dan membawa mudarat yang paling besar. Pada tahun 2015, berlaku penyebaran wabak Measles di Disneyland dan juga serata California. Wabak tersebut menyebabkan 178 orang dijangkiti dan menyebabkan kematian yang pertama dalam 10 tahun sejak wabak itu diisytihar sudah dihapuskan di Amerika Syarikat. Pun begitu, disebabkan kebangkitan doktrin dan fahaman anti vaksin, penyakit yang dah lama hilang datang kembali. Malaysia juga mengalami nasib yang sama dimana pada dua tahun yang lepas, kita diserang oleh wabak difteria yang membawa kepada kematian 5 orang kanak-kanak.
Selalu kita dengar dari mereka yang mempercayai teori konspirasi, yang Freemason/Illuminati akan membunuh sesiapa sahaja yang memecahkan rahsia mereka. Tapi saya yakin, anda mesti tidak pernah dengar, ancaman keatas mereka yang menentang teori konspirasi. Charlie Veitch merupakan seorang penyokong kuat teori konspirasi 9/11. Beliau sangat lantang menyuarakan pendiriannya dan mengatakan yang peristiwa 11 September adalah konspirasi yang dirancang Amerika untuk mengjustifikasikan perang ke atas pengganas di Timur Tengah. Namun begitu, pada tahun 2011, dia menukar pendiriannya dan beliau memuat naik video di YouTube untuk mengumumkan pertukaran pendiriannya. Pendirian terbaru Charlie Veitch itu mendapat tentangan dan kritikan hebat dari penyokong teori konspirasi, sehingga Charlie Veitch diugut bunuh dan dituduh sebagai seorang pedofil.
Organisasi yang tertuduh dalam teori konspirasi juga tidak ketinggalan. HAARP merupakan sebuah fasiliti penyelidikan yang mempunyai objektif dan matlamat untuk mengkaji sifat lapisan ionosphere di ruangan atmosfera kita. Namun begitu, para pentaksub teori konspirasi menuduh yang HAARP mempunyai kemampuan untuk mengawal cuaca dan dituduh bertanggungjawab kepada beberapa tragedi-tragedi yang menimpa manusia termasuklah Tsunami Acheh dan gempa bumi di Haiti. Pada Oktober 2016, polis menahan dua orang suspek yang berasal dari Georgia, Alaska. Kedua-dua suspek itu ditahan kerana bercadang untuk meletupkan dan memusnahkan fasiliti HAARP. Polis yang menyerbu rumah suspek, mendapati yang suspek mengumpul dan menyimpan senjata yang cukup untuk dibawa oleh satu pasukan tentera. Nasib baiklah suspek berjaya ditahan, jika tidak nyawa yang tidak bersalah akan melayang hanya kerana penyebaran dakyah teori konspirasi.
Tidak Membawa Penyelesaian
Jika anda taip sahaja “conspiracy theory” dalam mesin carian Google, pasti beribu-ribu laman sesawang dan juga video muncul yang menceritakan pelbagai teori konspirasi. Dari teori konspirasi yang mungkin benar seperti Teori Konspirasi Pembunuhan JFK sehinggalah kepada Teori Konspirasi yang sangat mengarut seperti kerajaan dikuasai oleh makhluk berkepala cicak, setiap teori konspirasi tersebut mudah didapati dan boleh dibaca di internet. Namun begitu, tiada satupun video teori konspirasi,ataupun laman sesawang tersebut menawarkan sebarang solusi atau penyelesaian. Teori konspirasi hanya membentangkan masalah kepada orang awam, tanpa membawa sebarang penyelesaian dan juga alternatif.
Salah satu contoh yang boleh diperhatikan adalah teori konspirasi berkenaan bank Islam. Ramai orang menuduh yang bank Islam itu masih mengamalkan konsep riba’ walaupun sudah berulang-ulang kali diterangkan oleh pakar-pakar agama dan panel syariah. Penat Dr Zaharuddin menerangkan tentang konsep bank Islam dan apa bezanya dengan konsep bank konvensional. Namun begitu, masih ramai lagi yang menganggap bank islam mengamalkan riba’ tetapi bila ditanya apakah alternatif yang terbaik tanpa mengorbankan status ekonomi umat Islam, semua yang mengkritik tadi diam seribu bahasa.
Satu lagi contoh yang paling terkesan pada saya adalah berkenaan teori konspirasi makanan. Teori konspirasi tersebut menuduh yang sesetengah makanan yang kita makan mempunyai unsur-unsur syubhah dan unsur-unsur yang memudaratkan yang diletakkan dan dirancangkan oleh Freemason/Illuminati untuk melemahkan umat Islam. Ramailah pengeluar-pengeluar makanan dituduh antaranya McDonald’s, Nestle, KFC dan banyak lagi.
Kebanyakan daripada kita mengambil pendekatan untuk memboikot produk-produk keluaran mereka (bagi mereka yang percaya) lantas memberi impak yang buruk kepada syarikat-syarikat tersebut, yang kebanyakan pekerjanya terdiri dari orang islam sendiri. Tapi tidak ada satu pun penyelesaian yang mampan disediakan. Padahal kita hidup di era teknologi digital. Wujudnya alat-alat atau gajet yang mampu melihat komposisi makanan dan memeriksa kandungannya. Alangkah bagusnya kalau alatan atau gajet tersebut dikomersilkan dan boleh digunakan oleh umat Islam.
Ini membawa saya kepada hujah yang terakhir, ahli-ahli cendekiawan kita lebih banyak membuang masa untuk mendidik dan membetulkan fahaman orang ramai dari terpesong oleh dakyah teori konspirasi. Bayangkanlah kalau masa yang dibazirkan itu, digunakan oleh ahli cendekiawan untuk memperbaiki sistem yang sedia ada untuk kebaikan masyarakat. Tak perlulah Dr Zaharuddin keluar meyakinkan orang ramai yang Bank Islam tidak mengamalkan riba’ kalau tiada orang yang percaya kepada dakyah teori konspirasi, maka Dr Zaharuddin mempunyai masa yang banyak untuk memperbaiki dan mengelokkan lagi sistem perbankan Islam. Dan alangkah bagusnya jugak, kalau ramai-ramai orang yang menghabiskan masa mengkaji teori konspirasi ini, menghabiskan masanya mengkaji ilmu sains, teknologi dan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Tentunya banyak masalah kita dalam masyarakat dapat diselesaikan.
Kesimpulan
Mesej yang saya boleh sampaikan di sini adalah mudah sahaja. Kerana sifat teori konspirasi itu yang menarik perhatian, dan psikologi orang-orang yang mempercayai teori konspirasi, maka pengikut teori konspirasi lebih senang menjadi taksub terhadap fahaman dan pegangan mereka dalam teori konspirasi. Teori konspirasi membawa banyak kesan yang buruk (antaranya kematian, wabak penyakit) dan juga membazirkan usaha, masa dan tenaga tanpa memberikan sebarang penyelesaian. Pada hemat saya, teori konspirasi lansung tidak mendatangkan sebarang kebaikan malah membawa banyak lagi kesan negatif kepada masyarakat. Akhir kata, teori konspirasi ni pada umumnya, dengar boleh, percaya jangan.
Rujukan
- AFP (2018), “Mother-daughter polio team shot dead in Pakistan: police” ,New Straits Times
https://www.nst.com.my/world/2018/01/326512/mother-daughter-polio-team-shot-dead-pakistan-police
- Abdullah, Suhazeli (2018), “Konspirasi Vaksin Pembunuh”, Facebook
- Douglas, K. M., Sutton, R. M., & Cichocka, A. (2017). The psychology of conspiracy theories. Current Directions in Psychological Science, 26, 538-542.
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5724570/
- Laqueur, Walter (1990). Russia and Germany: A Century of Conflict. New Brunswick: Transaction Publishers.
- Wears, Adam & Jackson, Sam (2014). 5 Reasons Conspiracy Theories Are Destroying the World. CRACKED.
http://www.cracked.com/article_21341_5-ways-every-conspiracy-theory-makes-world-worse.html
- Palmer,Katie (2015), WHY DID VACCINATED PEOPLE GET MEASLES AT DISNEYLAND? BLAME THE UNVACCINATED. Wired.com
https://www.wired.com/2015/01/vaccinated-people-get-measles-disneyland-blame-unvaccinated/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih