Sebut sahaja melahirkan anak, pasti tidak lari dari perasaan takut, menyakitkan dan memedihkan bagi wanita. Bahkan, kesakitan itu pasti bertambah jika kehamilan tidak normal, dan mempunyai pengalaman pahit dalam melahirkan anak pada masa lalu. Namun, tahukah anda, ada penyakit yang lebih menyakitkan dari melahirkan anak?
Ya, ia adalah penyakit batu karang. Penyakit ini dikatakan paling menyakitkan yang boleh dirasakan seorang lelaki. Ia dikaitkan dengan buah pinggang. Buah pinggang berperanan sebagai alat penapisan bahan toksik, yang mana mineral dan dan garam asid dalam air kencing boleh termendap dalam organ tersebut. (Ilmi, 2015)
Apabila tubuh seseorang kekurangan air, bahan ini akan membentuk kristal dan seterusnya menjadi batu karang. Ia akan lebih teruk apabila tersangkut di dalam saluran buah pinggang, menyebabkan masalah kencing kotor, pendarahan dalam kencing, malah jika dibiarkan berlarutan, ia boleh menyebabkan kanser prostat atau lebih parah lagi membawa maut! (Ilmi, 2015)
Tahap Kes*kitan Penyakit Batu Karang
Betulkah batu karang ini lebih pedih dari melahirkan anak? Sebenarnya, jawapan bagi soalan ini berbeza-beza bagi setiap orang berdasarkan kadar toleran atau ketahanannya terhadap kesakitan, serta pengalaman lalu. Dalam satu kajian yang dilakukan ke atas 19 wanita yang berpengalaman melahirkan anak, 12 daripadanya bersetuju bahawa penyakit batu karang lebih menyakitkan. (Adams, 2017)
Dalam kajian yang sama, 32 dari 36 orang lelaki (88.9%) menyatakan bahawa penyakit batu karang merupakan yang paling s*kit pernah mereka rasakan. Manakala 19 dari 23 wanita (78.2%) bersetuju bahawa penyakit batu karang yang paling s*kit dirasakan oleh mereka. (Miah, Gunner, & Parys, 2017)
Selain itu, dalam sebuah kajian yang lain, 70 orang ibu yang melahirkan anak buat kali pertama menilai kes*kitan mereka secara purata antara 7 hingga 8 pada skala 1-10. Manakala ibu yang pernah melahirkan anak menilai kes*kitan antara 6 hingga 7. (Fritz, 2020)
Kemudian, sebuah kajian lagi dijalankan pada 287 orang pesakit batu karang pada tahun 2016, mereka semua menilai kes*kitan batu karang sangat serupa seperti melahirkan anak, iaitu secara puratanya pada skor 7.9 dari 10. (Fritz, 2020)
Golongan Yang Berisiko
Golongan yang berpotensi untuk mendapat penyakit ini ialah golongan lelaki dengan risiko 10% kerana gaya hidup yang kurang sihat berserta saluran kencing lelaki yang kompleks, manakala wanita risikonya 5%. Kajian terbaru pula mendapati risiko untuk wanita mendapat penyakit ini meningkat, selain kanak-kanak dan orang dewasa berumur 25 tahun ke bawah. (Landau, 2013)
Orang yang berpenyakit obesiti, dan diabetes juga lebih terdedah kepada penyakit ini kerana ia melibatkan kegagalan buah pinggang berfungsi dengan baik. Kekurangan pengambilan air, pengambilan garam dan protein haiwan yang berlebihan juga boleh menyebabkan air kencing menjadi lebih berasid dan mudah membentuk batu. (Landau, 2013)
Begitu juga, orang yang pernah terkena penyakit ini lebih cenderung untuk terkena lagi dalam jangka masa antara 5 ke 10 tahun akan datang. Ibu bapa atau ahli keluarga yang mempunyai penyakit ini juga memungkinkan anak-anak mereka lebih mudah mengalaminya. (Landau, 2013)
Simptom-Simptom Penyakit
Antara simptom pembentukan batu karang ialah kesakitan yang amat sangat di suatu sisi bahagian bawah belakang badan, sakit perut yang teruk, adanya darah pada air kencing, muntah dan berasa mual, demam dan sejuk badan, serta kencing yang berbau busuk dan berwarna kabur. (Fritz, 2020)
Perkara yang menyebabkan kesakitan yang teramat ini ialah kerana batu karang yang terbentuk menghalang aliran air kencing dari bawah pinggang. Apabila air kencing terkumpul, ia mewujudkan gelombang kes*kitan dan kekejangan yang memberi kesan sama seperti kontraksi ketika bersalin. (Landau, 2013)
Dalam kes ini, sistem badan akan memaksa air kencing untuk keluar, pada masa yang sama, akan berlakunya pengembangan saluran secara tidak normal antara buah pinggang dan salur kencing yang menyebabkan kes*kitan yang teramat. (Landau, 2013)
Rawatan dan Cara Mengeluarkannya
Bagaimana batu karang ini dikeluarkan? Sekiranya ia bersaiz kecil, selalunya ia akan terkeluar sendiri bersama air kencing dengan dibantu oleh ubat yang diberikan oleh doktor. Namun, jika ia bersaiz besar, maka berkemungkinan besar memerlukan pemb3dahan untuk mengeluarkan batu tersebut. (Landau, 2013)
Tempoh masa untuk batu karang ini keluar dengan sendiri mengambil masa beberapa hari hingga boleh mencapi berminggu-minggu, bergantung kepada saiz batu karang tersebut. Dalam tempoh ini, pes*kit selalunya akan dipantau oleh doktor secara rutin untuk melihat keadaan pesakit. (Landau, 2013)
Batu karang ini boleh menyebabkan keadaan yang lebih kritikal bahkan kem4tian apabila terdapat jangkitan kuman padanya, dan air kencing pula tidak boleh keluar, maka ia akan merebak di kawasan itu hingga ke kawasan-kawasan lainnya.Batu karang juga boleh menggagalkan fungsi buah pinggang jika dibiarkan dalam masa yang lama. (Landau, 2013)
Cara Mengelakkannya
Antara perkara yang perlu dikurangkan ialah pengambilan makanan kaya protein seperti daging merah, makanan laut serta minuman beralkohol. Pengambilan makanan kaya tenusu dan tinggi kalsium perlu diambil dalam kuantiti yang sederhana. (Ilmi, 2015)
Manakala makanan seperti coklat, kopi dan bayam yang kaya dengan mineral oksalat juga patut dikurangkan.Selain itu, digalakkan juga untuk meminum air antara satu hingga tiga liter sehari. Senaman juga perlu dilakukan secara rutin bersesuaian dengan keadaan seseorang. (Ilmi, 2015)
Ringkasnya, seseorang yang mendapati simptom-simptom penyakit batu karang ini perlulah bersegera mendapatkan rawatan daripada doktor atau pakar perubatan bagi mengelakkan jangkitan yang lebih serius. Bagi mencegahnya pula terutama bekas pes4kit, gaya hidup sihat perlu diamalkan dengan pemakanan yang sesuai mengikut nasihat pakar.
RUJUKAN:
1)Adams, S. (2017, July 23). Kidney Stones Are Worse Than Childbirth, Say Mothers Who Have Endured The Pain of Both. https://www.dailymail.co.uk/health/article-4721660/amp/Kidney-stones-painful-labour.html
2) Fritz, A. (2020). Myth or Fact: Are Kidney Stones As Painful As Childbirth. Retrieved from Keck Medicine of USC:
3) Ilmi, R. (2015, April 4). Makanan Agen Batu Karang.
https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/04/45128/makanan-agen-batu-karang
4) Landau, E. (2013, April 8). Kidney Stones: Worse Than Childbirth.
Health: https://edition.cnn.com/2013/03/11/health/kidney-stones-explainer/index.html
5) Miah, S., Gunner, C., & Parys, B. (2017). Renal Colic and Childbirth Pain: Female Experience Versus Male Perception. Journal of Pain Research, 1553-1554.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih