Rumah Slytherin terkenal dengan watak jahat dalam siri Harry Potter. Rumah ini adalah bersempena dengan nama Salazar Slytherin yang mengasaskan Sekolah Sihir Hogwarts, bersama dengan 3 rakannya lagi, Godric Griffyndoor, Helena Hufflepuff dan Rowena Ravenclaw. Jadi kenapa kita anggap watak Slytherin ini watak jahat?

Pertama sekali kita kena kenal pasti terlebih dahulu apakah yang membolehkan Salazar Slytherin dikategorikan sebagai orang jahat. Berdasarkan pembacaan dalam siri Harry Potter dan beberapa penjelasan daripada peminat, 3 perkara yang dapat dimuatkan untuk mengkategorikan Salazar Slytherin sebagai orang jahat.

Beliau pewaris Slytherin

Kriteria ini merupakan kriteria yang paling susah untuk difikirkan kerana kriteria ini bukan salah Salazar. Sepanjang siri, kita seolah-olah difahamkan keturunan Slytherin adalah keturunan yang jahat. Slytherin melahirkan ramai ahli sihir jahat yang cuba menguasai dunia, dan bermain-main dengan ilmu larangan. Pada masa yang sama, Slytherin juga ramai yang berlagak dan bangga dengan keturunan mereka kerana keturunan mereka dianggap hebat berbanding keturunan lain.

Di sini menjadi persoalan, bolehkah perangai anak cucunya dikaitkan dengan perangai Salazar? Memang, sejarah membuktikan Salazar seorang yang hebat dan bangga dengan kehebatannya. Namun  apa yang terjadi kepada keturunannya bukanlah salah beliau. Jika dilihat luar daripada dunia sihir Harry Potter, kualiti yang dimiliki keturunan Slytherin ini sangat didengki orang lain.

Kualiti-kualiti seperti taktikal, strategis dan licik menyebabkan seseorang itu mindanya lebih fokus kepada cita-cita mereka. Mereka juga dilihat sebagai anti-sosial dalam kalangan masyarakat, maka mereka dianggap prejudis oleh orang lain sebagai sombong. Pelbagai kajian telah menunjukkan orang yang pintar atau genius tidak gembira apabila mereka bergaul dengan orang lain dan lebih suka menyendiri.

Kualiti sebegitu menyebabkan mereka dilihat lebih hebat daripada orang lain, dan berjaya mencapai kejayaan dalam karier mereka. Mereka juga kelihatan lebih dingin, ‘calculative’ dan lebih rasional berbanding orang di sekeliling mereka. Golongan sebegini biasanya memiliki moral yang kompleks.

Walaupun mereka lakukan kejahatan, tapi dengan rasional kejahatan yang mereka jelaskan, sedikit sebanyak manusia akan dapat memahami tindakan mereka. Ideologi mereka juga lebih berbeza dari ideology orang lain, yang mereka pelajari dan alami sendiri dengan mengkonklusikan secara absah bahawa dunia ini perlukan pembetulan, dan pembetulan perlukan ilmu.

Antara contoh keturunan Slytherin yang terkenal ialah Severus Snape dan Tom Riddle. Kedua-dua mereka melakukan pengorbanan yang dirasakan perlu demi untuk mencapai kebaikan sejagat. Tom Riddle contohnya, sanggup memecahkan jiwanya sendiri kepada lapan bahagian dan disembunyikan dalam 8 ‘item’ berbeza dengan tujuan untuk mencapai keabadian hidup.

Baginya, dengan keabadian hidup sahajalah beliau dapat mencapai cita-citanya menjadi ahli sihir terkemuka sepanjang masa. Ianya terbukti apabila menjadi Lord Voldemort, namanya pun tidak berani disebut oleh masyarakat setempat.

Selain itu, Severus Snape juga melakukan pengorbanan yang begitu banyak demi kebaikan sejagat. Beliau sanggup dibenci, dan sanggup berpaling kesetiaannya kepada Dumbledore demi menyelinap masuk ke dalam kumpulan Death Eaters semata-mata untuk mengawasi Voldemort.

Beliau juga sanggup berkorban demi cinta sejatinya, Lily Potter yang merupakan ibu kepada Harry. Beliau bukanlah mahukan penakhlukan dunia seperti Voldemort, tapi yang beliau mahukan ialah keamanan, maka pengorbanan terpaksa dilakukan di kala ramai yang tidak sanggup.

Beliau tidak suka Muggle dan berpendapat sihir tidak boleh diajarkan kepada Muggle

Pendapat yang kedua ialah beliau tidak suka keturunan Muggle, iaitu keturunan manusia berdarah biasa dan bukan berdarah sihir. Pendapat sebegini tidak dipersetujui oleh tiga rakannya yang lain sehingga menyebabkan beliau disingkirkan daripada sekolah Hogwarts yang beliau asaskan. Beliau juga berpendapat Muggles tidak boleh menguasai dunia dan tidak boleh diajarkan ilmu sihir.

Pendapat bahawa ilmu memerintah dunia tidak boleh diberikan kepada semua orang ini, sebenarnya adalah antara pendapat paling lama di dunia. Pendapat ini wujud sejak zaman tamadun pertama lagi. Antara yang berpegang dengan pendapat yang sama ialah Confucius (551-479 BCE). Beliau berpendapat ketamadunan adalah berpegang kepada nilai-nilai yang perlu dipupuk secara hierarki seperti nilai tradisi, kesetiaan dan hormat menghormati.

Nilai-nilai ini diperturunkan secara hierarki daripada ayah kepada anak, suami kepada isteri, abang kepada adik dan negara kepada rakyat. Maka, yang perlu memerintah sesebuah negara ialah seseorang yang memiliki nilai-nilai sebegini, yang digelar sebagai Junzi atau ‘superior man’.

Junzi akan bertindak sebagai contoh teladan kepada hierarki yang lain supaya nilai itu diperturunkan secara berterusan, menjadikan negara itu aman dan tenteram. Junzi(君子)bertindak sebagai satu agen, memiliki kuasa dan hak miliki untuk mentadbir hidup rakyat, dan sekaligus terlibat dalam politik antara rakyat dengan pemerintah.

Selain itu, keturunan Slytherin juga dilihat obses dengan kuasa, seperti yang dilihat melalui contoh Severus Snape yang begitu bersungguh-sungguh mengejar jawatan Guru Defense against Dark Arts, sedangkan beliau seorang yang amat mahir dalam bidang pembuatan potion sehingga digelar Half-Blood Prince.

Bagi Salazar dan keturunannya, kuasa adalah imbangan, balance. Ia merupakan satu keupayaan untuk mendapatkan apa yang kita mahu dan hindarkan apa yang kita tolak [2]. Disebabkan ahli sihir memiliki kuasa berbanding kebanyakan orang biasa (Muggle), maka logiklah bagi mereka supaya ahli sihir yang harus mentadbir dunia. Seolah olah Salazar berpendapat pentadbiran dunia oleh ahli sihir bukanlah satu kemahuan, tapi tanggungjawab.

Beliau menyimpan Basilisk secara rahsia dalam Hogwarts

Walaupun Confuscius menekankan Junzi hanya boleh menjadi contoh sahaja agar rakyat ikut, tapi beliau tidak menolak kemungkinan kerajaan yang jahat perlu digulingkan dengan apa cara sekalipun, termasuklah membunuh. Sebelum Salazar meninggalkan sekolah Hogwarts setelah disingkirkan, beliau telah meletakkan Basilisk, seekor ular gergasi di bawah bangunan Hogwarts.

Tempat itu hanya boleh dibuka oleh keturunannya sahaja dan apabila ular itu dilepaskan, akan membunuh ramai orang, terutamanya Muggle. Kita tidak cuba untuk mempertahankan tindakan Salazar. Sememangnya membunuh orang itu perkara yang salah.

Namun, apakah justifikasi tindakan beliau ini? Adakah beliau ingin membalas dendam? Atau ular itu dijadikan sebagai senjata rahsia jika sekiranya berlaku pergolakan dalam Hogwarts, dan keturunannya didiskriminasi oleh kerajaan dan sekolah itu? Pendapat penulis ialah yang kedua. Kerana sebagai seorang yang pintar, beliau mungkin meramalkan keturunan sihir akan diburu oleh keturunan Muggle pada masa akan datang.

Ternyata ramalan itu terbukti apabila Headless Nick hampir menjadi mangsa pemburuan ahli sihir oleh Muggles pada October 31, 1492 . Beliau dihukum oleh Muggles kerana menjadi ahli sihir. Maka, tidak hairanlah Salazar menyimpan ular itu sebagai senjata rahsia.

Politik sememangnya seni sebarang kemungkinan. Sebarang tindakan ada justifikasi tersendiri. Cerita Harry Potter ini jika diselidiki memiliki banyak ilmu, namun seperti golongan ahli sihir, mereka tersembunyi dan berlegar dalam kalangan kita tanpa kita sedari dan peduli.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Ahmad Naqib Syahmi bin Jaafar. Bekas pensyarah Kolej Profesional MARA Indera Mahkota, Kuantan. Sekarang pelajar separuh masa sarjana media komunikasi dan pengajian perang di UiTM Shah Alam.

Comments are closed.