Sebut saja air terjun, kita membayangkan ia berada di kawasan hulu sungai dan menjadi tempat tumpuan pelancong. Dari segi rekod, Air Terjun Victoria memegang rekod sebagai air terjun terbesar di dunia manakala Air Terjun Angel pula merupakan air terjun tertinggi di dunia. Tetapi kita tidak pernah menyangka wujud satu kawasan air terjun di lautan.

Mungkin ada yang menganggap ini sebagai aneh tetapi hakikatnya air terjun ini benar-benar wujud. Kawasan tersebut ialah Selat Faroe Bank yang terletak di antara Scotland dan Iceland. Laluan yang sempit dan dalam ini menghubungkan laut Norway dengan bahagian utara Lautan Atlantik melalui aliran air yang berterusan dan sejuk sehingga ke kawasan dasar laut.

Memandangkan kawasan ini merentasi Rabung Scotland-Greenland, ia menghasilkan air terjun yang besar dengan air jatuh dari ketinggian 840 meter terus ke Lautan Atlantik. Kawasan ini merupakan antara kawasan tumpuan penyelidikan oseanografi sejak tahun 1995 tetapi kewujudan air terjun ini hanya diketahui baru-baru ini.

Sebelum ini, kawasan limpahan Selat Faroe Bank dikatakan datang dari aliran air sejuk yang mengalir sepanjang bahagian barat selat berkenaan. Untuk beberapa ketika, ia dianggap sebagai fakta. Tetapi berdasarkan penyelidikan terbaru, kebanyakan air dari air terjun tersebut datang dari aliran timur yang senyap. Aliran ini yang mengeluarkan air sejuk ke selat melalui arus laut yang dalam dan laju.

Penyelidik oseanografi fizikal dari Universiti Stockholm, Leon Chafik melihat penemuan ini sebagai aneh tetapi mengujakan kerana berdasarkan kajian mereka, mereka tahu kewujudan struktur sama di Selat Denmark. Selat Denmark yang terletak di antara Iceland dan Greenland serta selari dengan Selat Faroe Bank merupakan lokasi air terjun terbesar di dunia dengan saiz tiga kali ganda melebihi Air Terjun Angel.

Apabila air sejuk selat berkenaan bertemu dengan air Selat Faroe Bank pada satu lagi bahagian Iceland, air yang bergerak pantas menghasilkan arus yang kuat masuk ke bahagian dalam utara Atlantik. Dua selat ini memainkan peranan penting dalam peredaran lautan termasuk menyumbang kepada peredaran pembalikan arus meridian Atlantik (AMOC).

AMOC mempunyai dua laluan, satu laluan dalam yang membawa air sejuk dari latitud yang lebih tinggi ke Lautan Atlantik. Manakala satu laluan cetek membawa air Atlantik yang panas ke sebelah utara. Peredaran ini merupakan pengawal utama sistem iklim dunia tetapi masih banyak perkara yang tidak diketahui tentang sistem berkenaan.

Mengikut model kitaran yang dibangunkan penyelidik, limpahan di Selat Faroe tidak berpusing terus ke Selat Faroe-Shetland seperti disangka. Sebaliknya, arus dari selat berkenaan mengalir sehingga hampir ke Norway sebelum berpusing ke selatan, terus menuju ke air terjun dan jauh dari kawasan benua. Laluan pusingan ini turut dipengaruhi oleh keadaan angin sekaligus mencadangkan keadaan atmosfera boleh mempengaruhi kekuatan angin.

Keadaan ini dapat dilihat pada dekad 2000 apabila arus di sebelah timur amat kuat pada ketika itu. Pada tahun-tahun tersebut, aliran air ke limpahan Faroe berada pada tahap paling rendah sementara limpahan itu sendiri berada pada paras tertinggi. Sesetengah selat lain dilihat menyalurkan air ke air terjun berkenaan.

Namun, tatkala selat ini dilihat kekal, kekuatan arusnya boleh berubah mengikut perubahan angin. Menurut para penyelidik, keadaan angin yang berbeza di Laut Nordic dilihat menyebabkan air yang mengalir ke Selat Faroe datang dari pelbagai laluan dan kedalaman.

Keadaan ini dikesan pada tahun 90-an apabila arus limpahan Faroe dilihat lemah berbanding mengikut kebiasaan dan sumber air utamanya datang dari utara Iceland sepanjang laluan terus di sebelah barat. Tetapi atas sebab yang tidak dinyatakan, ia sudah berubah.

“Disebabkan ini, aliran air yang baru ditemui dan arus laut memainkan peranan penting dalam peredaran laut pada latitud tertinggi. Penemuan ini sedikit sebanyak menambah lagi pemahaman terhad kita terhadap peredaran pembalikan di Lautan Atlantik,” tambah Chafik.

RUJUKAN:

Cassella, Carly. (2020). One of Earth’s Largest ‘Waterfalls’ Is in The Ocean, And We Just Found Its Main Source. Science Alert. https://www.sciencealert.com/one-of-earth-s-largest-waterfalls-is-actually-found-deep-in-the-sea-and-we-just-discovered-its-main-source


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.