Menurut mitos Yunani Kuno, terdapat sebuah kaum yang aneh – ia memiliki tubuh gergasi dan bermata satu di dahinya. Makhluk ini bernama Cyclops, yang membawa maksud ‘bermata bulat’. Dalam karya popular Homer yang berjudul Odyssey, wira bernama Odyssey bertempur dengan Cyclops yang bernama Polyphemus, anak kepada Dewa Poseidon dan Thoosa.
Walaupun legenda Cyclops ini berasal dari Eropah, mengapa Filipina yang terletak jauh di timur mempunyai legenda yang sama, di mana makhluk aneh itu dinamakan sebagai Bungisngis?
BUNGISNGIS: SEPUTAR MAKLUMAT YANG DIMILIKI
Dr. Maximo Ramos telah pun mengkaji mitologi Filipina sejak sekian lama dan pernah menerbitkan bukunya yang bertajuk ‘The Creatures of Philippine Lower Mythology’. Beliau menjelaskan bahawa dalam sebuah kisah legenda Batangsa, sejenis gergasi yang dikenali sebagai Bungisngis dirincikan sebagai ‘lelaki bertubuh besar yang sentiasa ketawa’.
Nama Bungisngis dikatakan berasal daripada kata ‘ngisi’, sebuah perkataan dalam bahasa Tagalog yang bermaksud, ‘menunjukkan giginya’. Makhluk ini juga mempunyai bibir yang besar hinggakan apabila ia memuncungkan bibirnya, ia boleh menutup seluruh mukanya. Kekuatan Bungisngis digambarkan menerusi kisah beliau menghambat tanduk seekor kerbau lalu melemparnya ‘jauh ke perusuk bumi’.
Bungisngis tinggal di dalam hutan dan pemakanannya sama sahaja seperti manusia, ia memakan apa sahaja terutamanya haiwan-haiwan mangsa yang bersesuaian dengan saiznya. Menurut legenda Batangsa, Bungisngis mendengar percikan api yang dihidupkan untuk memanggang daging seekor kerbau. Kemudian, setelah bertemu dengan penduduk yang memanggang daging tersebut, ia menginginkan bahagiannya. Lantas, Bungisngis pun memakan daging tersebut dengan lahap.
BUNGISNGIS: MENJEJAK ASAL-USULNYA
Sebenarnya, agak mudah untuk kita menjejak asal-usul makhluk legenda tersebut jika kita telusuri manuskrip Hikayat Ibalong. Manuskrip yang turut dikenali sebagai Handiong atau Handyong itu merupakan pecahan 60 perenggan dari epik penuh Bikol di daerah Bigol, Filipina. Epik tersebut dipengaruhi oleh kitab Ramayana dan Mahabrata pada era Srivijaya (abad ke-7 Masehi).
Di dalam Hikayat Ibalong, raksasa bermata satu itu dikenali sebagai Buring, manakala di dalam kitab Hindu pula, ia dikenali sebagai Kabandha. Selain itu, Biag ni Lam-ang, iaitu puisi legenda masyarakat Ilocano, Filipina juga turut dipengaruhi oleh legenda yang sama dari Ramayana dan Mahabrata.
Kita dapat melihat bahawa masyarakat yang memiliki kisah legenda tersebut telah menerima pengaruh India dan kita pun sedia maklum bahawa pengaruh Hindu-Buddha mencapai sehingga ke Borneo dan Semenanjung Melayu melalui perdagangan dan migrasi. Kajian DNA menunjukkan bahawa penghuni berbangsa India telah pun wujud di Kepulauan Filipina jauh sebelum kedatangan penjajah Sepanyol.
Oleh kerana itu, tidak mustahil sekiranya kisah-kisah legenda Bungisngis mempunyai pengaruh Hindu. Kisah Bungisngis juga mempunyai kemiripan dengan kisah-kisah legenda Borneo yang dicatatkan di dalam Filipino Popular Tales Collected and Edited with Comparatives Notes oleh Dean S. Fansler.
MENGHAYATI KISAH LEGENDA TIGA SEKAWAN FILIPINA – SI MONYET, ANJING DAN KERBAU
Pada suatu masa dahulu, terdapat tiga sahabat baik yang hidup bersama – Si Monyet, Anjing dan Kerbau. Mereka bertiga berasa bosan dengan kehidupan di kota, maka mereka pun pergi ke kampung untuk berburu. Dalam kesempatan itu, mereka turut membawa bersama bekalan seperti nasi, daging dan peralatan dapur.
Pada hari pertama, Si Kerbau tinggal di rumah untuk memasak makanan, supaya dua sahabatnya dapat menikmati makanan sekembali dari berburu. Setelah dua sahabat itu keluar berburu, Si Kerbau pun mula memanggang daging. Malangnya, bunyi percikan api panggangan itu didengari oleh Bungisngis yang berada di hutan.
Melihat keadaan tersebut sebagai peluang untuk mengisi perutnya yang sekian lama lapar, Bungisnis pun bertandang ke rumah Si Kerbau dan berkata, “Hai saudara, nampaknya kamu telah menyediakan makanan untuk aku.”
Si Kerbau membalas sapaan itu dengan membuat ser4ngan. Lantaran itu, Bungisngis pun naik berang dan menghambat tanduk Si Kerbau lalu menumbangkannya. Kemudian, Bungisngis menjamah daging pangging yang disediakan oleh Si Kerbau lalu melarikan diri.
Apabila Si Monyet dan Si Anjing pulang dari berburu, rumah mereka berada dalam keadaan berantakan dan Si Kerbau pula terbaring di lantai. Si Kerbau lantas memaklumkan kepada mereka bahawa ada seorang lelaki berbadan besar datang dan membelasahnya. Setelah itu, mereka bertiga melanjutkan aktiviti memasakmakanan dan melupakan kejadian tadi.
Bungisngis sekali lagi menyedari bahawa tiga sekawan itu sedang memasak makanan. Namun, beliau tidak berani untuk menceroboh buat kali kedua kerana mengetahui bahawa situasi tiga lawan satu tidak memberikan kelebihan buat dirinya.
Pada keesokan hari, Si Anjing tinggal di rumah untuk menyediakan makanan. Setelah makanan siap dihidangkan, Bungisngis tiba dan menuturkan kata-kata yang sama seperti semalam. Si Anjing naik berang terhadap tetamu tidak diundang itu, namun Bungisngis terus sahaja meny3rangnya tanpa ragu-ragu. Sebaik sahaja Si Anjing lunyai dibelasah, beliau berundur ke suatu sudut rumah dan membiarkan sahaja Bungisngis menghabiskan makanan.
Si Anjing sebetulnya boleh sahaja memanggil sahabat-sahabatnya dengan menyalak kuat, namun beliau khuatir akan dibvnuh oleh makhluk bengis itu. Tidak lama selepas Bungisngis beredar, Si Monyet dan Si Kerbau pun pulang. Mereka benar-benar naik angina kerana menyedari bahawa Bungisngis membuat onar sekali lagi.
Pada hari ketiga, giliran Si Monyet pula untuk tinggal di rumah. Sebelum mula memasak, Si Monyet menggali lubang di hadapan periuk. Selepas masakannya selesai, beliau meletakkannya ke dalam periuk. Maka semasa Bungisngis muncul buat kali ketiga, Si Monyet mempelawa dengan sopan, Tuan, makanannya sudah tersedia. Harap tuan dapat memakannya dengan senang hati.”
Bungisngis pun terus sahaja menerima pelawaan itu dan mula menjamah hidangan setelah mengambil tempat duduk di atas sebuah kerusi. Si Monyet memegang kaki kerusi tersebut dan denan beraninya menghumbang Bungisngis ke dalam lubang yang telah digali. Lantas, lekas sahaja beliau mengkambus lubang tersebut.
Apabila dua sahabatnya pulang, mereka pun bertanya kepada Si Monyet perihal Bungisngis. Pada mulanya, Si Monyet buat tidak endah. Namun setelah didesak banyak kali, Si Monyet pun membuka mulut dan menceritakan hal sebenar.
Maka, dua sahabat itu pun terus menghampiri lubang tersebut dan menggalinya dengan niat untuk melihat sama ada Bungisngis telah m4ti ataupun tidak. Namun malangnya, Bungisngis masih lagi hidup. Beliau langsung sahaja keluar daripada lubang itu dan membvnuh Si Kerbau dan Si Anjing. Si Monyet pula segera melarikan diri dengan memanjat pokok.
Bungisngis mengejar Si Monyet sambil berteriak, “Aku akan bvnuh kau!”
“Jangan bvnuh aku!” pujuk Si Monyet. “Aku akan serahkan jawatan aku pada kamu. Raja telah menugaskan aku untuk membunyikan loceng itu pada setiap jam,” sambil menunjukkan ke arah sebatang pokok.”
“Baiklah! Aku terima,” ujar Bungisngis. “Kamu duduk di sini sementara saya cari tahu jam berapak sekarang,” balas Si Monyet. Maka, si monyet pun menghilangkan diri dengan lama sehingga Bungisngis tidak boleh bersabar lagi. Lantas, Bungisngis pun menggoncangkan pokok tersebut tanpa menyedari bahawa terdapat sarang lebah di atas pokok itu. Maka, lebah-lebah itu pun meny3rang Bungisngis.
Bungisngis semakin berang. Beliau mencari semula Si Monyet dan menemukannya sedang bermain dengan ular Boa yang tidur. “Tak guna kau! Aku tidak mahu dengar dolah-dalih kamu lagi. Aku akan bvnuh kamu sekarang!”
“Tolonglah, jangan bvnuh aku. Kali ini, aku akan berikan kamu tali pinggang pemberian Raja sebagai tanda maaf,” pinta Si Monyet.
Sebaik sahaja melihat tali pinggang yang dimaksudkan oleh Si Monyet, Bungisngis langsung sahaja tertarik dengan warnanya dan meminta Si Monyet agar memakaikannya di pinggang beliau. Setelah selesai, Si Monyet pun mengejutkan ular Boa itu dengan mencubitkan. Begitulah kisah tamatnya riwayat Bungisngis dek lilitan ‘tali pinggang’.
RUJUKAN:
AswangProject. (8 November 2016). Bungisngis: Origins of the Philippine Cyclops.
https://www.aswangproject.com/bungisngis
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih