Jika anda memandu di satu jalan terpencil merentasi Semenanjung Hook di bahagian timur Ireland, pasti mudah untuk mengesan sebuah rumah agam yang mendapat reputasi sebagai antara tempat paling berhantu di negara itu. Rumah agam Loftus Hall kaya dengan sejarahnya yang tersendiri dan sesetengahnya terus hidup menerusi kisah-kisah hantu yang menyelubungi kediaman tersebut.
Hari ini, Loftus Hall bakal dijual oleh pemiliknya, Aidan dan Shane Quigley dengan nilai 2.5 juta Euro dan rumah agam itu sudah menjalani proses pemulihan struktur yang signifikan. Bagaimanapun, orang yang berminat memiliki Loftus Hall perlu melepasi sesi temuduga dengan pemilik kediaman tersebut.
Aidan dalam satu temubual bersama Irish Examiner berkata, “Saya tidak akan menjual rumah ini kepada orang sembarangan. Saya akan menembual pembeli-pembeli berpotensi. Sekiranya ada badan kebangsaan berminat, itu merupakan satu pilihan. Tetapi jika ada pembeli Amerika yang mahu menetap di sini, saya mahu bekerjasama dengan mereka dalam memulihkan Loftus Hall.”
Quigley bersaudara ketika ini merupakan pemilik Loftus Hall tetapi sejarah membabitkan kediaman itu dan tanah lokasi keberadaannya sebenarnya menjangkau lebih 800 tahun. Jika ditanya penduduk tempatan, mereka menyifatkan sejarah lokasi tersebut lebih lama dan berkemungkinan berusia ribuan tahun kerana ia dianggap suci oleh golongan Druid, kelompok individu bertaraf profesional dan agamawan berstatus tinggi dalam budaya Celtic lama.
Kisah Loftus Hall dikatakan bermula pada abad ke-12 atau lebih tepat 1170. Raymond/Redmond Fitzgerald atau Le Gros (Si Gemuk) mendarat di Baginbun Head, Semenanjung Hook yang kini merupakan daerah Wexford moden. Dalam sejarah Ireland, Le Gros merupakan antara individu bertanggungjawab mengukuhkan pemerintahan orang Norman di negara itu.
Tanah yang menjadi lokasi Loftus Hall hari ini diambil dan di situlah beliau membina sebuah istana bernama Istana Houseland. Namun, lama-kelamaan istana tersebut terbiar dan mendorong keturunan Le Gros merobohkan Istana Houseland sebelum digantikan dengan pembinaan istana yang dipanggil The Hall atau Redmond Hall.
Sejak itu, The Hall terus kekal dalam pemilikan keluarga Redmond sehinggalah pertengahan abad ke-17 Masihi. Tempoh tersebut menyaksikan konflik yang dikenali sebagai P3rang Konfederasi Ireland atau P3rang 11 Tahun sebagai sebahagian dari konflik P3rang Saudara Britain membabitkan kumpulan-kumpulan penyokong Oliver Cromwell dengan penyokong Raja Charles I.
Menariknya di Loftus Hall, kediaman ini menjadi saksi pert3mpuran sengit antara t3ntera Cromwell dengan keluarga Redmond yang berkubu di situ. Pada 20 Julai 1642, Alexander Redmond yang berusia 68 tahun ketika itu berupaya menangkis 4ncaman pihak Cromwell dengan bantuan dua anaknya, beberapa orang penyewa, dua orang 4skar dan seorang tukang jahit.
Pihak Cromwell yang tidak berpuas hati dengan kekalahan mereka terus mencuba mendapatkan The Hall tetapi tidak berhasil. Akhirnya, semua s3rangan dihentikan selepas keluarga Redmond bersetuju menerima terma perjanjian yang diberi pihak musuh. Namun pada tahun 1651, keluarga Redmond disingkirkan sebagai pemilik The Hall sebagai sebahagian daripada tindakan kejam Akta Petempatan Ireland 1652 yang dikuatkuasakan oleh Parlimen England.
Pada tahun 1666, seorang bangsawan England bernama Henry Loftus membeli tanah yang dirampas itu dan menamakan The Hall sebagai Loftus Hall. Untuk beberapa dekad dan abad berikutnya, keluarga ini menjadi antara bangsawan Anglo-Irish yang terkenal dengan sesetengah anggota keluarga Loftus memegang gelaran seperti baron, viscount, earl dan marquess.
Dengan kedudukan sebegini, sudah pasti salah satu impian mereka ialah melihat pemerintah Britain ketika itu iaitu Ratu Victoria mengunjungi rumah agam penuh bersejarah itu. Atas sebab itu, John Henry Loftus, 4th Marquess of Ely menggerakkan usaha pengubahsuaian besar-besaran ke atas Loftus Hall antara 1870 hingga 1879.
Walaupun ada yang mendakwa rumah agam itu dirobohkan sebelum dibina semula, banyak bukti menunjukkan kebanyakan struktur lama The Hall digunakan dan dijadikan sebahagian daripada rupa baru kediaman itu hari ini. Apabila ia siap pada tahun 1879, Loftus Hall merupakan rumah agam tiga tingkat lengkap dengan lantai mozek yang indah dan tangga utama yang menarik hasil kerja artisan dari Itali.
Dari segi luaran, penampilan sebegini sememangnya layak sebagai tempat persinggahan individu bergelar raja atau ratu. Tetapi sehingga ke akhir pemerintahan baginda, Ratu Victoria tidak pernah singgah di Loftus Hall sekaligus menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan keluarga Loftus.
Namun, kisah membabitkan Charles Tottenham dan puterinya, Anne Tottenham yang menyebabkan pelbagai misteri dan legenda hantu Loftus menjadi terkenal. Pada pertengahan abad ke-17, Charles berkahwin dengan Anne Loftus dan dikurniakan enam cahaya mata termasuk dua puteri, Elizabeth dan Anne. Tetapi sayang, Loftus meninggal dunia pada saat puteri-puteri mereka masih kecil.
Tidak lama selepas itu, Charles berkahwin lagi dengan sepupunya Jane Cliffe dan mereka sekeluarga kemudiannya menetap di Loftus Hall. Pada satu ketika, sebuah kapal terpaksa berlabuh di Semenanjung Hook bagi mengelak dibadai ribut dan ini mendorong seorang pemuda datang ke situ untuk memohon izin berteduh sementara menanti ribut kembali reda.
Bagi penghuni Loftus Hall, perkara sebegini bukan baru. Kawasan perairan di selatan Wexford yang mencabar boleh menyebabkan kapal tersadai atau musnah terkena batu. Si pemuda yang tidak dikenali itu diberi izin tinggal di Loftus Hall dan menetap di situ selama beberapa minggu. Pada ketika inilah, kedua-dua Anne dan si pemuda jatuh cinta dan banyak menghabiskan masa bersama di Bilik Tapestri.
Mengikut legenda, pada satu ketika, seluruh isi rumah duduk berkumpul dan bermain kad termasuk si pemuda. Walaupun mengikut adat perempuan jarang bermain kad, Anne bertegas mahu bermain bersama mereka. Sedang mereka asyik bermain, salah satu daripada kadnya jatuh di bawah meja dan dia mahu mengutip kad tersebut.
Tatkala Anne hendak mengutip kad tersebut, alangkah terkejutnya dia apabila orang yang dicintainya itu mempunyai telapuk berbelah dan bukan kaki normal seperti manusia biasa. Dia merasa terkejut dan menjerit sekaligus membuatkan seluruh isi rumah Loftus Hall sedar tetamu misteri mereka itu sebenarnya syaitan. Sedar identitinya terbongkar, si syaitan segera berubah menjadi bebola api dan terbang ke udara menembusi bumbung rumah berkenaan.
Pendedahan itu memberi kesan kepada status mental Anne dan keluarga Loftus yang malu memilih mengurung mereka dalam sebuah bilik sehinggalah dia meninggal dunia pada tahun 1775. Sejak itu, Loftus Hall diganggu oleh makhluk halus dan ramai percaya ia berpunca daripada kemunculan syaitan pada malam malang itu.
Keluarga Loftus yang tidak tahan dengan gangguan ini berusaha mendapatkan pertolongan paderi-paderi Protestan untuk menghalau mereka tetapi gagal. Akhirnya, mereka berpaling kepada salah seorang penyewa mereka iaitu seorang paderi Katolik bernama Thomas Broaders. Berikutan kejayaan Broaders menghalau semua hantu keluar dari Loftus Hall, pelbagai konsesi diberi kepada penganut Katolik memandangkan fahaman Katolik tidak diiktiraf di Ireland ketika itu.
Tetapi apakah benar kisah kemunculan syaitan di Loftus Hall? Ada sesetengah pihak berpandangan kisah tersebut sengaja diada-adakan bagi menghalang pengemis atau orang yang tidak diundang singgah di situ. Ini bagi memastikan sebarang usaha mengajak Ratu Victoria singgah di situ tidak digagalkan oleh orang-orang sebegini.
Tetapi benarkah Anne menderita sakit mental akibat peristiwa pelik bin ajaib itu? Menurut satu kisah lain, punca sebenar anak gadis Tottenham itu menderita apabila si pemuda yang menumpang di situ teringin memperisterikannya tetapi dihalang oleh Charles. Lalu, si pemuda dihalau keluar dari Loftus Hall manakala Anne pula dikurung dalam keadaan patah hati.
Namun, ada satu kejutan dalam kisah ini. Semasa melakukan proses pemulihan Loftus Hall, sekumpulan pekerja menemui rangka seorang bayi yang terletak di antara dinding sebuah bilik yang dikatakan tempat Anne dikurung. Mungkinkah kisah sebenar ialah Anne sebenarnya mengandung hasil hubungan terlarang dengan kekasihnya itu sekaligus mengundang malu kepada keluarga berkenaan.
Motif sebegini ada kebenarannya kerana ia dilihat alasan terbaik untuk memastikan Anne tidak dilihat oleh sesiapa sehingga ke akhir hayatnya. Satu kisah tempatan mendakwa anak gadis Tottenham itu m4ti semasa melahirkan anak selepas Charles enggan membenarkan sesiapa tahu keadaan sebenar puterinya termasuk seorang doktor tempatan. Tindakan ini membawa kepada komplikasi semasa kelahiran yang akhirnya membvnvh Anne.
Jadi, apakah itu bermakna Loftus Hall berhantu? Jawapannya bukan saja ya dari segi latar belakang sejarah tetapi juga pengalaman paranormal sesetengah individu semasa berada di situ. Salah seorang daripada mereka ialah Thomas Beavis. Pada tahun 2014, dia merupakan antara pelancong yang mengunjungi rumah agam bersejarah itu.
Bagi mengabadikan kenangannya di situ, sudah menjadi kebiasaan untuknya mengambil gambar sekitar Loftus Hall. Semasa melihat gambar yang ditangkap, alangkah terkejutnya Beavis apabila salah satu gambarnya menangkap imej lembaga dua orang wanita dipercayai imej Anne dan ibunya.
Jadi apa berlaku kepada Loftus Hall pada era moden? Pada awal abad ke-20, keluarga Loftus jatuh muflis dan selepas kem4tian ahli terakhir keluarga berkenaan, Loftus Hall diambil alih oleh Order of Saint Benedict dan kekal berada dalam pemilikan mereka sehingga tahun 1935.
Dua tahun kemudian, Loftus Hall ditukar peranannya sebagai biara dan sekolah untuk kaum wanita oleh Sister of Providence. Namun, warga tempatan takut menghadiri sambutan Mass yang diadakan di situ berikutan kisah syaitan pernah muncul di situ menjadi igauan penduduk.
Pada tahun 1983, ia bertukar peranan sebagai hotel semasa dibeli oleh Michael Deveraux. Selepas kem4tiannya, isterinya bergelut menguruskan Loftus Hall selama beberapa tahun sebelum memilih meninggalkan Loftus Hall begitu saja. Sejak itu, ia terbiar selama hampir sedekad dan dikatakan digunakan untuk upacara pemujaan syaitan.
Pada tahun 2011, ia diambil alih oleh keluarga Quigley dan sejak itu, menjalankan proses pemulihan signifikan terhadap rumah agam berkenaan. Kini, ia dibuka kepada orang ramai di mana mereka boleh mengikuti lawatan berdurasi 45 minit sekitar kawasan Loftus Hall dan mengenali setiap legenda yang berkait dengannya.
RUJUKAN:
Gillan, Joanna. (2020). Loftus Hall: Most Haunted House in Ireland Has Not Revealed All Its Dark Secrets. Ancient-Origins. https://www.ancient-origins.net/unexplained-phenomena/loftus-hall-most-haunted-house-ireland-has-not-revealed-all-its-dark-secrets-021750
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih