Selain menggalas tanggungjawab dalam struktur pentadbiran, masyarakat tempatan juga menjadi pemain utama dalam aspek ekonomi di kawasan tanah jajahan (Melaka dan Pulau Pinang) Kolonial Belanda dan Inggeris. Menerusi aktiviti tersebut (perdagangan), sesebuah kerajaan dapat mendapat menjana pendapatan yang sangat lumayan. Perkara ini telah dijelaskan oleh Tome Pires dalam bukunya yang terkenal iaitu Suma Oriental. Beliau mengibaratkan Melaka sebagai “Venice of the East” kerana melihat kepesatan aktiviti perdagangan yang memberikan hasil kekayaan yang melimpah-ruah buat Melaka pada awal abad ke-16. Beliau turut menambah:
“Whoever is Lord of Malacca has his hand on the throat of Venice.”
Namun begitu, keadaan ini sedikit berubah selepas kedatangan penjajah. Walaupun demikian, masyarakat tempatan yang terdiri daripada kaum Melayu (Bugis/Jawa), Cina dan India (Keling/ Moor/ India Muslim) tetap berfungsi sebagai penggerak utama dalam aspek ekonomi.
Antara kegiatan ekonomi yang dipelopori oleh masyarakat tempatan ialah dalam sektor perdagangan. Sekitar abad ke-17 dan abad ke-18, perdagangan merupakan aktiviti ekonomi yang sangat penting kerana aktiviti inilah yang mengundang kepada peristiwa penjajahan kuasa-kuasa besar ke Alam Melayu bagi memonopoli aktiviti perdagangan. Semasa era penjajahan Belanda dan Inggeris di Melaka dan Pulau Pinang pada abad ke-18, pihak Kolonial tidak hanya bergantung kepada interaksi ekonomi dengan masyarakat Eropah dan pedagang luar semata-mata. Sebaliknya untuk menjana keuntungan yang berlipat kali ganda, mereka memerlukan khidmat pedagang tempatan. Disinilah bermulanya kebergantungan pihak Kolonial kepada usahawan tempatan. Semuanya berlaku disebabkan oleh kepentingan ekonomi dan kemajuan tanah jajahan.
Untuk mengetahui berkenaan dengan latar belakang pedagang di Melaka dan Pulau Pinang pada abad ke-18, mereka boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Di Melaka, masyarakat pedagang tempatan terdiri daripada Orang Kacukan Belanda (Burgher), Melayu, Cina, Moor dan Keling. Di Pulau Pinang pula, golongan pedagang dan peniaga tempatan dipecahkan kepada beberapa kelompok seperti Melayu, Cina, Chulia, Bugis dan Orang Eropah. Antara pedagang terkenal semasa penjajahan Belanda di Melaka ialah Mirsa Muhammad Sia, Tso Anko, Malik Faizullah, Muthu Chitty dan Joost Koek. Mereka merupakan gologan peniaga-peniaga kaya yang memiliki kapal-kapal besar dan rangkaian perdagangan yang luas meliputi Melaka, Nagapatnam, Mergui, Batavia (Jakarta), Semarang dan Riau.
Hal yang sama turut berlaku di Pulau Pinang, semasa fasa awal pembukaan Pulau Pinang di bawah pentadbiran Francis Light, hanya terdapat 31 orang pedagang yang mengunjungi pulau tersebut dan sudah tentu perkara ini merisaukan pihak British kerana tanpa adanya penglibatan para pedagang di pelabuhan tersebut, mereka tidak akan dapat menjayakan rancangan untuk memajukan serta menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah pelabuhan yang terkenal seperti yang berlaku di Melaka. Atas dasar tersebut, pihak Kolonial telah mengambil inisiatif dengan menggalakkan penglibatan masyarakat tempatan terutamanya pedagang Melayu untuk turut serta dalam aktiviti ekonomi di sana. Hasilnya telah menyebabkan kedatangan pedagang di Pulau Pinang meningkat pada tahun-tahun berikutnya.
Semasa pemerintahan British di Pulau Pinang pada abad ke-18, terdapat dua orang pedagang tempatan yang sangat berjaya iaitu Tuanku Syed Hussain dan Nakhuda Kechil (Ketua Bazaar Melayu). Kedua-duanya orang pedagang tersebut adalah usahawan dan peniaga yang dipandang tinggi serta mempunyai jaringan ekonomi (trade networking) dengan peniaga-peniaga Eropah seperti John Palmer dari Kalkutta. Gambaran kekayaan Tuanku Syed Hussain dapat diterjemahkan menerusi sebuah peristiwa yang berlaku pada Julai 1815.
Tuanku Syed Hussain telah menawarkan pinjaman sebanyak SpD 5,0000 kepada kerajaan Kolonial Pulau Pinang yang sedang mengalami krisis kewangan. Menerusi bantuan kewangan yang diberikan, kerajaan British telah menggunakannya untuk urusan pentadbiran dan penambahbaikan infrastruktur di kota pelabuhan tersebut. Hal yang demikian jelas menunjukkan betapa pihak Kolonial bergantung kepada pertolongan yang diberikan oleh usahawan tempatan bagi tujuan memajukan tanah jajahan.
Selain itu, terdapat juga peniaga dan pedagang tempatan pertengahan (middle class traders) yang hanya memiliki kapal bersaiz kecil seperti perahu, pencalang, kakap dan banting. Walaupun demikian, mereka turut berperanan penting dalam sektor ekonomi kerana memiliki kemahiran dan kemampuan melakukan pelayaran jarak jauh. Skill atau kemahiran yang dimiliki oleh mereka sangat mustahak bagi memastikan pihak Kolonial mendapat bekalan stok komoditi yang mencukupi untuk dipasarkan di sekitar kota pelabuhan. Dalam masa yang sama, keupayaan mereka menjalankan perdagangan dalam jarak yang dekat juga telah menyebabkan pihak British sentiasa terpesona dan memberikan penghormatan yang tinggi kepada pedagang tempatan.
RUJUKAN:
Nordin Hussin. 2007. Trade and Society In The Straits Of Melaka: Dutch Melaka and English Penang 1780-1830. Copenhagen: NIAS Press.
Armando Cortesau. 2005. The Suma Oriental of Tomé Pires: An Account of the East, from the Red Sea to Japan, Written in Malacca and India in 1512-1515, and the Book of Francisco Rodrigues, Rutter of a Voyage in the Red Sea, Nautical Rules, Almanack and Maps, Written and Drawn in the East Before 1515. New Delhi: Asian Educational Services.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih