‘When Fraser met Billy’ merupakan sebuah buku yang tersenarai di The Sunday Times bestseller Sewaktu Fraser masih kecil, Louise menyedari kelakuan Fraser yang ternyata sangat berbeza berbanding kanak-kanak lain. Sebagai seorang ibu, Louise sering tertekan kerana pada awalnya beliau tidak memahami situasi anaknya sendiri yang kerap menangis, mengamuk serta membuat ragam. Malah, Louise juga menggambarkan dirinya yang murung dalam menghadapi tingkah laku anaknya sendiri. Sampai satu tahap, Louise juga pernah terfikir untuk membunuh diri kerana terlalu murung dan tertekan.

Setelah melakukan beberapa pemeriksaan perubatan, doktor telah mengesahkan bahawa Fraser mengidap autisme. Autisme adalah sejenis gangguan perkembangan yang menyebabkan mangsanya mempunyai kesukaran untuk berinteraksi dengan orang sekeliling. Kebanyakan daripada pengidap autisme akan hidup di dalam dunia mereka sendiri dan akan berkomunikasi dengan cara yang berbeza.

Louise kemudiannya mendengar mengenai kaedah terapi haiwan, yang dimana haiwan digunakan sebagai terapi kepada pesakit bagi menenangkan emosi mereka. Pada permulaannya, pasangan suami isteri tersebut tidak mempunyai apa-apa jangkaan besar untuk kehidupan mereka berubah sepenuhnya. Mereka berdua mengambil keputusan untuk mencuba kaedah terapi haiwan sebagai usaha kecil untuk memperbaiki kehidupan anak kesayangan mereka itu. Namun, tanpa dijangka, kehidupan keluarga mereka telah berubah sepenuhnya setelah mereka mengambil keputusan untuk memelihara seekor kucing yang mereka telah ambil dari sebuah pusat perlidungan haiwan yang bernama Billy.

Louise menggambarkan Billy sebagai penyelamat keluarga mereka yang ketika itu hampir porak peranda oleh kerana keadaan anak kecilnya itu. Di dalam banyak situasi, Billy berfungsi sebagai penenang kepada Fraser. Yang menakjubkan adalah apabila dikatakan Billy seolah-olah memahami situasi Fraser. Ketika Fraser sedang mengamuk atau membuat ragam, Billy akan terus mendekati Fraser untuk menenangkannya. Pada waktu malam, Billy akan tidur berhampiran Fraser untuk menemaninya agar dia tidak bersendirian.

Ketika Fraser berusia lima tahun, Fraser telah berjaya untuk memasuki sebuah sekolah awam, sesuatu yang tidak dijangka langsung oleh Louise dan suaminya. Sebelum ini, terdapat kemungkinan yang besar bahawa Fraser tidak boleh ke sekolah awam, kerana kesukarannya untuk menyesuaikan diri dengan orang baharu. Louise telah menggambarkan Billy sebagai penyumbang utama kepada kejayaan kecil ini. Ketika menjelang hari-hari Fraser hampir memasuki ke sekolah baharu, Billy sering mendampingi Fraser bagi menenangkan sedikit debaran yang dirasai olehnya. Seolah-olah Billy sedang berkata, ‘Semuanya akan berjalan dengan baik dan okay’ kepada Fraser. Setelah Fraser memasuki sekolah, guru-guru Fraser telah memaklumkan kepada Louise bahawa Fraser sering menyebut-nyebut mengenai kucingnya Billy di sekolah! Billy telah menjadi sumber kebahagiaan utama di dalam kehidupan anak kecil itu.

Adalah tidak dinafikan bahawa haiwan merupakan makhluk istimewa yang diturunkan oleh tuhan. Di dunia barat, kaedah ‘Animal Assisted Theraphy’ sudah menjadi sesuatu yang tidak asing lagi. Haiwan jinak seperti anjing dan kucing sering digunakan sebagai terapi. Malah, veteran perang yang mengidap Post Traumatic Stress Disorder juga sering memelihara anjing sebagai salah satu kaedah rawatan terapi bagi mereka menenangkan diri dan menghilangkan kerunsingan hati terhadap trauma mereka terhadap peperangan. Haiwan berfungsi sebagai pedamping setia yang tidak akan sama sekali mengkhianati tuannya. Dengan memiliki haiwan peliharaan, manusia akan mempelajari nilai tanggungjawab serta sifat kasih sayang terhadap makhluk lain.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Animal Welfare Institute, para penkaji telah dapat mengenalpasti hubungan antara sifat keganasan dan haiwan peliharaan. Kanak-kanak yang bersikap lembut serta penyayang terhadap haiwan kebanyakkannya membesar menjadi seorang dewasa yang bertanggungjawab serta mudah simpati terhadap orang sekeliling. Manakala, kanak-kanak yang sering bersikap kasar atau ganas terhadap haiwan peliharaan pula akan lebih cenderung untuk membesar menjadi seorang dewasa yang bersikap mendera atau kejam terhadap makhluk lain.

Kasih sayang yang dipupuk kepada haiwan akan menyebabkan manusia mempunyai sikap simpati yang lebih tinggi. Berdasarkan sebuah buku yang bertajuk ‘Apabila Tuhan Berbicara’ karya Abdullah Bukhari Abdul Rahim, penulis tersebut juga telah menyebut mengenai penggunaan haiwan sebagai terapi di dalam Islam. Malah, di dalam al-Quran di Surah Sad ayat ke 31 hingga ke 33, Allah SWT menceritakan mengenai hubungan istimewa Nabi Sulaiman A.S dan haiwan kuda peliharaannya. Secara tidak langsung, Islam juga telah mengiktiraf fungsi haiwan sebagai terapi emosi bagi manusia.

SUMBER RUJUKAN:
1. Booth, L. (2014) When Fraser Met Billy. London: Hodder.
2. Abdul Rahim, A.B. (2014) Apabila Tuhan Berbicara. Selangor: PTS.
3. http://www.crchealth.com/types-of-therapy/what-is-animal-assisted-therapy/
4. http://www.autism-society.org/what-is/
5. https://awionline.org/content/facts-and-myths-about-domestic-violence-and-animal-abuse


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sakinah Jannati merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di dalam bidang Sains Politik (major) dan Ilmu wahyu(minor). Seorang gadis yang mempunyai minat sangat mendalam dalam sejarah dunia, falsafah politik dan sirah Islam. Antara impiannya yang terbesar adalah untuk menjadi seorang wanita yang dapat memberi manfaat kepada ummah terutamanya melalui penulisannya.

Comments are closed.