Dalam era teknologi moden hari ini, kita tidak pernah menyangka kebanyakan peralatan yang digunakan hari ini berasal dari China. Bukan Made in China ya tetapi berasal dari Tamadun China dan ia terus memberi impak bukan saja kepada dunia hari ini tetapi juga tamadun-tamadun yang mempunyai hubungan dengan Tamadun China.

  • Serbuk letupan dan bunga api

Serbuk letupan dikatakan dicipta oleh ahli alkimia Taoisme bagi menghasilkan posyen keabadian. Bahan posyen ini menggunakan kalium nitrat (saltpeter), arang dan sulfur. Ia dikatakan dicipta sekitar abad ke-11 Masihi dan biasanya digunakan sebagai suar dan mercun.

Bahan ini bila dicampur dengan bahan logam berbeza menghasilkan warna terang apabila letupan berlaku. Gabungan ini menjadi pelopor kepada pelbagai jenis mercun dan bunga api moden. Dan di China, ia digunakan bagi meraikan perayaan dan menghalau makhluk halus dengan para pembuatnya mendapat kedudukan terhormat dalam kalangan masyarakat.

Serbuk letupan mula diketahui di Timur Tengah dan Eropah pada abad ke-12 dan 13 Masihi berikutan aktiviti perluasan kuasa Mongol. Sejak itu, serbuk letupan menjadi asas kepada senjata api moden termasuk senapang dan meriam. Ironinya, senjata-senjata inilah yang kemudiannya digunakan kuasa-kuasa Eropah untuk mendominasi China pada pertengahan abad ke-19.

  • Rakap

Penunggang kuda silam selalunya membiarkan kaki mereka terjuntai-juntai semasa menunggang kuda. Tetapi silap haribulan jika menunggang di kawasan yang tidak rata, ini boleh menyebabkan si penunggang jatuh macam nangka busuk. Orang Rom cuba mengatasi masalah ini dengan memasang pemegang tangan pada pelana mereka semasa menunggang di kawasan yang mencabar.

Bagi orang Dinasti Han pula, mereka memikirkan solusi yang lebih mudah. Mereka menghasilkan rakap yang diperbuat daripada besi atau gangsa dengan kaki boleh dimasukkan ke situ semasa menunggang. Ini menjadikan tunggangan kuda bukan saja lebih selesa tetapi juga lebih selamat.

Ciptaan rakap ini kemudiannya tersebar ke seluruh Asia dan Eropah untuk beberapa abad berikutnya. Terima kasih kepada rakap juga, kesatria-kesatria Zaman Pertengahan yang memakai sut perisai yang berat dapat menunggang dengan selamat tanpa perlu bimbang risiko terjatuh semasa menunggang.

  • Seismograf

Berdasarkan rekod Dinasti Han, seismograf atau mesin pengesan gempa bumi pertama di dunia dihasilkan oleh seorang cendekiawan bernama Zhang Heng. Alat ini pertama kali diperkenalkan di istana pada tahun 132 Masihi.

Sekiranya seismograf ini mengesan gempa bumi, sebiji bola akan dijatuhkan dari mulut naga besi dan jatuh ke dalam mulut katak besi. Apabila ia jatuh ke situ, ia akan menghasilkan bunyi yang kuat. Alat ini dikatakan mengesan insiden gempa bumi di Longxi, 400 batu dari istana diraja.

Pada mulanya, ramai merasa skeptik dengan ciptaan ini dan menyangka Zhang Heng berbohong. Tetapi beberapa hari kemudian, seorang wakil penduduk dari Longxi tiba di istana dan menceritakan apa yang berlaku. Seismograf moden hanya dicipta sekitar tahun 1848 di Eropah.

  • Aktiviti penanaman secara batas

Di sesetengah bahagian dunia, petani masih menggunakan cara menabur biji benih secara rawak semasa bercucuk tanam. Tetapi orang China merupakan antara yang terawal mempelopori aktiviti pertanian menggunakan batas bermula abad keenam SM.

Menerusi idea bernas ini, ia dapat mengurangkan kehilangan biji benih dan menambahbaik kualiti tanaman. Dan menariknya, teknologi pertanian ini tidak digunakan di bahagian atas angin sehinggalah 2200 tahun kemudian.

  • Wang kertas

Mata wang kertas pertama di dunia wujud semasa era Dinasti Tang antara akhir abad kelapan hinggalah awal abad kesembilan Masihi. Ia sebagai solusi kepada isu membawa wang ketika itu. Bagi para saudagar, sekiranya mereka hendak berdagang, wang syiling yang digunakan akan diikat menerusi seutas tali. Namun, ia dianggap menyusahkan kerana terlalu berat untuk dibawa lebih-lebih lagi untuk transaksi besar.

Justeru sebagai solusi, mereka diberi sehelai resit yang merekodkan bilangan wang yang dimiliki mereka yang diberi kepada penyimpan deposit mereka. Bila mereka mengembalikan kertas kepada penyimpan wang, wang mereka akan dikembalikan. Sejak itu, lebih banyak penambahbaikan dibuat termasuk Jiaozi (mata wang era Dinasti Song) dan Jiaochao (mata wang era Dinasti Yuan).

Semasa era Dinasti Yuan, mata wang sebegini disaksikan oleh saudagar-saudagar Venice buat kali pertama. Dan mereka merasa amat kagum bagaimana ia digunakan termasuk nilainya dijamin oleh kerajaan. Salah seorang yang bertanggungjawab membawa cerita wang kertas China ke Eropah ialah Marco Polo menerusi bukunya, The Travels of Marco Polo.

  • Kertas

Serpihan kertas terawal dalam sejarah dijumpai dalam sebuah makam di China pada tahun 1957. Serpihan ini dikatakan dibuat daripada fiber hem dan dikatakan dicipta antara 140 hingga 87 SM. Tetapi Cai Lun, seorang sida Dinasti Han yang bertanggungjawab menghasilkan kertas berkualiti tinggi.

Kertas ini dihasilkan dengan mencampur dan menghancurkan tunggul kayu, hem, benang linen dan sisa jala ikan sebelum dicampur dengan lai bagi menghasilkan campuran yang lebih halus. Proses ini diceritakan dalam buku The History of Science and Technology in the Qin and Han Dynasty oleh Li Shi.

Penambahbaikan yang dibuat oleh Cai Lun menjadi perintis kepada kertas yang kita ketahui hari ini. Dan seperti kita sedia maklum, menerusi teknologi penghasilan kertas juga menjadi batu asas kepada Zaman Keemasan Islam semasa era Bani Abbasiyyah.

  • Percetakan menggunakan blok yang boleh digerakkan.

Percetakan menggunakan blok kayu merupakan teknik percetakan yang digunakan secara meluas semasa Dinasti Tang. Malangnya, teknik percetakan sebegini mengambil masa lama dan memakan kos yang mahal.

Lalu, seorang pencipta era Dinasti Song bernama Bi Sheng mencipta teknik percetakan yang boleh dialihkan. Caranya ialah dengan mengukir huruf-huruf tertentu pada blok tanah liat sebelum ia dikeraskan menggunakan api. Blok tersebut kemudian digam pada plat besi untuk mencetak satu halaman sebelum proses sama diulang untuk halaman-halaman seterusnya.

Teknik percetakan yang diperkenalkan Bi Sheng tersebar luas ke serata tempat termasuk Eropah. Tidak mustahil, mesin cetak pertama yang dihasilkan Johann Gutenberg dicipta berasaskan teknik yang diperkenalkan beliau ini sekaligus menyediakan batu asas kepada era Renaissance.

  • Jambatan gantung

Robert Temple, penulis buku The Genius of China mendedahkan Dinasti Han antara pelopor awal jambatan gantung. Idea jambatan gantung ini dikembangkan daripada jambatan tali yang digunakan untuk menyeberangi gaung-gaung kecil. Dari situ, ia dikembangkan di mana pada tahun 90 Masihi, jurutera-jurutera Dinasti Han membangunkan struktur jambatan yang lebih sofistikated dengan papan kayu.

  • Penggerudian dalam

Pelombong-pelombong garam Dinasti Han pada abad pertama SM merupakan orang pertama yang membina derik dan menggunakan mata gerudi yang diperbuat daripada besi untuk menggali sedalam 4,800 kaki bagi mendapatkan air garam. Air garam kemudiannya akan diambil menggunakan tiub. Teknik ini merupakan perintis kepada aktiviti eksplorasi minyak dan gas moden.

  • Kereta sorong

Tidak diketahui siapa sebenarnya yang mencipta kereta sorong. Ada sumber mengatakan ia merupakan buah fikiran Jugo Liang/Chuko Liang, seorang jeneral Dinasti Han. Liang melihat kereta sorong amat membantu dari segi ketenteraan kerana selain boleh dijadikan sebagai alat pengangkutan, ia juga boleh digunakan sebagai kubu mudah alih.

Rekaan kereta sorong ini dianggap rahsia berikutan aplikasinya dalam aspek ketenteraan. Namun lama-kelamaan, rekaan alat pengangkut itu tersebar ke merata tempat dengan idea seperti dua pemegang ditambah pada rekaan-rekaan kereta sorong seterusnya. Liang juga dikatakan mendahului orang Eropah lebih sealaf dari segi aspek penciptaan kereta sorong.

Bagaimanapun, ada pula mengatakan kereta sorong merupakan idea seorang petani bernama Ko Yu. Seperti Liang, Yu juga merahsiakan ciptaannya dengan menggunakan kod-kod rahsia.

  • Sutera

Sutera merupakan antara komoditi penting pada zaman purba tetapi dianggap rahsia negara oleh Tamadun China. Ini termasuklah menjaga asal-usul sutera dan cara pembuatannya. Bagi mana-mana tamadun/kerajaan yang mahu mendapatkan sutera, maka ia perlu dibayar dengan emas seberat kain sutera yang dibeli.

Kewujudan sutera membuka jalan kepada laluan perdagangan yang paling terkenal dalam sejarah iaitu Laluan Sutera yang menghubungkan Asia, Afrika dan Eropah. Tetapi perkara tersebut diketahui oleh pihak Barat apabila dua pendeta Rom yang dihantar Maharaja Justinian ke Asia Tengah pada tahun 552 Masihi berjaya membawa balik dua ulat sutera yang disembunyikan dalam batang-batang buluh.

Ini sekaligus membawa kepada permulaan industri sutera oleh Empayar Rom Timur/Byzantine dengan sesetengahnya dihasilkan untuk kegunaan maharaja dan keluarga diraja. Namun, itu tidak menghalang empayar tersebut mengimport sutera dari China.

  • Layang-layang

Layang-layang mungkin dianggap mainan bagi kanak-kanak hari ini tetapi semasa ia dicipta oleh Gongshu Ban dan Mao Di pada abad keempat SM, ia digunakan untuk aplikasi ket3nteraan. Malah, layang-layang terawal China diperbuat daripada kayu dan dikenali dengan nama Muyuan.

Antara aplikasi ket3nteraan yang digunakan untuk layang-layang ialah mengukur kelajuan angin, mengukur jarak dan menghantar mesej. Lama-kelamaan, ia kemudian dikembangkan untuk kegunaan lain seperti menangkap ikan tanpa menggunakan kapal. Layang-layang ini juga menjadi inspirasi kepada penciptaan peluncur angin.

  • Peluncur angin

Bagi Abbas ibnu Firnas, peluncur yang diciptanya bertujuan untuk membuktikan bahawa manusia boleh terbang ke udara bak burung. Ya, rekaannya kurang menjadi tetapi ia menjadi pelopor kepada payung terjun moden hari ini. Dan itulah yang dilakukan Tamadun China dengan melihat sama ada manusia boleh terbang atau tidak.

Tetapi bagi Maharaja Wenxuan dari Utara Qi, peluncur angin merupakan kaedah hukuman m4ti kegemarannya. Pesalah akan dilepaskan dari sebuah menara dan mana yang tidak bernasib baik, maka pengakhirannya ialah kem4tian. Seorang saja yang terselamat daripada hukuman kejam Wenxuan iaitu Putera Yuan Huangtou dari Utara Wei. Baginda berjaya meluncur sejauh dua batu dan mendarat dengan selamat.

RUJUKAN:

  1. Kiger, Patrick. (2019). 10 Inventions From China’s Han Dynasty That Changed the World. History. https://www.history.com/news/han-dynasty-inventions
  2. University of Southern California. Top 20 Ancient Chinese Inventions. https://china.usc.edu/sites/default/files/forums/Chinese%20Inventions.pdf

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.