Kita mungkin pernah dengar kisah perjalanan Ibnu Batutta, Marco Polo atau Christopher Columbus. Kisah perjalanan untuk menjelajah negara asing. Kisah perjalanan mereka bertiga adalah selepas masihi. Marco Polo pada kurun ke-13, Ibnu Batutta pada kurun ke-14 dan Christopher Columbus pada kurun ke-15.
Hari ni saya senaraikan kisah perjalanan yang dilakukan oleh beberapa tokoh sebelum masihi.
Pytheas
Pytheas ialah seorang pedagang Yunani yang telah melakukan penjelajahan Eropah sekitar tahun 330 sebelum masihi. Dia berasal dari sebuah bandar Yunani Purba bernama Massilia (sekarang Marseille, Perancis).
Dia telah belayar di Lautan Mediterranean dan melalui Selat Gibraltar (dikenali sebagai tiang Hercules pada zaman Yunani Purba). Pytheas kemudian berhenti di Bandar Gades, semenanjung Iberia. Dari situ, meneruskan pelayaran menuju ke Belerium ( sekarang Land’s End, Cornwall).
Pytheas mendakwa dia telah menjelajahi kepulauan Britain dengan berjalan kaki. Malah, dia telah membuat ukuran keluasan kepulauan itu dengan tepat.
Pytheas kemudiannya menyambung pelayaran selama enam hari dan sampai ke Thule. Berdasarkan rekod, Pytheas menggambarkan Thule sebagai daratan yang sejuk dan mempunyai siang yang singkat. Para sejarahwan berpendapat Thule ialah Bulatan Artik, Kutub Utara.
Herodotus
Dia dilahirkan pada tahun 485 sebelum masihi. Tinggal di sebuah bandar Yunani purba bernama Halicarnassus.
Lelaki ini ialah seorang penulis dan pengasas kepada bidang sejarah dari zaman Yunani purba. Dia seorang yang gemar menjelajah sambil menulis pengalamannya. Beberapa catatan situasi peperangan turut ditulis dengan cukup teliti.
Herodotus telah melakukan perjalanan menjelajahi kawasan jajahan Empayar Parsi. Menyeberang laut Mediterranean dan sampai ke Mesir, melintasi Palestin, Syria dan Babylon. Dia menuju ke Macedonia dan menjelajahi kepulauan kecil Greek.
Setiap hari, dia akan mencatatkan pengalamannya. Dia malah menulis tentang budaya dan legenda tempatan berdasarkan pergaulannya dengan masyarakat. Herodotus pernah menulis secara lengkap gambaran keadaan Babylon.
Strabo
Dilahirkan pada tahun 64 sebelum masihi. Strabo ialah ahli geografi pada zaman Yunani purba. Dia telah menuntut ilmu dengan ramai tokoh seperti Aristodemus, Tyrannion dan Xenarchus.
Pada tahun 31 sebelum masihi, Strabo telah menetap di Rom dan menulis hasil kerjanya yang pertama. Satu catatan penuh sejarah dikumpulkan dalam 47 buah buku berdasarkan pengalamannya dan penelitian manuskrip ahli geografi sebelumnya seperti Homer, Eratosthenes, Polybius, dan Posidonius.
Perjalanan Strabo lebih kepada untuk menuntut ilmu dan berguru dengan tokoh-tokoh terkenal pada zaman itu. Dia belayar untuk menuju ke Corinth dan berjumpa dengan Agustus. Kemudiannya dia bergerak ke Mesir dan berjumpa Aelius Gallus, bersama-sama belayar di Sungai Nil hingga ke Philae. Strabo kemudian kembali ke Rom.
Euthymenes
Lebih dikenali dengan nama Euthymenes of Massalia. Dia ialah penjelajah pada zaman Yunani purba sekitar tahun 600 sebelum masihi.
Dia telah melakukan perjalanan dari Massilia menuju ke kawasan Afrika Barat. Dalam satu rekodnya, dia menulis tentang satu sungai yang bertembung dengan lautan. Para sejarahwan berpendapat itu ialah Sungai Gambia, Senegal walaupun Euthymenes menulisnya sebagai Sungai Nil.
Tidak seperti penjelajah lain, kebanyakan catatan Euthymenes tidak bertahan dan hilang. Nama Euthymenes disebut dalam karya Plutarch (tokoh Yunani purba sekitar tahun 45 sebelum masihi) tentang penjelajahan ini.
Zhang Qian
Dia ialah seorang diplomat Dinasti Han sekitar tahun 130 sebelum masihi. Dilahirkan di Chenggu (sekarang Shaanxi provinsi, China).
Zhang telah ditugaskan untuk menjelajah dan mencari maklumat untuk tujuan meluaskan empayar. Ekspedisi pertamanya ialah menjelajah kawasan Asia Tengah pada tahun 139 sebelum masihi. Ini juga bertujuan untuk memerangi pencerobohan di kawasan utara sempadan empayar.
Nasibnya malang, dia telah ditangkap oleh puak Xiongnu ( satu puak nomad yang mendiami kawasan Asia Tengah). Dia berjaya melepaskan diri dari tawanan. Untuk kembali ke istana, dia perlu merentas Gurun Gobi dan kawasan pergunungan Pamirs. Dalam perjalanan, dia singgah dari satu tempat ke satu tempat. Semuanya direkod berdasarkan pergaulannya dengan masyarakat setempat.
Tujuh tahun selepas itu, Zhang sekali lagi dihantar untuk menjelajah kawasan Eropah. Dalam perjalanan ini juga, Zhang mengatur hubungan diplomat dengan beberapa negara iaitu Ferghana (kawasan timur Uzbekistan), Sogdiana (Uzbekistan), Bactria (Afghanistan), dan India.
Zhang Qian ialah antara yang terawal mengunakan laluan sutera untuk perdagangan. Dia juga dihormati kerana jasa mengatur hubungan diplomatik antara negara.
Kesimpulan
Ramai lagi tokoh yang saya gemar dalam tajuk kisah penjelajahan, baik sebelum dan selepas masihi dan penjelajah zaman moden. Kisah dan pengalaman mereka sememangnya menarik untuk ditulis. Ada yang menjelajah untuk berperang, untuk menakluk, dan untuk menuntut ilmu.
RUJUKAN:
- Thomas S. Garlinghouse (2017) On the Ocean: The Famous Voyage of Pytheas, Ancient History Encyclopedia Website. https://www.ancient.eu/article/1078/on-the-ocean-the-famous-voyage-of-pytheas/
- The Editors of Encyclopaedia Britannica (2009) Pytheas, Encyclopædia Britannica https://www.britannica.com/biography/Pytheas
- Mark, J. J. (2018). Herodotus. Ancient History Encyclopedia. Retrieved from https://www.ancient.eu/herodotus/
- com Editors (2010) Herodotus, Ancient History Encyclopedia Website.
https://www.history.com/topics/ancient-history/herodotus - François Lasserre (2019) Strabo, Encyclopædia Britannica Website.
https://www.britannica.com/biography/Strabo - David Wu (2013) Zhang Qian: Pioneer Explorer of the Route to the West, The Epoch Times Website.
https://www.theepochtimes.com/zhang-qian-pioneer-explorer-of-the-route-to-the-west_309525.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih