Sebuah keretapi yang dipenuhi dengan anggota tentera dan orang awam warganegara Empayar Uthmaniyyah sedang bergerak melintasi sebatang jambatan di padang pasir dalam kawasan sekitar Arab.
Tidak jauh bebeberapa meter dari jambatan yang menghubungkan landasan keretapi itu, seorang pegawai British memakai persalinan jubah suku Badwi mengangkat tangannya ke arah Salem, seorang pejuang Arab yang bersedia untuk menekan picu kotak peledak bom.
Sebaik saja kereta api melepasi jambatan, pegawai itu menjatuhkan tangannya dan Salem dengan segera menekan peledak itu. Pasir tanah dan kepulan asap meletus seratus kaki ke udara bersama-sama kepingan-kepingan logam dan anggota badan manusia terpelanting ke udara.
Sebahagian badan keretapi itu terhumban ke dalam gaung, bunyi letupan dan jeritan manusia tadi bertukar menjadi suasana hening yang mengerikan. Pegawai dan suku Arab itu mengangkat pedang dan berlari ke arah sisa bahagian badan keretapi yang sedang terbakar itu manakala yang bersenapang melepaskan temb*kan bertubi-tubi.
Dalam beberapa minit kemudian, pertemp*ran itu ditamatkan, m*yat-m*yat dan bangkai keretapi dijarah, dirompak, dan pihak yang menyer*ng beransur pulang kembali ke padang pasir. Tragedi ini berlaku pada musim panas tahun 1917, di mana ketika itu pemberontakan Revolusi Arab sedang berlangsung.
DENDAM ARAB
Pemberontakan, salah satu episod paling dramatik pada abad ke-20, adalah detik penting dalam sejarah Timur Tengah moden, ia dikatakan sebagai batu loncatan bagi setiap konflik wilayah pada masa depan.
Dengan bimbingan dan nasihat dari pegawai perhubungan T.E. Lawrence atau lebih dikenali sebagai “Lawrence of Arabia”, pasukan Arab turut memainkan peranan penting dalam kemenangan Pakatan Sekutu ke atas Empayar Uthmaniyyah dalam Per*ng Dunia Pertama.
Revolusi Arab pada 1916-1918 juga menyaksikan perkembangan dari segi taktikal gerila dan strategi per*ng di gurun moden. Ia termasuk juga dengan campur tangan dan hasutan politik yang menyeru pemberontakan dan akibat dari hasutan ini sama pentingnya dengan pertemp*ran yang berlaku.
Ia kerana langkah rabun Britain dan Perancis dalam membina negara di rantau tersebut telah menyemai benih masalah yang berulang kali menimpa rantau ini hingga saat ini iaitu per*ng, pemerintahan autoritarian, kudeta, kebangkitan militan Islam, dan konflik berterusan antara Israel dan Palestin.
Tidak ada negara di rantau ini yang wujud hingga tahun 1920-an kerana sebelum itu, Timur Tengah adalah sebahagian dari wilayah-wilayah Empayar Uthmaniyyah, yang merangkumi bangsa-bangsa Slav, Yunani, Turki, Arab, Berber, Kurdi, dan Armenia, sebagaimana ia melibatkan penganut agama Islam, Yahudi, dan Kristian.
Seperti semua empayar yang besar dan berjaya, Empayar Uthmaniyyah juga sangat berjaya kerana dalam sebahagian besar garis masa dari zaman pemerintahan mereka, para pemerintah membiarkan rakyatnya mengamalkan cara hidup dan kepercayaan mengikut kehendak mereka, namun ia adakalanya menjadi racun dalam diam yang menyuburkan benih revolusi.
Akibatnya, pada tahun-tahun sebelum bermulanya Per*ng Dunia I, empayar itu telah mengalami pengecilan wilayah yang sekarang dikenal sebagai Turki, Timur Tengah, dan sebahagian besar pesisir pantai Arab. Justeru, Uthmaniyyah meninggalkan formula multikultural mereka yang berjaya bagi menerapkan dasar “Turkifikasi” yang menjadikan bahasa Turki sebagai bahasa rasmi di sekolah, tentera, dan pentadbiran.
Orang-orang Arab yang membentuk sekitar 60 peratus daripada kira-kira 25 juta subjek pemerintah bersama-sama dengan kumpulan-kumpulan lain yang tidak berbahasa Turki sangat marah dengan dasar ini, British menghasut propaganda bahawa bangsa Turki tidak layak menjadi khalifah kerana mereka bukan dari bangsa Arab atau berketurunan Nabi Muhammad S.A.W.
Orang-orang Arab termakan hasutan British lantas membentuk gerakan nasionalis secara rahsia dan menghubungi Sharif (gelaran yang diberikan kepada keturunan Nabi Muhammad) Hussein ibn Ali, seorang emir Mekah di Hejaz, Hussein menghantar salah seorang daripada empat puteranya, Abdullah, untuk menjalin hubungan dengan nasionalis Arab di Syria, dan kemudian ke Kaherah untuk melihat sama ada pihak Inggeris dapat membantu pemberontakan Arab atau tidak.
British pada awalnya enggan campur tangan, tetapi ketika Per*ng Dunia I meletus pada bulan Ogos 1914, nada mereka mula berubah. Uthmaniyyah mempunyai hubungan ketenteraan dan ekonomi dengan Jerman lalu bergabung dengan kuasa Tengah dengan harapan dapat menuntut kembali wilayah-wilayah yang hilang sebelum itu akibat dirampas Britain, Perancis, dan Russia.
KETERDESAKAN PIHAK SEKUTU
Diancam kemaraan tentera Uthmaniyyah yang sedang menuju ke Terusan Suez dalam wilayah protektorat British, Sir Henry McMahon, pesuruhjaya tinggi British yang berpusat di Kaherah, menulis surat kepada Sharif Hussein dan memintanya untuk melancarkan pemberontakan.
McMahon berjanji kepada Hussein bahawa British akan membekalkan senjata dan peruntukan wang bagi melaksanakan pemberontakan dan akan membantu dalam mewujudkan negara-negara Arab yang merdeka di Fertile Crescent (Syria, Lubnan, Israel, Jordan, dan Palestin sekarang) dan Semenanjung Arab.
Hussein tidak mempercayai British, tetapi segalanya mula berubah apabila Uthmaniyyah menghukum m*ti 21 orang pejuang nasionalis Arab pada tahun 1916, dia melihat pemberontakan yang disokong oleh Pihak Bersekutu sebagai satu-satunya pilihan untuk orang Arab.
Dia tidak memandang ringan akan keputusan itu kerana pasukan Uthmaniyyah bukan sahaja sedang mara secara ofensif bahkan telah mengalahkan Sekutu di Semenanjung Gallipoli pada tahun 1915, namun gagal menyer*ng Terusan Suez yang dikuasai oleh British, dan tahun berikutnya Uthmaniyyah memaksa tentera India-British dalam Kota Kut di Mesopotamia (Iraq moden) untuk menyerah kalah.
Sementara itu, di Medan Barat, usaha Sekutu untuk memusnahkan Jerman telah menemui jalan buntu yang sangat berd*rah sementara Jerman berjaya mengusir pasukan Russia jauh ke timur. Bagi kebanyakan pemerhati, nampaknya kekuasaan Jerman dan Uthmaniyyah semakin meningkat. British amat memerlukan satu pemberontakan dari belakang Uthmaniyyah sekarang.
PERSEDIAAN MEREKRUT KEKUATAN
Pemberontakan bermula pada tahun 1916 dengan dianggarkan penglibatan seramai 30,000 orang Badwi dan suku-suku Arab yang lain. Untuk mengumpulkan ketumbukan tentera sebesar ini, Hussein membuat perjanjian dengan pelbagai keluarga bangsawan, klan, dan suku seperti Huyetat dan Ruwalla.
Sebilangan besar rekrut tentera pengkhianat ini hanya mahu berjuang di lokasi yang berdekatan dengan kampung halaman mereka dan semuanya mesti dibayar. Sebilangan suku tidak akan berper*ng bersama suku yang lain kerana ada sejarah perseteruan sesama sendiri.
Sebilangan besar para pejuang Arab memiliki pendirian yang sentiasa berubah-ubah, mereka bertarung dengan hebat hanya jika mengetahui nilai harta rampasan itu besar dan musuh yang jadi sasaran mereka lemah, mereka akan tinggalkan barisan hadapan dan kembali ke kampung mereka jika mereka merasa bosan atau per*ng itu tidak berbaloi.
Walaupun disiplin ketenteraan mereka sangat teruk, mereka mengenali tanah itu dengan baik dan merupakan penembak yang sangat mahir. Mereka mampu menunggang unta yang sedang berjalan dengan tangan mereka membidik senapang. Mereka mampu berlari memijak batu-batu tajam hanya dengan berkaki ayam, mereka mampu mengharungi laluan mencabar yang tidak mungkin boleh dilalui oleh orang asing.
Pemimpin pemberontak menggunakan puak Agayl, sekumpulan pejuang elit, sebagai pengawal peribadi. Persenjataan yang dimiliki orang Arab ada pelbagai jenis, dari pedang dan senapang Musket hingga ke senapang Mausers dan raifal Lee-Enfield.
Kemudian, suku-suku ini disusun dalam bentuk formasi yang diperintah oleh tiga putera sulung Hussein: Tentera Arab Utara, yang dipimpin oleh Feisal, dengan sekitar 6,000 pejuang; Tentera Arab Timur dengan kekuatan 9,000 orang, dibawah komando Abdullah, terdiri dari pasukan unta, beberapa artileri, dan skuadron berkuda; dan Tentera Arab Selatan di bawah Ali terdapat 9,000 orang yang terdiri daripada empat bateri artileri, infantri yang menunggang unta dan kuda, serta unit-unit lain. Menjelang tahun 1918, Inggeris membayar Arab £ 220,000 sebulan untuk berper*ng sebagai sekutu.
Kekuatan Feisal berada pada Tentera Darat Arab yang berkekuatan 2.000 orang, atau Tentera Sharifiyyah, yang kebanyakan pegawainya terdiri dari orang-orang Levant dan Mesopotamia, tahanan per*ng, dan anggota tentera Uthmaniyyah yang berpaling tadah.
Mereka adalah tentera yang berdisiplin, dikuatkan lagi dengan sokongan oleh sekitar 1,500 orang askar regular Mesir yang disediakan oleh Britain. Tentera Arab boleh berbangga dengan kekuatan unit artileri, unit mesingan serta kor keldai dan unta.
Yang menentang pasukan Arab di Hejaz adalah Tentera Keempat Uthmaniyyah, yang berjumlah kira-kira 23,000 orang, diperintah oleh Jeneral Mehmed Cemal Pasha. Pasukan ini lebih terlatih daripada orang Arab, dan dibekalkan dengan senjata yang lebih baik dan lebih canggih.
Unit Kavalri membantu mereka bersama-sama pesawat sayap tunggal Pfalz dari angkatan udara Uthmaniyyah, dan kemudian diperkuatkan lagi dengan tentera udara Jerman Albatrosses dan pesawat temp*r lain. Walaupun dikecualikan dari perkhidmatan ketenteraan, orang Arab dari seluruh Timur Tengah masih ada yang turut menawar diri sebagai sukarelawan.
PELURU PERTAMA ARAB
Uthmaniyyah pada awalnya memandang Revolusi Arab sebagai pemberontakan suku kaum yang mampu mereka tamatkan dengan cepat dan mudah.
Secara strategik, rancangan mereka mudah: mempertahankan semua bandar utama; memastikan sistem komunikasi telefon dan telegraf sentiasa baik; dan memastikan Keretapi Hejaz terus bergerak sejauh 700 batu dari Madinah ke Istanbul untuk mengangkut bekalan dan bala bantuan.
Pasukan bersenjata yang lengkap di kota-kota penting seperti Madinah dan Mekah memberikan perlindungan tambahan. Lebih banyak anggota tentera ditempatkan di Ta’if bahagian tenggara.
Rancangan Arab lebih sederhana: mengusir Uthmaniyyah dari Arab. Ada pemimpin Arab dengan wawasan yang lebih tinggi memasang impian untuk memimpin pasukan mereka ke utara bagi merampas Baitulmaqdis, Baghdad, dan Damsyik, mengembalikan kota-kota ini ke dalam pemerintahan Arab.
Tetapi tanpa tentera biasa dan artileri berat, pasukan Arab tidak mungkin dapat mengalahkan Uthmaniyyah yang kuat.
Pada awal pagi tepat pada tarikh 10 Jun 1916, sebaik saja azan subuh berhenti berkumandang di segenap Mekah, Sharif Hussein mengangkat senapangnya dari tingkap rumahnya dan melepaskan temb*kan pertama sebagai simbolik. Bendera klan Hashimite Hussein dikibarkan. Pemberontakan telah dimulakan secara rasmi.
Orang-orang Arab tidak mensia-siakan peluang itu, ser*ngan hendap mereka yang dirancang dengan baik dan berterusan memaksa 1,500 tentera Uthmaniyyah di Mekah untuk menyerah kalah pada 13 Jun.
Pesawat pengangkut Tentera Laut Diraja, Ben-My-Chree tiba dengan muatan senjata artileri Mesir untuk menyokong ser*ngan Arab yang berikut, yang akan dilancarkan terhadap pelabuhan Laut Merah Jeddah yang berdekatan.
Dalam pertemp*ran yang melibatkan kekuatan gabungan pakatan ini, pesawat amfibia mengeb*m kedudukan Uthmaniyyah, manakala kapal kruiser Inggeris bernama Hardinge dan Fox menghabisi musuh ketika pasukan dari suku-suku Arab menyer*ng barisan pertahanan Uthmaniyyah dari dalam. Uthmaniyyah menyerah kalah pada 16hb.
Pada akhir bulan Julai, pasukan Arab menguasai dua lagi pelabuhan Laut Merah, Rabegh dan Yanbu. Untuk menobatkan kemenangan awal ini, Abdullah dan 5,000 orang Arab pada bulan Jun mengepung 3,000 tentera Uthmaniyyah di Ta’if, pergunungan di tenggara Mekah, lalu mengalahkan mereka pada akhir September.
Sepanjang pemberontakan, kerugian di pihak Arab tidak diketahui. Tetapi operasi ini sesuai dengan apa yang dikehendaki suku-suku ini: cepat, singkat, tidak memakan banyak k*rban serta mereka dibayar dengan nilai yang mahal dan diberi makan atas usaha mereka.
Ancaman terbesar pemberontakan terletak di Madinah, di mana pasukan pengawal seramai 12,000 orang tentera berada pada posisi yang baik untuk menyer*ng dari belakang dan sisi orang Arab. Pada 5 Jun, anak-anak Hussein iaitu Ali dan Feisal telah memimpin ser*ngan di kota itu, sekali lagi mereka mensabotaj Keretapi Hejaz.
Namun, mereka kalah dan diusir kerana ramai yang tidak ada pengalaman menghadapi temb*kan artileri dan senapang, melarikan diri dengan penuh ketakutan.
Jeneral Hamid Fakhreddin “Fakhri” Pasha, panglima pasukan Uthmaniyyah, menyer*ng balas dengan kira-kira dua brigade, memaksa orang Arab untuk berpecah belah dan melarikan diri. Kegagalan itu merosakkan momentum pemberontakan, dan ia terhenti.
Walaupun begitu, para pejuang Arab berterusan tiba di Jeddah saban hari, tempat kemenangan kedua mereka. Untuk memberikan bimbingan logistik dan politik kepada orang-orang Arab, British telah melancarkan misi ketenteraan di sana dengan nama kod Hedgehog.
Misi Perancis pula beroperasi di luar Mesir, terdiri dari pasukan berkuda, artileri, mesingan dan unit kejuruteraan, berjumlah sekitar 1,170 orang. Bagi menjaga sensitiviti agar tidak menyinggung sekutu Arab mereka dengan tentera bukan Islam, Perancis menghantar tentera Afrika Utara, sementara Inggeris mengerahkan pejuang Mesir dan India Muslim.
Peralatan senjata Inggeris antaranya termasuk howitzer, senapang gunung, mesingan Lewis, bahan letupan, dan 4,000 raifal. Kemudian British membekalkan mortar Stokes dan Ford, kereta berperisai Rolls-Royce dan Talbot, yang masing-masing dilengkapi senjata 10-pounder.
Di udara, Royal Flying Corps pada mulanya menghantar B.E.2 dua pengendali dan kemudian pesawat pengebom-temp*r Bristol F.2B yang ganas serta pengebom Handley Page. Tentera Laut Diraja juga memainkan peranan penting dalam pengangkutan dan ser*ngan.
Pihak British beroperasi berdekatan dengan Tentera Utara Arab Feisal. Para pegawai mengetuai pasukan penyerbu dan membekalkan kemahiran dalam ilmu bahan letupan. Di antara mereka adalah Kapten Thomas Edward Lawrence.
PERANAN LAWRENCE OF ARABIA
Sebagai seorang sejarawan berkelulusan Oxford, Lawrence telah melakukan jelajah ke Timur Tengah sebelum per*ng. Dia mahir bertutur dalam bahasa Arab, pandai memikat orang Arab, dan sangat membantu dalam merealisasikan impian bangsa Arab untuk merdeka.
Ketika pemberontakan meletus, Lawrence adalah pegawai di Jabatan Perisikan Tentera di Kaherah. Pada bulan Oktober 1916, dia dikirim ke Arab untuk menilai perkembangan proses dan kepemimpinan pemberontakan, yang pada dasarnya dipimpin empat putra Sharif Hussein.
Seperti yang kemudian ditulis oleh Lawrence dalam pengalaman kempennya, Seven Pillars of Wisdom, “Saya mendapati Abdullah terlalu pintar, Ali terlalu bersih, Zeid terlalu tenang.” Kemudian dia bertemu dengan Feisal yang telah berusia 31 tahun dan menggambarkan Feisal sebagai “pemimpin dengan api (semangat) yang diperlukan.”
Ini adalah permulaan hubungan persahabatan atas dasar ‘kepercayaan’, semangat, dan matlamat bersama dalam memimpin pemberontakan hingga ke Syria.
Ditugaskan sebagai pegawai perhubungan Feisal, Lawrence akan bangkit menjadi pejuang gerila yang licik, mahir dalam taktikal operasi dengan strategi yang berwawasan tinggi. Dia mampu meraih simpati orang-orang Arab dengan cepat sehingga Feisal menghadiahkan dia persalinan jubah sutera sebagai simbolik pengiktirafan terhadap pemimpin Badwi.
Menambahkan lagi kepercayaan orang Arab terhadap Lawrence adalah kerana dia memiliki kelebihan iaitu mahir berbahasa Arab dan beliau lebih selesa memakai jubah berbanding seragam tentera Inggeris ketika menunggang unta dan terlibat dalam pertemp*ran di gurun.
Sementara itu, angkatan tentera Uthmaniyyah kelolaan Fakhri Pasha telah meningkat ke 12 batalion dan konsisten memburu nasionalis Arab di selatan Madinah. Pada 1 Disember, Fakhri bersama tiga brigade mara untuk merebut kembali Yanbu, yang dipertahankan oleh 1,500 orang Arab.
Pada saat itu, HMS Dufferin, monitor M.31, dan HMS Raven, kapal amfibia pengangkut, tiba di luar pesisir pantai dan mengalahkan Uthmaniyyah yang sedang melakukan kemaraan, sekaligus berjaya menghentikan ser*ngan Uthmaniyyah pada pertengahan bulan Disember.
Semenjak itu, keadaan bertambah buruk bagi pihak Uthmaniyyah. Dengan laluan untuk menghantar sumber bekalan tentera yang semakin berkurangan akibat berterusab diser*ng oleh orang Badwi, Fakhri mengalihkan fokusnya ke selatan untuk merampas semula pelabuhan Rabegh. Tetapi Tentera Laut Diraja memintas kemaraannya melalui pesisir pantai dan dia diancam oleh pesawat pejuang dan askar suku Arab.
PERJANJIAN PALSU SEKUTU
Fakhri menghentikan kemaraannya untuk merancang langkah yang berikutnya, namun Fakhri menerima berita buruk bahawa Abdullah dan Tentera Arab Timur telah menawan pasukan Uthmaniyyah, bersama dengan emas bernilai £ 20,000, bahkan sedang mara di pelabuhan Laut Merah di Wejh. Uthmaniyyah telah kehilangan momentum dan meneruskan sisa per*ng hanya sebagai reaksi terhadap tindakan Arab.
Di sebalik tabir, politik imperialis sedang berlangsung. Pada tahun 1915 dan 1916, Sir Mark Sykes, penasihat utama British di Timur Tengah, dan diplomat Perancis François Georges Picot secara rahsia merundingkan pembahagian wilayah Uthmaniyyah setelah selesai per*ng.
Berdasarkan syarat-syarat Perjanjian Sykes-Picot yang dimeterai pada Mei 1916, British akan menguasai Mesopotamia, Transjordan (Jordan), dan Palestin. Perancis akan memerintah Lubnan, Syria, dan Cilicia, sementara Russia akan menerima tanah Kurdish dan Armenia di timur laut. Badan antarabangsa akan memerintah Baitulmaqdis. pihak Arab? Bak kata sejarawan David Murphy, Arab hanya memperoleh “kemerdekaan namun pada tahap-tahap yang tertentu”.
Secara dasarnya, perjanjian ini tidak pernah didedahkan kepada orang Arab. Tetapi pada bulan November 1917, orang-orang Arab menemui sebab untuk mereka mengambil tahu melalui surat dari Lord Arthur James Balfour, setiausaha luar Britain, kepada Lord Lionel Walter Rothschild, pemimpin Persekutuan Zionis, yang telah diterbitkan dalam Times of London.
Apa yang dikenali sebagai Deklarasi Balfour menyatakan:
“Kerajaan Yang Mulia berpandangan cenderung menyokong usaha menubuhkan sebuah rumah (negara) bagi orang-orang Yahudi di Palestin, dengan jelas telah dinyatakan bahawa tidak ada apa-apa yang boleh menjejaskan hak-hak awam dan agama masyarakat bukan Yahudi di Palestin.”
Dalam penulisan sejarawan Arthur Goldschmidt dan Lawrence Davidson, “Pemerintah British akan menguasai Palestin setelah per*ng dengan komitmen untuk membina tanah air bagi bangsa Yahudi di sana, sambil melindungi hak-hak 93 peratus penduduk Palestin, Muslim dan Kristian, yang berbahasa Arab dan takut dipisahkan dari orang Arab yang lain.”
Lebih-lebih lagi, dalam Deklarasi ke-tujuh tahun 1918 (sebuah dokumen yang dibuat oleh Henry McMahon sebagai tindak balas kepada tuntutan oleh sekumpulan nasionalis Syria yang terkenal), pihak Inggeris bersetuju bahawa orang Arab harus memerintah tanahair mereka yang telah merdeka sebelum per*ng dan juga tanah yang telah mereka bebaskan, dan konsep pemerintahan “akan didasarkan pada persetujuan pihak yang diperintah.”
Oleh itu, kuasa-kuasa besar, khususnya British, membuat janji-janji yang bertentangan dengan sekutu-sekutu mereka yang dahulu dan secara diam-diam membentuk sendiri tanah yang bahkan mereka belum lagi berjaya takl*k. Perjanjian ini adalah perjanjian yang bertentangan dengan janji yang dibuat oleh McMahon kepada Hussein dalam urusan surat-menyurat mereka pada tahun 1915–1916.
Tetapi per*ng masih perlu dimenangi. Pada 24 Januari, setelah selama satu hari pertemp*ran, pasukan Anglo-Arab merebut kota pelabuhan Wejh, yang kemudian menjadi pangkalan logistik dan operasi orang Arab.
Ketika orang-orang Arab meraikan kemenangan bersama pengikutnya, jeneral British Sir Archibald Murray menyedari bahawa orang-orang Arab mungkin boleh memberikan sokongan atas usahanya di Sinai demi melindungi Terusan Suez dan menghalau Uthmaniyyah keluar dari Gaza. Tugas orang Arab: memastikan pasukan Fakhri terus terper*ngkap di Madinah dan mensabotaj laluan Kereta Api Hejaz.
Pada tahun 1917, “pemecahan sempadan” terus dipergiat. Pasukan penyerbu berjumlah dar 12 hingga 200 orang diketuai oleh pegawai Arab, Perancis, dan British. Setelah memasang unta dengan bahan letupan dan mesingan Lewis atau mortar Stokes, mereka melakukan perjalanan selama seminggu melalui padang pasir.
Mereka menyambung rangkaian peledak dengan kotak letupan serta periuk api elektrik. “Periuk api tulip” terkenal kerana ia mampu membengkokkan rel keretapi, yang kemudian terpaksa diganti dan dibaiki dengan susah payah oleh jurutera Uthmaniyyah.
Pihak penyer*ng juga meletupkan jambatan, menara, merosakkan senjata api, stesen per*ng, dan talian komunikasi kerana menurut Lawrence, ini “lebih menguntungkan bagi kita berbanding kem*tian seorang bangsa Turki.”
Dalam beberapa ser*ngan, orang Arab menghabiskan masa berjam-jam bagi 300 hingga 500 peledak di sepanjang landasan sejauh sehingga lima batu. Ini adalah kerja yang paling mencabar dilakukan disamping mencari perisik dan peronda Uthmaniyyah dan ditambah dengan askar suku Arab yang tidak berpengalaman sebagai pembantu. Kemudian mereka perlu menunggu ketibaan keretapi sehingga semalaman untuk.
Temb*k-menembak sering berlaku selepas letupan tercetus, dari jauh penembak jitu Arab membidik askar-askar Uthmaniyyah di dalam keretapi dari tebing batu atau bukit padang pasir. Kadang-kala keretapi membawa pegawai berpangkat tinggi atau peti besi yang penuh dengan wang. Kadang-kala mereka dipenuhi dengan wanita dan askar yang cedera.
Bagi meraikan kemenangan puak Badwi, bangkai keretapi dijarah, m*yat orang-orang Turki digeledah untuk mencari harta rampasan, ada m*yat yang sengaja dirosakkan. Manakala mereka yang cedera dibiarkan m*ti begitu saja.
Walaupun taktik ser*ng dan lari adalah taktik tradisional bagi orang Badwi, Lawrence memformalkannya menjadi teori per*ng gerila. “Per*ng kita harus menjadi per*ng detasmen,” alasannya. “Kita harus menghalang musuh dengan mengancam mereka dalam diam dari gurun yang tidak ramai orang kenali, tidak mendedahkan diri kita sampai kita menyer*ng, dan sebolehnya biasakan diri untuk tidak cuba terlibat dalam pertemp*ran terbuka dengan musuh.”
TAKTIKAL GERILA ARAB
Pemimpin pemberontak kekal fokus pada matlamat strategik yang lebih besar iaitu mara ke utara dan membina rangkaian dengan suku dan pemimpin di Syria dan Mesopotamia. Namun, langkah ini memerlukan pusat operasi baru. Ketika sedang demam akibat cirit-birit berd*rah, Lawrence merancang plot untuk mengambil pelabuhan Laut Merah, di Aqaba yang kini merupakan wilayah Jordan.
Dia menolak untuk menyer*ng dari laut, kerana pertahanan Aqaba dilindungi senjata berat. Sebaliknya, rancangannya lebih merbahaya iaitu ser*ngan gabungan dari Gurun Nefudh, taktik yang tidak akan dijangka oleh Uthmaniyyah.
Pasukan Lawrence bersama 17 pejuang Agayl ber*ngkat dari Wejh pada 10 Mei 1917. Beliau mempunyai sejumlah £20,000 untuk merekrut anggota baru, dan di sepanjang perjalanan, jumlah mereka bertambah menjadi sekitar 700 pejuang.
Perjalanan sepanjang 600 batu selama berminggu-minggu ini melalui muka bumi yang sangat tidak mesra manusia bahkan orang Badwi menyebutnya al-Houl/al-rueb (keganasan). Penulis biografi Lawrence, Michael Asher menyebutnya sebagai “salah satu ser*ngan paling berani yang pernah dilakukan dalam sejarah per*ng.”
Orang-orang Arab melancarkan ser*ngan mereka dari timur laut, menyapu bersih pasukan Uthmaniyyah dan hanya kehilangan hanya dua orang pejuang pada 5 Julai. Keesokan harinya, orang Arab bertambah sekitar 2.500 orang, memasuki Aqaba tanpa sebarang temb*kan, pengawal Uthmaniyyah telah meninggalkan garnisun.
Lawrence yang masih mengenakan jubah Badwi, Lawrence menyeber*ngi Sinai untuk ke Kaherah bagi memaklumkan ketua komander British yang baru, Jeneral Edmund Allenby, mengenai kemenangan yang gemilang ini. Sebagai ganjaran, pihak Arab menerima bayaran tambahan sebanyak £16,000, dan Lawrence dinaikkan pangkat menjadi mejar.
Dengan kejatuhan Aqaba, per*ng di Hejaz pada dasarnya telah berakhir. Tetapi di tengah-tengah kejayaan ini, politik kuasa besar mula campur tangan. “Penakl*kan Aqaba oleh pasukan Arab,”
Kolonel Gilbert Clayton sebelum itu telah menulis surat kepada Lawrence, “mungkin orang-orang Arab akan menuntut tempat itu selepas ini. Oleh itu, sangat penting untuk Aqaba harus terus berada di tangan British selepas per*ng.”, Lawrence sendiri pernah mengakui melalui salah satu suratnya bahawa mereka menyeru orang Arab untuk memberontak hanyalah satu tipu helah untuk mempergunakan Arab.
TAHUN-TAHUN TERAKHIR
Selepas Revolusi Russia pada bulan November 1917, perjanjian rahsia tsar, termasuk Perjanjian Sykes-Picot, diterbitkan, mencetuskan ketegangan dan syak wasangka di antara orang Arab dan sekutu mereka. Lawrence mula bertindak melulu, bagi menyembunyikan matlamatnya, Lawrence bersumpah untuk menjadikan Revolusi Arab sebagai mesin kejayaannya sendiri, dan beliau berjanji akan memujuk pemerintahnya supaya mengagihkan bahagian secara adil untuk orang Arab.
Orang Arab terus bertarung. Bagi membantu ser*ngannya yang akan datang di Gaza, Jenderal Allenby meminta orang Arab memusnahkan jambatan dan landasan keretapi. Sewaktu kerja-kerja sabotaj landasan keretapi lain berhampiran Deraa, kira-kira 60 batu di selatan Damsyik, waktu ini lah dikatakan berlaku satu kisah yang agak lucu.
Lawrence dikatakan telah ditangkap dan menerima penderaan secara seksual, bahkan secara songsang. Namun dia dibebaskan kerana penculiknya menyangka dia sebagai seorang Circassian yang berkulit cerah, tetapi episod itu membayangi Lawrence seumur hidup kerana terdapat versi lain mengatakan Lawrence sendiri adalah seorang homoseksual.
Sementara itu, ser*ngan Allenby mendorong Uthmaniyyah keluar dari Gaza dan menuju ke Baitulmaqdis. Tentera Arab Utara di bawah Feisal menjadi unit “umpan” yang mengalih perhatian askar Uthmaniyyah, dibantu oleh kereta perisai bersenjatakan mesingan dan meriam serta sebahagian besar artileri Perancis.
Ketika Baitulmaqdis jatuh pada 11 Disember, perayaan kemenangan dilakukan di kem Sekutu. Bagi orang Arab, ini bermaksud bahawa salah satu tanah suci yang paling bernilai dalam Islam menjadi milik mereka.
Secara politik, prospek orang Arab menjadi cerah ketika presiden Amerika Woodrow Wilson dalam pidato Januari 1918 mengucapkan “Fourteen Points” untuk tatanan dunia pasca per*ng. Titik ke-12 yang menuntut kedaulatan bagi orang Turki tetapi “warga lain yang sekarang berada di bawah pemerintahan Turki harus dijamin keamanan yang tidak diragukan dan peluang pembangunan autonomi yang sama sekali tidak terganggu.”
Ucapan itu menggembirakan orang-orang Arab, yang merasakan mereka masih ada rakan yang boleh dipercayai iaitu Amerika Syarikat, tidak lagi dipermainkan oleh para penjajah dan penceroboh.
Sementara itu, kejayaan Allenby di Palestin dieksploitasi sepenuhnya. Tentera Arab Utara Feisal diberi peranan penting untuk mengganggu pasukan Uthmaniyyah di timur Sungai Jordan, kemudian maju kebutara Damsyik dan seterusnya.
Feisal mengumpulkan pasukan suku-suku Arab, yang disokong oleh tentera Gurkha, Kor Unta Mesir, dan artileri Algeria, jumlah keseluruham sekitar 1000 orang pejuang. Mereka meletupkan landasan keretapi, menyer*ng stesen, dan menghancurkan jambatan.
Pada tanggal 19 September, di Megiddo, pasukan Inggeris menembusi garis sempadan Uthmaniyyah-Jerman sejauh 60 batu di utara Baitulmaqdis, membuka jurang yang dilalui oleh pasukan berkuda Australia. Menjelang 24 haribulan, hampir 40,000 tentera Uthmaniyyah telah ditangkap, setiap bulan terdapat kira-kira 1,100 orang askar melarikan diri dari per*ng.
Matlamat untuk mengambil Damsyik kini menjadi kenyataan. Dua divisyen pasukan berkuda Australia berlumba di utara Laut Galilea, unit lain bergabung dengan Tentera Arab Utara di Deraa. Orang Australia mendekati bandar itu sementara kira-kira 1,500 tentera irregular Arab yang disokong oleh Tentera Arab regular dan pasukan berkuda Inggeris memusnahkan sisa-sisa Tentera Keempat Uthmaniyyah.
Akhirnya, pada 1 Oktober Feisal dan pengikutnya, dengan Lawrence memandu Blue Mist dan Rolls-Royce, melangkah masuk ke kota Damsyik, bersama dengan beberapa pasukan berkuda Inggeris.
“Damsyik menggila dengan kegembiraan,” kenang Lawrence. Warga berbangsa Arab membuang tarbus di kepala mereka sambil bersorak, para wanita menanggalkan hijab mereka. Buat pertama kalinya dalam berabad-abad sejarah mereka, bangsa Arab akhirnya ‘bebas’ dari pemerintahan Turki Uthmaniyyah.
Feisal segera menubuhkan pentadbiran kerajaan baharu. Dengan konflik ketenteraan yang kian hampir berakhir, per*ng politik pula semakin sengit. Lawrence diizinkan untuk pulang bercuti sebelum dinaikkan pangkat sebagai kolonel, kemudian dia akan kembali ke Timur Tengah.
KEMENANGAN YANG GAGAL
Kawalan pentadbiran Uthmaniyyah pada dasarnya memang telah runtuh. Gerila Arab berada di mana-mana saja dalam pemberontakan terbuka. Pada pertengahan September, sekitar 75,000 orang tentera Turki termasuk 3,400 orang dari pihak Austria dan Jerman telah ditawan.
Benar, pemberontakan ini telah menyebabkan seramai 15,000 k*rban di pihak Uthmaniyyah (termasuk yang disebabkan oleh penyakit) dan telah menawan antara 23,000 dan 30,000 tentera Central Powers. Pada bulan Mei sahaja, serbuan Arab telah menghancurkan 25 batang jambatan.
Ketika tentera Uthmaniyyah sedang pulang ke tanah air mereka Turki, kota Aleppo di utara Syria telah jatuh ke tangan pasukan Arab dan Inggeris. Pada 30 Oktober, Empayar Uthmaniyyah ditawarkan rundingan untuk menamatkan perkelahian, sekutunya Jerman mengikut tuntutannya pada 11 November.
Namun Fakhri Pasha enggan menyerah diri atau lari dari garisan pertahanan kota Madinah sehingga Januari 1919, itulah kubu terakhir sebuah empayar Islam yang tewas.
Dengan per*ng yang telah berlalu, tibalah masanya untuk menangisi mereka yang terk*rban, merawat yang cedera, manakala bagi para pemenang, inilah masanya untuk membahagikan harta rampasan per*ng. Feisal, Lawrence, dan para pemimpin Arab menghadiri Persidangan Damai Paris pada tahun 1919, dengan harapan dapat menikmati hasil peng*rbanan dan penat lelah mereka.
Sebaliknya, Feisal mendapati namanya telah dipadamkan dari senarai rasmi perwakilan. Tetapi dalam majlis dan ucapannya, dia membuat kehadirannya disedari orang. “Bangsa Arab telah lama menderita di bawah penguasaan asing, saatnya telah tiba untuk kami kembali kepada diri kami sendiri.”
Perancis, British, Amerika Syarikat, dan Itali mendominasi rundingan. Perancis, yang menanggung kerugian paling besar dalam per*ng, ingin menghukum Jerman, Uthmaniyyah dan Austro-Hungary. British menyokong perkara ini. Ketiga-tiga kerajaan tersebut memang akan lenyap tidak lama kemudian, dan para penjajah akan menaburkan benih dendam era moden pula.
Tuntutan hak Feisal yang mewakili Arab diketepikan. Perancis dan Inggeris membenci idealisme Wilsonian mengenai berakhirnya imperialisme. “Saya telah pulang,” ujar perdana menteri Britain Lloyd George dengan bongkak setelah menandatangani Perjanjian Versailles, “dengan poket yang penuh dengan kedaulatan dalam bentuk Koloni Jerman, Mesopotamia, dll.”, dia sedikit pun tidak memikirkan isu keselamatan dunia pada masa hadapan atau keamanan sejagat.
Dalam Persidangan San Remo pada tahun 1920, Perancis dan British membelah-belah peta Timur Tengah, melukis sempadan mengikut selera mereka, mengabaikan hubungan etnik, linguistik, dan agama ketika mereka cuba melahirkan negara moden yang baru. Mereka menganggap negara-negara ini sebagai “mandat” sedangkan apa yang sebenarnya berlaku adalah penjajahan.
Tentera Perancis menceroboh Syria dan mengusir Feisal dan para pengikutnya keluar dari Damsyik pada bulan Julai 1920. Mereka ingin memecah belah dan memerintah wilayah ini dengan lebih mudah, para perancang pentadbiran baru cuba memperluaskan Lubnan hingga mencetuskan populasi bercampur aduk kumpulan etnik dan kumpulan agama.
Abdullah, yang pernah memasang impian untuk memerintah Damsyik, menduduki Amman di wilayah yang sekarang di dalam Jordan dengan 500 orang pejuang, sambil mengancam untuk mengisytiharkan per*ng melawan penjajah dari Perancis.
Nampaknya per*ng akan terus berlanjutan di Timur Tengah, yang tidak mampu dimiliki selama-lamanya oleh British dan Perancis. Winston Churchill, setiausaha kolonial Britain, menjemput Lawrence dan pakar-pakar lain ke satu persidangan di Kaherah pada bulan Mac 1919.
Cara paling murah bagi orang Inggeris untuk mencuci tangan dari perbuatan keji mereka adalah dengan solusi Hashimite iaitu memberi ganjaran kepada Feisal dan Abdullah berbentuk kerajaan-kerajaan yang dibentuk dari garis sempadan yang dilukis di atas peta kosong, seperti yang dijelaskan oleh sejarawan David Fromkin.
Churchill dan pegawainya menamakan semula wilayah Mesopotamia sebagai Iraq, ianya berdasarkan apa yang disebut oleh beberapa suku Arab untuk merujuk wilayah ini, yang berasal dari sebutan “Uruk”, nama sebuah kota Sumeria kuno.
Mengabaikan pecahan sistem Uthmaniyyah yang lama, mereka mendesak kumpulan Kristian, Yahudi, Muslim, Arab, dan Kurdish ke dalam sempadan buatan yang bernama Iraq. Lebih-lebih lagi, apabila penghujung geografi nya diasingkan, lalu dijadikan sebagai Kuwait, dan suku yang setia bekerja dengan Inggeris mengetahui mereka telah diangkat sebagai raja.
British kemudian mencabul “pilihan raya” Iraq dan Feisal diumumkan sebagai raja. Namun sebaliknya, Feisal bertindak menekan pemimpin British untuk menuntut kemerdekaan sebenar, satu tingkah laku yang British anggap sebagai tidak bersyukur.
Abdullah diangkat menjadi raja Transjordan, yang mencetuskan kemarahan Zionis kerana mereka percaya bahawa tanah ini telah dijanjikan kepada mereka. Mengenai Palestin, Feisal dan Lawrence membuat kenyataan umum dengan teliti mengenai masa depannya. Secara peribadi, mereka yakin bahawa akan ada “rusuhan yang kronik, dan per*ng saudara cepat atau lambat di Palestin.”
Tidak menghairankan, kerana sepanjang tahun 1920-an dan 1930-an, Timur Tengah bangkit memberontak. Apabila perbelanjaan per*ng meningkat, Inggeris dan Perancis dengan tergesa-gesa memberikan mandat kemerdekaan, walau bagaimana pun perjanjian ini sangat menguntungkan kepentingan mereka sendiri.
Semenjak itu, negara-negara ini telah melalui kitaran per*ng, revolusi, penindasan politik, dan konflik sosial. Walaupun keturunan Abdullah masih memerintah di Jordan, keturunan Feisal telah dihapuskan dalam peristiwa rampasan kuasa yang berlaku setelah kem*tiannya.
Jasa bakti Lawrence yang dikenang Arab semenjak itu bertukar menjadi satu cerita yang sering dianggap mereka sebagai ‘dongeng’, mungkin ia bertujuan mengelak dari rasa diaibkan kerana dengan pertolongan Lawrence, bangsa Arab memer*ngi Uthmaniyyah, kemudian masih berper*ng sesama sendiri hingga saat ini. Mereka cuba menutup kisah Lawrence Of Arabia seboleh mungkin.
Dari segi ketenteraan, Revolusi Arab adalah petanda kesinambungan per*ng-per*ng moden, terutamanya di Timur Tengah di mana operasi ketenteraan mula menggabungkan kekuatan udara, darat, dan laut, kereta perisai mampu bergerak pantas yang disokong oleh pasukan infantri mobil, dan ser*ngan yang disasarkan tidak hanya memusnahkan musuh tetapi juga melumpuhkannya dengan memutuskan talian komunikasi dan bekalan.
Per*ng padang pasir, seperti per*ng di laut, berlaku dalam lanskap yang luas dan mencabar, di mana ketumbukan sayap sisi mampu bergerak tanpa batasan, namun ketangkasan dalam menyalur dan menerima maklumat masih sangat penting. Apatah lagi dalam peper*ngan moden seperti dalam pemberontakan, pemimpin mesti mempunyai kemahiran ketenteraan dan politik.
Mungkin yang paling penting, seperti yang telah dipelajari oleh penjajah berturut-turut, walaupun menceroboh negara-negara Timur Tengah itu sangat mudah, tetapi suku dan kumpulan lain akan bangkit dan bertemp*r dengan aktif dan bersemangst hingga musuh berundur sambil menjilat luka sendiri.
Oleh itu, sangat penting untuk meraih sokongan besar dari anggota setiap suku, kerana merekalah yang memegang kunci kemenangan utama walaupun hakikatnya mereka diperbodohkan pada saat akhir.
Janji-janji hancing British dan Perancis dan “negara palsu” ciptaan mereka menimbulkan rasa tidak percaya dan sinis yang mendalam di Timur Tengah, dan situasi itu kekal berterusan hingga ke hari ini.
Bagi bakal pembina negara moden, kesan akibat dari Revolusi Arab dengan jelas menggambarkan betapa mustahilnya untuk pihak luar berusaha mewujudkan atau “memperbaiki” negara yang tidak-organik. Selagi sempadan buatan kolonisasi ini masih ada, ketidakstabilan di Timur Tengah akan kekal berterusan.
RUJUKAN:
- The Legacy Of The Arab Revolt
- How Britain sowed seeds of Arab Revolt
- Creating Chaos : Lawrence Of Arabia And The 1916 Arab Revolt
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih