CES ataupun Consumer Electronic Show baru sahaja melabuhkan tirainya beberapa minggu lepas. Ia merupakan pameran barangan eletronik terbesar di dunia yang sangat ditunggu-tunggu oleh peminat-peminat gajet. Di pameran inilah pelbagai barangan elektronik dipersembahkan dan dilancarkan kepada dunia termasuklah telefon pintar, televisyen, peranti-peranti digital dan banyak lagi. Di sini jugalah pelbagai permain industri termasuklah syarikat-syarikat gergasi seperti SAMSUNG, SONY, HUAWEI, GOOGLE dan lain-lain lagi bertanding dan bersaing memperlihatkan kemampuan teknologi masing-masing dan pada masa yang sama menarik minat pengunjung dan pihak media.
Tidak dinafikan yang CES adalah medan pemangkin perkembangan teknologi dan juga inovasi. Di pameran inilah pelbagai teknologi-teknologi baru diperkenalkan yang bukan sahaja menjadi perhatian dunia, tapi turut mengubah cara kehidupan kita ke arah yang lebih baik. Mari kita singkap sejarah CES dari saat ia mula ditubuhkan pada 1967 sehinggalah sekarang. CES dianjurkan oleh Cosumer Technology Association (CTA).Sebelumnya pameran barang elektronik bernaung di bawah Chicago Music Show yang pada ketika itu merupakan pameran barangan elektronik terbesar di dunia.
CES yang julungkalinya itu diadakan di bandar New York pada bulan Jun 1967. Ia disertai lebih kurang 14 syarikat termasuklah LG, Motorola dan Phillips dengan ruang pameran hanya 10,000 kaki persegi. Dari tahun 1967 sehinggalah ke awal 70-an, CES mula mempamerkan dominasi syarikat-syarikat Jepun dalam industri elektronik. Pada tahun 1969, CES diadakan buat kali ketiganya di bandar New York. Tahun itu ia didominasi oleh produk-produk radio dan televisyen. Pada tahun yang sama, kita juga dapat melihat produk-produk klasik dari Panasonic termasuklah mini TV dengan saiz hanya 1.5 inci dan juga “headphone stereo” yang diberi gelaran “Space Man” oleh pihak media.
Bermula pada awal 70-an, CES mula memperlihatkan peranannya sebagai pemangkin inovasi. Pada tahun 1971, CES memindahkan lokasinya ke bandar Chicago. Pada tahun tersebut, ia melihat penyertaan sehingga 275 syarikat yang banyak didominasi oleh peralatan-peralatan audio. Pada iterasi tersebut, kita dapat melihat Sony melancarkan VCR format “U-matic” (perakam audio analog) untuk pasaran umum.Pada tahun 1972, bilangan pengunjung dan penyertaan syarikat juga meningkat sehingga dua kali ganda. 40,000 orang pengunjung datang ke pameran CES pada tahun tersebut yang turut mempamerkan pameran dari lebih 300 buah syarikat.
Tahun yang sama juga, melihatkan lonjakan radio stereo di dalam kereta seiring dengan perkembangan teknologi audio. Bermula dari tahun 1973, CES mula dianjurkan dua kali dalam setahun (sekali dalam musim sejuk dan sekali pada musim panas). Laserdisc mula dipertontonkan kepada umum pada tahun 1975. Pada tahun 1977, bilangan pengunjung ke CES meningkat ke 50,000 dan disertai oleh lebih 700 syarikat. Tahun yang sama juga melihat kebanjiran jam-jam digital di pameran CES. Pada tahun 1978, sekali lagi CES bertukar lokasi ke Las Vegas, Nevada yang menjadi lokasi tetap pameran CES sehingga sekarang.
Jika pada 1970-an menyaksikan CES dikuasai oleh industri muzik dan juga televisyen, 1980-an pula menyaksikan kebangkitan komputer peribadi dan juga sistem permainan konsol di rumah. Pada tahun 1979, ATARI melancarkan komputer 8-bit mereka, ATARI 400 dan ATARI 800. Pada tahun 1980, buat julung kalinya CES melancarkan program pentas untuk promosi dan pengiklanan. Melalui program pentas tersebut, syarikat-syarikat besar seperti Apple dan Microsoft boleh melancarkan dan mempromosikan produk mereka untuk tontonan umum.
Pada tahun 1982, format “compact disc” ataupun CD telahpun dilancarkan. Pada tahun yang sama juga kita dapat melihat beberapa komputer peribadi dilancarkan antaranya Commodore 64 dan juga Vectrex. Tahun 1984 pula merekodkan jumlah pengungjung sehingga 100,000 orang, menjadikan ia CES pertama yang menerima kunjugan ratusan ribu orang bagi kedua-dua siri (musim sejuk dan juga musim panas). 1985 adalah tahun bersejarah buat CES, di mana Nintendo melancarkan Nintendo Entertainment System (NES) mereka pada iterasi tersebut. Seterusnya pada tahun 1988 hingga 1989 kita dapat melihat kebangkitan permainan video dimana Tetris buat pertama kalinya dilancarkan pada 1988 dan Nintendo Game Boy pada 1989.
Pada 1990-an, saiz ruang pameran CES sudah mencapai sejuta kaki persegi. Banyak produk-produk baru dilancarkan pada dekad tersebut antaranya pemain CD, Sony Walkman, komputer peribadi seperti Apple Newton dan banyak lagi. Pada awal abad ke-20, CES memainkan peranan dalam banyak pelancaran teknologi-teknologi baru yang banyak kita gunapakai sekarang antaranya Blu-ray, telefon pintar dan juga sistem rumah pintar.
Tahun 2018 merekodkan pameran CES antara yang terbesar dalam sejarah. Dengan jumlah pengunjung yang mencecah sehingga 180,000 orang, CES kali ini menampilkan sejumlah 3,900 syarikat yang terlibat mempamerkan produk-produk mereka dengan ruang pameran seluas 2.6 juta kaki persegi. CES 2018 juga melihatkan penglibatan sehingga 7000 wakil media yang memastikan liputan menjangkaui sehingga 150 buah negara.
Ruang-ruang pameran di CES terbahagi kepada beberapa kategori termasuklah Pencetakan 3D,drone, telefon pintar sehinggalah ke sistem rumah pintar. CES juga tidak lupa untuk memberi ruang untuk syarikat-syarikat kecil (atau “startup”) untuk mempamerkan idea baru mereka kepada pengguna-pengguna, pihak media dan juga yang paling penting sekali,kepada para pelabur. Iterasi kali ini menyaksikan pelbagai produk dan teknologi baru diperkenalkan kepada dunia yang banyak dimonopoli oleh teknologi kepintaran buatan, realiti maya dan juga sistem rumah pintar. Antara produk yang menarik dilancarkan pada kali ini adalah robot.
Beberapa syarikat seperti Honda dan juga Sony melancarkan produk robot mereka dari yang berfungsi untuk membantu tugas-tugas seharian sehinggalah yang digunakan untuk bermain. CES pada kali ini juga menampilkan produk realiti maya dan juga “augmented reality” antaranya Lenovo VR Pro, Vuvix Blade (cermin mata dengan fungsi “augmented reality”), HTC Vive Pro dan juga Vive Wireless Adapter.
Industri hijau juga tidak ketinggalan dengan Hyundai mempersembahkan Hyundai Nexo, kereta pertama mereka yang beroperasi sepenuhnya dengan hidrogen. Google juga tidak ketinggalan kali ini dengan memastikan yang kepintaran buatan mereka “Google Assistant” mendominasi sistem rumah pintar dan juga IoT (“Internet of Things”). Beberapa produk seperti JBL Link View, Kia UVO, dan banyak lagi mengintegrasikan “Google Assistant” dalam sistem mereka menjadikan “Google Assistant” sistem kepintaran buatan yang bakal membantu kita dalam tugas seharian di masa akan datang.
CES sudah terbukti melalui perjalanan sejarah mereka memangkin perkembangan inovasi dan juga teknologi. Banyak produk-produk berinovasi dilancarkan sepanjang tempoh hayat CES yang menjadikannya pameran elektronik terbesar di dunia. Diharapkan CES dapat terus lagi berkembang di masa akan datang dan terus memangkin inovasi dalam industri elektronik sedunia.
Rujukan:
Marc Saltzman. (2018). 10 products from CES 2018 I would buy today. USA Today. https://www.usatoday.com/story/tech/columnist/saltzman/2018/01/13/10-products-ces-2018-would-buy-today/1031266001/
Laura June (2013) Incredible photos from the CES vault: 1967 to 2014. The Verge. https://www.theverge.com/2013/1/4/3828848/ces-photo-history
Lisa Eadicicco (2018) 10 of the Coolest Gadgets We Saw at CES 2018. Time.com http://time.com/5100244/best-ces-2018-consumer-electronics-show/
CES 2018 Fact Sheet. https://www.ces.tech/CES/media/pdfs/fact-sheet.pdf
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih