Kita sudah biasa dengar jenis-jenis perjanjian atau konvensyen ditandatangani antara negara-negara untuk mencapai matlamat tertentu. Sesetengah dimeterai untuk jaga kepentingan sama ada bersifat dua hala, serantau atau seluruh dunia. Dalam dunia komik sendiri, ada satu perjanjian atau akta yang dimeterai seluruh dunia berkenaan superhero iaitu Akta Pendaftaran Manusia Luar Biasa (Marvel/Civil War) dan Perjanjian Sokovia (Marvel/Captain America: Civil War). Tetapi tidak ramai sedar contoh akta atau perjanjian ini sebenarnya lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan seperti diyakini oleh Tony Stark/Iron Man.

Kebanyakan akta atau perjanjian sebegini melihat perlunya kerajaan atau organisasi seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memantau kegiatan superhero atas alasan kuasa mereka merupakan ancaman kepada umat manusia dan tindakan mereka mengundang kemusnahan besar di tempat mereka berada. Atas sebab itu, apabila akta sebegini digubal, adiwira-adiwira ini hanya boleh bertindak bila panel yang dilantik merasakan perlu untuk mereka campur tangan saja. Semua ini dilakukan atas nama keselamatan dan kesejahteraan manusia sejagat.

Satu ironi berkenaan akta atau perjanjian ini ialah penggubal-penggubalnya tidak sedar semua negara tak kiralah kuasa besar atau organisasi serantau mempunyai kepentingan masing-masing. Semua pasti mahu menjaga kepentingan mereka walaupun ini bermakna ia akan membawa kepada manipulasi dan salah guna kuasa. Begitu juga dengan perjanjian atau akta membabitkan orang luar biasa ini. Perjanjian sebegini terdedah kepada manipulasi dan salah guna kuasa di mana sesetengah negara boleh saja menggunakan adiwira-adiwira ini melakukan aktiviti mereka atas nama keselamatan global walaupun itu bermakna melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Kita tak perlu lihat jauh, lihat saja Iron Legion yang dimiliki Iron Man.

Bayangkan sekiranya pihak Amerika mahu menjaga kepentingan mereka di rantau tertentu, mereka boleh saja menggerakkan Iron Legion sebagai senjata utama mereka ke atas mana-mana negara yang menentang hegemoni Uncle Sam atas nama keamanan dunia. Iron Man boleh bantah tetapi harga yang perlu dibayar sama ada dipenjarakan atau benarkan penggunakan Iron Legion walaupun ia sama sekali berlawanan dengan prinsipnya. Walaupun senario ini bersifat imaginasi tetapi lihat saja gelagat kuasa-kuasa besar dunia dan tindakan mereka atas nama keamanan sejagat, satu ironi kan?

Satu lagi ironi berkenaan akta orang luar biasa ini ialah penggubal-penggubal ini lupa akan penjenayah-penjenayah yang dihadapi adiwira-adiwira ini saban hari. Kalau kita ikut logik Vision/J.A.R.V.I.S (Paul Bettany) dalam Captain America: Civil War, satu-satunya konflik dapat dielakkan ialah semua adiwira ini berpindah ke tempat lain atau tidak lagi terlibat dengan aktiviti tersebut. Masalahnya, logik Vision tidak mengambil kira apa tindakan penjenayah ini pasca-pemergian mereka. Pasti ada ruang vakum di mana mereka akan jadi lebih berkuasa sehingga ke tahap menindas orang ramai dan memaksa kerajaan mengikut telunjuk mereka.

Dan ini satu senario yang pasti akan ditolak mentah-mentah oleh semua orang termasuk superhero itu sendiri. Mahu tidak mahu, mereka perlu berlawan dan memastikan kekejaman penjenayah-penjenayah ini ditamatkan sepenuhnya. Jika anda kata akibat senario ini tidak ada, lihat Bolivia pada dekad 80-an. Selepas berlakunya rampasan kuasa di mana rejim terdahulu yang disokong Amerika Syarikat tumbang, rejim berikutnya yang mendapat sokongan kartel-kartel dadah ini mengakibatkan penyeludupan dadah dan rasuah berleluasa. Jika ada yang mahu menentang, maka bersiaplah dikejar pasukan-pasukan pembunuh yang dilatih penjenayah perang Nazi, Klaus Barbie.

Satu lagi aspek kelakar tentang akta atau perjanjian sebegini ialah panel yang dilantik kerajaan yang menentukan apa taktik atau strategi yang digunakan adiwira-adiwira sekiranya mereka perlu berada di lapangan.

Alasan mereka ialah untuk mengelak lebih banyak kerosakan. Tetapi panel-panel ini lupa, mereka tidak berada di lapangan tatkala mengesyorkan semua taktik kepada semua superhero ini. Mereka tidak tahu apa keadaan di luar sana dan risiko bagi setiap tindakan yang diambil. Jika mereka kata situasi tersebut memerlukan campur tangan tentera, persoalannya apakah pihak tentera berkemampuan mengekang ancaman yang bersifat global ini? Dan sekiranya mereka merasakan semua taktik konvensional yang digunakan gagal, apakah mereka mempertimbangkan taktik menghadkan kerosakan termasuk membunuh jutaan orang awam? Sebab inilah taktik yang digunakan anggota Majlis

Keselamatan apabila melihat situasi di New York dalam filem The Avengers iaitu melancarkan serangan nuklear bagi menghapuskan ancaman Loki dan tentera Chitaurinya. Jika Avengers tidak bertindak lebih awal berikutan perlaksanaan akta atau perjanjian ini, maka bilangan populasi New York yang terbunuh pasti meningkat. Dan akibatnya, mana-mana kerajaan yang merangka perjanjian sebegini akan tumbang dan perjanjian ini akan dibakar atau dibakulsampahkan!

Satu lagi impak dari perjanjian sebegini ialah kemunculan lebih banyak penjenayah yang berkuasa luar biasa. Patutnya peranan adiwira dalam komik ialah menghalang aktiviti jenayah dari berlaku. Tetapi seperti yang ditunjukkan Civil War dan Captain America: Civil War, perkara sebaliknya berlaku. Adiwira-adiwira yang berdaftar dengan akta atau perjanjian ini lebih sibuk mengejar adiwira-adiwira yang tidak berdaftar daripada sibuk menangani ancaman sebenarnya. Dan sekiranya ini dibiarkan berterusan, adiwira-adiwira ini yang semakin bosan tidak lagi berjuang atau menyerang organisasi bertanggungjawab mengekang kebebasan mereka beroperasi.

Selain itu, tindakan mereka ini mengakibatkan perjanjian tersebut diragui keberkesanannya. Ini kerana bagi memastikan perjanjian berjaya mencapai matlamatnya, semua adiwira perlu menandatangani dan menerima akta tersebut. Dan itu agak mustahil untuk dicapai kerana tak semua orang akan menerima perjanjian tersebut. Dan jika nak kekang mereka yang tidak berdaftar ini memerlukan usaha yang besar dari segi kewangan, tenaga dan logistik.

Pasti ini akan menjadi satu pembaziran sumber dan menambah keraguan orang ramai terhadap perjanjian ini. Tak perlu lihat jauh, tengok naratif Daisy Johnson/Quake (Chloe Bennet) selepas meninggalkan Strategic Homeland Intervention Logistic Division (SHIELD) pasca-keganasan Hive. Tindakan beliau sebagai adiwira walaupun tidak berdaftar dengan Perjanjian Sokovia menyebabkan ramai melihat perjanjian sebegini satu kegagalan dan membazirkan duit pembayar cukai.

Agak lucu apabila penggubal-penggubal dasar ini mengatakan perjanjian ini sebenarnya membantu menyelamatkan nyawa. Tetapi naifnya mereka melihat dunia dari sudut sempit sebenarnya mengundang lebih banyak kemusnahan dan membawa kepada kejatuhan mereka sendiri.

SUMBER
Breeding, Jordan. (2017). Forces of Geek. Marvel’s Central Problem: The Sokovia Accords. http://www.forcesofgeek.com/2017/04/marvels-central-problem-the-sokovia-accords.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.