Rangka seorang samurai Inggeris yang tiba di Jepun pada tahun 1600 Masihi dalam perjalanan menuju ke Dunia Baru bersama konvoi Belanda yang bernasib malang, telah dikenal pasti identitinya secara positif oleh ahli-ahli arkeologi.

Kisah aksi-pengembaraan seorang pelaut Inggeris kurun ke-17, William Adams, ini diabadaikan dalam novel James Clavell yang berjudul ‘Shogun’ dan siri TV 1980an dengan judul sama yang dibintangi oleh Richard Chamberlain.

Menurut artikel yang disiarkan oleh Evening Independent pada 1980an, Clavell bahawa beliau memperoleh inspirasi untuk menghasilkan novel tersebut setelah membaca sepotong ayat yang terkandung di dalam buku teks milik anak perempuannya yang berbunyi, “Pada tahun 1600, seorang lelaki Inggeris pergi ke Jepun dan menjadi seorang samurai”.

Walaupun kisah hidup Adams didokumentasikan dengan baik, tempat persemadian terakhirnya kekal sebagai sebuah misteri arkeologi selama lebih empat kurun. Namun, pada tahun lalu, sekumpulan ahli arkeologi yang melakukan ekskavasi ke atas sebuah tanah perkuburan di Pulau Hirado, Wilayah Nagasaki, berjaya menemukan sebab untuk meyakini bahawa jasad samurai Inggeris itu telah pun dijumpai.

SAMURAI INGGERIS

William Adams dilahirkan pada tahun 1564 Masihi dan menjelang 1598 Masihi, beliau menyertai perlayaran lima buah kapal Belanda di Rotterdam bagi tujuan mencari kekayaan di Dunia Baru. Adams merupakan anak kapal bagi salah sebuah kapal yang terselamat dari karam. Pun begitu, beliau ditahan di Istana Osaka oleh Tokugawa Ieyasu, shogun atau ketua samurai yang memerintah Jepun pada waktu itu. Setelah lama mendampingi tokoh Jepun itu, Adams sangat disenangi oleh Ieyasu hinggakan beliau dilarang dari meninggalkan pulau. Di sana, Adams dikenali sebagai ‘samurai bermata-biru’.

Peta Jepun pada tahun 1707, bersama lukisan kecil yang menggambarkan samurai Inggeris, William Adams sedang bersama Tokugawa Ieyasu


BUKAN SATU, TETAPI BANYAK BUKTI

Keperibadian Adams begitu dikagumi oleh shogun. Walaupun beliau sudah pun mempunyai seorang isteri dan anak di England, Adams mengahwini seorang wanita Jepun yang bernama Yuki dan dikurniakan dua orang anak bernama Joseph dan Susanna.

Bahkan, dicatatkan bahawa beliau turut dikurniakan status samurai dan “dihujani hadiah yang banyak, termasuklah 90 orang hamba”, menurut sebuah laporan di Daily Mail. Ketika shogun kemudiannya mengizinkan beliau untuk kembali ke pangkuan keluarga dan kehidupan lalunya di England, Adams menolak tawaran tersebut dan memutuskan untuk menghabiskan sisa hidupnya di Jepun.

Tulang-temulang beliau yang setakat ini hanya 5% sahaja telah dijumpai, ditemukan di tanah perkuburan Hirado yang pada asalnya telah pun diekskavasi pada tahun 1931. Pada waktu itu, rangka tersebut ditemukan dalam sebuah “kubur bergaya-Barat” sebagaimana yang diujarkan oleh ahli-ahli arkeologi di zaman itu. Hal ini membangkitkan khabar angin bahawa Adams sememangnya disemadikan di situ.

Kemudian, sebuah batu nisan ditemui di kawasan berhampiran di mana ia mengandungi nama Jepun Adams, iaitu “Miura Anjin”. Baru-baru ini, ahli-ahli arkeologi di Universiti Tokyo memanfaatkan alatan analisa moden untuk menjalankan ujian dan mendapati lelaki yang ditemui itu meninggal dunia sekitar tahun 1590 hingga 1620 Masihi, iaitu tempoh yang tepat Adams meninggal dunia.

Nisan samurai Inggeris, William Adams atau Miura Anjin di Hirado, Wilayah Nagasaki, Jepun


Profesor Richard Irving, salah seorang anggota Kelab William Adams yang berpangkalan di Tokyo memaklumkan kepada
Telegraph bahawa penemuan tersebut “konsisten dengan ciri-ciri Adams yang telah pun diketahui, seperti jantinanya, asal-usul kelahirannya, serta usia dan tahun kematiannya.”

Keterujaan saintis semakin ketara apabila analisa utama yang mereka jalankan mendapati DNA rangka tersebut adalah milik seorang lelaki dari Eropah utara yang meninggal dunia pada usia antara 40 hingga 59 tahun.

Kini, pada ulang tahun ke-400 kematian Adams (1620 Masihi), pakar-pakar forensik baik di Jepun mahupun di Britain mengumumkan bahawa mereka telah pun berjaya mengidentifikasikan jasad tersebut sebagai Adams, kata sebuah artikel di The Telegraph.

KARYA YANG MENEKANKAN PETUALANGAN ADAMS

Walaupun novel Clavell yang berjudul ‘Shogun’ dianggap sebagai adaptasi terbaik kehidupan Adams di Jepun, ia bukanlah adaptasi yang pertama memandangkan William Dalton telah pun menghasilkan Will Adams, The First Englishman in Japan: A Romantic Biography pada tahun 1861.

Kemudian pada tahun 1932, Richard Blaker menerbitkan The Needlewatcher, sebuah karya fiksyen-sejarah yang sangat cermat dan berupaya menyah-mitoskan kehidupan Adams. Selanjutnya, beberapa adaptasi yang dianggap kurang berjaya dihasilkan sepanjang 1960an hingga 1970an, sebelum Christopher Nicole menerbitkan Lord of the Golden Fan pada tahun 1973, dua tahun sebelum Shogun dikeluarkan oleh Clavell.

Menurut Universiti Columbia, karya yang terakhir ini merupakan sebuah karya ‘pornografi ringan’ yang mendedahkan sisi gelap Adams. Di mana, beliau digambarkan sebagai seorang lelaki Inggeris yang tertekan dengan norma dan moral masyarakat pada waktu itu, seterusnya berpetualangan bagi mencari kebebasan seksual di Timur.

Bersama dengan pemerincian tentang 90 orang hamba yang kebanyakannya merupakan gadis yang “paras-paras cukup usia” (barley legal), karya ini dianggap sebagai sebuah fiksyen-sejarah yang dihasilkan dengan cermat.

TERJEMAHAN:

Ashley Cowie. (19 Mei 2020). Remains of Legendary Lost English Samurai Unearthed in Japan. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/english-samurai-0013732


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.