Sambil menikmati cuaca sejuk yang melanda kebanyakan tempat di Malaysia ini dan mendengar lagu “Sayang Laksamana Mati Dibunuh” nyanyian TokTi bersama Teh O Panas, terasa amat menyamankan. Alunan merdu TokTi memberi aku ilham dan semangat untuk berkongsi kepada semua kisah penggulingan seorang Laksamana agung Kerajaan Johor suatu ketika dahulu. Aku akan berkongsi hasil pembacaan beberapa buah buku terutamanya Kerajaan Johor 1641-1728 hasil tulisan Leonard Y. Andaya. Walaupun buku ini sudah dibeli lama, akan tetapi aku mengambil masa yang agak lama untuk membaca dari bab ke bab bagi memahami dengan jelas setiap apa yang diceritakan. Tambahan pula, masa aku yang sangat padat sebagai seorang pelajar tentera.

Leonard Y. Andaya adalah satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia sejarah tanah air malahan Asia Tenggara. Beliau merupakan seorang professor Sejarah Asia Tenggara kini di Universiti of Hawai dan berumahtangga juga dengan seorang Sejarawan iaitu Barbara Watson Andaya juga bekerja di universiti yang sama. Buku tulisan Andaya antara yang menerangkan lebih jelas kronologi penggulingan kuasa terhadap Paduka Raja Tun Abdul Jamil. Menurut beliau, satu-satunya teks Melayu yang menghuraikan penceritaan penggulingan Paduka Raja Tun Abdul Jamil adalah Peringatan Sejarah Negeri Johor.

PENDAHULUAN

Tun Abdul Jamil ibni Tun Muhammad merupakan pembesar berpangkat Laksamana yang paling terkenal, berpengaruh serta berkuasa sekali dalam Sejarah Kesultanan Johor walau bukan berpangkat Bendahara. Tun Abdul Jamil mulai menonjol apabila mengepalai bala tentera menyerang Kota Melaka pada 1640-1641 dengan pakatan bersama Belanda semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil III. Pada 1641, Kota Melaka akhirnya dapat ditawan. Pada tahun 1641 adalah sangat penting dalam perkembangan sejarah Johor kerana bermula tahun ini Portugis dan Acheh tidak lagi mengganggu Kerajaan Johor (Acheh menjadi lemah selepas kemangkatan Sultan Iskandar Thani  dan balunya Sultanah Tajul Alam Safiatuddin menaiki takhta).

Johor telah muncul sebagai sebuah kuasa di Kepulauan Melayu dan sempadannya mulai jelas merangkumi Sungai Penagi (Linggi), Sungai Kampar, Sungai Siak, Unggaran, Bengkalis, Bulang, Lingga, sekitar Kepulauan Karimun, Singapura, Muar dan Batu Pahat (Rio Formosa). Tun Abdul Jamil juga adalah panglima yang bertanggungjawab dalam Perang Johor – Jambi yang berlaku sekitar 1666 hingga 1679 (turut memainkan peranan penting adalah menantunya Raja Bajau). Pada 1679, Sultan Ibrahim Shah ibni Raja Bajau (1677-1685) telah menitahkan beliau menyerang Jambi dengan dibantu seorang bangsawan Bugis bernama Daeng Mengika/Mangika.

Maka, hasil kejayaan Perang Johor – Jambi inilah beliau dianugerahkan gelaran Paduka Raja oleh Sultan Ibrahim. Tambahan pula, anak perempuan Tun Abdul Jamil telah dikawinkan dengan Sultan Ibrahim Shah. Ini adalah puncak kejayaan dan kekuasaan Laksamana Paduka Raja Tun Abdul Jamil dalam politik Johor.

Kuasanya melebihi Bendahara Tun Habib Abdul Majid ketika itu. Paduka Raja Tun Abdul Jamil juga telah melantik anak-anaknya memegang jawatan penting dalam pentadbiran Johor seperti Laksamana (menggantikan tempat ayahnya), Temenggung (Temenggung sebelum itu telah dibunuh di hadapan Sultan Ibrahim oleh Paduka Raja kerana telah pergi ke Siam tanpa pengetahuan Paduka Raja walhal itu perintah Sultan Ibrahim, sekitar 1678), Seri Bija Diraja, Seri Amar Diraja dan Seri Perdana Menteri. Beliau juga telah meminggirkan peranan pembesar lain dan juga Sultan Ibrahim sendiri. Ini telah menyebabkan semakin hari semakin benci pembesar lain terhadap beliau. Malah, tindakan Paduka Raja membawa Sultan Ibrahim Shah serta kerabat untuk berpindah dari Tanah Besar Johor ke Riau seolah-olah meminggirkan dan tidak mahu diganggu oleh puak Bendahara di Johor.

TANDA-TANDA PENENTANGAN

Perasaan rasa tidak puas hati sudah lama meluap-luap dalam diri Bendahara dan juga kalangan Orang Kaya namun tiada siapa yang berani bersuara. Kuasa Bendahara ibarat hanya simbolik sahaja. Setelah sekian lama tidak terlibat dalam diplomasi mana-mana kuasa, pada Mac 1683 Belanda telah dikejutkan dengan sepucuk surat daripada Bendahara Tun Habib Abdul Majid. Dalam surat itu menyatakan bahawa Bendahara memohon kebenaran Belanda menghantar Penggawa Laut ke Rembau bagi mengusir pegawai yang memberontak dan digantikan dengan pegawai yang baru. Ini adalah satu petunjuk bahawa pihak Bendahara untuk mengambil kembali hak mereka yang dirampas Laksamana.

Hasrat Sultan Ibrahim mahu berpindah semula ke Tanah Besar Johor membuatkan Paduka Raja Tun Abdul Jamil meraskan kedudukannya dan kuasanya semakin goyah. Sultan Ibrahim mulai rasa syakwasangka, rasa diperalatkan dan kurang perkenan segala aktiviti beliau.  Sultan Ibrahim Shah mangkat pada 16 Febuari 1685 (sesetengah riwayat menyatakan baginda diracun oleh isteri baginda iaitu puteri Paduka Raja Tun Abdul Jamil dan ianya sudah dirancang).

Dengan kemangkatan Sultan Ibrahim, kedudukan Paduka Raja bertambah normal semula dan pemerintahan Johor dijalankan seperti biasa  kerana Paduka Raja masih mempunyai segala-gala kuasa bawah beliau. Anakanda Sultan Ibrahim Shah, Raja Mahmud diangkat menjadi Sultan Johor – Pahang dengan gelaran Sultan Mahmud Shah II akan tetapi disebabkan usia baginda masih kecil kira-kira 10 tahun, maka pemerintahan diserahkan kepada bonda baginda. Tambahan pula, balu Sultan Ibrahim yang memangku peranan Sulatan Mahmud itu adalah anakanda Paduka Raja walaupun Sultan Mahmud Shah bukannya cucunya daripada anakandanya.  Hakikatnya, orang yang paling berkuasa adalah Paduka Raja Tun Abdul Jamil. Ini lebih menggembirakan beliau kerana beliau dapat memerintah dengan bebas tanpa tentangan dan Sultan Mahmud yang masih kecil hanya menurut sahaja.

PENGGULINGAN TUN ABDUL JAMIL OLEH BENDAHARA TUN HABIB ABDUL MAJID

Kerajaan Johor yang berpusat di Riau semakin hari semakin maju perdaganganya. Johor seolah-olah menguasai hampir keseluruhan laluan perdagangan Selat Melaka di bawah pemerintahan Paduka Raja Tun Abdul Jamil. Banyak negeri di pantai timur Sumatera mahu menyertai lingkungan pengaruh Johor  bagi menjamin peluang ekonomi yang lebih menguntungkan. Dalam satu surat daripada Gabenor Thomas Slicher di Melaka ke Betawi (Jakarta kini) bertarikh 10 Mei 1687 berbunyi :

“Paduka Raja tidak meninggalkan apa satu pun dalam dasarnya untuk menjatuhkan ekonomi syarikat atau mengecilkan hak dan peluang Melaka. Jumlah kapal yang belayar ke Riau begitu banyak hingga sungainya boleh dikatakan tidak dapat dilalui lagi. Kain, beras dan barang keperluan lain ada dijual disana dengan harga yang lebih tinggi daripada yang ditawarkan di Melaka.”

Belanda di Melaka memang sudah lama tidak senang duduk dengan kejayaan Paduka Raja Tun Abdul Jamil ini. Tidak hairanlah, apabila mangkatnya Sultan Ibrahim telah menggusarkan pihak Belanda di Melaka. Paduka Raja bukanlah tokoh yang mudah diperkotak-katikkan dalam berdiplomasi dan setiap perjanjian dilakukan dengannya perlu akur dengan syaratnya yang memberi banyak kelebihan kepada Johor. Namun, dalam kalangan pembesar, Belanda lebih cenderung bekerjasama dengan Paduka Raja kerana boleh mendatangkan keuntungan dari segi ekonomi.

Namun, hidup ini umpama roda. Setiap diatas akan jatuh jua ketanah. Dendam dan rasa tidak puas hati pembesar Johor yang tidak diendahkan Paduka Raja tidak dapat ditahan lagi. Pada pembacaan saya, L.Y Andaya menyatakan beberapa versi daripada beberapa catatan surat dan laporan dalam kajian beliau.

Berdasarkan laporan Encik Tunang kepada dalam Draf Dagh Melaka bertarikh 30 Jun 1688 menyatakan pada 1688 dalam satu peristiwa yang tidak dapat dijelaskan apa sebab berlaku, berlaku satu perkelahian antara Bendahara dan Paduka Raja di suatu majlis. Dalam majlis itu, Paduka Raja telah bertemu Bendahara dan Orang Kaya. Mereka telah memutuskan untuk menghantar Sultan Mahmud dan Bendahara ke Pahang tetapi Orang Laut tidak mahu menyertai kerana susah untuk hidup disana. Paduka Raja pula mencadangkan  yang Sultan, Bendahara dan pembesar pergi ke Pahang dahulu manakala Orang Laut kekal di Riau bersama Paduka Raja.

Ini dibantah sama sekali Bendahara. Bendahara memberikan alasan tiada perahu untuk melaksanakan misi itu dan Paduka Raja setuju memberinya 2 lancang untuk melaksanakan misi ini akan tetapi Paduka Raja telah memungkirinya. Bendahara meganggap ini adalah alamat yang tidak baik (Paduka Raja mahu membunuhnya) tetapi dinafikan Paduka Raja. (Terdapat maksud tersirat dan permainan licik disini.  Orang Laut adalah penyokong peribadi pemerintah dan Orang Laut dari segi jumlah dan ketenteraan merupakan satu faktor penting dalam kerajaan. Sebenarnya, Paduka Raja seboleh-boleh tidak mahu melepaskan sumber kekuatan beliau iaitu Orang Laut kepada Bendahara dan mahu kekal bersama beliau di Riau. Justeru, bermacam-macam janji diberi kepada Bendahara supaya pergi tanpa Orang Laut).

Suasana politik Johor semakin gawat. Api kemarahan dan dendam terhadap Paduka Raja semakin membara. Pada suatu malam selepas peristiwa itu, Sultan Mahmud dan bonda tirinya telah lari ke rumah Bendahara. Tetapi, selepas itu Sultan Mahmud Shah II kekal dengan Bendahara manakala bonda tirinya balik semula kepada Paduka Raja. Ini menjadi persoalaan kepada saya : – Mengapa pergi ke rumah Bendahara?? Adakah anak Paduka Raja pun turut serta dalam penggulingan ini??

Jadi, apabila Sultan Mahmud sudah berada dalam genggaman Bendahara Tun Habib Abdul Majid, maka ianya memberi kelebihan besar kepada Bendahara. Hal ini kerana, Sultan itu adalah sumber kekuatan dan  ketaatan. Sesiapa yang rapat dan bersama Sultan, maka diri dia yang paling berkuasa.  Maka, Bendahara pun memerintahkan orang ramai meniupkan nafiri dan memalu gendang bagi mengumumkan kepada orang ramai bahawa Sultan Mahmud Shah II sedang berada bersama Bendahara.

Paduka Raja Tun Abdul Jamil telah berada di laut bersama kapal-kapalnya. Akan tetapi seperti saya nyatakan tadi, Sultan itu kekuasaanya besar hinggakan telah mempengaruhi beberapa kapal pengikut Paduka Raja untuk berpatah balik. Bendahara telah mengeluarkan perintah untuk mengepung Paduka Raja dan membunuh Paduka Raja, sanak-saudara dan semua yang bersama beliau. Lihat, begitu dasyat sekali perasaan geram Bendahara terhadap Paduka Raja Tun Abdul Jamil.

Dalam pembacaan saya bab seterusnya lebih jelas sedikit kronologi penggulingan ini. Baiklah, pada 20 Jun 1688, surat daripada Bendahara Tun Habib Abdul Majid telah diutuskan kepada wakilnya di Rio Formosa (Sungai Batu Pahat/ Batu Pahat), Orang-orang Kaya dan Penghulu di Muar dan surat itu menyatakan bahawa mereka perlu ke Riau kerana Paduka Raja mahu menentang Bendahara. Dalam surat itu juga dinyatakan bahawa bagaimana Sultan Mahmud, bonda tiri Sultan Mahmud (anak Paduka Raja) dan Seri Amar Wangsa telah pergi ke rumah Bendahara. Lantas, ini menyebabkan pergaduhan antara pengikut Paduka Raja dan Bendahara. Paduka Raja berasa takut apabila Sultan Mahmud sudah berada dalam genggaman Bendahara.

Lalu, Paduka Raja pun telah kelam-kabut meninggalkan Riau tanpa membawa anak perempuan beliau iaitu bonda tiri Sultan Mahmud dan anak lelaki beliau Seri Bija Diraja yang ketika itu masih dirumah Bendahara. Anaknya yang bergelar Laksamana pula mengambil keputusan tidak mencampuri konflik ini manakala anaknya yang bergelar Seri Perdana Menteri berundur ke Siak apabila permohonan bantuannya dengan Syahbandar di Johor di Bengkalis tidak berjaya.  Pada 26 Jun 1688, Bendahara telah menghantar surat kepada Tun Pikrama Muar untuk menghimpunkan orang-orangnya untuk pergi ke Johor (Kota Tinggi) bukan ke Riau.

Malah, Bendahara juga telah memerintahkan untuk mereka memburu dan menagkap Paduka Raja Tun Abdul Jamil samada hidup atau mati. Selain itu, jawatan-jawatan penting kerajaan yang sebelum ini disandang oleh kaum keluar Paduka Raja telah dilucutkan dan diganti oleh orang lain seperti Sri Pikrama Raja telah bergelar Laksamana.

Manakala dalam satu surat bertarikh 2 Julai 1688 yang diberikan Bendahara Tun Habib Abdul Majid kepada Belanda di Melaka mengenai penggulingan  Paduka Raja Tun Abdul Jamil itu :

Setelah Paduka Raja mempersiapkan satu angkatan yang terdiri daripada dua puluh buah lancing bertiang dua, dua puluh perahu kecil dan masing-masing mempunyai satu tiang layer, enam puluh banting dan enam puluh tiga buah perahu, beliau telah mengumumkan membawa pemerintah itu ke suatu tempat lain. Paduka Raja juga memanggil saya dan memberitahu saya bahawa isteri saya, keluarga saya, dan beberapa orang kaya hendaklah membuat persiapan bersama pemerintah itu. Beliau menceritakan kepada saya bahawa Gabenor dan Syahbandar Melaka telah meminta sepuluh buah kapal dan 120 pencalang dari Betawi untuk digunakan dalam satu siri serangan keatas Riau. Paduka Raja berhasrat untuk menyerang dahulu, jadi beliau mahu menghantar pemerintah, kesemua isteri baginda ke tempat lain.

Setelah meninggalkan beliau, saya memanggil beberapa Orang kaya dan membincangkan apa yang dikatakan oleh Paduka Raja. Kami bersependapat Belanda tidak mempunyai niat menyerang Riau kerana Riau dianggap tidak lebih daripada sebuah ‘Taman’. Belanda tidak mempedulikan tempat-tempat penting yang lain seperti Bantam dan Makassar apatah lagi Riau. Juga didedahkan bahawa Paduka Raja merancang untuk membunuh Orang Kaya yang berikut kerana penentangan terhadap Paduka Raja : Tun Pikrama, Seri Amae Wangsa, Seri Agar Diraja, Raja Mahkota  dan beberapa pegawai lain. Untuk menggagalkan rancangan Paduka Raja itu, kami memutuskan untuk membawa pemerintah ke rumah Seri Pikrama Raja ketika Paduka Raja sedang bermesyuarat bersama anak-anak lelaki beliau. Apabila Paduka Raja mendengar berita pemerintah sudah berada bersama Bendahara, beliau dan pengikutnya telah lari ke perahu dan perkelahian telah berlaku. Orang Laut telah mendapat isyarat menyatakan bahawa pemerintah sedang berada bersama Bendahara, jadi mereka pun datang  dengan seluruh angkatan mereka dan memihak kepada Dato Bendahara. Yang demikian, Paduka Raja, anak isteri dan saudara-mara beliau semuanya berjumlah kira-kira tiga puluh orang telah melarikan diri dengan empat buah Lancang membawa emas, permata dan perak. Di Pulau Bayan mereka disertai  pula oleh Laksaman, anak lelaki Paduka Raja.

Saya berjaya mengepung mereka dan menawan dua buah lancing mereka, dan mereka melarikan diri dengan hanya tiga buah lancing yang membawa Paduka Raja dan anak-anak lelaki beliau, iaitu Laksamana, Temenggung, Sri Nara Diraja, Sri Perdana Menteri, Sri Bija Diraja dan Sri Amar Diraja. Yang mengejar mereka itu ialah dua puluh buah lancing bertiang dua, tiga belas buah lancing bertiang satu dan empat puluh buah banting dan beberapa buah perahu.”

Baiklah, berdasarkan laporan diatas lebih mudah difahami dan boleh saya rumuskan :

  • Paduka Raja Tun Abdul Jamil mengatakan bahawa Belanda mahu menyerang Riau, justeru itu Paduka Raja bersiap-siap kelengkapan perang.
  • Paduka Raja mahu menyerang dahulu Belanda sebelum Belanda menyerang Riau.
  • Bagi menyelamatkan pemerintah (Sultan Mahmud Shah II), anak dan isterinya, beliau mahu menghantar mereka ke tempat lain.
  • Satu persiapan (lancang, perahu dan lain-lain) untuk menhantar rombongan itu.
  • Perkara itu disampaikan oleh Paduka Raja kepada Bendahara.
  • Setelah Bendahara pulang, beliau telah berbincang bersama pembesar yang sekutu dengannya.
  • Bendahara mengganggap ini adalah satu taktik Paduka Raja mahu melarikan diri apabila sedar ramai sudah mahu menentangnya. Mana mungkin Belanda mahu menyerang Riau ketika itu Riau di puncak kegemilangan perdagangannya dan senag-senang mahu memusnahkannya dengan peperangan.
  • Bendahara pun bertindak pantas dengan mengambil Sultan Mahmud secara senyap-senyap (ikutkan terancang mana mungkin tiada sesiapa mengawal Sultan Mahmud ketika itu) ketika Paduka Raja sedang mesyuarat bersama anak-anaknya.
  • Perkara ini disedari Paduka Raja.
  • Paduka Raja tahu kedudukannya dalam bahaya kerana dengan adanya Sultan ditangan Bendahara sudah menghilangkan pengaruh dan kuasanya. Sultan dianggap berkuasa, pelindung dan simbol ketaatan.
  • Jadi, Paduka Raja pun melarikan diri bersama-sama kaum keluarga beliau.
  • Orang Laut telah memihak kepada Bendahara apabila mengetahui Sultan Mahmud sudah berada bersama Bendahara.
  • Pasukan Bendahara berjaya mengepung Paduka Raja di laut (angkatan Paduka Raja hanya 3 buah buah lancing sahaja yang membawa Paduka Raja dan anak-anak lelaki beliau)
  • 1 buah lancang yang dinaiki anak perempuannya (Bonda Tiri Sultan) tidak dinyatakan.

FASA AKHIR PENGGULINGAN

Berikut merupakan laporan kematian Paduka Raja yang dilaporkan Encik Khatib dalam Draf- Dagh Melaka pada 5 Ogos 1688 saya meringkaskan fasa akhir penggulingan ini yang akhirnya menyebabkan kematian Paduka Raja Tun Abdul Jamil.

Dalam misi kejar – mengejar antara pasukan Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid dan Paduka Raja Tun Abdul Jamil, akhirnya Bendahara telah berjaya memintas Paduka Raja bederkatan pantai Terengganu (Pulau Rakit). Telah berlaku pertempuran yang dasyat antara kedua-dua pasukan. Dalam pertempuran itu, dua orang anak lelaki Paduka Raja berjaya melarikan diri ke Pahang (Laksamana dan Temenggung). Paduka Raja tetap berjuang habis-habisan sesuai dengan sifatnya sebagai panglima perang yang termasyur. Ketika kehabisan peluru, inilah kejadian yang sangat terkenal mengenai beliau hingga hari ini iaitu Paduka Raja telah menggunakan duit Rial Sepanyol (duit perak Sepanyol yang digunakan kurun- 17) yang ada didalam lancangnya sebagai peluru Meriam (ada kata senapang). Cara begini berhasil untuknya bertahan beberapa hari sebelum akhirnya terpaksa mendarat di pantai dan mencari perlindungan di dalam hutan. Pasukan Bendahara telah ke hutan dan memburunya. 10 hari kemudian barulah Paduka Raja dapat ditawan.

Bendahara telah memerintahkan seorang hamba yang cacat untuk menikam Paduka Raja dengan keris. Begitu juga nasib menimpa anak lelaki beliau iaitu Seri Bija Diraja. Manakala, ada pendapat anak lelaki beliau yang bernama Encik Tahil telah ditikam ketika belayar di laut di Pahang dan mayatnya dibuang di laut juga. Manakala, nasib anak perempuannya iaitu bonda tiri Sultan adalah diharamkan mendarat hingga diperintahkan .Menurut beberapa sumber, anak perempuan Paduka Raja itu dan saudara perempuan lain telah ditenggelamkan di laut.

Mesti ada yang tertanya-tanya mengapa perlu hamba yang cacat untuk menikam tubuh panglima perang agung ini??. Apa yang dapat saya fahami, tindakan Bendahara ini adalah untuk menyindir Paduka Raja dan menjatuhkan martabat beliau. Hal ini kerana, ini boleh dianggap balasan kepada Paduka Raja yang telah menjatuhkan martabat dan merampas kuasa-kuasa para pembesar lain senasa pentadbirannya dan memberi segala jawatan penting kepada anak-anak beliau walaupun ada yang tidak berkelayakan. Tindakan beliau yang “keji” ini difikirkan wajar dirinya dihukum bunuh oleh hamba yang cacat.

KESIMPULAN

Walaupun telah dinyatakan serba sedikit perkongsian hasil pembacaan saya dalam beberapa buah buku terutamanya karya L.Y Andaya Kerajaan Johor 1641-1728 yang banyak menerangkan lebih jelas tentang penggulingan kuasa Paduka Raja Tun Abdul Jamil, bukanlah untuk memburuk-burukkan tokoh ini keseluruhannya. Akan tetapi, untuk menjadi bacaan kepada umum dan diambil pengajaran daripadanya. Ketokohan Paduka Raja Tun Abdul Jambil dalam politik Johor malah di rantau ini sekitar abad ke – 17 adalah tidak dapat dinafikan.

Beliau telah menjadikan  Johor sebuah kuasa yang amat disegani dan juga menjadikan Johor sebagai bandar pelabuhan yang sangat maju hingga menarik pelbagai pedagang untuk berdagang di Johor. Beliau juga sangat bijak dan tidak mudah diperkotak-katikkan oleh kuasa luar seperti Belanda di Melaka. Langkahnya yang amat berhati-hati dalam menjalinkan diplomasi dan perjanjian dengan kuasa luar agar Johor tidak mengalami kerugian. Paduka Raja mahukan setiap perundingan membawa keuntungan kepada Johor.

Kejayaan mengalahkan Jambi pada 1679, Sultan Ibrahim menganugerahkan gelaran Paduka Raja kepada beliau dan ini menjadikan beliau di puncak kekuasaan dan pengaruhnya begitu meluas. Kemangkatan Sultan Ibrahim telah memberi Paduka Raja berkuasa penuh dalam politik Johor kerana Sultan Mahmud yang masih kecil itu. Akan tetapi, “terlajak perahu boleh undur, terlajak kata dan perbuatan binasa badan”, akibat sikap mendongak ke langit dan mengetepikan peranan dan keistimewaan tradisional pembesar-pembesar terutama Bendahara telah meluapkan rasa benci yang tidak dapat ditahan. Pengakhirannya, seorang panglima perang agung dan artikek pembangunan perdagangan termasyur abad ke – 17 ini  tewas dalam keadaan menyedihkan.

Akhir kalam, walau apa jua yang dilakukan, Paduka Raja Tun Abdul Jamil adalah tokoh agung dalam ketenteraan dan pembangunan ekonomi dan diplomasi yang susah untuk dicari ganti di Alam Melayu. Namanya memang layak untuk diabadikan dalam salah sebuah asset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Laksamana Tun Abdul Jamil. “Buang Yang Keroh, Ambil Yang Jernih”. Sejarah itu dipelajari untuk diambil pengajaran dan tauladan masa akan datang.

SUMBER RUJUKAN :

  • Kerajaan Johor 1641-1728 Pembangunan Ekonomi dan Politik, Leonard Y. Andaya (Utama) :-
    – L.Y Andaya banyak merujuk kepada Peringatan Sejarah Negeri Johor. Peringatan Sejarah Negri Johor mewakili tradisi orang Melayu Johor. Kitab itu terhasil pada pertengahan kurun ke-18. Pengarangnya belum diketahui, dan bentuknya terdiridaripada kumpulan beberapa dokumen dan kisah yang mempersembahkan kegiatan danriwayat hidup Sultan Suleiman Badr al-Alam Shah (1699 – 1760). Naskah – naskah masih ada tersimpan di Universiti Leiden, Belanda dan Perpustakaan Lembaga Kebudayaan Indonesia, Jakarta (Rujukan artikel Islamization dalam teks-teks sejarah Johor Riau Tatiana Denisova)
    – Surat dan dokumen seperti dalam catatan Andaya.
    – Hikayat Negeri Johor disunting R.O Winstead
  • Sejarah Politik Pahang 1880-1935, Aruna Gopinath
  • Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor Pahang 1613-1863, Suzana Othman
  • History of Johor, R.O Winstead
  • Sejarah Johor, Buyong Adil
  • Sejarah Pahang, Buyong Adil
  • Sejarah Johor Kaitannya Dengan Negeri Melayu, Shaharom Hussein
  • Politik Dan Pentadbiran Era Kesultanan Johor Sehingga Abad Ke-18. Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Mardiana Nordin.
  • Johor Dahulu dan Sekarang, Abdullah Zakaria Ghazali & Zainal Abidin Borhan
    (Kesultanan Johor, 1528-1885 Abdullah Zakaria Ghazali)

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang anak jati Muar yang amat mencintai sejarah, warisan dan budaya. Aktif dalam menulis artikel sejarah tempatan walaupun kini sedikit menyepi kerana menumpukan dahulu pada kerjaya hakiki. Telah menubuhkan Persatuan Sejarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (PASEM) pada 16.11.16 sebagai medium memupuk minat terhadap Sejarah terutama sejarah ketenteraan serta minat menulis dalam kalangan ahlinya. Penulis juga merupakan AJK Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Muar dan Penasihat 2 Persatuan Sejarah UPNM (PASEM) . Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi dari UPNM.

Comments are closed.