Sahara memang sinonim dengan Afrika. Ia merentangi 11 buah negara yang ada di benua itu dan merupakan gurun terbesar di dunia – tujuh kali lebih besar berbanding Gobi. Kalau muatkan seluruh Amerika Syarikat pun, ia lebih daripada cukup.
Namun dalam kawasan yang sebegitu luas, hanya 2.5 juta manusia sahaja menjadi penghuni. Itu pun secara nomad, yakni sentiasa bergerak ke sana-sini.
Tiada siapa mampu bertahan dengan suhunya yang antara 30-50°C. Dengan tiada hujan, tiada jalan, dan tiada teduhan, ia seumpama neraka dunia buat sesiapa yang terdampar di sana. Belum lagi bercerita tentang ribut pasir yang terkadang membadai sehingga 12 jam.
Kesemua ini bagaimana pun pernah ditakluki oleh seorang lelaki yang terdampar lebih seminggu di Sahara tanpa apa-apa.
Kisahnya bermula di Morocco, atau lebih tepat, dalam satu acara marathon tahunan iaitu Marathon des Sables. Marathon ini mengambil tempat di tenggara Morocco. Ia melibatkan jarak larian sejauh 254 km merentasi Sahara dan perlu diselesaikan dalam masa lebih kurang tujuh hari.
Disebabkan keadaan Sahara yang mencabar, larian ini dibahagikan kepada beberapa peringkat. Di setiap checkpoint, peserta akan dibekalkan dengan minuman dan lain-lain keperluan. Dalam larian ini juga masing-masing periu membawa kelengkapan seperti beg tidur, lampu suluh, dan sebagainya.
Bagi edisi tahun 1994, marathon tersebut disertai oleh 80 orang pelari. Salah seorang daripada mereka ialah Mauro Prosperi (39 tahun, Itali). Pada masa itu, nama Prosperi memang cukup dikenali. Ini kerana dia merupakan pemenang pingat emas di Sukan Olimpik 1984.
Jadi, peringkat-peringkat awal larian diharunginya dengan mudah. Cuma sewaktu melalui trek paling panjang dalam larian, hal yang tidak diingini berlaku.
Ketika itu, matahari enggan bersimpati. Suhu berada pada paras 46°C. Angin bahang pun ikut mengganas, menerbangkan pepasir sehingga menjadi ribut. Pandangan jadi kabur. Lantaran khuatir terkambus dek ribut pasir, Prosperi tetap meneruskan langkahan. Dia berlari tanpa henti selama lapan jam penuh.
Yakni, sehingga ribut reda dan malam menjelma. Pada malam itu, Prosperi menghamparkan badan dalam semak sambil wajahnya ditutupi tuala – yang sedikit dibasahi darah dari hidungnya akibat dimasuki butir-butir pasir.
Yakni, sehingga ribut reda dan malam menjelma. Pada malam itu, Prosperi menghamparkan badan dalam semak sambil wajahnya ditutupi tuala – yang sedikit dibasahi darah dari hidungnya akibat dimasuki butir-butir pasir.
Keesokan pagi, dia kembali berlari. Kali ini selama empat jam tanpa henti, dengan harapan dapat menemui pelari-pelari lain. Namun setelah mendaki bukit pasir paling tinggi yang ada di situ, sebatang tubuh manusia pun tidak kelihatan.
Prosperi benar-benar keseorangan. Tambahan, sudah 24 jam berlalu tanpa bekalannya diisi semula. Minuman pun hampir habis. Sampaikan dia terpaksa membuang air kecil dalam satu botol kosong sebagai persiapan menghadapi situasi paling buruk.
Lariannya dihentikan seketika di situ. Prosperi cuba menunggu kalau-kalau takdir ada menyimpan nasib yang lebih baik untuknya. Dan memang benar. Tidak berapa lama selepas matahari terbenam, kelihatan kelibat helikopter membelah udara.
Prosperi pun apa lagi, lekas sahaja menembak suar. Cuma malangnya, cahaya suar itu gagal menangkap perhatian juruterbang. Pesawat itu lantas berlalu sehingga hilang daripada pandangan – hilang bersama harapan.
Keesokannya, Prosperi cuba meneruskan perjalanan. Walaupun tanpa tahu hala tuju. Bagiya, itu lebih baik berbanding disalai matahari. Untung-untung, dapat jumpa oasis atau tempat berteduh. Tuah pun seakan menyebelahinya.
Beberapa jam kemudian, Prosperi menemui sebuah makam. Iya, makam seorang Muslim di tengah-tengah gurun. Ia menjadi singgahan dalam kalangan badwi di situ. Ketika itu, ia kosong tanpa ada sesiapa.
Jadi, Prosperi gunakannya untuk berteduh selama dua hari. Sepanjang dua hari itu, dia mencatu makanannya sehabis baik. Untuk kurangkan dahaga pula, dia menjilat tisu basah dan embun-embun yang ada pada batu. Tentu sekali, ada ketika dia perlu minum air kencingnya sendiri. Semua ini bagi mengelak dehidrasi.
Dalam dua hari itu juga, Prosperi sempat panjat ke atas makam dan memacakkan bendera Itali. Kalau bukan untuk beri isyarat kecemasan pun, setidaknya ia boleh membantu usaha pencarian mayatnya nanti.
Prosperi juga sempat menangkap beberapa ekor kelawar yang hinggap di situ. Selain kelawar, apa-apa sumber protein yang muncul di hadapannya memang lekas disambar. Termasuklah kumbang dan cicak.
Ini membolehkannya bertahan. Hinggakan pada hari keempat, sekali lagi langit di atasnya dilalui oleh sebuah pesawat. Kali ini, kerana kehabisan suar, Prosperi melukis isyarat SOS pada permukaan pasir. Beg galasnya juga dibakar supaya asap yang terhasil dapat memberi isyarat tambahan.
Tetapi, alam seakan mahu menguji semangatnya. Ribut pasir datang meniup habis asap dan isyarat SOS yang dilukis. Justeru untuk kali kedua, Prosperi terlepas peluang mendapatkan bantuan.
Kali ini, dia benar-benar hilang harapan. Jika teruskan perjalanan, dia mungkin akan alami strok haba dan mati di tengah jalan – di lokasi yang tiada siapa tahu. Kebarangkalian untuk mayatnya tidak dijumpai pun tinggi.
Kalau itu terjadi, orang yang paling terkesan tentulah isterinya. Bukan setakat menerima berita kehilangan, tetapi dia juga nanti akan sukar untuk dapatkan pampasan – di Itali pada masa itu, orang yang hilang hanya akan disahkan meninggalkan dunia selepas sepuluh tahun.
Jadi fikir Prosperi, kalau pun dia mati, biarlah di makam ini. Supaya mayatnya lebih mudah ditemui dan isterinya nanti ada sumber untuk sara diri. Dia kemudian menulis pesanan terakhir menggunakan secebis arang.
Setelah selesai, dia pun mengerat tangannya dengan pisau saku. Lalu dalam keadaan darah bercucuran, tubuhnya dibaringkan sambil menunggu detik kematian. Matanya lelap. Bersama harapan untuk ia tidak kembali buka.
Tetapi, ajal Prosperi belum tiba. Keesokan pagi, dia terjaga seperti biasa. Pendarahan pada pergelangan tangannya juga tidak seberapa. Ini kerana luka yang dibuat agak kecil. Badannya juga terlalu dehidrasi sampaikan darah dalam pembuluhnya bergumpal, membuatkan dia tidak kehilangan banyak darah.
Hal ini dilihat oleh Prosperi sebagai satu petanda. Yakni, takdir mahu dia terus bernyawa. Jadi, dia pun kumpulkan segala kudrat yang tersisa lalu menakluki bukit demi bukit… cuba mendapatkan kelibat seorang manusia.
Selepas tiga hari tiga malam mengharungi padang pasir yang tak bertepi, Prosperi akhirnya menjumpai sebuah oasis. Bergegas-gegas dia ke sana. Namun kerana mulut dan tekaknya terlalu kering dan membengkak akibat dehidrasi, sedikit sukar untuk dia minum. Malam itu, dia tidur di situ.
Dan itu merupakan malam terakhirnya begitu. Keesokan pagi, pada hari kesembilannya di Sahara, Prosperi kembali berjalan setelah mengisi semula bekalan minuman. Beberapa jam kemudian, dia menjumpai beberapa ketul najis kambing yang masih segar. Melihat tahi-tahi ini, hatinya melonjak girang.
Mana tidak, hampir sepuluh hari dia tidak jumpa manusia dan tahi ini bakal membawanya kepada mereka. Lantas, Prosperi pun mengikuti jejak tersebut sampailah menjumpai seorang gadis yang sedang menuntun beberapa ekor kambing.
Cuma tatkala melihat Prosperi bergegas ke arahnya, gadis itu ketakutan dan terus melarikan diri. Memang ketika itu pun, rupa paras Prosperi agak menakutkan. Macam tengkorak hidup.
Apa pun, Prosperi mengekori gadis tadi sampai ke khemahnya. Di situ, ada khemah-khemah lain milik sekumpulan suku Tuareg – suku badwi yang memang hidup di Sahara. Di sana, Prosperi dirawat. Setelah sedikit sihat, dia dibawa oleh polis tempatan ke sebuah hospital.
Pada masa itu barulah Prosperi sedar betapa jauh dia tersasar dari trek larian. Dia bukan lagi berada di Morocco, tetapi di Algeria. Yakni, melencong hampir 289 km. Ibarat kita sertai marathon di New York lalu tersesat sampai ke Boston. Atau kalau di sini, seumpama berlari di Johor lalu tersesat hingga ke Ipoh.
Berat badannya sepanjang tempoh tersebut menyusut sebanyak 15kg. Hampir 16 liter cecair diperlukan untuk pulihkan dehidrasi. Perutnya pula alami kerosakan teruk sampai tidak mampu mencerna makanan selama berbulan-bulan. Buah pinggang usah cakap. Memang gagal berfungsi. Hampir dua tahun juga diambil oleh Prosperi untuk sembuh sepenuhnya.
Sebelum dia, memang sudah ramai yang menakluki Gurun Sahara. Misalnya Michael Asher dan Mariantonietta Peru pada 1986-87. Juga Eva Dickson, wanita pertama yang memandu mengharungi gurun itu pada 1932. Tetapi, tidak ramai yang tersesat lalu terselamat seperti Mauro Prosperi. Sebab itu, kisahnya mendapat perhatian dan diabadikan ke dalam layar perak di bawah judul The Revenant (2015) dan Act of God (2018).
RUJUKAN:
Choudhury, Sajjad. (2021, 1 August). How One Man Survived Being Stranded in the Sahara Desert. History of Yesterday.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih