Bila kita berbicara tentang maharaja Rom, impak mereka terhadap sejarah boleh dikatakan bercampur-campur. Sesetengah membawa kejayaan dan kegemilangan kepada empayar seperti Augustus dan Claudius. Dan ada pula sesetengah dikenali kerana sifat pelik atau kekejaman mereka terhadap rakyat seperti Tiberius dan Elagabalus. Tetapi yang pasti, pada tangan setiap maharaja ini, kesemua mereka pernah menumpahkan darah dan ada di antaranya meninggalkan kesan mendalam pada Rom itu sendiri.

1. TIBERIUS

Figure 1: Tiberius

Tiberius merupakan maharaja Rom yang kedua menggantikan Augustus. Tetapi kalau mengikut baginda, Tiberius bukanlah calon pilihan untuk menaiki takhta. Ini kerana Augustus mempunyai tiga calon iaitu Postumus, Lucius dan Gaius (ayahanda Caligula) tetapi kesemua mereka gagal mendapatkan takhta gara-gara dibuang negeri (Postumus) atau mati akibat peperangan/kematian biasa (Lucius dan Gaius). Memandangkan Tiberius saja satu-satunya calon yang tidak akan dibangkang dalam senarai menaiki takhta, Augustus menamakannya sebagai pengganti dan sebagai anak angkat baginda.

Kalau ikut karier ketenteraan Tiberius, baginda merupakan seorang panglima perang yang digeruni dan dihormati ramai senator. Jika tidak, mengapa Rom menugaskannya untuk menghancurkan kegiatan pemberontakan Arminius di Germania (Jerman moden) pasca-Pertempuran Hutan Teotoburg. Tetapi pada masa sama, Tiberius juga dikenali sebagai seorang yang pemuram dan sentiasa bersikap curiga pada orang lain. Ini tidak menghairankan kerana pada masa mudanya, baginda kehilangan saudaranya, Drusus yang mati akibat kecederaan semasa menunggang kuda. Pada masa itu juga, Tiberius dipaksa Augustus untuk menceraikan isteri tercinta, Vispania bagi membolehkannya berkahwin dengan balu orang kanan Augustus, Agrippa, Julia the Elder. Sikap curiga ini pula berpunca daripada tindakan Julia yang gemar bermain kayu tiga dan ia diketahui oleh bapa mentuanya sendiri. Peristiwa-peristiwa ini yang membentuk persepsi Tiberius pada dunia pada ketika itu termasuk caranya berurusan dengan rakyat.

Semasa pemerintahan Tiberius, baginda banyak menghabiskan masanya di Capri dan menyerahkan urusan pentadbiran kepada rakannya, Aelius Sejanus. Sejanus memanfaatkan kuasa yang diberi baginda dengan mengadakan banyak perbicaraan dengan tujuan menghapuskan pesaing beliau dan menambah lagi perbendaharaan diraja serta dirinya sendiri. Ramai menjadi mangsa termasuklah balu anak angkat Tiberius, Germanicus, Agrippina the Elder dan dua puteranya, Nero dan Drusus Caesar. Dan selepas Tiberius mencium khabar angin Sejanus mahu merampas kuasa daripada baginda, Tiberius menghantar satu surat secara rahsia kepada senat berkenaan Sejanus. Dalam surat itu, Tiberius mengecam Sejanus dan memerintahkan beliau dihukum bunuh. Senat amat terkejut tetapi segera mentaati perintah tersebut atas sebab kagum dengan keadilan baginda atau takut dengan kekuatan Pengawal Praetor.

Dan di Capri juga, Tiberius dikatakan mewujudkan semula tuduhan maiestas (pengkhianatan) dan dari situ, mana-mana individu yang didapati bersalah dibunuh tanpa mengira jantina atau umur seperti digambarkan oleh Tacitus. Bagaimanapun, sejarawan moden mencabar keterangan Tacitus ini kerana berdasarkan rekod, dalam kalangan 52 individu yang dituduh khianat, separuh daripadanya berjaya membuktikan mereka tidak bersalah. Sementara empat lagi mangsa merupakan mangsa kepada keghairahan senat dan bukan atas sebab tirani yang dipraktikkan Tiberius. Di Capri, sejarawan-sejarawan Rom seperti Suetonius dan Tacitus menggambarkan baginda seorang pemangsa seksual dan suka menumpahkan darah. Ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada pengganti Tiberius, Caligula.

2. CALIGULA

Figure 2: Caligula

Apabila Caligula menaiki takhta, baginda lebih dikenali dengan siri tindakan baginda yang pelik dan mengejutkan. Tetapi dalam satu artikel berkenaan Caligula yang saya nyatakan tak lama dahulu, sesetengah tindakannya itu ada tujuan tersendiri seperti mengisytiharkan dirinya sebagai Tuhan atau berperang dengan dewa laut Neptune.

Dan kalau ikutkan, pemerintahan baginda sebenarnya bermula dengan baik. Tetapi entah di mana silapnya, sama ada terkena penyakit sawan seperti yang menjadi topik spekulasi para sejarawan atau terkesan dengan pengalamannya bersama Tiberius di Capri, ia menukar perilaku baginda 360 darjah. Dan ini membawa kepada pelbagai tuduhan termasuk mengadakan sumbang mahram dengan adinda baginda, Julia Drusilla yang diangkat sebagai pewaris baginda.

Caligula amat suka memalukan senat dan golongan kelas atasan dengan mendakwa baginda boleh menamakan sesiapa saja sebagai konsul termasuk kuda kesayangan baginda, Incitatus. Tetapi Caligula tidak meneruskannya atas alasan cukup untuk menunjukkan kepada senat siapa sebenarnya lebih berkuasa di Rom. Dan sebagai anak salah seorang jeneral Rom terbilang, Germanicus, Caligula juga mahu menunjukkan keupayaan baginda dari segi ketenteraan. Walau bagaimanapun, aktiviti baginda seperti membina jambatan pontun dari Baiae ke Puteoli dan ekspedisi Britannia masih dianggap pelik oleh sejarawan Rom dan bukti Caligula sudah kurang waras. Hakikatnya, ekspedisi mengutip kulit siput ini jadi pemangkin kepada penawanan Britannia semasa pemerintahan Claudius. Sementara pembinaan jambatan pontun itu pula untuk menafikan ramalan seorang ahli nujum Tiberius bahawa Caligula tidak akan layak jadi maharaja jika tidak menyeberangi Teluk Baiae.

Dan seperti Tiberius, Caligula juga tidak teragak-agak menggunakan maiaestas sebagai senjata menghukum pengkhianat tanpa mengira sama ada ianya benar-benar berlaku atau sekadar delusi baginda. Antara mangsa maiaestas Caligula ialah adik ipar dan cicit Augustus, Marcus Aemilius Lepidus dan Gabenor Germania, Gnaeus Cornelius Lentulus Gaetulicus. Tetapi sikap baginda yang suka memalukan orang akhirnya memakan diri. Pada 22 Januari 41 Masihi, Caligula dibunuh oleh sekumpulan Pengawal Praetor diketuai Cassius Chaerea. Chaerea membunuh Caligula kerana tidak tahan dipanggil gelaran-gelaran menggelikan.

3. NERO

Figure 3: Nero

Saya percaya Nero dibenci semua kerana dikatakan menjadi punca berlakunya kebakaran besar di Rom. Hakikatnya, baginda seorang pentadbir yang baik dan ia banyak dibantu oleh ramai tokoh berkaliber seperti tutor baginda, Seneca, bonda baginda, Agrippina the Younger dan ketua Pengawal Praetor, Sextus Afranius Burrus. Bagaimanapun, tiada siapa boleh menafikan bahawa Nero juga seorang pembunuh dengan membunuh saudara tirinya, Britannicus kerana dianggap ancaman kepada baginda. Nero turut membunuh bondanya sendiri selepas dipengaruhi kekasihnya, Poppeaea dan isterinya Octavia, dibunuh menggunakan tuduhan zina palsu. Poppeaea mengalami nasib sama apabila dibunuh Nero tatkala mengandungkan anak mereka.

Tidak seperti mitos popular berkenaan Nero, baginda bukanlah punca kepada kebakaran besar Rom atau bermain alat muzik semasa kebakaran berlaku. Hakikatnya, Nero mengaturkan bantuan kecemasan kepada mangsa yang terlibat dan membenarkan mereka ditempatkan di ruang istana baginda sebagai tempat perlindungan sementara. Namun, sikap baginda yang terlalu asyik dengan muzik dan kesenian yang menyebabkan mitos ini berleluasa. Dan ini tidak dibantu apabila Nero turut membina sebuah vila iaitu Domus Aurea di atas tapak bangunan-bangunan yang musnah di tengah-tengah kota Rom. Dan tiada siapa boleh menafikan tindakan baginda menindas orang-orang Nasrani sehingga mereka menggelar Nero Dajal. Begitu juga dengan tindakan baginda bertanding dalam Sukan Olimpik dan menang dalam banyak acara sehingga merosakkan reputasi temasya tersebut. Akhirnya, Nero tumbang gara-gara pemberontakan tentera diketuai oleh Galba dan membunuh diri.

4. DOMITIAN

Figure 4: Domitian

Domitian merupakan putera bongsu pengasas Dinasti Flavian, Vespasian, individu bertanggungjawab mengembalikan semula keamanan dan kemakmuran empayar selepas ia berkecamuk gara-gara tempoh Empat Maharaja. Tidak seperti ayahanda baginda, Domitian kuat curiga hingga ke tahap paranoid dengan semua orang di sekelilingnya. Ini berkait rapat dengan pengalaman baginda yang hampir terbunuh semasa perang saudara yang tercetus semasa era Empat Maharaja. Walaupun disanjung oleh pihak tentera dan rakyat, hubungan baginda dengan senat tegang berikutan curiga dengan motif mereka. Buktinya, 12 bekas konsul dan dua sepupunya dihukum bunuh.

Dan selepas menaiki takhta, gaya pemerintahan Domitian menjadi lebih autokratik dengan mencampuri semua aspek pentadbiran hingga ke aspek yang paling remeh. Dan Domitian juga mahu diangkat sebagai dewa, satu tindakan yang dilihat mahu menonjolkan pretij baginda sebagai maharaja dan diambil terus dari taktik lama Caligula. Domitian juga tidak teragak-agak menghukum mana-mana individu yang menghasut masyarakat dengan hukuman mati atau buang negeri dan membunuh ketua paderi wanita Vesta dengan menanamnya hidup-hidup. Semua gambaran ini menunjukkan baginda seorang yang zalim menurut Suetonius dan Cassius Dio. Tetapi sejarawan moden menyifatkan di sebalik kekejaman Domitian, baginda seorang pentadbir yang cekap yang membawa kepada kemakmuran pada abad tersebut.

Domitian mangkat akibat dibunuh seorang kakitangan istana dan Dio menamakan isteri baginda, Domitia sebagai antara individu terlibat tetapi tiada bukti menunjukkan penglibatan beliau. Ini kerana sepanjang hayat dan kemangkatan Domitian, Domitia terus setia kepada baginda menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam pembunuhan tersebut.

5. COMMUDUS

Figure 5: Imej Commodus berlagak seperti Hercules.

Bagi peminat filem Rom, pasti anda tidak akan lupa lakonan Russell Crowe (A Beautiful Mind, Robin Hood) sebagai Maximus dan Joaquin Phoenix (Signs, Hotel Rwanda) sebagai Maharaja Commodus. Tetapi banyak fakta berkenaan Commodus yang dikeluarkan dari filem tersebut oleh Sir Ridley Scott atas alasan ianya terlalu grafik dan ngeri untuk dipaparkan. Walaupun babak baginda membunuh ayahanda baginda, Marcus Aurelius merupakan babak palsu yang dibuat untuk kesan dramatik, Commodus tidak seperti Aurelius dan empat lagi maharaja yang membentuk Lima Maharaja Baik menurut Niccolo Macchiavelli.

Commodus bertanggungjawab memufliskan perbendaharaan Rom dengan mengenakan caj tinggi setiap kali baginda bertarung di gelanggang gladiator dan mengurangkan nilai mata wang empayar tersebut. Commodus juga mempunyai hubungan buruk dengan senat dan sering mengancam untuk membunuh mereka. Dan baginda juga tidak teragak-agak mengkhianati rakan-rakannya sendiri sekiranya itu dapat mengurangkan kemarahan orang ramai terhadap baginda.

Dan ini mendorong kepada pelbagai plot untuk menggulingkan atau membunuh baginda. Tetapi kebanyakan rancangan tersebut gagal dan ramai anggota konspirasi dihukum bunuh. Commodus akhirnya mangkat dalam ruang mandi baginda sendiri apabila dicekik oleh seorang gladiator bernama Narcissus atas arahan isterinya, Marcia.

6. CARACALLA

Figure 6: Caracalla

Dalam kalangan maharaja Rom, tiada siapa dapat menandingi kezaliman Caracalla. Putera kepada Maharaja Septimius Severus, baginda dan saudaranya, Geta diangkat sebagai maharaja bersama selepas kemangkatan Severus. Tetapi hubungan kedua-duanya tegang dan jika ia dibenarkan berterusan, boleh membawa kepada perang saudara. Untuk mengelak senario itu berlaku, Caracalla membunuh saudaranya sendiri dan tidak teragak-agak membunuh penyokong saudaranya itu.

Caracalla juga dikenali kerana bertanggungjawab membina Rumah Mandi Caracalla, rumah mandi kedua terbesar di Rom dan bertanggungjawab memberi kerakyatan kepada semua orang bebas di seluruh empayar. Taktik pemberian kerakyatan ini dibuat bagi membolehkannya mengutip cukai bagi memenuhi keinginannya yang suka berbelanja boros. Dan akibat daripada sikap itu juga, perbendaharaan Rom mengalami defisit melampau berbanding zaman Severus. Dan akibatnya semasa kempen terhadap Empayar Parthia, tentera-tentera Rom yang tidak berpuas hati membunuh baginda dengan ketua Pengawal Praetor, Macrinus mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja dengan sokongan tentera. Dan sehingga kini, gambaran Caracalla sebagai maharaja Rom yang paling zalim masih kekal dalam gambaran para sejarawan dari era Cassius Dio dan Herodian hingga sejarawan moden.

7. ELAGABALUS

Figure 7: Elagabalus

Tempoh pemerintahan Macrinus tidak bertahan lama kerana baginda kemudiannya digulingkan oleh kerabat Severus, Elagabalus. Bagaimanapun, jika ada menjangkakan Elagabalus lebih baik berbanding Macrinus dan Caracalla, lupakanlah. Selepas menaiki takhta, Elagabalus mahukan warga Rom menyembah dewa Elah-Gabal jadi sebahagian daripada dewa-dewi Rom. Dan sebagai tanda komitmen baginda pada agama baru itu, Elagabalus turut bersunat.

Jika itu saja dirasakan pelik, Elagabalus bertindak lebih berani dengan berkahwin dengan ketua paderi wanita Vestal, Aquilia Severa atas alasan melalui perkahwinan ini, ia boleh menghasilkan anak-anak yang mempunyai ciri kedewaan. Tindakan baginda melanggar undang-undang Rom ketika itu dan Severa boleh dihukum dengan ditanam hidup-hidup. Menambah pening kepala kerabatnya seperti nenda baginda, Julia Maesa, Pengawal Praetor dan senat, Elagabalus berkahwin sebanyak lima kali tetapi lebih cenderung kepada lelaki dan tidak segan-silu melacurkan dirinya dalam kawasan istana. Dan kalau ikut konsep seksual hari ini, baginda boleh dianggap sebagai transeksual.

Tidak hairanlah selepas beberapa tahun memerintah, Elagabalus dibunuh oleh Pengawal Praetor atas arahan nenda baginda, Julia Maesa. Dan sebagai pengganti, sepupu baginda, Severus Alexander diangkat sebagai maharaja baru menggantikan baginda.

8. DIOCLETIAN

Figure 8: Diocletian

Tidak adil untuk meletakkan Diocletian dalam senarai ini kerana boleh dikatakan pada zaman baginda inilah, Rom kembali makmur dan stabil. Dan baginda turut bertanggungjawab memperkenalkan sistem tetrarki dengan tujuan dapat mentadbir empayar dengan lebih berkesan. Tetapi Diocletian tersenarai dalam senarai ini kerana kekejaman baginda terhadap orang-orang Nasrani dan semua ini berkait semula dengan keperibadian baginda. Diocletian merupakan seorang yang konservatif dan amat berpegang teguh kepada agama tradisi Rom. Dan baginda melihat orang-orang Nasrani ini sebagai ancaman kepada semua nilai yang diamalkan baginda.

Pada awal abad ketiga Masihi, baginda melancarkan kempen pembersihan orang-orang Nasrani di mana ramai ditahan, bangunan gereja dibakar dan semua dokumen berkait dengan agama Kristian dihapuskan. Walau bagaimanapun, kempen tersebut gagal mencapai objektifnya kerana mereka yang terselamat makin kuat akidahnya tatkala ditekan oleh Diocletian. Selepas pemerintahan Constantine, baginda memansuhkan semua dasar menindas Diocletian. Bagi penganut Nasrani pula, kebencian mereka terhadap Diocletian amat hebat di mana baginda dianggap permulaan kepada peristiwa hari kiamat. Sementara dalam mitos rakyat Serbia, Diocletian dianggap Dukjan (Musuh Tuhan). Baginda mangkat pada 312 Masihi dengan membunuh diri akibat penyakit dan murung dengan keadaan empayar yang ditinggalkan.

SUMBER

  1. Lang, Sean. (2015). History Extra. The 8 bloodiest Roman emperors in history. https://www.historyextra.com/period/roman/the-8-bloodiest-roman-emperors-in-history/
  2. Oliver, Mark. (2017). Listverse. 10 Insane Facts About Emperor Commodus Left Out Of ‘Gladiator’. http://listverse.com/2017/09/18/10-insane-facts-about-emperor-commodus-left-out-of-gladiator/

 

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.