UNESCO. Sudah tentu yang paling dikenali ialah Piramid Agung Giza di Mesir dan Petra, Jordan yang mempunyai pelbagai tinggalan orang Nabatean. Hakikatnya, terdapat beberapa Tapak Warisan Dunia yang wajar mendapat perhatian setaraf dengan dua lokasi ini.

  • Shibam, Yaman

Bayangkan pemandangan bangunan-bangunan berstatus pencakar langit yang anda kenali. Pasti terpacul dalam kepala ialah kota-kota seperti Kuala Lumpur, Hong Kong, New York, Dubai atau Tokyo. Tetapi pernahkah anda terbayang melihat bangunan pencakar langit di Yaman?

Shibam di sini merupakan antara metropolis yang tertua di dunia. Bangunan-bangunan pencakar langit ini dibina daripada lumpur dan boleh mencecah ketinggian lapan tingkat. Ia memerlukan penyelenggaraan sepanjang masa agar terus bertahan dengan cabaran cuaca dan masa.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Keseluruhan kota dibina pada abad ke-16 dan mempunyai pelbagai ciri pertahanan. Disebabkan kedudukannya yang tinggi, ini membolehkan penghuni bangunan melihat kelibat musuh yang menghampiri kota berkenaan.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan jambatan yang menjadi penyambung antara satu bangunan dengan satu bangunan lain. Ia amat sesuai sebagai laluan melepaskan diri sekiranya dise.ra.ng pihak musuh.

Kota yang terletak di wilayah Hadramaut ini mempunyai populasi seramai 3,000 orang. Ia diiktiraf sebagai satu rancangan pembangunan bandar yang baik kerana bangunan-bangunan tinggi yang dibina rapat menyediakan teduhan daripada suhu panas melampau.

Lantaran itu, tidak hairanlah mengapa penjelajah British Freya Stark menggelar Shibam sebagai Manhattan di sebelah timur. Bagaimanapun, berikutan situasi pe.ra.ng di Yaman yang masih belum berkesudahan termasuk kempen penge.bo.man pakatan diketuai Arab Saudi, ia kini dian.ca.m ba.ha.ya. Ini mendorong UNESCO mengklasifikasikan Shibam sebagai Tapak Warisan Dunia yang dian.ca.m ba.ha.ya.

  • Wadi al-Hitan, Mesir

150 km di barat Kaherah, terdapat sebuah lembah yang dianggap signifikan bagi pengkaji paleontologi. Ini kerana di sinilah terdapat fosil ikan paus pra-sejarah atau Basilosaurus yang ditemui pada 2015. Tapak ini dianggap signifikan kerana fosil ini merupakan bukti bagaimana ikan paus berevolusi daripada haiwan darat kepada haiwan marin.

Lebih menarik, fosil Basilosaurus di lembah ini juga merupakan spesimen fosil spesies haiwan berkenaan yang paling lengkap di dunia. Selain fosil Basilosaurus, pengkaji arkeologi turut menemui fosil haiwan-haiwan marin yang berada dalam perut ikan berkenaan. Usia fosil dianggarkan sekitar 40 juta tahun.

Jadi, kenapa pelancong jarang berkunjung ke sini? Sebabnya mudah, ia terletak di kawasan padang pasir. Tetapi hasil inisiatif Kaherah menerusi Kementerian Antikuiti dan Pelancongan, ia kini ditukar fungsi sebagai muzium fosil dan perubahan iklim.

  • Quseir al-Amra, Jordan

Quseir al-Amra merupakan salah satu istana padang pasir Bani Umayyah milik al-Walid II. Sejarawan percaya ini merupakan istana hinggap baginda bagi melarikan diri daripada kesibukan kota Damsyik. Bagi penulis pula, penulis percaya ia juga merupakan tempat berlindung terbaik daripada jangkitan wabak Amwas yang sentiasa mencetuskan kekacauan dalam populasi mengikut musim.

Istana yang terletak di Jordan hari ini terdiri daripada dewan sambutan dan sebuah rumah mandi atau hammam. Menariknya, ia disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia kerana ia mempunyai banyak lukisan fresko berkisarkan subjek seperti penari bogel, pemerintah-pemerintah purba atau asing dan orang memburu haiwan.

Mungkin ada mengganggap lukisan sebegini sebagai janggal. Tetapi dengan melihat keperibadian al-Walid II yang dikatakan tidak bermoral oleh para penentangnya ketika itu, ia dapat menjelaskan mengapa artisan diminta menghasilkan fresko-fresko sedemikian. Semua fresko di istana berkenaan kini sedang menjalani sesi pemuliharaan oleh sekumpulan pakar dari kementerian kebudayaan dan warisan Itali.

  • Meroe, Sudan

Piramid amat sinonim di Mesir tetapi di Sudan juga ada piramid. Kerajaan Kushite membina lebih 200 buah piramid Nubia di Meroe, 200 km dari Khartoum. Meroe dianggap sinonim dengan kerajaan ini kerana ia merupakan ibu kotanya dari abad ke-10 SM hingga abad keempat Masihi.

Bagi yang pernah berada di situ pasti perasan banyak bahagian atas piramid hilang. Kebanyakan bahagian ini dile.tu.pkan oleh pemburu harta karun Itali, Giuseppe Ferlini pada tahun 1834. Ia dibuat dengan tujuan mendapatkan harta karun berharga milik kerajaan Kushite termasuk barang kemas.

Meroe diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada 2011 tetapi jarang dikunjungi pelancong. Ini berlaku kerana ketiadaan infrastruktur sesuai untuk tujuan pelancongan. Ramai warga Sudan berharap dengan kejatuhan Omar al-Bashir dan negara itu dikeluarkan daripada senarai penaja kega.na.san Amerika Syarikat, ia dapat menyemarakkan sentimen positif termasuk kehadiran pelancong.

  • Tassili n’Ajjer, Algeria

Di tenggara Algeria, terdapat sebuah lembah luas di Gurun Sahara yang menempatkan lukisan-lukisan gua tertua di dunia. Terdapat 15,000 lukisan dan ukiran pra-sejarah di Taman Negara Tassili n’Ajjer di mana ia meliputi tempoh kepala bulat (berusia lebih 10,000 tahun dan berkisar kepada upacara dan ritual) dan tempoh lembu (berusia lebih 3,000 tahun dan berkisar kepada kehidupan sosial dan urusan seharian).

Taman negara ini turut terkenal dengan pembentukan hutan batu yang terhasil daripada batu-batu pasir yang terhakis sekaligus menghasilkan permukaan sama seperti bulan. Ia mula menarik perhatian ramai hasil lawatan berterusan ahli arkeologi Perancis, Henri Lhote ke situ sekitar pertengahan abad ke-20.

Bagaimanapun, ramai tidak berpuas hati dengan Lhote kerana beliau dikatakan merosakkan sesetengah lukisan gua. Selain itu, interpretasinya tentang sesetengah lukisan dan ukiran dipengaruhi oleh mentaliti penjajahan Perancis di Algeria. Hari ini, ia terbuka untuk dilawati tetapi bagi pelancong asing, amat sukar untuk mendapatkan visa pelancong ke Algeria.

  • Lembah Kadisha, Lubnan

Lembah Kadisha dianggap signifikan bukan saja atas sebab sejarah tetapi atas sebab keagamaan. Di sinilah terletaknya beberapa gua dipercayai digunakan oleh penganut-penganut Kristian terawal sebagai cara mengelakkan diri dikesan oleh ten.te.ra Rom. Disebabkan kebanyakan gua terletak di kawasan tebing tinggi setinggi 150 meter, ia sukar diakses oleh pelancong mahupun pihak Rom pada masa silam.

Lembah Kadisha turut dikenali kerana merupakan kawasan perlindungan terakhir untuk pokok sedar atau araz Lubnan. Pokok ini bukan sekadar bahan binaan berharga pada masa silam tetapi turut menjadi simbol kebangsaan Lubnan. Antara tamadun dan kerajaan yang pernah menggunakan pokok ini sebagai bahan binaan ialah Mesir Purba, Phoenicia dan Turki Uthmaniyyah.

Hari ini, ia kini dian.ca.m oleh isu perubahan iklim, pertambahan petempatan penduduk, pembinaan haram dan lambakan pelancong yang mengunjungi Lembah Kadisha. Walaupun belum lagi diletakkan dalam senarai dian.ca.m bahaya oleh UNESCO, status tersebut boleh saja berubah sekiranya isu pembentukan kerajaan Lubnan masih lagi belum dapat diselesaikan.

  • Hijr/Madain Salih, Arab Saudi

Hijr diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia pertama Arab Saudi oleh UNESCO pada 2008. Kebanyakan tinggalan yang ada di sini merupakan milik kerajaan Nabatea yang memerintah barat laut Arab Saudi dari abad keempat SM sebelum ditakluk Rom pada 106 Masihi. Hijr turut memegang rekod sebagai petempatan Nabatea yang terbesar di luar ibu kotanya, Petra di Jordan.

Hijr terdiri daripada 100 makam berskala monumen, kebanyakannya diukir pada permukaan batu-batu pasir. Hijr juga turut dikenali sebagai Madain Salih kerana dikatakan ada kaitan dengan kisah Nabi Salih a.s dengan kaum baginda, orang Thamud.

Al-Quran menceritakan kisah baginda yang diutuskan kepada orang Thamud dengan tujuan mengajak mereka beriman kepada Allah dan meninggalkan aktiviti penyembahan berhala. Bagaimanapun, sikap kepala batu mereka yang menolak ajaran Nabi Salih termasuk menye.mb.elih unta yang merupakan bukti mukjizat baginda akhirnya membawa padah. Kaum tersebut kemudiannya mu.sn.ah dalam satu gempa bumi kuat.

Hijr terletak di bandar al-Ula, sebuah kawasan luas yang kaya dengan pelbagai tinggalan artifak arkeologi bermula dari era Zaman Gangsa. Pada tahun 2018, Riyadh memeterai perjanjian dengan Perancis untuk menjadikan al-Ula sebagai muzium terbuka terbesar di dunia dengan nilai pelaburan berjumlah berbilion-bilion dolar. Ia diharap dapat menarik ramai pelancong berkunjung ke situ.

  • Samarra, Iraq

Bagi pengkaji arkeologi, Samarra merupakan hadiah terindah kepada mereka. Ini kerana tidak seperti kota-kota lain dalam sejarah tamadun Islam, ia telah ditinggalkan oleh pemerintah Bani Abbasiyah pada akhir abad kesembilan Masihi. In sekaligus membantu kota itu mengekalkan semua ciri pembangunan bandarnya yang asal dan tidak berdepan proses pembinaan semula yang berterusan seperti di Baghdad.

Kota ini diasaskan oleh al-Mu’tasim pada 836 sebagai cara menempatkan ten.te.ra-ten.te.ra asing terutama Turki yang berkhidmat dengan kerajaan jauh daripada populasi orang awam di Baghdad. Ia kemudiannya menjadi kota pentadbiran penting Bani Abbasiyah terutama semasa era al-Mu’tasim, al-Wathiq dan al-Mutawakkil. Bagaimanapun, al-Mu’tadid memilih meninggalkan kota itu buat selama-lamanya pada tahun 892 dan kembali menjadikan Baghdad sebagai ibu kota kerajaan.

Antara tinggalan utama kota berkenaan ialah Masjid Agung Samarra menerusi menara lingkaran berpusarnya iaitu Menara Malwiya. Masjid ini pernah memegang rekod sebagai masjid terbesar di dunia selama 400 tahun sebelum ianya dimus.na.hkan dalam se.ra.ngan Mongol pada abad ke-13.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Bagi orang Syiah pula, Samarra turut menempatkan Masjid al-Askari. Masjid ini dianggap signifikan kepada mereka kerana ia menempatkan makam imam ke-10 dan ke-11 mereka (mengikut fahaman Syiah Imam 12). Selain itu, mereka mendakwa di sinilah juga lokasi imam ke-12 mereka hilang dan akan kembali pada akhir zaman bersama Nabi Isa a.s untuk mengembalikan semula keadilan di dunia.

Begitupun, status Tapak Warisan Dunia yang dimiliki Samarra sentiasa dian.ca.m oleh konflik bersen.ja.ta yang tak berkesudahan. Misalnya, warga Iraq merasa marah dengan ten.te.ra AS yang menggunakan Menara Malwiya sebagai sarang pene.mb.ak hendap mereka sekaligus mengan.ca.m kewujudan menara berkenaan.

Manakala Masjid al-Askari pula pernah dikejutkan dengan siri se.ra.ngan b.o.m pada 2006 dan 2007 yang mensasarkan orang Syiah. Malah, ia pernah menjadi sasaran kumpulan pengg.an.as Daish pada tahun 2014.

RUJUKAN:

Uddin, Rayhan. (2021). Eight Middle East heritage sites you should know about. Middle East Eye.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.