Isnin, 19 Oktober 202619 Okt 2026
Kronikel Dunia

7 Negara Yang Namanya Datang Dari Nama Individu

Untuk makluman semua pembaca,
pada masa kini, terdapat 193 buah negara yang diiktiraf dan menjadi ahli dalam
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB / UN) termasuklah Negara Haram Israel
yang tidak diiktiraf oleh puluhan negara ahli PBB termasuklah Malaysia. Negara
terbaharu yang diiktiraf ialah Republik Sudan Selatan pada tahun 2011 yang
lepas, iaitu wilayah selatan negara terbesar di Afrika itu.

Setiap negara ada sejarahnya tersendiri, begitu juga adat, budaya, bangsa, agama dan keunikan masing-masing. Nama setiap negara juga ada maksud dan sejarah nama masing-masing, sama ada berdasarkan bangsa, individu atau ketamadunan lepas.

Dalam artikel pendek penulis kali ini, kita akan membincangkan berkenaan 7 buah negara yang namanya berdasarkan nama tokoh-tokoh individu yang wujud dalam sejarah. Mari kita mengembara, belayar dan terbang merentasi lima buah benua untuk menjejak ketujuh-tujuh negara tersebut.

1. ARAB SAUDI

Negara yang paling dikenali
namanya berasal daripada nama individu tidak lain dan tidak bukan ialah Arab
Saudi. Arab Saudi adalah sebuah negara semenanjung, sama seperti geografi
Semenanjung Malaysia (Semenanjung Tanah Melayu), Arab Saudi ialah Semenanjung
Tanah Arab. Negara tersebut terpisah daripada benua Afrika di sebelah baratnya
oleh Laut Merah dan Terusan Suez dan terpisah daripada Iran oleh Teluk Parsi.
Secara rasminya, negara monarki berkuasa mutlak tersebut terbentuk pada tahun
1932 dan Raja Abdul Aziz bin Abdul Rahman as-Sa’ud ditabal sebagai Raja Arab
Saudi yang pertama.

Keluarga as-Sa’ud adalah daripada
keturunan Sa’ud bin Muhammad iaitu pemerintah wilayah Diriyah di utara Riyadh
sekitar awal abad ke-18. Selepas peninggalannya, kuasa pemerintahannya
diteruskan pula oleh anaknya iaitu Muhammad bin Sa’ud. Dalam masa seabad,
kekuasaan keluarga tersebut semakin meluas di Semenanjung Tanah Arab sehingga
akhirnya terbentuknya sebuah negara Arab dengan nama keluarga mereka. Pada masa
kini, Arab Saudi masih diperintah oleh generasi putera-putera Raja Abdul Aziz
dan Raja Salman ibni Raja Abdul Aziz as-Sa’ud sedang menduduki takhta negara
tersebut.

2. AMERIKA SYARIKAT

Dari benua Asia kita berpindah
sekejap ke benua Amerika. Tahukah anda bahawa nama Amerika pada negara dan
kedua-dua benua diambil sempena nama seorang tokoh individu? Beliau ialah
Amerigo Vespucci (1454-1512), seorang pengembara lautan, jurumudi dan ahli
kartografi dari Itali. Beliau adalah sarjana pertama yang menyatakan bahawa
benua yang “baharu ditemui” oleh para pengembara lautan Eropah atau dikenali
sebagai “New World” adalah dua benua berasingan daripada benua Asia. Ini kerana
sebelum itu, para pengembara Eropah termasuklah Christopher Colombus sendiri
menyangka bahawa mereka mengembara ke sebelah barat benua kecil India apabila
mereka tiba di benua baharu tersebut.

Seorang ahli kartografi Jerman,
Martin Waldseemuller kemudiannya melakar kembali peta “benua baharu” tersebut
dan menamakannya sebagai Amerika sempena nama Amerigo. Amerika adalah nama
versi perempuannya. Pada asalnya, hanya benua Amerika Selatan sahaja dinamakan
sempena namanya, tetapi kemudiannya nama tersebut turut diberikan kepada “benua
baharu” di utara yang pada masa kini dikenali sebagai benua Amerika Utara. Nama
tersebut juga turut melekat pada salah sebuah negara di benua Amerika Utara
iaitu Amerika Syarikat sehingga ke hari ini.

3. LIECHTENSTEIN

Kita seberang Lautan Atlantik ke
benua Eropah pula. Mengenali sebuah negara monarki kecil yang terletak di
banjaran pergunungan Alps antara negara Jerman dengan Austria. Sistem
pemerintahan negara kecil ini unik kerana pemerintahan monarki
berpelembagaannya diperintah oleh seorang individu yang bukan bergelar Raja
tetapi Putera (Princely House). Ini kerana pada masa lampau, wilayah tersebut
termasuk dalam kekuasaan empayar Rom Barat. Oleh itu, wilayah tersebut tunduk
pada kekuasaan Maharaja Rom. Sekitar awal abad ke-17, Maharaja Rom Barat telah
mengurniakan gelar “Putera” kepada Karl I daripada keluarga bangsawan Liechtenstein.

Apabila Putera Johann Adam
Andreas I iaitu pewaris keturunan keluarga Liechtenstein berjaya memiliki
wilayah Schellenberg dan Vadus pada tahun 1712, maka terbentuklah sebuah wilayah
Liectenstein yang dinamakan berdasarkan nama keluarga mereka. Pada masa kini,
tampuk pemerintahan negara kecil tersebut dipegang oleh Putera Hans Adam II.

4. FILIPINA

Puas bermain salji di Eropah,
kita terbang pula ke negara kepulauan tropika di Asia Tenggara iaitu Filipina. Sepertimana
yang kita tahu, dari segi sejarah, rumpun bahasa dan bangsanya, Filipina
termasuk dalam kepulauan Alam Melayu. Filipina pernah dijajah oleh Sepanyol
kemudian oleh Amerika Syarikat. Seorang jurumudi Sepanyol bernama Ruy Lopez de
Villalobos adalah individu pertama yang menamakan kepulauan tersebut sebagai
“Filipinas” pada pertengahan abad ke-16 sebagai penghormatan kepada Putera
Philip ketika itu yang kemudiannya ditabal sebagai Raja Sepanyol bergelar Raja
Phillp II. Pada asalnya, nama tersebut digunakan untuk merujuk kepada Pulau
Leyte dan Samar sahaja di kepulauan tersebut.

Nama “Filipinas” kemudiannya
diletakkan dalam peta oleh ahli geografi Itali yang bernama Giovanni Battista
Ramusio untuk merujuk kepada nama seluruh kepulauan tersebut. Apabila
penjajahan Amerika Syarikat berlaku, maka nama “Filipinas” ditukar kepada
“Phillipines.” Nama tersebut terus dikekalkan oleh negara republik tersebut
setelah merdeka sehingga kini walaupun ada beberapa usaha yang cuba
diketengahkan oleh beberapa orang tokoh negara tersebut untuk menukar nama
republik tersebut termasuklah Jose Rizal.

5. MOZAMBIQUE

Daripada Asia Tenggara, kita
belayar pula ke sebuah negara di benua Afrika iaitu Republik Mozambique. Negara
tersebut terletak di pesisir tenggara Afrika, dengan Lautan Hindi di timur dan
bertentangan dengan Pulau Madagascar. Pengaruh penjajah Portugis amat kuat pada
bahasa penduduknya sehingga bahasa rasmi negara tersebut ialah bahasa Portugis.
Penjajah Portugis jugalah yang memberi nama kepada tempat tersebut.

Sebelum penjajah Portugis
berlabuh di tempat tersebut, terdapat seorang Arab bernama Musa bin Beik, dalam
catatan lain namanya Mussa bin Mbiki. Sumber-sumber ilmiah pelbagai dalam
menyatakan perihal berkenaan individu bernama Musa tersebut. Ada yang
menyatakan beliau adalah seorang Sultan yang memerintah wilayah tersebut ketika
itu, ada catatan lain menyatakan beliau seorang pedagang Arab di sana, dan ada
juga sumber ilmiah lain yang menyatakan beliau seorang shaykh Arab yang menetap
di sana. Walau apapun, kemasukan orang-orang Arab ke wilayah tersebut dalam urusan
perdagangan telah lama berlaku, jauh sebelum kedatangan penjajah Portugis
lagi.  Disesuaikan dengan lidah dan
bahasa orang Portugis, maka nama individu tersebut disebut “Mozambique” dan
nama tersebut kekal sehingga kini sebagai sebuah negara republik.

6. BOLIVIA

Dari pesisir tenggara Afrika kita
ke sebuah negara di benua Amerika Selatan iaitu Bolivia. Bolivia adalah sebuah
negara yang tiada pesisir pantai (landlock) dan dikelilingi oleh negara-negara
Amerika Latin yang lain seperti Brazil, Peru, Argentina, Paraguay dan Chile.
Nama negara tersebut adalah berasal daripada nama seorang tokoh pembebasan
negara-negara Amerika Latin iaitu Simon Bolivar (1783-1830).

Simon Bolivar berasal dari
Venezuela tetapi keluarga nenek moyangnya bersusurgalur daripada Sepanyol yang
bermigrasi ke Amerika Selatan. Sepanjang perjuangannya, beliau berjaya memimpin
gerakan pembebasan beberapa negara Amerika Latin yang pada masa kini dikenali
sebagai Bolivia, Venezuela, Peru, Ecuador, Colombia dan Panama daripada
penjajahan Sepanyol. Beliau juga berjaya menyatukan wilayah-wilayah tersebut
sehingga terbentuknya negara Colombia Raya (Gran Colombia) walaupun negara
tersebut tidak bertahan lama. Pada masa kini, matawang negara Bolivia dan
Venezuela juga dinamakan sempena nama tokoh tersebut (Bolivian Boliviano /
Venezuelan Bolivar).

7. KEPULAUAN MARSHALL

Di tengah-tengah Lautan Atlantik,
terdapat sebuah negara kepulauan yang dinamakan sempena nama seorang pengembara
British iaitu Kapten John Marshall (1747-1819). John Marshall bukanlah
pengembara Eropah pertama yang menemui kepulauan tersebut. Pengembara Sepanyol,
Alvaro de Saavedra berlabuh pertama kali di salah satu kepulauan tersebut pada
pertengahan abad ke-16. John Marshall melawat kepulauan tersebut pada akhir
abad ke-18. Kepulauan tersebut merdeka sebagai sebuah negara republik pada
tahun

Sedikit
maklumat menarik, di kepulauan Marshall, terdapat sebuah kawasan laut batu
karang yang sering dijadikan tempat ujian senjata nuklear iatu Bikini Atol.
Kemungkinan nama tempat dalam siri kartun SpongeBob SquarePants iaitu Bikini
Bottom adalah berdasarkan nama tempat tersebut.

Sebenarnya, banyak lagi negara
yang namanya berdasarkan nama tokoh individu yang wujud dalam sejarah, artikel
pendek ini cuma membincangkan tujuh negara daripadanya. Ada negara yang
berasaskan nama keluarga diraja atau keluarga bangsawan yang masih memerintah
negara tersebut sehingga kini seperti Arab Saudi dan Leichtenstein, ada juga
daripada nama tokoh pembebasan seperti Bolivia dan ada juga nama negara berdasarkan
nama tokoh individu yang secara langsungnya tiada kena mengena dalam sejarah pembentukan
negara tersebut seperti Amerika dan Filipina. Apapun, setiap nama negara
mempunyai keunikan dan sejarahnya tersendiri.

RUJUKAN DAN CADANGAN BAHAN BACAAN:

– Heather Moore Niver, Amerigo
Vespucci: Explorer of South America and The West Indies,
New York: The
Rosen Publishing Group Inc, 2017.

– Marshall Islands Diplomatic
Handbook
, USA: IBP, 2007.

– Saudi Arabia, Vol. 4,
No. 3, 1987.

– M. C Halili, Phillipines History,
Manila: Rex Book Store Inc, 2004.

– Colin Darch, Historical
Dictionary of Mozambique
, Rowman & Littlefield, 2019.

– Marie Arana, Bolivar:
American Liberator
, New York: Simon & Schuster Paperbacks, 2013.

– Laman web rasmi negara
Liechtenstein, www.liechtenstein.li/en, diakses pada November 2019.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet