Kalau sebut tahun 1945, mungkin kedengaran seperti terlalu ‘zaman dahulu’. Namun ikutkan, ia cuma 77 tahun yang lepas. Masih lagi baru. Bahkan, lebih baru berbanding umur atuk kesayangan ramai.
Apa pun, sepanjang tempoh singkat itu bermacam-macam perubahan telah berlaku. Baik dalam bidang penerokaan angkasa, pembentukan negara, teknologi pemudah cara, sehinggalah keterbukaan terhadap kaum wanita – khususnya yang berkulit hitam.
Kalau imbau sejarah, memang boleh tahu yang US pada awal kurun ke-20 teruk dibarahi rasisme dan seksisme. Banyak artikel sudah kami naikkan berkenaan dua hal tersebut. Misalnya tentang 3 Gelombang Feminist dan Pembantaian Kulit Hitam di Bandar Tulsa. Kedua-duanya berlaku sekitar 1920-21. Tahun itu, wanita mula diberi hak mengundi dan kesamarataan dalam politik.
Tetapi kalau bab penglibatan wanita dalam WWII (1939 – 1945), ia hanya berlaku pada 1941. Iaitu selepas kongresnita Edith Rogers mengusulkan supaya wanita dibolehkan berkhidmat dalam perang. Usul itu diluluskan dan setahun kemudian, Presiden Franklin D. Roosevelt menandatangani H.R. 6293 sekali gus mendorong pembentukan Women’s Army Corps (WAC).
Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, GENESIS II di webstore kami: https://bit.ly/KTCAyman
Ikutkan, sebelum itu lagi (sejak 1901) sudah wujud Army Nurse Corps. Cuma, mereka tidak diberi gaji, pangkat, dan layanan setimpal seperti lelaki. Jadi, WAC ibarat usaha membasmi dan memperbaharui hal itu.
Penerimaannya memang menggalakkan. Sampai 30,000 orang wanita memhon sebagai batch pertama. Angka itu kemudian disaring menjadi 440 orang. Kesemua mereka lantas dihantar ke Fort Des Moines, Iowa untuk menjalani latihan lanjut.
Battalion pengirim surat pun tiap hujung minggu wajib berkawad
Dalam ramai-ramai mereka, ada seorang bernama bernama Charity Edna Adams. Beliau ini boleh kata paling kaklong antara semua 6,500 wanita berkulit hitam yang berkhidmat untuk US semasa WWII.
Hebatnya karisma Edna ini sampaikan beliau diberi tugas melatih dan membentuk satu battalion khas, iaitu Battalion Ke-6888. Ia dianggotai oleh 855 orang yang kesemuanya adalah wanita berkulit hitam. Ciri itu memang menonjolkan battalion tersebut, walau ikutkan, ada saja battalion lain yang serupa – seperti 404th yang turut dilatih oleh Edna.
Apa yang membezakan 404th ini adalah ia merupakan band muzik tentera dan hanya bertugas di US. Battalion Ke-6888 pula berkhidmat di England dan Perancis sebagai pengirim surat dari dan kepada askar-askar di medan. Justeru, nama penuh unit itu ialah 6888th Central Postal Directory Battalion.
Mungkin segelintir menganggap tugas mengirim surat ini remeh. Tapi di medan perang, faktor sekecil apapun dianggap penting. Terutama jika ia berkait moral tentera. Lagipun tanpa battalion ini, mana mungkin kita dapat baca surat cinta askar-askar WWII.
Jangan lupa dapatkan buku terbaru terbitan The Patriots, KITAB TAMADUN CINA di webstore kami: https://bit.ly/KTCAyman
Latihan khas mereka berjalan pada musim panas 1994, bertempat di Fort Oglethorpe, Georgia. Ia membabitkan latihan memakai topeng gas, berlari melepasi rintangan, dan melompat parit. Termasuklah juga latihan lain seperti kawad kaki serta pendedahan terhadap peralatan dan pemakaian musuh.
Model latihan sedemikian memang diperlukan. Ini kerana di zon perang, macam-macam boleh berlaku. Hatta terhadap pengirim surat. Jadi, persediaan rapi harus diberi. Lebih-lebih lagi suasana kerja mereka kurang kondusif, justeru memerlukan daya tahan yang tinggi.
Tanggal 3 Februari 1945, mereka berangkat dari US sesudah tamat latihan dan sebelas hari kemudian, tiba di King Edward School, Birmingham. Lokasi itu menjadi kediaman mereka sepanjang bertugas di gudang berhampiran.
Menurut catatan, keadaan gudang itu kurang kondusif. Tapi tidaklah seperti rata-rata gudang satu syarikat kurier ini. Guni-guni surat dan kotak-kotaknya sekadar menimbun tinggi. Kebanyakan memang sudah terbiar di situ lebih dua tahun. Sampai ada bungkusan berisi makanan yang koyak habis dijamah tikus.
Gudang yang dimaksudkan
Semua ini, kalau ikut kira-kira, memerlukan lebih enam bulan untuk diuruskan. Tapi, 6888th Battalion selamba saja lunaskannya dalam tiga bulan. Ini hasil sistem kerja mereka yang tersusun dan tanpa henti – 8 jam sehari dan 7 hari seminggu mengikut 3 syif.
Memandangkan kerja mereka selesai awal, 6888th Battalion kemudian dipindahkan ke Rouen, Perancis pada Mei. Suasana kerja di sana tak lebih baik. Cuma kali itu, mereka ada tenaga bantuan. Iaitu daripada penduduk tempatan dan banduan Jerman.
Sepanjang tempoh bertugas, cabaran dan dugaan memang tidak lekang. Terutama yang berkait rasisme. Namun dengan kepimpinan Edna, unit itu kekal efisien sampai akhir. Yakni, sampai selesai 17 juta surat diulang-alikkan antara keluarga 7 juta tentera menjelang tamat perang. Mereka siap ada motto peribadi lagi, yang berbunyi, “No mail, low morale”. Seolah mahu kata, “Tanpa kami, askar akan longlai.”
Mujur tiada gambar pekerja mengular
Memasuki Januari 1946, unit itu dibubarkan sebelum dihantar pulang ke US pada Februari. Pasca-perang, ramai dari mereka memanfaatkan G.I. Bill (satu kekhususan buat veteran) untuk sambung belajar lalu menjawat profesion terhormat seperti guru, pegaai bank, dan jururawat.
Dilaporkan pada hari ini, seramai 9 orang dari mereka masih hidup. Penghormatan demi penghormatan turut diberikan kepada mereka pada tahun-tahun kebelakangan – setelah dilupakan sekian lama.
Misalnya pada 14 Mac lalu, Presiden Joe Biden meluluskan cadangan untuk menganugerahkan Pingat Emas Kongres (anugerah sivil tertinggil) kepada 6888th Central Postal Directory Battalion. Pada November 2018 pula, monumen khas didirikan di Ft. Leavenworth, Kansas – bertujuan memperingati battalion itu sebagai simbol kebanggaan wanita dan warga kulit hitam di US.
RUJUKAN
Cummings, Edna W & Theres, James William. (2021, 10 February). The SixTripleEight: No Mail, Low Morale. National WW2 Museum.
Kindy, David. (2022, 23 March). All-Black, All-Woman WWII Unit Awarded Congressional Gold Medal. Smithsonian Mag.
Martin, Andrew. (2022, 9 February). How the All-Female, All Black 6888th Battalion Helped Win World War II With Mail. Medium.




No comments yet