Semua sedia maklum selepas kematian Julius Caesar, ia membawa kepada penubuhan Triumvirate Kedua dan perang saudara antara Octavius dengan Mark Antony. Selepas kempen tersebut dimenangi oleh Octavius, baginda menaiki takhta dengan menggunakan nama Augustus Caesar dan menubuhkan dinasti diraja pertama dalam sejarah Rom. Keupayaan dinasti ini bertahan dari ancaman domestik atau luar berpunca dari beberapa wanita ini.

1. Livia (58 BC – 29 Masihi)

Dari segi luaran, Livia dianggap contoh wanita Rom yang seharusnya dicontohi oleh wanita-wanita Rom ketika itu kerana berupaya menguruskan rumahtangga walaupun dengan status sebagai permaisuri. Tetapi di sebalik semua itu, Livia mahu memastikan puteranya yang juga bakal maharaja Tiberius menaiki takhta. Sesiapa yang dianggap mencabar kedudukan Tiberius sama ada dibuang negeri atau dibunuh dan ini banyak dicatatkan oleh penulis-penulis Rom ketika itu.

Selepas baginda menaiki takhta, hubungan dua beranak ini pada awalnya baik tapi lama-kelamaan menjadi renggang berikutan tindakan Livia yang mencampuri urusan pemerintahannya. Apabila baginda mangkat pada 29 Masihi, Tiberius menghantar cucu saudaranya Caligula sebagai wakil untuk upacara pengebumian dan menghalang mana-mana anugerah diberi kepadanya. Dekri itu hanya dibatalkan semasa era pemerintahan Claudius dan semua gelaran kehormat yang dibatalkan dikembalikan semula.

2. Octavia Si Muda (69 – 11 BC)

Octavia Si Muda merupakan kekanda Augustus tetapi sejak dari muda lagi dipergunakan oleh keluarganya untuk tujuan politik. Semasa berusia 15 tahun, baginda dikahwinkan dengan Gaius Claudius Marcellus Minor untuk mengukuhkan pakatan keluarga Caesar dengan keluarga Claudius. Selepas Marcellus mati pada tahun 40 BC, baginda dikahwinkan pula dengan Antony sebagai sebahagian daripada rancangan Augustus untuk mengukuhkan pakatannya dengan salah seorang anggota Triumvirate itu.

Octavia memainkan peranan sebagai seorang isteri yang setia dan ibu yang baik kepada anak-anaknya tetapi itu langsung tidak dihargai Antony bila beliau memilih Cleopatra, satu keputusan yang menimbulkan kemarahan Augustus. Selepas itu, Octavia dan putera-puterinya dilayan dengan baik oleh adindanya dengan Marcus Claudius Marcellus, putera hasil perkahwinannya dengan Marcellus merupakan antara orang kesayangan baginda. Tetapi bila Marcellus mangkat pada 23 BC, ia memberi impak besar kepada Octavia dan menyingkirkan satu lagi pencabar yang boleh mencabar kedudukan Tiberius.

3. Julia Si Tua (39 BC – 14 Masihi)

Daripada semua anak Augustus, Julia Si Tua merupakan satu-satunya puteri kandung baginda. Sejak dari kecil, baginda mendapat didikan tegas dari bonda tirinya Livia dan hanya dibenarkan bercakap dengan orang-orang yang telah disemak latar belakangnya oleh Augustus. Tetapi baginda amat menyayangi Julia dan berusaha menyediakan guru-guru terbaik untuk pendidikannya. Bagaimanapun, gaya hidupnya yang suka berfoya-foya dan kecenderungannya berlaku curang dianggap memalukan Augustus sehingga memaksanya membuang Julia ke Pandateria bersama ibunya Scribonia. Selain itu, baginda juga memaksa semua kekasihnya memilih hidup dalam buangan dengan Iullus Antonius (putera Antony dan Fulvia) membunuh diri. Apabila Julia mangkat pada 14 Masihi, baginda tidak dibenarkan dimakamkan di Makam Augustus berdasarkan wasiat terakhir Augustus.

4. Agrippina Si Tua (14 BC – 33 Masihi)

Agrippina Si Tua amat dikagumi ramai semasa era pemerintahan Tiberius kerana berani menentang amalan tirani yang dipraktikkan bapa saudaranya itu. Seperti mana nendanya Livia, baginda turut mempromosikan karier putera-puteranya dengan harapan mereka dapat menaiki takhta. Tetapi itu meletakkan dirinya dan keluarganya menjadi sasaran Tiberius dan penasihat kanannya Sejanus.

Sejanus memusuhi mereka kerana Senat menghormati Drusus dan Julius yang juga putera Germanicus sekaligus meletakkan mereka dalam kedudukan terbaik untuk mewarisi takhta Tiberius. Selepas kematian Livia pada 29 Masihi, Agrippina dan Nero dilabel musuh negara oleh senat dan dibuang negeri ke Pandateria dan Pontia. Semasa di Pandateria inilah, baginda menghembuskan nafas terakhirnya pada 33 Masihi akibat kebuluran (bekalan makanan ditahan Tiberius bagi menampakkan kematiannya bersifat bunuh diri).

5. Messalina (17 – 48 Masihi)

Selepas Caligula mangkat dibunuh oleh Cassius Chaerea, kumpulan pembunuh diketuainya cuba membunuh seberapa ramai anggota keluarga Caesar tetapi gagal membunuh bakal maharaja dan bapa saudara Caligula, Claudius. Selepas baginda menaiki takhta pada 41 Masihi, ini memberi peluang kepada isterinya Messalina bermaharajalela dengan mengambil kesempatan ke atas sikap sangka baiknya itu. Baginda dikatakan mempunyai ramai kekasih dan tidak teragak-agak menyingkirkan sesiapa saja yang dianggap mengancam pengaruhnya tanpa mengira sama ada senator, anggota kerabat diraja atau orang bebas.

Tetapi kemuncak kepada semua ini apabila baginda berkahwin dengan kekasihnya Gaius Silius pada tahun 48 Masihi semasa Claudius berada di Ostia. Murka dengan tindakan maharaninya itu, baginda bergegas pulang dan Messalina kemudiannya dibunuh oleh pengawalnya sendiri dengan Ilius dihukum bunuh. Senat turut mengeluarkan arahan mengeluarkan nama Messalina dari semua rekod rasmi Rom dan memusnahkan mana-mana arca atau patung dirinya.

6. Agrippina Si Muda (15 – 59 Masihi)

Ramai penulis Rom menggelar Agrippina Si Muda sebagai bercita-cita besar, tamak dan bijak mengambil peluang yang terhidang. Dan bila melihat sejarah dirinya yang dibuang negeri oleh kekandanya Caligula, tidak hairanlah mengapa Agrippina sanggup melakukan apa saja demi memastikan satu-satunya putera baginda dan bakal maharaja Nero menduduki takhta termasuk berkahwin dengan Claudius, satu tindakan yang mendapat tentangan ramai. Dan selepas beberapa lama, Claudius mula menyesal dengan perkahwinan ini dan mula mempersiapkan puteranya dengan Messalina iaitu Britannicus untuk menduduki takhta. Dikatakan semasa baginda mangkat pada tahun 54 Masihi, Agrippina disyaki meracuni baginda tetapi wujud kemungkinan baginda mangkat atas sebab semulajadi.

Dan seperti ulangan kisah Livia dan Tiberius, hubungan dua beranak ini pada mulanya baik tetapi berubah selepas Agrippina cuba mendominasi urusan pemerintahan Rom, satu perkara yang tidak disukai oleh Nero. Nero sendiri turut mengesyaki bondanya itu cuba menyingkirkannya dari takhta dengan mempromosikan adinda tirinya Britannicus atau sepupunya Rubellius Plautus sebagai pewaris takhta. Walaupun wujud keterangan berbeza bagaimana baginda mati, yang pasti Nero mengarahkan bondanya itu dibunuh pada 59 Masihi sekaligus memenuhi ramalan seorang ahli nujum yang ditemui Agrippina bertahun-tahun sebelumnya. Menurut ahli nujum itu, Nero bakal menjadi maharaja dan akan membunuhnya. Bila mendengar ramalan itu, Agrippina berkata, “Biarlah dia membunuh aku asalkan dia bergelar maharaja.”

SUMBER

de la Bedoyere, Guy. (2018). HistoryExtra. 6 women who changed the course of Roman history. https://www.historyextra.com/period/roman/leading-women-ancient-rome-livia-octavia-agrippina-messalina/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.