1. Sempena 51 tahun berlakunya Tragedi 13 Mei 1969 hari ini, berikut adalah perkongsian semula catatan tragedi tersebut, seperti yang diceritakan kembali secara lisan oleh Dato’ Haji Muhamad Bin Haji Yassin, 79 tahun. Pertama kali diceritakan kepada penulis dua tahun lalu, dan dikemaskini semula dengan butiran lebih terperinci berpandukan ingatan beliau.

2. Untuk makluman, Dato’ Haji Muhamad adalah merupakan seorang bekas pelajar Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya (kini kampus UIAM) yang memang berada di kampus dan kawasan sekitar Lembah Kelang ketika berlakunya Tragedi 13 Mei, 1969 tersebut. Beliau adalah saksi hidup yang telah menceritakan semula butiran tragedi hitam dalam sejarah negara, sama seperti apa yang beliau sendiri alami dan ingati berlaku ketika itu.

3. Beliau yang merupakan pesara kerajaan yang pernah menjadi pensyarah di Institut Perguruan Raja Melewar, kini menjawat jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Muzium Kebudayaan Negeri Sembilan dan Ahli Lembaga Pengarah Istana Seri Menanti.

4. Bagi tujuan pengkisahan semula, penulis telah menyusun kembali butiran pengkisahan tersebut berdasarkan kronologi dan tarikh sebenar kejadian sekitar 10-13 Mei 1969.

5. Seperti yang diingati oleh Dato’ Haji Muhamad, dan kita semua tahu, semasa PRU 3 pada 10 Mei 1969, Parti Perikatan, kini Barisan Nasional disahkan telah memenangi PRU 1969 dan berjaya membentuk kerajaan ketika itu.

6. Sekalipun PRU3 tersebut telah dimenangi oleh parti Perikatan, ia disifatkan sebagai kemenangan tipis kepada parti memerintah kerana banyak kerusi di kawasan bandar-bandar utama jatuh ke tangan pembangkang iaitu gabungan DAP dan Gerakan.

7. Kerusi-kerusi di Selangor dan Lembah Kelang termasuklah Kuala Lumpur, kebanyakannya telah dimenangi oleh gabungan Democratic Action Party (DAP) dan Gerakan, di mana ahlinya memang terdiri dari kaum Cina yang menetap di sekitar Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama seluruh negara yang lain.

8. Penumpuan kelompok bangsa tertentu di Semenanjung Malaysia berdasarkan lokasi dan geografi ketika itu adalah hasil doktrin ‘pecah dan perintah’ British yang menempatkan Cina di kawasan bandar, India di kawasan perladangan dan estet, manakala Melayu dikekalkan terus tinggal di kawasan kampung. Taburan demografi sebegini sesungguhnya walaupun sudah semakin seimbang, ia secara umumnya masih kekal sebegitu rupa sehingga hari ini.

9. Kembali kepada kronologi bermulanya tragedi hitam tersebut, segalanya telah bermula seawal pagi 11 Mei 1969 lagi. Ia telah mula ‘panas’ sejak diadakan satu perarakan dan sambutan kemenangan oleh DAP dan Gerakan diadakan bagi menzahirkan kegembiraan mereka menawan kerusi-kerusi DUN Kuala Lumpur yang asalnya dimiliki Perikatan sebelum itu.

10. Sambutan juga melibatkan perarakan di sekeliling bandar KL yang turut melalui Balai Polis Jalan Traverse. Di situ kumpulan Cina berkenaan mencaci maki dan menghina polis, malah ada yang kelihatan membuka seluar menunjukkan punggung dan kemaluan dengan tujuan menghina anggota polis dan kerajaan pada masa itu.

11. Kumpulan perarakan tersebut kemudiannya sampai ke kawasan Kg. Baru dan melalui Jalan Perkins iaitu di hadapan rumah Menteri Besar Selangor ketika itu iaitu Dato’ Seri Harun Idris, yang juga ketua pemuda UMNO Malaysia pada masa yang sama. Sekali lagi peserta perarakan ini mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina dengan perlakuan tidak senonoh sepanjang laluan mereka.

12. Dato’ Haji Muhamad menceritakan juga bahawa semasa perarakan itu tiba di hadapan Kg. Baru, peserta perarakan itu mengeluarkan gambar Sultan Ismail Nasiruddin Shah selaku SPBYDPA ketika itu, kemudiannya memijak dan melanyak gambar baginda tuanku di hadapan Kg. Baru.

13. Selain bertujuan menghina orang Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu, adalah dipercayai bahawa perbuatan tersebut turut bertujuan untuk memprovokasi sekaligus menghalau orang Melayu untuk keluar dari Kg. Baru dan seterusnya keluar dari Kuala Lumpur.

14. Namun walau diperlakukan sedemikian rupa, tiada apa yang berlaku sehinggalah perarakan tamat pada malamnya dengan tenang dan tenteram.

15. Jangkaan bahawa ia selesai di situ meleset sama sekali apabila tiba tengah malam sebaik masuknya 12 Mei, 1969, rupanya di sebalik ketenangan tersebut, kemarahan Melayu semakin meluap-luap dib4kar peristiwa siangnya.

16. Provokasi yang dilakukan oleh gabungan ahli DAP dan Gerakan yang terdiri dari orang Cina di Kuala Lumpur itu telah berjaya membuahkan hasil dan mengundang bakal bala yang akan menimpa.

17. Melayu dari Kg. Baru sendiri rupanya sedang mempersiapkan diri, bagi menyahut cabaran Cina yang dikatakan menghina orang Melayu semasa perarakan tersebut.

18. Malam itu juga, sekumpulan orang Melayu dari Kg. Baru telah bergerak keluar melalui Jalan Raja Abdullah ke persimpangan Jalan Campbell.

19. Di persimpangan tersebut, kumpulan orang Melayu tersebut telah menahan semua kereta dan lori yang dipandu oleh Cina. Pemandu dipaksa turun, dipvkul dan dibvnuh di situ.

20. Pertempuran seumpamanya merebak ke Bandar Tun Razak, membawa ke Jalan Cochcrane dan Jalan Pudu.

21. Dalam masa yang sama, kumpulan Cina yang mula menyedari kejadian tersebut telah membina kekuatan, kemudian bergerak dari Jalan Ampang menuju ke Kg. Baru.

22. Dalam perjalanan, banyak kediaman orang Melayu dib4kar. Namun mujur Melayu yang tinggal di situ telah keluar menyelamatkan diri keluar dari kediaman masing-masing. Ada cerita yang menyatakan bahawa terdapat orang Melayu m4ti terb4kar akibat terperangkap dalam kediaman bersama harta benda mereka, tetapi Dato’ Haji Muhamad menyatakan ia tidak dapat dipastikan.

23. Dato’ Haji Muhamad menceritakan bahawa salah seorang abang saudaranya bernama En. Razak atau nama penuhnya Razak Mohd Amin, berasal dari Serting Hilir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan merupakan juruteknik JKR, dan menetap di Kg. Pandan adalah orang Melayu pertama yang menjadi mangsa tragedi tersebut.

24. En. Razak yang ketika kejadian sedang menunggang Lambretta miliknya tidak berjaya mengelak dari ditahan oleh sekumpulan Cina di Jalan Kg. Pandan. Beliau ditahan berhampiran Sekolah Menengah Dato’ Lokman dan terus dipvkul hingga m4ti serta merta di situ. En. Razak dikatakan dibvnuh ketika kemuncak tragedi tersebut, lebih kurang pukul 10.00 pagi, 12 Mei, 1969.

25. Pertempuran di sekitar Kuala Lumpur terus berlanjutan dengan jumlah kem4tian sebenar yang tidak dapat dipastikan pada hari itu. Sehingga lewat 12 tengah malam masuk 13 Mei, separuh Kg. Baru telah musnah dib4kar oleh orang Cina. Orang Melayu ramai yang selamat kebanyakannya berlindung di rumah Menteri Besar Selangor.

26. Tindakan pervsuh Cina memb4kar kediaman orang Melayu juga menyebabkan dalam masa yang sama, kedai-kedai dan rumah Cina di Jalan Campbell dan Jalan Raja Abdullah pula habis dib4kar oleh orang Melayu dan ramai orang yang tidak sempat melarikan diri turut dipukul sehingga m4ti dan dibvnuh di kawasan tersebut.

27. Kuala Lumpur menangis bermandi d4rah dan berada dalam kacau bilau, dengan ramai sebenarnya dari kalangan orang Melayu dan Cina terbvnuh, manakala sepanjang tempoh tersebut tiada apa yang dapat keluar atau masuk ke dalam Kuala Lumpur.

28. Dato’ Haji Muhamad menyatakan bahawa sepanjang ingatan dan pengetahuan beliau, tiada berlakunya pertempuran besar-besaran antara perusuh Melayu dan Cina, namun kebanyakan mangsa yang m4ti adalah akibat terperangkap dan dipvkul oleh kumpulan-kumpulan berasingan, dis3rang hendap dan dipvkul curi sama ada oleh kumpulan Melayu atau Cina.

29. Akhirnya pada 13 Mei 1969, 2 petang darurat diisytiharkan setelah keadaan semakin meruncing. Parlimen digantung dan MAGERAN (Majlis Gerakan Negara) yang dipengerusikan oleh Tun Razak dengan naib pengerusi Tun Dr Ismail ditubuhkan. Luka negara akibat Tragedi 13 Mei dirawat sejak dari itu.

30. Seterusnya, Dato’ Haji Muhamad kemudiannya menceritakan pengalamannya sendiri semasa berada di kampus Kolej Islam Malaya sepanjang peristiwa berd4rah tersebut.

31. Beliau berkata bahawa semua pelajar tidak dibenarkan keluar, dan jalan di bahagian hadapan Kolej Islam Malaya sibuk dengan kenderaan polis dan tentera yang lalu lalang.

32. Sepanjang berlakunya tragedi, pelajar-pelajar menghadapi kekurangan bekalan makanan selama hingga tiga hari kerana bekalan makanan tidak dapat masuk ke dalam kolej. Berbekalkan baki biskut dan ikan bilis dari Dewan Makan, mereka mengalas perut sehingga bantuan datang hanya selepas tiga hari tragedi tersebut berlaku.

33. Beliau juga menceritakan bagaimana ada Melayu yang tidak dikenali merapati pagar kolej dan menghulurkan hingga hampir 20 bilah parang untuk tujuan keselamatan jika keadaan menjadi bertambah buruk. Tidak seperti orang Melayu, orang Cina ketika itu dilihat memiliki kelebihan kerana ramai dari kalangan mereka memiliki laras senjata api mereka sendiri.

34. Pada masa yang sama, ada terdapat lebih dari 10 keluarga Melayu dari Pantai Dalam datang berlindung dan menumpang di Asrama Puteri Kolej Islam. Beliau turut menceritakan bagaimana ada seorang bayi yang baru berumur 16 hari turut datang berlindung di Kolej Islam.

35. Diceritakan kepada penulis bahawa suara bayi tersebut hanya dapat didengari setelah datang ke Kolej Islam kerana tangisannya tidak pernah didengari sejak dari lahir malah dipercayai bisu oleh kedua ibu bapanya.

36. Keluarga-keluarga Cina di sekitar Seksyen 17, berhampiran Kolej Islam Malaya ketika itu semuanya telah tergesa-gesa mengosongkan rumah masing-masing apabila keadaan makin meruncing kerana risau dengan keberadaan pelajar-pelajar Melayu di Kolej Islam Malaya yang sangat hampir dengan kediaman mereka.

37. Selepas keadaan reda, pada 15 Mei 1969, semua pelajar diarahkan pulang ke kampung halaman dan dibawa keluar dengan iringan tentera sambil menaiki trak askar ke stesen bas. Proses membersihkan dan pemulihan Kuala Lumpur bermula selepas itu.

38. Demikianlah catatan pengkisahan lisan tentang Tragedi 13 Mei 1969 seperti yang diceritakan oleh Dato’ Haji Muhamad kepada penulis dua tahun lalu, berlaku di sekitar Kuala Lumpur dan di kampus Kolej Islam Malaya.

39. Tragedi 13 Mei 1969 ini seringkali dianggap sebagai sesuatu yang taboo yang sangat kita takut untuk bicarakan apatah lagi begitu pantang sekali dikenang-kenang. Sedangkan ia sebenarnya penting dan merupakan antara peristiwa yang membentuk DNA negara kita hari ini. Perlu diingat bahawa kronologi dan rentetan peristiwa yang bermula beberapa hari sebelum itu malah build up hasil percaturan kerajaan ketika itulah yang membawa pada rusuhan kaum 50 tahun yang lalu.

40. Mahu atau tidak, ia tetap merupakan satu kisah lampau dalam lipatan sejarah negara. Ia satu sejarah dan pengajaran kepada kita semua. Sejarah selain mendidik kita mengenai masa lampau, ia juga sebenarnya mengajar kita bagaimana untuk membentuk acuan yang demi kesinambungan masa hadapan.

41. Sejarah mengajar tentang kegemilangan masa lampau, tetapi ia juga memiliki kesedihan dan parut-parut akibat luka semalam. Padanya, kita belajar untuk menghadapi masa akan datang. Jika baik sejarah lampaunya, jadikan ia lebih baik dalam kehidupan mendatang. Jika buruk sejarah lampaunya, perbetulkan supaya kesilapan lampau tidak akan berulang.

42. Baik atau buruk sesuatu sejarah itu ia memiliki kepentingannya sendiri. Ia bergantung kepada bagaimana kita mengakui ia pernah berlaku dan memastikan ia kekal sebagai suatu bentuk pengajaran,sama ada sebagai sempadan atau bentuk tauladan.

43. Seperti firman Allah; “Maka kisahkanlah kisah-kisah agar mereka berfikir.” (Al-A’raf : 176). Sesungguhnya, kebenaran adalah sesuatu yang amat pahit untuk ditelan, tetapi yang pahit itulah selalunya Allah jadikan amat mujarab untuk mengubat dan memberikan kesembuhan.

44. Sejarah yang dilupakan, dan pelajaran yang tidak diambil iktibar, tidak mustahil ia akan berulang. Jadi ingat dan belajarlah bahawa sesungguhnya pada hari ini, 50 tahun lalu, sejarah hitam pernah berlaku.

45. Salam 13 Mei, Malaysia!.

Gambar 1: Muka hadapan The Sunday Times Singapura pada 11 Mei 1969 ini memaparkan keputusan penuh PRU 1969. Antara kekalahan mengejutkan ialah Tun Mahathir kalah di kawasan Kedah Selatan di tangan calon PAS, Yusof Rawa. Ia adalah sesuatu yang tidak dijangka, tetapi kemelut dalaman UMNO sendiri menjadikan mereka tidak benar-benar sepakat dalam urustadbir parti, selain merasakan bahawa Tunku Abdul Rahman melebihkan kaum Cina berbanding kaum Melayu ketika itu. Krisis dalaman UMNO ketika itu telah menyumbang kepada rentetan ketidaksepakatan dalaman UMNO. Namun lebih merisaukan, ia juga mula meniup api syak wasangka antara masyarakat Melayu dan Cina di Malaysia.
Gambar 2: Berita Harian 12 Mei 1969 melaporkan sekitar keputusan mengejut PRU1969 dan menulis tentang kemungkinan Selangor akan membentuk kerajaan negeri campuran antara Gerakan dan DAP sebagai berita utama. Ini sekaligus mengancam Perikatan di negeri tersebut yang diterajui UMNO. Kedudukan ini adalah antara sebab mengapa ‘Perarakan Kemenangan’ dibuat dan mencetus ketegangan. Dikatakan juga bahawa kumpulan perarakan bergerak ke Jalan Perkins untuk menghalau keluar MB Selangor ketika itu keluar dari kediamannya.
Gambar 3: Muka hadapan Utusan Malaysia 13 Mei 1969 ini pula melaporkan dapatan sidang media oleh Tunku Abdul Rahman sendiri, tentang bagaimana beliau merasakan bahawa pentadbirannya tidak mendapat sokongan penuh kabinet, seterusnya tidak mendapat keyakinan rakyat. Beliau yang kecewa dengan keadaan semasa politik dan sosial negara mengancam mahu menarik diri selaku Perdana Menteri. Malah kekecewaan beliau memuncak apabila Tun Mahathir menulis pula satu surat bertarikh 17 Jun 1969 yang mengkritik pentadbiran beliau malah menyalahkan Tunku Abdul Rahman sebagai antara penyebab berlakunya Tragedi 13 Mei 1969.
Gambar 4: MCA mengesahkan pada sidang akhbar mereka seperti yang ditulis di dalam Berita Harian bertarikh 14 Mei 1969 bahawa mereka akan menarik diri dari kabinet Tunku Abdul Rahman kerana tidak mendapat mandat pengundi Cina pada PRU1969. Mereka juga menolak semua jawatan yang ditawarkan untuk membentuk cabinet . Dalam masa yang sama, Kuala Lumpur telah diisytiharkan darurat dan berada dalam perintah berkurung kerana berlakunya Tragedi 13 Mei. Gerakan pula dilaporkan tidak akan bersekutu bersama dengan DAP untuk membentuk kerajaan gabungan di Selangor, sekaligus menyerahkan tampuk pentadbiran negeri untuk kekal kepada Perikatan.
Gambar 5: Berita utama di Singapura juga menjelaskan penarikan MCA dari menjawat jawatan di dalam kabinet baharu pasca PRU1969 kerana tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat, terutama pengundi Cina di Malaysia. Muka hadapan akhbar The Straits Times bertarikh 14 Mei 1969 ini turut melaporkan bahawa Selangor berada di dalam krisis dengan berlakunya pertempuran dan kebakaran di sekitar Kuala Lumpur.
Gambar 6: The Straits Times pada 15 Mei 1969 ini melaporkan jumlah kem4tian akibat Tragedi 13 Mei sebagai tajuk utama muka hadapannya. Ia juga melaporkan tindakan yang sedang diambil pihak berkuasa bagi menangani krisis tersebut. Padanya juga dinyatakan tentang keadaan semasa di tempat-tempat lain di Semenanjung Tanah Melayu, dengan titah kenyataan DYMM SPBYDPA Sultan Ismail Nasiruddin Shah meminta untuk semua pihak sama-sama menghentikan keganasan di Kuala Lumpur. Rayuan yang sama oleh Raja-Raja Melayu dengan titah supaya rakyat masing-masing di setiap negeri lain untuk bertenang turut dizahirkan.
Gambar 7: Dengan 75 kem4tian dan 277 pula cedera kebanyakannya cedera parah, The Straits Times bertarikh 16 Mei 1969 ini menulis bahawa situasi semakin kritikal di Selangor, dan rayuan untuk menderma d4rah sentiasa disampaikan melalui Radio Malaysia. Radio juga telah mengeluarkan amaran untuk penduduk Kuala Lumpur tidak menggunakan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kg. Baru dan Lebuhraya Persekutuan. Pihak berkuasa juga menyatakan beberapa siri tangkapan yang telah dilakukan misalnya di Serdang dan perintah berkurung yang turut dikuatkuasakan di Melaka Tengah. Semua akhbar tempatan digantung sehingga Ahad 18 Mei 1969.
Gambar 8: Muka hadapan Utusan Malaysia memberi khabar gembira buat seluruh rakyat Malaysia apabila terbitan Jumaat 23 Mei 1969 ini menyatakan bahawa keadaan kembali aman, tiada kejadian rusuhan dan kekacauan baharu malah perintah berkurung telah ditamatkan namun masih di bawah pengawasan berterusan pihak berkuasa yang ditadbir MAGERAN. Kerajaan berjanji mencari dalang di sebalik Tragedi 13 Mei 1969, namun semua yang terkesan di sekitar Kuala Lumpur telah dibenarkan pulang kembali ke kediaman masing-masing.
Gambar 8: Muka hadapan Utusan Malaysia memberi khabar gembira buat seluruh rakyat Malaysia apabila terbitan Jumaat 23 Mei 1969 ini menyatakan bahawa keadaan kembali aman, tiada kejadian rusuhan dan kekacauan baharu malah perintah berkurung telah ditamatkan namun masih di bawah pengawasan berterusan pihak berkuasa yang ditadbir MAGERAN. Kerajaan berjanji mencari dalang di sebalik Tragedi 13 Mei 1969, namun semua yang terkesan di sekitar Kuala Lumpur telah dibenarkan pulang kembali ke kediaman masing-masing.

*Penulis menulis semula catatan temubual dengan menyemak dan membuat rujukan silang pada sumber berikut;

RUJUKAN: 1. Majlis Gerakan Negara. (1969). The May 13 Tragedy: A Report. Kuala Lumpur: MAGERAN

2. Al Haj, Tunku Abdul Rahman Putra. (2007). 13 Mei Sebelum Dan Selepas. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributions.

3. Kia Soong, Kua. (2007) May 13: Declassified Documents On The Malaysian Riots Of 1969. Kuala Lumpur: SUARAM.

4. Betty, M (2015). 13 Mei 1969: Sejarah Hitam Cina-Melayu di Malaysia. Dimuat turun daripada https://www.academia.edu/…/_13_MEI_1969_SEJARAH_HITAM_CINA-…

*KETERANGAN GAMBAR: Kecuali gambar muka hadapan Utusan Malaysia dan barisan anggota MAGERAN yang diambil dari Google Image, semua muka hadapan Berita Harian dan The Straits Times dimuat turun daripada NewspaperSG: http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/  


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

Comments are closed.