Umar Abd Aziz, namanya sudah cukup menggambarkan bagaimana peribadi beliau sebagai seorang pemimpin yang baik. Kedua-dua nama yang dihimpunkan adalah nama yang tidak asing bagi kita iaitu Umar dan Abd Aziz. Dua sosok manusia yang boleh baik dari segi perilaku dan agamanya. Siapa tidak kenal Umar al Khattab? Salah seorang Khulafa Ar-Rasyidin yang berjaya mengalahkan tentera Salib dan menawan Baitul Maqdis buat kali pertamanya setelah ia ditawan beratus ratus tahun di bawah kerajaan Kristian.
Abd Aziz pula adalah ayah kepada Umar yang sangat alim dan gabenor yang baik serta adil terhadap rakyatnya. Beliau mendidik Umar dengan penuh kasih sayang dan didikan agama yang mencukupi sehingga Umar mampu menjadi pemimpin yang digelar ‘Bayangan Khulafa Ar-Rasyidin ke-5’.
Walaupun Umar dilahirkan dalam serba kenikmatan namun ayahandanya tidak sesekali memanjakan dengan harta. Malah, ayahandanya sanggup menghantarnya ke Madinah untuk menuntut ilmu agama di sana. Pada ayahandanya, pemimpin tidak dilahirkan dalam limpahan kemewahan, tetapi muncul dari timbunan keperitan dan kesusahan.
Umar Abd Aziz telah menghafal Al- Quran semasa kecil dan setelah pulang dari Madinah, pengetahuan beliau berkaitan ilmu hadis dan bidang agama sangat luas. Kemudian beliau tekun mempelajari sastera dan gubahan syair. Begitu sekali tinggi pengetahuannya dalam bidang ilmu sehingga pernah dikatakan:
“Para ulama’ jika berada bersama Umar bin Abd Aziz adalah mereka bertaraf murid”
Umar Abd Aziz adalah antara khalifah yang tersohor disebut dalam sejarah Bani Umayyah selepas pengasasnya iaitu Muawiyah bin Abu Sufyan. Kenapa namanya tercatat dalam sejarah sedangkan ramai lagi khalifah Bani Umayyah yang tidak disebut malah dicerca oleh musuh musuh mereka? Jadi inilah 5 sifat Umar Abd Aziz yang perlu kita contohi.
1. PEMIMPIN BERJIWA RAKYAT
Umar telah melakukan gerak kerja pengislahan (pembaikan) demi kepentingan Islam bukan untuk kepentingan Baitul Mal. Beliau telah menghapuskan cukai jizyah ke atas kafir kafir Zimmi (orang kafir yang tidak memusuhi Islam) yang telah memeluk Islam dan telah meringankan kadar cukai-cukai yang dikenakan ke atas umat Islam khususnya para mawali keturunan Parsi. Kesan dari polisi baru yang diubah ini hanyalah bertujuan untuk menarik ramai orang menganut agama Islam.
Pendapatan Baitul Mal ketika pemerintahan Khalifah Sulaiman semakin berkurang dan sesetengah Pegawai Pemerintah atau Pesuruhjaya ketika melihat kekurangan dalam hasil cukai kepala (jizyah) disebabkan terlampau ramai orang yang menganut agama Islam dan cukai itu dihapuskan daripada mereka, maka Umar tidak bersetuju dengan pegawainya.
Ia telah dibuktikan dalam surat jawapan kepada Pesuruhjaya Mesir ketika itu yang mengatakan bahawa keislaman beramai ramai oleh kafir Zimmi telah menjejaskan hasil jizyah dan memohon izin pula untuk mengenakan cukai itu kepada orang yang baru menganut agama Islam. Umar telah membalas surat tersebut dan berkata, “Maka hendaklah anda hentikan cukai jizyah ke atas orang yang menganut Islam, Allah membenci cadangan anda; sesungguhnya Allah mengutus Muhammad s.a.w. sebagai pembawa hidayah bukan selaku seorang yang mengenakan cukai. Demi umurku Umar lebih malang nasibnya kalaupun seluruh manusia memeluk Islam di tangannya”.
2. TIDAK PILIH PEMIMPIN MENGIKUT KETURUNAN
Umar Abd Aziz adalah seorang yang kuat beribadah, soleh, dan tawadhu’ dalam segala tingkah lakunya sehingga tiada tempat bagi para penyair dalam istananya, meskipun beliau juga mahir dalam bersyair. Istananya hanya dipenuhi oleh ahli taqwa dan zuhud.
Beliau telah melepaskan pegawai pegawai tinggi yang dilantik secara kronisme iaitu dilantik dalam kalangan ahli keluarga sahaja iaitu Bani Umayyah. Pemimpin yang dilepaskan telah digantikan dengan mereka yang lebih berkemampuan sehingga mereka yang baru dilantik menurut jejak langkah dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab mengikut jawatan masin masing.
Akibat dari perbuatan ini, Umar Abd Aziz seolah telah menjadi ‘musuh’ bagi kaum keluarganya dan menyisihkan mereka sekeluarga. Umar Abd Aziz tidak melantik ahli keluarga Umayyah dalam kepimpinan kerana ia akan menjadi satu conflict of interest di kemudian hari. Dan penjawatan ini hanya akan mengkayakan Bani Umayyah lagi sedangkan rakyat makin terseksa dan rasuah sudah mula berlaku.
Jika dilihat pemimpin sebelum dan selepas Umar Abd Aziz, masing masing cuba untuk memuaskan hati ahli keluarga mereka dan amanah yang diberi tidak dijalankan dengan sebaiknya. Betul, bila melantik orang yang rapat dengan kita ada baik ada buruknya. Tetapi jika dalam satu penjawatan yang sama ada yang lebih layak, kenapa masih nak mengutamakan orang yang rapat dengan kita? Adakah kita sanggup membiarkan pengurusan negara kepada orang yang tidak berpengalaman?
Umar Abd Aziz pernah mengatakan, “Aku tidak kisah jika dipulau demi berlaku adil, kerana kesan dan akibat dari pilihan aku sebagai pemimpin akan disoal oleh Allah kelak. Aku lebih takutkan Allah dari ahli keluarga dan keturunanku sendiri”.
3. PEMIMPIN YANG BERJIWA DAKWAH
Umar Abd Aziz telah melaksanakan tindakan tindakan penuh dengan semangat untuk mengembangkan Dakwah Islamiah. Beliau pernah menghulurkan kepada penduduk negeri yang tidak ditakluki Umayyah segala macam galakan untuk menarik mereka kepada agama Islam sehingga kepada mereka diberi anugerah anugerah dari Baitul Mal.
Telah diceritakan bahawa beliau telah memberi kepada seorang ketua perang yang beragama Nasrani sejumlah wang sebanyak 1000 dinar untuk menjinakkan hatinya pada Islam. Begitu juga beliau telah memerintahkan kepada para pesuruhjaya di semua wilayah supaya menjalankan dakwah di kalangan kafir kafir Zimmi.
Ada sebuah cerita juga di mana pesuruhjaya di Khurasan yang bernama Al-Jarrah bin Abdullah telah berjaya menarik penduduk Khurasan seramai 4000 orang kepada agama Islam. Telah dikatakan juga bahawa Umar telah mengutus surat kepada Raja Rom Leo III menyerunya masuk Islam. Beginilah jika pemimpin bukan saja boleh memimpin, malah mempunyai jiwa dakwah dan idealisma Islam. Maka jika dia berkuasa, kekuasaan digunakan untuk kepentingan agama, bukan lagi sekadar pekerjaan bergaji.
4. PEMIMPIN YANG DIPLOMASI
Umar Abd Aziz telah menjalankan polisi yang mirip kedamaian dan berbaik baik. Beliau berpendapat bahawa polisi ini lebih menjamin untuk menyelesaikan segalam masalah yang timbul dan untuk menyatupadukan kalimah (pakatan). Oleh itu, bila golongan Khawarij bangkit menderhaka di zaman pemerintahannya, tidak beliau mengambil tindakan keras terhadap mereka itu seperti yang telah dilakukan oleh pemerintah sebelumnya iaitu Khalifah Abdul Malik bin Marwan bahkan budi pekertinya yang luhur dan rasa kasihnya terhadap sesama Islam menjadikan beliau enggan melakukan kekerasan terhadap mereka.
Apa yang menariknya Umar Abd Aziz lebih suka memujuk mereka dengan jalan berhujah dan berdebat. Beliau telah berjaya memberi rasa yakin kepada wakil wakil yang dihantar kepada beliau oleh golongan Khawarij. Debatnya pula tidak diisi dengan perasaan benci dan emosi, malah debat itu diisi dengan fakta yang padat dan professional. Dan tidak pulak beliau mencerca orang yang tidak sependapat dengannya. Disebabkan itu, Umar Abd Aziz dihormati kawan dan lawan.
5. PEMIMPIN YANG ZUHUD
Diceritakan zuhudnya Umar ini sampai ke tahap beliau mengutamakan maslahat dan kepentingan di atas peribadi atau khusus. Beliau perah berkata kepada isterinya Fatimah binti Abdul Malik, yang ada memiliki seutas kalung berlian yang ditempah untuknya oleh ayahandanya (Abdul Malik) tiada bandingannya: “Pilihlah dinda pulangkan kalung ini ke Baitul Mal, atau izinkan kanda menceraikan adinda. Sesungguhnya kanda tidak sanggup melihatnya berada bersama kanda dalam sebuah rumah”. Jawab isterinya, “Dinda tetap memilih kanda biarpun kalung berlian itu berlipat kali gandanya lagi diambil dari kanda”. Lalu kalung itu dibawa dan disimpan dalam Baitul Mal menjadi hak kaum muslimin seluruhnya.
Setelah wafat Umar Abd Aziz, abangnya Yazid Abdul Malik pernah cuba memulangkan balik kalung adiknya tetapi dijawab oleh Fatimah: “Tidak! Demi Allah. Sesuatu yang adinda bertenang hati semasa hayatnya, tidak mungkin berubah hati selepas ketiadaannya”.
Umar Abd Aziz sebelum jadi khalifah pernah dibelikan untuknya pakaian berharga 1000 dinar dan apabila dipakainya dirasakan tidak selesa sama sekali walaupun mahal dan berkualiti. Tetapi setelah beliau jadi khalifah, dibelinya gamis (jubah) berharga 10 dinar dan beliau lebih merasakan selesa walaupun murah.
Begitulah sifat Umar Abd Aziz, seorang pemimpin yang sangat berkaliber bukan pada hartanya, tetapi pada akhlak dan budinya. Beliau telah wafat pada 720 M. Tidak hairanlah jika kubur Khalifah Bani Umayyah telah digali dan dibongkar pada zaman pemerintahan Abbasiyah kecuali kubur Umar Abd Aziz yang msih kekal dalam keadaan dipermuliakan dan diziarahi oleh ramai pengunjung dari segenap. Demikianlah menurut catatan Al-Mas’oodi.
#NastiaUmmah
RUJUKAN
1. Dr. Hassan Ibrahim Hassan, (1987), Sejarah Islam-Siri Kedua, Yayasan Islam Terengganu
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih