Masalah kes penyakit kemurungan yang digelar sebagai Unipolar Depression atau yang selalu kita dengar sebagai Major Depressive Disorder (MDD) merupakan salah satu penyakit yang sedang meningkat kekerapannya. Mengikut kajian, 1 daripada 5 orang remaja mempunyai penyakit ini, dan tanpa rawatan yang sebetulnya, penyakit ini hanya akan menyebabkan komplikasi-komplikasi yang memburukkan lagi keadaan.
Di Malaysia ini, saya dapati terdapat 3 jenis pesakit MDD yang telah disahkan oleh doktor bertauliah. Yang pertama adalah mereka yang mempunyai diagnosis dan sedang menerima rawatan seperti biasa. Yang kedua adalah mereka yang tidak ingin mendapatkan rawatan walaupun telah mengetahui kesan dan komplikasinya kerana takut dan yang ketiga adalah mereka yang telah mendapatkan rawatan, tetapi berhenti separuh jalan atas alasan mendapat kesan sampingan mahupun ubat yang diberikan oleh doktor dilabel sebagai ‘tidak berkesan’.
Hal ini amat merunsingkan kerana apabila mereka mendapati ubat yang diberikan itu ‘tidak berkesan’, mereka akan menyebarkan perkara ini dan tidak menggalakkkan pesakit lain untuk mendapatkan rawatan. Namun, mengapakah hal ini terjadi? Mengapakah mereka mendapati ubat antidepressants ini tidak berkesan? Jadi, dalam artikel kali ini, kita akan melihat apakah mitos-mitos yang timbul akibat daripada kesan pengambilan antidepressants.
- Antidepressants akan membuatkan anda gembira.
Pemahaman yang salah ini menjadi salah satu sebab mengapakah kebanyakkan pesakit berhenti mengambil ubat-ubatan antidepressants. Mereka menyangka antidepressants akan menyebabkan mereka gembira, dan menjadi sebagai salah satu ‘happy pills’ untuk mengubah mood mereka dengan dramatik. Terdapat beberapa jenis antidepressants yang berada di pasaran dan mempunyai kesan-kesan yang berlainan, namun tiada satu pun yang akan menyebabkan anda gembira dengan mendadak.
Ubat ini berfungsi sebagai satu cara untuk menstabilkan mood anda. Sekiranya ubat ini diambil oleh mereka yang normal dan tidak mempunyai MDD, tiada apa yang akan berlaku selain daripada keadaan mereka yang akan bertukar kepada ‘tiada perasaan’. Jangkaan ini silap, dan kebanyakkan antidepressants akan mengambil masa 5 – 7 hari untuk berfungsi, dan kesannya tidak dramatik seperti kesan dadah-dadah yang berbahaya seperti dadah jenis opioid dan benzodiazepine.
Oleh yang demikian, anda harus tahu, ubat ini akan meletakkan mood anda sebagai normal, dan tidak mudah merasai tertekan apabila menghadapi sesuatu stress.
- Antidepressants akan menjadikan anda seperi zombie
Kesan ubat ini kadangkala menyebabkan anda merasai seperti ‘numb’ dan tiada perasaan. Anda akan merasai bahawa anda tidak akan mempunyai apa-apa reaksi daripada segi perubahan perasaan sekiranya seseorang memarahi anda, atau sekiranya seseorang cuba membuatkan anda gembira. Hal ini benar seperti yang dilaporkan kepada beberapa pesakit dalam kajian yang dilakukan oleh beberapa jenis ubat.
Namun, kesan ini selalunya akan reda selepas seminggu daripada pengambilannya. Kesan ini adalah kerana badan dan otak anda akan mengambil masa untuk menstabilkan kadar kenaikkan satu jenis neurotransmitter yang dipanggil sebagai serotonin (serotonin selalunya rendah di dalam pesakit MDD) dan meletakkan anda merasakan seperti ini buat beberapa hari sahaja. Akan tetapi, sekiranya kesan ini berpanjangan dan melebihi daripada seminggu tarikh anda memulakan ubat, anda perlu memmberitahu doktor mengenainya.
Ini kerana mungkin ubat tersebut terlalu ‘potent’ dan tidak sesuai untuk anda mahupun dos yang diberikan terlalu tinggi. Keadaan ini perlu diberitahu dan daripada itulah, para doktor akan mengubah sedikit dos mahupun menukar ubat lain kepada anda.
- Antidepressants akan menyelesaikan masalah anda
Ramai antara pesakit yang tidak meneruskan rawatan memberitahu bahawa pengambilan ubat-ubatan ini tidak akan menyelesaikan masalah anda. Sudah tentu. Ubat ini adalah merupakan satu jenis rawatan sokongan kepada anda disamping dengan rawatan-rawatan lain seperti kaunseling, terapi dan sokongan rakan dan keluarga terdekat.
Saya bagi satu contoh. Sekiranya anda mengalami MDD kerana mempunyai masalah kewangan akibat tidak bekerja, anda tidak akan dapat mencari pekerjaan akibat gejala-gejala kemurungan yang menjadikan anda tidak berfungsi dengan betul daripada segi pemakanan dan tidur serta motivasi untuk anda meneruskan kehidupan. Jadi, pengambilan ubat-ubatan seperti ini akan memberi anda sedikit penggerak untuk mendapatkan pekerjaan dan menghantar resume anda ke beberapa tempat.
Hanya setelah anda bekerja, dan gejala MDD ini mulai reda barulah anda boleh sedikit demi sedikit mengurangkan dos ubat-ubatan. Secara mudahnya, ubat ini tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya, ubat ini akan membantu anda dari segi mood dan perasaan serta motivasi anda untuk menyelesaikan masalah yang anda hadapi.
- Antidepressants akan menggemukkan anda dan menyebabkan anda mati pucuk
Baik, jika kita lihat daripada kesan relatif, iaitu satu komplikasi itu dibandingkan dengan satu lagi komplikasi yang lebih buruk, anda akan dapati kesan kegemukkan dan mati pucuk ini jauh lebih tidak penting berbanding komplikasi-komplikasi yang lain.
Komplikasi daripada MDD yang paling menakutkan adalah kes membunuh diri. Hal ini biasanya adalah disebabkan oleh seseorang itu mulai gagal mencari jalan penyelesaian dan tanpa rawatan dan bimbingan yang betul, mereka akan melakukannya tanpa teragak-agak. Justeru, para doktor akan merawat seseorang pesakit disamping dengan cara rawatan lain seperti psychotherapy, cognitive behaviorial therapy dan kaunseling.
Jadi, kes bunuh diri ini, jika nak dibandingkan dengan kegemukkan dan mati pucuk ini adalah ibarat membandingkan 2 benda yang jauh kesan dan implikasinya. Secara mudah, ‘adakah seseorang itu lebih takut akan kegemukkan/mati pucuk daripada kecenderungan mereka untuk membunuh diri’?
Penambahan selera yang sering dikaitkan dengan pengambilan antidepressants pada asasnya berfungsi untuk merawat para pesakit MDD yang selalunya tidak mempunyai selera untuk makan dan akan menghadapi masalah kesihatan lain yang berkaitan dengan kekurangan vitamin dan zat badan mereka. Untuk mati pucuk pula, terminologi yang sebetulnya adalah erectile dysfunction (kemaluan gagal mengeras) yang akan bersifat sementara kebiasaannya.
- Antidepressants akan perlu diambil selama-lamanya dan anda harus bergantung dengannya untuk hidup
Seperti yang tertulis dalam point ke-3, pengambilan antidepressants ini sebenarnya bertujuan untuk membantu anda menyelesaikan masalah. Sekrianya anda mencapai tahap di mana, salah satu punca mengapa anda boleh depress itu mulai selesai (mendapat pekerjaan semula), para doktor akan menurunkan dos sedikit demi sedikit, dan akhirnya anda tidak perlu mengambil ubat-ubatan ini lagi.
Kebergantungan pada ubat juga tidak benar. Seperti mana ubat ini perlahan dalam menunjukkan kesannya (5 hingga 7 hari) dan kadangkala pesakit tidak akan perasan perubahan dalam badan mereka, begitulah juga apa yang berlaku apabila mereka tidak mengambil ubat ini.
Kesannya agak subtle, namun ini tidak bermakna anda boleh berhentui mengambil ubat ini sesuka hati. Para doktor harus menurunkan dos sedikit demi sedikit agar anda tidak melalui kesan withdrawal seperti kegelisahan dan insomnia (tidak boleh tidur).
Jadi, ini antara beberapa mitos dan misconceptions yang selalu difikirkan oleh masyarakat apabila disebut tentang rawatan MDD. Sedikit nota tambahan adalah mengenai rawatan islam. Baikllah, rawatan islam boleh dilakukan sejajar dengan rawatan perubatan yang diberikan oleh para doktor psikiatri.
Sebenarnya, apa yang paling penting bagi pesakit adalah untuk mereka cuba melakukan sesuatu perkara dengan lebih berdisiplin seperti amalan solat SELEPAS mereka telah mendapatkan rawatan daripada doktor. Tanpa rawatan ubat-ubatan dan kaunseling, dan dengan keadaan mental mereka yang masih bergelora, adalah tidak betul sekiranya kita mahu memaksa mereka untuk solat mahupun membaca Al-Quran.
Seseorang yang mengalami MDD yang teruk adakalanya tidak ingin bergerak, tidak ingin makan dan ‘self-hygiene’ mereka tidak terurus, Adalah tidak betul sekiranya kita mahu mereka untuk memperbanyakkan solat sedangkan mereka tidak berfungsi seperti orang biasa pun. Justeru, mood dan perasaan mereka perlu diperbetulkan dengan bantuan ubat-ubatan mahupun kaunseling, dan selepas itulah, barulah sesuai untuk kita merawat menerusi perubatan Islam.
Juga, pastikan anda mendapatkan rawatan Islam daripada pusat-pusat rawatan yang diiktiraf. Saya pernah berjumpa pesakit yang keluarga mereka membelanjakan puluhan ribu ringgit ke seorang ‘bomoh Islam’ yang berakhir dengan pesakit tersebut membunuh diri, dan kes-kes sebegini adalah agak common dikalangan masyarakat kita. Oleh itu, dapatkan rawatan yang bersesuaian dengan keadaan pesakit.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih