Lima Maharaja Baik merupakan suatu istilah yang merujuk kepada sekumpulan maharaja Rom yang memerintah pada kurun pertama dan kedua Masihi. Era ini sering dianggap sebagai era kemuncak Empayar Rom, memandangkan kemewahan dan kekuasaan yang dikecapi oleh mereka berlangsung tanpa gugat selama lebih 80 tahun. Walau bagaimanapun, pada era ini jugalah munculnya tanda-tanda kemunduran dalam empayar berkenaan, yang kemudiannya menyumbang kepada kejatuhan Empayar Rom.
SIAPAKAH LIMA MAHARAJA BAIK?
Maharaja-maharaja yang tergolong dalam kumpulan ini adalah Nerva, Trajan, Hadrian, Antoninus Pius, dan Marcus Aurelius. Lima Maharaja Baik juga kadangkala dikenali sebagai Dinasti Nerva-Antonine. Hanya Nerva seorang sahaja yang diangkat sebagai maharaja oleh para pembvnuh Domitian. Empat maharaja yang lain masing-masing menaiki takhta setelah diambil sebagai anak angkat oleh para pendahulu mereka, justeru mereka bukanlah anak gahara dan tidak mempunyai sebarang hubungan darah kekerabatan.
‘Dinasti Nerva’ terdiri daripada Nerva, Trajan, dan Hadrian; manakala Dinasti Antonine pula melibatkan Antoninus Pius dan Marcus Aurelius. Sebagai nota tambahan, Dinasti Antonine ini juga merangkumi Lucius Verus, saudara angkat kepada Marcus dan juga Commodus, anak kandung Marcus.
Maharaja pertama dalam kalangan Lima Maharaja Baik adalah Nerva, yang ditabalkan sebagai maharaja sesudah berlakunya pembvnuhan Domitian pada tahun 96 Masihi. Ketika menaiki takhta, Nerva sudah pun berusia 66 tahun dan makanya beliau tidak dijangka akan memerintah lama. Pemerintahan singkat beliau yang berlangsung hanya selama 15 bulan memaksudkan bahawa beliau tidak mempunyai masa yang cukup untuk memberikan sumbangan signifikan terhadap empayar, tidak seperti Maharaja-Maharaja Baik yang lain.
Apapun, dengan sanggup menerima takhta daripada Domitian, Nerva secara efektif menghindarkan empayar dari terjerumus ke dalam kancah p3rang saudara sebagaimana yang pernah berlaku sebelumnya, iaitu pada tahun 69M yakni ketika kemangkatan Nero. Keamanan yang dikecapi oleh Nerva dilanjutkan lagi apabila beliau dengan bijak mengambil Trajan sebagai anak angkat dan menamakannya sebagai pewaris.
PERLUASAN WILAYAH DAN PENEGUHAN KUASA
Era Lima Maharaja Baik memperlihatkan betapa Empayar Rom mengecapi kemuncak perluasan wilayah. Pemerintahan Trajan yang berjalan selama 19 tahun, yakni pada tahun 98 hingga 117M, menyaksikan sejumlah kempen ketenteraan dilancarkan di Timur. Pada tahun 101M, Trajan menyerang Dacia buat kali pertama, sebelum kedua menyusul pada tahun 105M.
Rom meraih kemenangan dalam kempen tersebut dan kejayaan Trajan ini diabadikan dalam sebatang tiang yang dikenali sebagai Tiang Trajan. Beliau kemudian memerangi pula Parthia dan berjaya menjarah ibu kotanya, iaitu Ctesiphon (al-Mada’in). Selain itu, pada era Trajan ini jugalah Rom menguasai Kerajaan Nabataea, Armenia dan Mesopotamia.
Walau bagaimanapun, tugas untuk memperteguhkan kekuasaan empayar diserahkan kepada pewaris Trajan, iaitu Hadrian yang memerintah selama 21 tahun, iaitu dari tahun 117M hingga 138M. Menyedari kesukaran untuk mempertahankan wilayah-wilayah yang dit4kluki oleh Trajan, Hadrian mengambil keputusan untuk melepaskan Armenia dan Mesopotamia.
Dasar pentadbiran beliau juga berbeza dengan Trajan yang meletakkan prestij Rom pada pencapaian ketenteraan. Hadrian lebih cenderung membangunkan infrastruktur wilayah-wilayah naungan Rom. Tumpuan yang dicurahkan oleh Hadrian terhadap wilayah kekuasaannya dapat dilihat dengan ketara apabila beliau mengunjungi hampir setiap wilayah Rom semasa era pemerintahannya.
Pun begitu, sosok Hadrian tidaklah begitu disenangi oleh Senat. Sesudah kemangkatannya, beliau malah tidak dikurniakan darjah kebesaran sehingga penggantinya, iaitu Antoninus Pius terpaksa memujuk Senat agar memberikan penghormatan dan gelaran ‘Pius’ kepada mendiang bapa angkatnya itu. Antoninus Pius memerintah selama 23 tahun, iaitu dari 138M hingga 161M. Pemerintahannya berlangsung aman tanpa sebarang pep3rangan mahupun pemberontakan besar berlaku.
BERAKHIRNYA ERA LIMA MAHARAJA BAIK
Takhta Antoninus Pius diwarisi oleh anak-anak angkatnya, iaitu Marcus Aurelius dan Lucius Verus yang memerintah secara bersama. Setelah Verus mangkat pada tahun 169M, Marcus secara langsung diangkat sebagai pemerintah tunggal Empayar Rom. Berkurun-kurun sesudah kemangkatannya, Marcus terus dipandang tinggi dan beliau sering dianggap sebagai maharaja ideal. Sememangnya, Marcus merupakan seorang pentadbir yang cekap dan masyhur dengan pandangan falsafahnya.
Namun, era pemerintahannya yang berlangsung selama 19 tahun, iaitu dari tahun 161M hingga 180M, menyaksikan berlakunya beberapa konflik. Misalnya pada tahun beliau menaiki takhta, Parthia menyerang Syria.
Walaupun pep3rangan tersebut berjaya dimenangi oleh Rom, tentera-tentera mereka pulang dengan membawa wabak. Pandemik yang dikenali sebagai Wabak Antonine itu secara efektif menjejaskan empayar dari tahun 165M hingga 180M. Selain itu, Marcus juga terpaksa menangani s3rangan suku-suku Jerman di sempadan Danube.
Walau bagaimanapun, kesilapan terbesar Marcus sebagai seorang maharaja adalah keputusannya untuk mewariskan takhta kepada anak kandungnya sendiri, iaitu Commodus. Tidak seperti Marcus dan Maharaja-Maharaja Baik yang lain, Commodus dikenang oleh sejarah sebagai seorang tirani.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih