Atlantis merupakan yang tenggelam ke dasar laut dan hilang buat selamanya. Walaupun ia dianggap kisah yang paling masyhur, kisah Atlantis tidaklah berdiri sendirian kerana tamadun-tamadun lain juga mempunyai legenda yang sama, di mana daratan luas ataupun kota megah hilang ditelan ombak besar, hilang dimamah padang pasir, ataupun hilang di sebalik litupan hutan tebal. Bermula daripada kota Aztec purba hingga ke kota-kota emas, kali ini kita bakal meninjau lima buah kota legenda yang lokasi kewujudannya belum pernah ditemui.

PERCY FAWCETT DAN KOTA Z

Semenjak orang Eropah buat pertama kalinya sampai di Dunia Baru, tersebar legenda berkenaan kota emas yang terselindung di sebalik rimba tebal. Kadangkala, kota ini dipanggil sebagai El Dorado. Francisco Orellana, seorang conquistador dari Sepanyol, merupakan individu pertama yang berpetualangan di Rio Negro demi mencari kota legenda itu. Pada tahun 1925, Percy Fawcett, seorang lagi peneroka Eropah yang ketika itu berusia 58 tahun berangkat ke hutan Brazil demi mencari kota yang dipanggilnya sebagai ‘Z’. Nasib beliau dan pasukannya berakhir dengan hilang tanpa jejak. Walaupun misi demi misi dilancarkan demi menyelamatkan mereka, Fawcett tidak dapat ditemui.

Pada tahun 1906, Royal Geographical Society, iaitu sebuah organisasi British yang membiayai ekspedisi-ekspedisi saintifik, menjemput Fawcett untuk menyertai projek tinjauan di sempadan Brazil-Bolivia. Beliau meluangkan sehingga 18 bulan di Mato Grosso dan sewaktu menyertai ekspedisi-ekspedisi itulah minatnya terhadap tamadun-tamadun yang hilang semakin membara.

Pada tahun 1920, Fawcett menjumpai sebuah dokumen di Perpustakaan Kebangsaan Rio de Janeiro yang dinamakan sebagai Manuskrip 512. Manuskrip ini ditulis oleh seorang peneroka Portugis pada 1753. Di dalamnya, beliau mendakwa pernah menemui sebuah kota bertembok di pedalaman hutan Amazon di Mato Grosso, yang rupa bentuknya menyamai kota Yunani purba.

Manuskrip ini memerincikan tentang sebuah kota yang ditatahi barangan perak. Bangunan-bangunannya berdiri megah dengan tingkat berganda, dilengkapi dengan lengkungan-lengkungan batu bersaiz besar, dan rangkaian jalan yang menebar luas menuju ke sebuah tasik. Di tasik tersebut, peneroka Portugis itu menyaksikan kelibat dua orang asli yang sedang berada di atas sebuah kanu. Fawcett menamakan kota ini sebagai Kota Z Yang Hilang.

Pada tahun 1921, Fawcett memulakan ekspedisi pertamanya demi mencari kota legenda itu. Namun, pasukannya kerapkali berhadapan dengan ranjau; rimba yang tebal, binatang buas, dan wabak penyakit. Pencarian terakhir Percy memuncak dengan kehilangannya. Pada April 1925, beliau membuat cubaan terakhir untuk mencari lokasi Z, kali ini dengan kelengkapan yang lebih baik dan kewangan yang dibiayai oleh akhbar dan pertubuhan ternama seperti Royal Geographic Society dan Rockefeller.

Dalam surat terakhir beliau, yang dititipkan kepada salah seorang ahli pasukannya, Fawcett mengirimkan pesanan kepada isterinya Nina dan menyatakan, “Kami berharap dapat melepasi daerah ini dalam tempoh beberapa hari… kamu janganlah takut jika kami gagal.” Itulah khabar terakhir yang diterima daripada Fawcett.

Walaupun Kota Z Yang Hilang langsung tidak pernah ditemui, beberapa buah kota dan tapak keagamaan purba berjaya ditemukan sepanjang tahun kebelakangan. Lokasi penemuan tersebut melibatkan hutan Guatemala, Brazil, Bolivia, dan Honduas. Dengan kewujudan teknologi imbasan yang canggih, diharapkan Kota Z dapat ditemui suatu hari nanti.

KOTA AZTLAN – TANAH AIR TAMADUN AZTEC

Warga Aztec dari Mexico mengasaskan salah sebuah empayar paling berpengaruh di Mesoamerika. Walaupun banyak maklumat yang diketahui perihal empayar mereka yang berpangkalan di Mexico City, sejarah awal tamadun Aztec masih kabur. Ramai yang menganggap Pulau Aztlan yang telah lama hilang itu sebagai kampung halaman Aztec, di mana di situlah mereka membina tamadun sebelum berpindah ke Lembah Mexico. Ada juga yang mendakwanya sebagai tanah mitos, sama seperti Atlantis mahupun Camelot. Pencarian demi pencarian Kota Aztlan sudah pun dilakukan, melibatkan Mexico Barat hingga ke padang Utah. Namun, kesemua usaha itu tidak menemui hasil.

Sejarah pembentukan tamadun Aztec di Kota Aztlan boleh ditemui dalam sebuah legenda. Menurut legenda Nahuatl, terdapat tujuh suku yang pernah hidup di Chicomoztoc (“tujuh buah gua”). Suku-suku ini mewakili kumpulan penutur bahasa Nahua; iaitu Acolhua, Chalca, Mexica, Tepaneca, Tlahuica, Tlaxcalan, dan Xochimilca (variasi nama ini bergantung sumber yang dirujuk). Tujuh kumpulan masyarakat yang menuturkan bahasa yang sama ini kemudiannya meninggalkan gua masing-masing dan mendiami sebuah kawasan yang terletak berhampiran Aztlan.

Perkataan Aztlan membawa maksud ‘tanah utara’, atau ‘tanah tempat kami, Aztec, berasal’. Masyarakat Aztec kemudian berpindah dari Aztlan menuju ke Lembah Mexico. Perpindahan ini dianggap sebagai peristiwa penting dalam sejarah Aztec. Ia berlaku pada tanggal 24 Mei 1064, iaitu tahun solar pertama bagi kalendar Aztec.

Sehingga kini, kewujudan Pulau Aztlan masih belum dapat dipastikan. Ramai yang cuba mencari pulau tersebut demi memperoleh kefahaman lanjut tentang sejarah asal-usul Aztec. Namun, sama seperti kota-kota legenda yang lain, kebarangkalian untuk menemukan Aztlan hampir mustahil.

LYONESSE– KOTA LEGENDA YANG TENGGELAM DI DASAR LAUT

Dalam legenda Arthur, Lyonesse merupakan kampung halaman Tristan, iaitu watak dalam legenda Tristan dan Iseult. Lyonesse dipercayai telah tenggelam ke dasar laut. Namun di dalam legenda Tristan dan Iseult, kota Lyonesse ternyata mempunyai kisah kegemilangannya yang tersendiri. Walaupun kota ini sering dianggap sebagai legenda ataupun mitos, ada juga pihak yang meyakini bahawa ia sememangnya sebuah kota yang pernah wujud di zaman dahulukala. Pun begitu, sukar bagi kita untuk memastikan yang mana legenda dan yang mana fakta berkenaan kota Lyonesse.

Terdapat beberapa versi legenda yang menyelubungi tanah ini. Sebelum ia tenggelam, tanah Lyonesse agak besar sehingga mampu memuatkan sebanyak 140 buah kampung dan gereja. Lyonesse dipercayai hilang dari muka bumi pada tanggal 11 November 1099 (ada versi menyebutkan tarikh 1089, dan ada pula yang menariknya sehingga kurun ke-6).

Apapun, dikisahkan bahawa tanah ini ditenggelami laut secara tiba-tiba. Sebilangan pihak menyatakan bahawa Lyonesse dahulunya bercantum dengan Kepulauan Scilly di Cornwall, England. Bukti saintifik juga mendapati paras laut di sana agak rendah pada masa dahulu, justeru ada kemungkinan wujud petempatan manusia di kawasan berkenaan.

Sememangnya, nelayan-nelayan yang menetap berhampiran Kepulauan Scilly pernah menceritakan bagaimana jaring nelayan mereka pernah menangkap kepingan bangunan dan puing-puing runtuhan. Apapun, dakwaan sebegini belum didokong oleh sebarang bukti, justeru ada yang menyimpulkannya sebagai dongengan semata-mata.

PENCARIAN EL DORADO – KOTA EMAS YANG HILANG

Ratusan tahun lamanya, pemburu harta-karun dan sejarahwan giat mencari El Dorado, sebuah kota emas yang hilang. Bayangan tentang kewujudan sebuah kota yang dipenuhi emas dan segala perbendaharaan sememangnya mempunyai daya tarikan yang tersendiri, sehingga berupaya menggamit perhatian warga dunia yang bertungkus-lumus mahu menemukannya. Walaupun banyak ekspedisi pencarian telah dilakukan di seluruh Latin Amerika, kota emas tersebut kekal menjadi sebuah legenda tanpa dapat dibuktikan kewujudannya.

Kisah El Dorado berasal-usul dari legenda suku Muisca. Setelah melakukan perpindahan sebanyak dua kali – kali pertama pada 1270 SM dan kali kedua pada 800-500 SM, suku Muisca menempati Cundinamarca dan Boyaca yang terletak di Colombia. Menurut legenda yang dicatatkan oleh Juan Rodriguez Freyle di dalam El Carnero, suku Muisca mengamalkan sebuah ritual bagi setiap raja yang baru dilantik, di mana ritual ini melibatkan debu emas dan barangan berharga lain.

Ketikamana raja baru ditabalkan, banyak ritual dilangsungkan sebelum si raja dibenarkan untuk mentadbir kerajaan. Dalam salah sebuah ritual berkenaan, raja akan dibawa ke Tasik Guatavita. Di sana, si raja akan ditelanjangkan dan dilumur dengan debu emas. Raja kemudian akan dinaikkan di atas sebuah rakit yang dihias indah, dengan diiringi oleh sebuah rombongan, longgokan emas dan batu berharga yang banyak jumlahnya.

Rakit tersebut seterusnya akan dibawa ke tengah tasik, di mana raja akan membersihkan debu emas yang melumuri tubuhnya sambil rombongannya pula melempari emas dan batu-batu berharga yang dibawa ke dalam tasik. Ritual ini bertujuan sebagai sembah korban buat dewa sembahan suku Muisca. Bagi mereka, El Dorado bukanlah nama yang merujuk kepada kota, tetapi istilah yang diberikan kepada raja yang menjadi watak utama ritual tersebut.

Pada tahun 1534, dua orang conquistador yang bernama Lazaro Fonte dan Hernan Perez de Quesada masing-masing cuba mengeringkan Tasik Guatavita. Semasa melakukan projek tersebut, mereka menemui longgokan emas di tebing tasik. Penemuan ini membuatkan mereka mengesyaki wujud khazanah yang jauh lebih besar di dasar tasik. Usaha pengeringan tasik dilakukan selama tiga bulan, namun tidak berhasil mongering-kontangkannya sekaligus tiada harta-karun yang dapat ditemui.

Seterusnya pada tahun 1580, satu lagi cubaan untuk mengeringkan Tasik Guatavita dilakukan, kali ini oleh seorang usahawan yang bernama Antonio de Sepulveda. Sama seperti sebelumnya, beliau turut menemui kepingan emas di tebing tasik. Namun, harta-karun yang kononnya terdampar di dasar tasik tidak dapat dijumpai.

 Pencarian demi pencarian terus dilakukan di Tasik Guatavita, dengan pihak yang terlibat menganggarkan tasik itu menyimpan longgokan emas yang bernilai $300 juta. Sepertimana yang diduga, kesemua cubaan tersebut pulang dengan tangan kosong. Segala usaha pencarian akhirnya terhenti apabila kerajaan Colombia mewartakan tasik itu sebagai kawasan lindungan pada tahun 1965. Apapun, pencarian El Dorado masih tetap berjalan tanpa melibatkan Tasik Guatavita.

KOTA DUBAI YANG HILANG – SEJARAH TERSEMBUNYI

Dubai sememangnya masyhur dengan seni bina agung dan kekayaan yang melimpah-ruah. Namun, padang pasirnya menyimpan seribu satu kisah yang dilupakan. Salah sebuah kota di Tanah Arab yang paling masyhur – sejarah mengetahui tentang kewujudannya menerusi rekod bertulis, namun tidak berjaya menemukan lokasinya – adalah kota Julfar yang diyakini wujud pada zaman pertengahan.

Kota ini merupakan kampung halaman bagi pelaut legenda Arab, Ahmed ibn Majid, dan juga watak fiksyen masyhur, Sindbad si Pelayar. Julfar berdiri dengan megah selama seribu tahun sebelum akhirnya tumbang dan sirna dari ingatan manusia selama hampir dua kurun. Tidak seperti kota-kota di padang pasir yang lain, Julfar merupakan kota pelabuhan yang maju. Bahkan, ia juga berfungsi sebagai hub perdagangan di selatan Teluk Arab pada Zaman Pertengahan.

Julfar dipercayai terletak di suatu tempat di pantai utara Teluk Parsi, Dubai. Namun, tapak sebenarnya hanya ditemui oleh arkeologi pada 1960an. Kesan-kesan petempatan terawal di tapak berkenaan berusia dari kurun ke-6 Masihi, iaitu masa di mana para penghuninya sudah pun berdagang jauh hingga ke India dan Timur Jauh. Kurun ke-10 hingga kurun ke-14 merupakan zaman kegemilangan Julfar secara khusus dan perdagangan-jarak-jauh bagi bangsa Arab secara umum.

Pada tempoh ini, para pelaut mereka lazim mengembara mengelilingi dunia. Ada yang berlayar ke Eropah jauh lebih awal berbanding orang Eropah berjaya meneroka Lautan Hindi dan Teluk Parsi. Para pedagang Arab secara rutin melakukan perlayaran meredah samudera hingga ke tanah China dengan membawa segala macam barang dagangan.

Sebagai pangkalan utama bagi perlyaran dan perdagangan tersebut, Julfar adalah kota terbesar dan terpenting di Teluk selatan selamaa lebih seribu tahun. Berikutan statusnya sebagai pusat komersial, Julfar menarik perhatian negara-negara seteru. Pada kurun ke-16, Julfar yang ketika itu dihuni oleh kira-kira 70 000 orang warga dikuasai oleh Portugis.

Sekurun kemudian, Parsi pula yang menaklukinya sebelum ia jatuh ke tangan suku Qawasim dari Sharjah pada tahun 1750. Suku tersebut kemudiannya menubuhkan entiti politik yang tersendiri di Ras al-Khaimah. Kekuasaan mereka masih berlangsung sehingga ke hari ini, sambil Julfar sendiri kian lama kian luput dari memori manusia dan kegemilangannya tertimbus di sebalik pepasir Dubai.

TERJEMAHAN:

April Holloway. (2 November 2015). Five Legendary Lost Cities that have Never Been Found. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/unexplained-phenomena/five-legendary-lost-cities-have-never-been-found-004407


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.