Belajar tentang Nabi Muhammad ﷺ itu ada 5 pecahan ilmunya yang semuanya terkait dengan syari’at yang Baginda bawakan. Bagaimana hendak memahami syari’at sekiranya tidak mengenali pembawanya, bukan?
1. Syamāil (الشمائل)
Iaitu ilmu berkenaan mengetahui keperibadian Rasulullah ﷺ yang memberi manfaat supaya diketahui akan haramnya perbuatan menggambarkan Rasulullah ﷺ dengan lukisan, apatah lagi dengan lakaran-lakaran yang jelik.
Kepentingan lain dalam mempelajari Syamāil, adalah supaya dapat menangkis kebohongan mereka yang mendakwa berjumpa dengan Rasulullah ﷺ tetapi menggambarkan Baginda dengan sifat-sifat yang tidak benar.
Kepentingan belajar Syamāil yang ketiga adalah supaya diketahui sisi-sisi kemanusiaan Rasulullah ﷺ, tetapi dalam masa yang sama tahu di mana kedudukan Baginda sebagai seorang utusan Allah berdasarkan ciri-ciri yang terdapat pada diri Baginda ﷺ.
2. Khaṣāiṣ (الخصائص)
Setelah kita kenal sisi kemanusiaan Rasulullah ﷺ dalam Syamāil maka ada berberapa hal yang perlu diketahui berkenaan kekhususan serta keistimewaan yang hanya berlaku pada Rasullulah ﷺ tetapi tidak sama hukumnya buat umat Baginda.
3. Faḍāil (الفضائل)
Dari sini kita akan lebih mengenali kelebihan dan keutamaan Nabi Muhammad ﷺ sebagai penutup kenabian serta keunggulan Baginda atas sekalian utusan Allah yang lain bahkan ketinggian kedudukan Baginda atas sekalian makhluk.
4. Dalāil ( الدلائل)
Dalāil pula perbahasan tentang perkara-perkara mencarik adat serta membingungkan akal daripada apa yang dikurniakan Allah sebagai mukjizat buat Nabi Muhammad ﷺ sebagai bukti kenabian dan kerasulan Baginda.
5. Sīrah ( السيرة)
Riwayat hidup Baginda seluruhnya.Daripada kelahiran sehingga perpindahan Baginda dari alam dunia ke alam Barzakh.Kebanyakan pelajaran lain berkenaan syari’at yang dibawa Baginda terkandung dalam sirah tanpa menafikan seluruh ilmu lain di atas.




No comments yet