Sejarah telah menyaksikan kebangkitan dan kejatuhan banyak empayar di dunia. Kebanyakan empayar ini memberikan pengaruh dan kesan pada skala setempat dan bahkan skala dunia. Sebilangan empayar boleh dikatakan lebih ‘hebat’ berbanding yang lain. Namun, ‘kehebatan’ ini bukanlah satu aspek yang boleh dicirikan secara mudah, memandangkan terdapat pelbagai faktor yang perlu dipertimbangkan.
Antara faktor lazim yang sering dipertimbangkan adalah saiz wilayah dan tempoh kekuasaan sesebuah empayar. Selain itu, sumbangan empayar tersebut terhadap bidang kesenian dan sains (keilmuan) di samping kekuatan ekonominya juga diambil kira.
Walaupun kelihatan rumit, artikel kali ini cuba untuk menyenaraikan lima buah empayar terhebat yang pernah wujud dalam sejarah.
EMPAYAR BRITISH
Dalam senarai empayar ‘terhebat’, tidak lengkap kalau tiada nama Empayar British. Hal ini kerana empayar tersebut merupakan empayar yang paling besar pernah wujud dalam sejarah manusia. Pada zaman kemuncaknya, wilayah kekuasaan empayar ini secara keseluruhannya berkeluasan 35.5 juta kilometer persegi, atau hampir suku dari saiz daratan bumi. Rakyat yang bernaung di bawah pemerintahannya pula mencecah lebih 500 juta orang, yang mana angka ini hampir meliputi satu perempat populasi dunia pada waktu itu.
Salah satu pengaruh yang ditinggalkan oleh Empayar British pada dunia moden adalah penggunaan Bahasa Inggeris secara meluas sebagaimana yang dapat kita lihat pada hari ini. Pun begitu, antara yang menyumbang kepada penggunaan bahasa ini secara meluas adalah kebangkitan Amerika Syarikat sebagai adikuasa dunia selepas tamatnya P3rang Dunia Kedua.
EMPAYAR MONGGOL
Walaupun Empayar British adalah yang paling besar dalam sejarah manusia, status empayar bersempadan terbesar jatuh pada Empayar Monggol. Bermula dari Steppe Monggol, Genghis Khan memulakan kempen men4kluk dunia. Perluasan kuasa Empayar Monggol diteruskan oleh anak cucunya. Pada zaman kemuncak empayar ini, wilayahnya terbentang dari China di sempadan timur hingga ke Hungary di sempadan barat.
Tidak seperti Empayar British, Monggol tidak memanfaatkan kemajuan teknologi untuk membolehkan mereka mentadbir empayar yang begitu luas ini. Lantaran itu, Empayar Monggol kemudian berpecah menjadi entiti-entiti kecil. Empayar Monggol terkenal dengan kebengisan dan kekejaman mereka. Walau bagaimanapun, salah satu pencapaian mereka adalah pembunaan semula Laluan Sutera yang menghubungkan antara China dan Eropah.
EMPAYAR ROM
Walaupun Empayar British dan Empayar Monggol masing-masing dikenali sebagai empayar paling besar dalam sejarah manusia, masing-masing tidak bertahan lama.
Status ini diambil oleh Empayar Rom (seandainya kita menerima Empayar Byzantine sebagai sebahagian daripada Empayar Rom). Empayar ini ditubuhkan pada tahun 27SM menerusi pertabalan Augustus. Kekuasaannya berakhir pada tahun 1453M dengan ditandai oleh tumbangnya Konstantinopel di tangan Uthmaniyah.
Sebagai kepilan fakta, kekuasaan Empayar Rom di bahagian baratnya berakhir pada kurun ke-5M dan Empayar Byzantine pula pernah terbubar secara sementara pada kurun ke-13 berikutan P3rang Salib Keempat.
Apapun, Empayar Rom tetap merupakan empayar yang bertahan selama hampir satu milenium setengah. Tanpa dapat dinafikan, tamadun Rom meninggalkan pengaruh yang begitu besar pada lanskap sejarah Eropah, Asia dan Afrika.
KEKHALIFAHAN UMAYYAH
Sebuah lagi empayar yang namanya perlu ada di dalam senarai ‘empayar terhebat dalam sejarah dunia’ adalah Kekhalifahan Umayyah, yang merupakan kekhalifahan kedua dari empat kekhalifahan yan ditubuhkan selepas kewafatan Nabi Muhammad.
Pada zaman kemuncaknya, iaitu sekitar kurun ke-7M, wilayah kekuasaan Kekhalifahan Umayyah meliputi kawasan seluas 11.1 juta kilometer persegi, dan ia mentadbir hampir satu pertiga populasi dunia.
Salah satu sumbangan paling signifikan empayar ini kepada sejarah dunia adalah penyebaran agama Islam secara meluas sehingga agama tersebut diperakui sebagai salah sebuah agama utama dunia. Malah, Kekhalifahan Umayyah sering dianggap sebagai Zaman Keemasan Islam berikutan banyak sumbangan dalam bidang seni dan sains (ilmu) dilakukan oleh ahli-ahli intelek dari zaman itu.
EMPAYAR ACHAEMENID
Empayar terakhir yang melengkapkan senarai ini adalah Empayar Achaemenid. Empayar tersebut merupakan empayar paling besar di zaman purba. Berlokasi di Iran moden, para pemerintah Achaemenid memerintah empayar yang luasnya hampir mencecah 8 juta kilometer persegi dan rakyatnya pula berjumlah hampir seramai 49.4 juta orang.
Selain saiznya yang besar, Empayar Achaemenid juga dianggap sebagai empayar global pertama dalam sejarah memandangkan ia merupakan empayar pertama yang berkuasa di tiga benua berbeza, iaitu Asia, Eropah dan Afrika.
Tambahan lagi, kebanyakan tamadun maju pada waktu itu seperti Babylon, Mesir dan Lydia diserap ke dalam empayar ini sekaligus membuktikan keampuhan pasukan tenteranya. Di bawah pemerintahan Empayar Achaemenid, Timur Tengah berpeluang menikmati zaman keamanan dan keharmonian yang berpanjangan selama 200 tahun, di mana hakikat ini sendiri boleh dianggap sebagai suatu pencapaian yang besar.
TERJEMAHAN:
Wu Mingren. (10 April 2017). Five of the Most Powerful and Influential Empires of the Ancient World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/five-most-powerful-and-influential-empires-ancient-world-007874
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih