Sebut saja kisah 47 Ronin, ramai membayangkan filem dengan tajuk sama yang ditayangkan pada 2013. Filem yang mengetengahkan kisah sebenar 47 samurai tak bertuan membalas de.nd.am terhadap pembu.n.uh tuan mereka bagaimanapun gagal mencatat kutipan memuaskan. Sebabnya mudah, terlalu banyak fokus kepada protagonis Kai (Keanu Reeves) dan bukannya ketua 47 ronin itu, Oishi (Hiroyuki Sanada).
Yang pasti, kisah mereka terus menarik perhatian ramai sehingga hari ini. Salah satu versi kisah ini dibawa ke Barat menerusi versi yang diceritakan oleh A. B. Mitford menerusi koleksi antologi cerita pendek Jepun bertajuk Tales of Old Japan (1871).
Secara ringkas, kisah ini bermula pada tahun 1701 apabila dua daimyo iaitu Asano Naganori (Ako) dan Kamei Korechika (Tsuwano) diarah membuat persiapan untuk menyambut duta-duta maharaja ketika itu, Maharaja Higashiyama. Kesemua persiapan mereka dipantau oleh seorang daimyo berpengaruh semasa era Shogun Tsunayoshi Tokugawa, Kira Yoshinaka.
Terdapat pelbagai versi mengapa Kira bersikap dingin terhadap mereka. Ada mengatakan ia didorong oleh nilai hadiah yang tidak seberapa atau tiada rasuah yang diberi kepadanya. Ada juga mengatakan keperibadian buruk Kira membuatkan Asano kurang senang memandangkan beliau merupakan penganut Confucianisme. Ada pula mengatakan daimyo Ako itu tidak memahami siapa daimyo yang dipercayai Tsunayoshi, dalam kes ini Kira.
Yang pasti, Kamei mendapat layanan baik selepas membayar sejumlah rasuah terhadap pembesar itu. Bagaimanapun, keengganan Asano melakukan perkara sama mengundang kemarahan Kira sekaligus mendorongnya mengeluarkan kata-kata berbaur penghinaan kepadanya. Akibatnya, daimyo Ako itu mengeluarkan sebilah wakizashi dengan tujuan membu.n.uh bangsawan korup itu tetapi berjaya dihalang oleh pengawal-pengawal istana di Edo.
Asano membuat kesilapan besar dengan mengeluarkan sen.ja.ta berkenaan dari sarungnya. Ini kerana tindakan sebegitu di Istana Edo (kediaman rasmi Keshogunan Tokugawa) dianggap satu kesalahan besar dan pelaku boleh dikenakan hukuman ma.ti.
Ini mengakibatkan Asano diarah menjalani upacara seppuku. Tsunayoshi turut mengarahkan semua harta dan tanah milik beliau dirampas, keluarganya ditempatkan di wilayah lain dan para samurai yang berkhidmat dengannya diisytiharkan sebagai ronin. Beliau turut menegaskan sebarang usaha membalas de.nd.am terhadap Kira adalah dilarang sama sekali. Kesemua arahan ini dilaksanakan oleh samurai kepercayaan Asano, Oishi atau nama penuhnya Oishi Kuranosuke.
Daripada 300 orang ronin, 47 ronin memilih masa sesuai untuk membalas de.nd.am. Sementara menanti masa untuk berbuat demikian, ada yang berpura-pura bekerja sebagai petani, pedagang atau artisan. Ada juga yang pura-pura gila atau jadi kaki botol untuk mengelak dikesan oleh pengintip-pengintip Kira.
Selepas diyakinkan oleh para pengintipnya bahawa orang-orang Asano tidak lagi mengan.ca.m kedudukannya, kawalan keselamatan mula dilonggarkan. Di sebalik semua laporan itu, Kira tahu lambat-laun mereka akan membalas de.nd.am terhadapnya.
Pada Disember 1702, 47 ronin melancarkan se.ra.ngan ke atas Kira di kediamannya di Edo. Bagi mengelak pertumpahan da.r.ah orang awam, ronin-ronin ini memberitahu jiran-jirannya bahawa ini merupakan se.ra.ngan balas de.nd.am. Jiran-jiran Kira yang memang tidak menyukainya memilih untuk tidak berbuat apa-apa dan membiarkan se.ra.ngan berlaku.
Selepas puas mencari kelibat Kira, akhirnya Oishi dan orang-orangnya berjaya menemui sasaran mereka. Tidak seperti pertarungan sengit Kira-Oishi dalam 47 Ronin, kisah ini memperlihatkan pembesar shogun itu merasa kecut perut dan pasrah menerima takdir yang menanti. Kepala Kira kemudiannya dipen.gg.al oleh para ronin menggunakan pe.da.ng sama digunakan Asano untuk upacara seppuku.
Sebaik saja orang ramai mendapat tahu apa yang berlaku, ramai memuji keberanian dan kehormatan mereka. Bagaimanapun, ini mengundang masalah terhadap Tsunayoshi. Ini kerana mereka telah melanggar arahan untuk tidak membalas de.nd.am tetapi mengikut prinsip Bushido semasa melakukannya. Selain itu, orang ramai turut menggesa shogun agar bersikap belas kasihan dan mengambil kira perlakuan mereka semasa se.ra.ngan.
Akhirnya, Tsunayoshi memutuskan kesemua 47 ronin yang terlibat dihukum ma.ti tetapi dengan cara seppuku. Tidak seperti digambarkan dalam 47 Ronin, anak Oishi iaitu Chikara turut diarah melakukan seppuku dan tidak dibebaskan seperti dalam filem. Dalam kalangan mereka, dialah yang paling muda iaitu 15 tahun semasa se.ra.ngan dan 16 tahun semasa melakukan seppuku.
Kesemua 47 ronin itu dikebumikan di Sengaku-ji di hadapan makam tuan mereka. Sehingga hari ini, ramai orang mengunjungi kawasan perkuburan berkenaan bagi memberi penghormatan terhadap ronin-ronin tersebut.
Jadi, apa faktor yang menyebabkan cerita ini terus menjadi sebutan sehingga hari ini? Pertama, elemen simpati terhadap hero yang ada latar belakang tragis. Dalam kes 47 ronin, mereka terpaksa melalui pelbagai kepayahan semata-mata untuk merealisasikan hasrat mereka membalas de.nd.am terhadap Kira termasuk meninggalkan keluarga dan pura-pura gila. Bagi orang ramai, kisah sebegini mengundang simpati dan sokongan terhadap mereka.
Kedua, elemen kerjasama. Bagi warga Jepun, mereka lebih suka mendengar kisah orang-orang lemah bergabung melawan musuh yang kuat. Elemen ini bukan saja wujud dalam sukan tetapi juga dalam anime dan drama di mana semua watak menyumbang kepada perjuangan protagonis. Dalam kisah 47 ronin, walaupun Oishi merupakan protagonis, beliau dibantu oleh 46 lagi saudara samurainya.
Ketiga, elemen kanzen choaku atau buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat. Dalam kisah ini, Kira dijadikan sebagai antagonis dan berhak menerima balasan atas apa yang berlaku sekaligus menonjolkan 47 Ronin sebagai wira.
Elemen ini diketengahkan tanpa mengambil kira perihal sebenar Kira mengikut fakta sejarah. Mengikut cerita penduduk tempatan, beliau yang merupakan daimyo wilayah Mikawa itu sebenarnya seorang yang baik dan arif tentang soal kebudayaan termasuk upacara teh. Bagaimanapun, ia sama sekali tidak sesuai dengan gambaran kisah tersebut lalu ia dipandang sepi oleh pencerita dan dilupakan.
Elemen-elemen ini menjadi penyebab ia banyak diadaptasi dalam pelbagai medium termasuk televisyen dan filem. Selain 47 Ronin, kisah mereka turut diadaptasi menerusi filem berjudul Chushingura: Hana no Maki, Yuki no Maki (1962). Filem ini menampilkan Toshiro Mifune sebagai salah seorang ronin yang membalas de.nd.am terhadap Kira.
RUJUKAN:
Kazuhiro, Inada. (2021). Samurai DITAPIS: The Undying Popularity of the 47 “Rōnin”. Nippon.com. https://www.nippon.com/en/japan-topics/g01036/?cx_recs_click=true
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih