Dalam lipatan sejarah, orang Yahudi kerap kali mengalami detik pemban.taian dan pengu.siran berskala massa. Baik ia di tangan Shalmeneser dari Assyria (722 SM), Nebuchadnezzar dari Babylon (597 SM), Claudius dari Rom (41 M), mahupun Ferdinand dari Aragon (1492 M). Namun, tidak satu pun daripada episod berkenaan dapat menandingi pemban.taian 1941-1945 di tangan Jerman.
Ia bukan sekadar peristiwa paling tra.gis dan berda.rah dalam sejarah Yahudi, malah merupakan ge.no.sid paling menge.rikan pernah berlaku di dunia. Angka kor.bannya mencecah 6 juta orang termasuk sejuta kanak-kanak. Ini jauh melebihi angka kor.ban Pemban.taian Rwanda 1994 (800,000 – 1 juta orang), Pemban.taian Armenia 1915-1923 (1 hingga 1.8 juta orang), dan Pemban.taian Kemboja 1976-1980 (1.7 hingga 2 juta orang). (Thayer, 2014)
Bagi menggambarkan betapa dahsyatnya peristiwa tersebut, bayangkan seluruh negeri Selangor tiba-tiba sahaja sunyi akibat semua penduduknya ma.ti – ditem.bak, dibu.ru, diasingkan, dan kemudian tewas akibat kebu.luran dan jang.kitan. Itulah apa yang dialami oleh orang Yahudi di Eropah selama setengah sedekad. Mana yang selamat, mereka mencari tempat di negara-negara asing seperti Filipina, Jepun, China, Iran, Turki, Amerika Syarikat, dan lain-lain.
Perpindahan sebegini bagaimana pun mustahil tanpa adanya bantuan luar. Salah seorang yang paling berjasa ialah Chiune Sugihara, diplomat Jepun di Lithuania yang menyelamatkan seramai 6,000 orang Yahudi dengan keturunan mereka pada hari ini mencecah sehingga 40,000 orang. (Brockell, 2021)
Tentu sekali, Chiune bukanlah satu-satunya individu yang berjasa. Sejarah turut memperingati nama-nama seperti Oskar Schindler, Hans Calmeyer, Johan van Hulst, dan Franks Towers. Cuma dalam artikel kali ini, mari kita bercerita tentang Chiune dahulu.
Beliau dilahirkan pada 1 Januari 1900, hari pertama bagi kurun ke-20 Masehi. Membesar di Mino (sebuah pekan di Gifu), Chiune merupakan anak kedua daripada enam beradik – lima lelaki dan seorang perempuan. Bapanya bekerja dalam jabatan percukaian di Kozuchi. Jadi, keluarga mereka kerap berpindah – dari Gifu ke Niu-Gun, ke Yokkaichi dan akhirnya ke Nakatsu. Atas sebab itu jugalah, Chiune bersekolah di banyak tempat.
Pada tahun 1918, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Waseda di Tokyo. Ini, selepas beliau dengan selamba menghantar kertas ujian kosong semasa menduduki peperiksaan kemasukan ke kolej perubatan di Seoul. Ia gara-gara beliau enggan menuruti kehendak bapanya yang mahukan beliau menjadi doktor. (Hernon, 2021)
Setahun kemudian, beliau dihantar ke Harbin, China untuk mendalami bahasa Russia dan Jerman. Ini sebagai persediaan bagi menjawat kedudukan dalam Kementerian Luar Negara di bandar sama. Ketika di Harbin, Chiune sempat menguruskan pembinaan Landasan Kereta Api Manchuria Utara pada 1933 yang melibatkan kerjasama dengan Kesatuan Soviet. Namun berikutan penin.dasan Jepun ke atas warga Manchukuo (negara boneka Jepun di timur laut China), Chiune meletak jawatan dan kembali ke negara asal.
Beliau kemudian dihantar ke Finland dan sempat bertugas di sana selama dua tahun sebelum dipindahkan ke Konsulat Jepun di Kaunas, Lithuania pada Ogos 1939. Tugasnya di Kaunas adalah memata-matai perkembangan Jerman (sekutu Jepun) dan Kesatuan Soviet di rantau Baltik (People, n.d). Sememangnya, kedua-dua negara itu baru sahaja menandatangani Perjanjian Molotov-Ribbentrop pada 23 Ogos tahun sama. Perjanjian tersebut kemudian disusuli oleh se.rangan Jerman ke atas Poland pada 1 September.
Bagi sejarah dunia, se.rangan tersebut menandakan bermulanya Pe.rang Dunia Kedua. Bagi orang Yahudi, ia menandakan detik mulanya episod duka buat mereka. Sementara bagi Chiune pula, itulah peristiwa yang mengabadikan namanya.
Sebaik sahaja wilayah barat Poland dikuasai Jerman, puluhan ribu orang Yahudi dipaksa meninggalkan kediaman mereka – sama ada dihantar ke geto-geto di sekitar Poland ataupun lari menyelamatkan diri ke negara jiran seperti Lithuania. Namun setahun kemudian, keadaan di Lithuania juga tidak selamat. Ia diduduki oleh Kesatuan Soviet pada 15 Jun 1940. Pe.rang Dunia masih rancak bergolak. Jadi, kekal berada di Lithuania bukanlah satu hal yang bijak. Mereka semua perlu bergerak.
Untuk itu, seorang konsul Belanda bernama Jan Zwartendijk mengeluarkan permit yang membenarkan Curacao dijadikan sebagai destinasi akhir buat para pelarian Yahudi dari Poland dan Lithuania. Cuma, untuk sampai ke sana, mereka tetap memerlukan visa perjalanan. Di sinilah Chiune memainkan peranan.
Pada tanggal 18 Julai 1940, pejabatnya di Kaunas mula dikerumuni pelarian yang mahukan visa perjalanan. Chiune lantas menghubungi Kementerian Luar Negara Jepun di Tokyo bagi meminta kelulusan untuk mengeluarkan visa perjalanan. Namun, tiga kali beliau membuat permohonan, tiga kali juga ia tidak diluluskan. (Hernon, 2021)
Chiune apa pun tetap jadi Chiune. Kalau jawatannya di Harbin pun selamba dilepaskan demi mempro.tes penin.dasan, inikan lagi keadaan di Lithuania. Larangan mengeluarkan visa perjalanan untuk pelarian sama sekali tidak diendahkannya.
Kata Chiune, “Sesiapa pun akan merasakan sentimen sebegini bila melihat sendiri wajah mereka yang merayu sambil menangis. Sesiapa pun akan cuba bantu dan cuba bersimpati. Saya tahu akan ada yang melaporkan tindakan saya kelak. Tapi saya fikir, inilah apa yang patut saya lakukan. Saya mungkin menging.kari perintah kerajaan. Tapi jika saya tidak menging.kari kerajaan, saya akan menging.kari Tuhan.” (Naudus, 2021)
Maka dalam tempoh enam minggu bermula dari pertengahan Julai hingga awal September, Chiune menghabiskan sehingga 18 jam sehari bagi mengeluarkan sebanyak 2,139 visa perjalanan – kesemuanya menggunakan tulisan tangan dan cop manual, sehelai demi sehelai dan seorang demi seorang (Rankin, 2020). Jumlah visa yang dikeluarkannya itu cukup untuk dimanfaatkan oleh kira-kira 6,000 orang – lima kali ganda lebih banyak berbanding pelarian Yahudi yang bersuaka di Filipina. (Park, 2015)
Selain memberikan mereka visa, Chiune turut mengadakan rundingan dengan Soviet bagi membenarkan para pelarian mengambil Kereta Api Trans-Siberia untuk menuju ke pelabuhan Vladivostock. Kemudian dari sana, mereka menaiki kapal ke Tsuruga, Jepun dan dalam masa sepuluh hari perlu melanjutkan perjalanan sama ada ke Caribbean, Canada, ataupun Australia.
Bagi Chiune sendiri, selepas pejabatnya di Kaunas ditutup pada 4 September 1940, beliau dipindahkan ke Konigsberg (Prussia), Prague (Bohemia) dan kemudian ke Bucharest (Romania). Empat tahun kemudian, Bucharest dikuasai Kesatuan Soviet. Chiune sekeluarga sempat menjadi taha.nan selama 18 bulan sebelum dibenarkan pulang ke Jepun pada 1946.
Sebaik tiba di Jepun pada tahun berikutnya, Chiune ditamatkan perkhidmatan ekoran tindakannya di Lithuania. Nama beliau turut disenarai hitam dalam jabatan kerajaan sekali gus Chiune tidak lagi dapat bekerja di sektor berkenaan.
Wang pencennya kecil. Tidak cukup untuk menampung kehidupan enam beranak. Jadi, Chiune pun melakukan berbagai-bagai kerja termasuklah memasang mentol dari rumah ke rumah (People, n.d). Kehidupannya tidaklah melarat, tetapi tidak lagi semewah semasa beliau bertugas sebagai diplomat.
Ini, harga yang perlu dibayar Chiune demi menebus kehidupan kedua buat 6,000 insan Yahudi yang sama sekali tidak berkongsi sebarang pertalian darah dengannya. Ia suatu jasa yang tidak pun dipaksakan oleh sesiapa, dan tidak juga diketahui oleh sesiapa hatta anak bongsunya sendiri, Nobuki Sugihara yang lahir sembilan tahun selepas kejadian di Lithuania. (Rankin, 2020)
Segalanya hanya terungkap setelah beliau dianugerahi gelaran Righteous Among the Nations (Anugerah Yad Vashem) oleh kerajaan Israel pada 1985. Namun setahun kemudian, Chiune menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tanggal 31 Julai akibat komp.likasi jantung. Jasadnya disemadikan di Kamakura dan bagi memperingati jasanya, tahun 2020 diisytiharkan oleh Israel sebagai Tahun Chiune Sugihara. Legasi beliau tidak terhenti di situ. Nama Chiune Sugihara turut diabadikan pada jalan, muzium, dan bahkan batu asteroid. (Hernon, 2021)
Walaupun jasa beliau cuma meliputi 1/1000 dari mangsa korban pemban.taian Jerman, ia memadai untuk menitipkan satu sisi kemanusiaan yang cukup mengesankan – sisi yang turut ditunjukkan oleh putera Mehmet al-Fateh, Sultan Beyazid II semasa Ferdinand of Aragon mengeluarkan Dekri Alhambra yang menghalau puluhan ribu Yahudi dari Semenanjung Iberia pada tahun 1492.
RUJUKAN
Brockell, Gillian. (2021). ‘A Japanese Schindler’: The remarkable diplomat who saved thousands of Jews during (ditapiskan). The Washington Post.
Hernon, Matthew. (2021). Spotlight: The Story of Japan’s Schindler, Chiune Sugihara. Tokyo Weekender.
Naudus, Philip S. (2021). This Japanese Man Saved 6,000 Jews – But His Name Lives in Obscurity. History of Yesterday.
Park, Madison. (2015). How the Philippines saved 1,200 Jews during the (ditapiskan). CNN.
Rankin, Jennifer. (2020). My father, the quiet hero: how Japan’s Schindler saved 6,000 Jews. The Guardian Post.
Thayer, Mallory. (2014). World’s Worst (ditapiskan). Borgen Magazine.
The Famous People. (n.d). Chiune Sugihara.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih