Jurisprudens merujuk kepada perbincangan tentang falsafah serta prinsip undang-undang. Kalau dalam istilah Islamik, jurisprudens boleh dikatakan sebagai fekah bagi undang-undang. Oleh itu, tentunya bidang jurisprudens juga mempunyai beberapa ‘mazhab’ atau aliran pemikiran. Perbezaan serta kepelbagaian pendapat dalam jurisprudens didasari oleh satu persoalan yang penting iaitu ‘apa itu undang-undang?’

Tulisan ini akan membincangkan secara ringkas tentang empat teori jurisprudens yang sangat berpengaruh dan terkenal.

  • Undang-undang semulajadi (Natural law)

Teori ini merupakan aliran pemikiran yang terawal dalam sejarah pembangunan undang-undang. Undang-undang semulajadi juga dikenali sebagai naturalisme. Mereka yang mendukung fahaman ini dipanggil sebagai naturalis. Naturalis menitikberatkan persoalan ciri-ciri yang harus ada pada undang-undang (what law should be?).

Naturalis percaya bahawa undang-undang sepatutnya berjalan mengikut kesesuaian fitrah semulajadi manusia. Dalam teori ini, tidak boleh jika kita mengasingkan prinsip moral dalam undang-undang. Naturalisme klasik amat berkait rapat dengan Tesis Bertindih (Overlap Thesis). Idea ini menunjukkan bahawa undang-undang dan moral merupakan entiti yang saling berkait-rapat.

Dalam erti kata yang lain, keabsahan undang-undang itu terletak pada merit moral yang ada pada isinya. Maka dari itu, undang-undang yang tidak bermoral dianggap tidak sah, tidak mengikat dan tidak perlu dipatuhi. Naturalis juga percaya bahawa apa yang disebut sebagai moral itu terkandung dalam perintah agama.

Thomas Aquinas

Thomas Aquinas telah menetapkan satu standard dalam penilaian naturalisme melalui legal maximnya ‘lex iniusta non est lex’. Pepatah itu bermaksud undang-undang yang tidak adil bukan sebuah undang-undang. Bagi naturalis, inti pati moral sangat penting dalam penggubalan undang-undang. Jika tidak bermoral, undang-undang itu dianggap tiada legitimasi.

Sebagai contoh, hakim yang naturalis pernah membatalkan perkahwinan antara seorang lelaki dan transgender kerana berpendapat perlakuan mereka itu melanggar fitrah (dalam kes Corbett v Corbett). Naturalisme juga telah memberi idea dalam perjuangan keadilan semulajadi (natural justice), kesaksamaan (equality), hak asasi manusia dan kebebasan.

Antara pelopor kepada teori undang-undang semula jadi ialah Aristotle, Thomas Aquinas, Cicero dan John Finnis.

  • Positivesme Undang-undang (Legal Positivism)

Sekolah pemikiran positivisme mula mempengaruhi kebanyakan sarjana undang-undang pada abad ke-18. Teori ini merupakan lawan kepada undang-undang semulajadi. Jika natural law lebih menfokuskan ciri yang harus ada pada undang-undang, lain pula di pihak positivis. Positivisme lebih berminat untuk berbahas tentang apa itu undang-undang.

Positivis menolak idea natural law yang mengatakan legitimasi undang-undang itu berdasarkan merit moral. Bagi positivis, prinsip moral seharusnya tidak dicampur adukkan dalam penggubalan undang-undang. Idea ini dikenali sebagai Tesis Kebolehasingan (Separability Thesis). Penggubalan undang-undang tidak seharusnya berlandaskan prinsip moral.

Perbezaan antara natural law dan positivis

Positivis tidak melihat undang-undang dari sudut moral atau nilai keadilan, tetapi lebih kepada bagaimana undang-undang itu digubal. Ini dapat dilihat melalui idea John Austin, salah seorang pelopor positivisme. Beliau mengatakan undang-undang ialah perintah daripada autoriti yang berdaulat dan disokong oleh hukuman. Undang-undang merupakan ekspresi pemerintah.

Umumnya, positivis melihat bahawa keabsahan undang-undang itu terjamin jika ia digubal oleh pihak yang mempunyai autoriti untuk berbuat demikian. Undang-undang tidak terbatal hanya kerana ia bertentang dengan prinsip moral. Maka dengan itu, undang-undang yang tidak adil, melanggar prinsip moral, perlu dipatuhi dan mengikat masyarakat.

Austin juga menyebut bahawa undang-undang itu digubal melalui proses tertentu, bukan semata-mata berdasarkan kesedaran mutlak masyarakat. Jika masyarakat sedar bahawa membvnuh itu adalah salah, maka perlu ada peraturan yang menegahnya. Tidak cukup untuk menggunakan kesedaran sebagai manifestasi undang-undang.

Sebagai contoh, jika parlimen meluluskan undang-undang yang membenarkan LGBTQ, maka ia dianggap sah walaupun secara moralnya LGBTQ merupakan perlakuan abnormal. Hal ini kerana positivis lebih memandang kepada proses pembikinan undang-undang sebagai gambaran ekspresi pemerintah. Maka undang-undang yang digubal perlu dipatuhi oleh masyarakat. Pemikiran ini disebut sebagai positivisme kerana menganggap semua undang-undang adalah positif jika ia datangnya dari autoriti yang sah.

  • Realisme undang-undang (Legal Realism)

Sekolah pemikiran ini berakar dari falsafah undang-undang Amerika Syarikat pada penghujung abad ke-19. Pemikiran ini mengambil satu pendekatan yang berbeza berbanding teori-teori yang lain. Para realis berpendapat bahawa undang-undang itu adalah apa yang diputuskan oleh badan kehakiman (mahkamah).

Mahkamah sebagai pentafsir undang-undang

Hal ini kerana realis melihat kepada fungsi mahkamah selaku pemegang kuasa mutlak dalam proses pentafsiran undang-undang. Justeru itu, undang-undang tidak boleh dilihat sebagai set-set peraturan yang terkandung di dalam buku, tetapi perlu dilihat kepada tindakan autoriti yang melaksakannya (iaitu mahkamah).

Pemikiran ini disebut sebagai realis kerana pendekatannya yang lebih terarah kepada pelaksanaan sebenar (actual working) undang-undang dan kesannya. Realisme undang-undang juga menekankan kepentingan fungsi para hakim kerana mereka mewakili faktor manusia di dalam penghakiman.

John Chipman Gray, seorang realis, telah membezakan antara sumber undang-undang dengan undang-undang itu sendiri. Ujar beliau, undang-undang ialah apa yang diputuskan oleh mahkamah. Undang-undang yang tertulis dalam akta dianggap sebagai sumber perundangan. Maka, menjadi tugas mahkamah untuk ‘menghidupkan’ terma-terma yang terkandung di dalam akta tersebut.

Menurut realis, undang-undang patut dilihat dari sudut tindak-tanduk mahkamah kerana mereka yang mempunyai kuasa menilai undang-undang, bukan penggubalnya (legislatif). Realis juga tidak terikat dengan idea keadilan atau undang-undang semulajadi. Apa yang hakim sebut, itulah undang-undang.

  • Sosiologis

Sekolah pemikiran sosiologi lebih menekankan fungsi undang-undang dan kaitannya dengan masyarakat. Pendekatan pemikiran ini menitik beratkan kesan undang-undang ke atas sosial. Sosiologis berpendapat bahawa undang-undang ialah satu tahap dan fasa yang sangat penting dalam proses kawalan sosial (social control).

Sosiologis mempunyai kebimbangan yang besar terhadap isi kandungan sesuatu undang-undang dengan melihat kesannya tanpa mengira sifat undang-undang itu sendiri. Maknanya, sosiologis tidak peduli jika undang-undang itu bermoral atau tidak, tetapi lebih menekankan kesan undang-undang itu.

Tidak seperti kebanyakan sarjana yang melihat undang-undang sebagai alat autoriti untuk membantu dalam proses membuat keputusan, sosiologis memberi perhatian kepada kandungan abstrak undang-undang itu. Sosiologis akan mempertimbangkan pelbagai doktrin perundangan sebelum memilih kaedah yang paling sesuai dalam undang-undang. Tujuannya satu, supaya undang-undang dapat memberi kebaikan maksimum kepada masyarakat.

Roscoe Pound menyifatkan undang-undang sebagai satu bentuk kejuruteraan sosial (social engineering). Undang-undang yang berkesan sepatutnya mampu memaksimumkan kepentingan masyarakat dan memberikan kelancaran terhadap kehidupan sosial masyarakat. Sosiologis juga percaya bahawa undang-undang bergantung kepada fakta-fakta sosial, bukannya bersandarkan autoriti pemerintah seperti yang dicanang positivis.

RUJUKAN:

Kenneth Einar Himma. Natural Law. https://www.iep.utm.edu/natlaw/

Realist School of Law ,American Realism.Jurisprudence. https://www.lawnotes4u.in/2019/11/realist-school-of-law-jurisprudence.html

Sociological School. https://www.toppr.com/guides/legal-aptitude/jurisprudence/sociological-school/

Legal Positivism. https://www.iep.utm.edu/legalpos/#H3


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Kemunduran Akibat Pemikiran Terjajah, Yang Mengukuhnya Sombong, Yang Meruntuhnya Ilmu Haikal Hazwan, pemuda yang mempunyai minat mendalam terhadap pengetahuan sejarah dan politik tanah air mahupun antarabangsa. Cita-citanya mahu melihat generasi sezaman dengannya bangga akan kejayaan leluhur. Percaya bahawa ilmu serta niat yang ikhlas sahaja dapat memajukan bangsa dan membina sebuah tamadun yang berdaulat.

Comments are closed.