Ningyo, yang boleh diterjemahkan sebagai manusia ikan (juga dikenali sebagai gyojin atau hangyo-jin, bermaksud manusia separuh-ikan) merupakan sejenis makhluk yang terdapat dalam kisah rakyat Jepun. Makhluk ini boleh disamakan dengan duyung dalan legenda-legenda Barat. Walaupun terdapat kemiripan konsep antara keduanya, ningyo dan duyung sebenarnya agak berbeza.

Misalnya, dalam kisah rakyat Barat, duyung secara umum dianggap sebagai makhluk jelita lagi menggoda yang lazimnya menggamit lelaki menuju ajalnya. Bagi ningyo dalam masyarakat Jepun pula, tidak wujud bentuk penceritaan yang seragam seperti itu, memandangkan makhluk tersebut tidak hanya memiliki kepelbagaian dari segi rupa bentuk, malah bentuk interaksi antara mereka dan manusia juga seringkali berbeza.

RUPA BENTUK YANG BERBEZA-BEZA

Tidak seperti duyung dalam masyarakat Barat, ningyo secara umum bersifat agak kurang menawan. Mereka sering digambarkan sebagai makhluk yang separuh atas tubuhnya berupa monyet manakala separuh bawah tubuhnya pula adalah ikan. Ningyo berupa sebegini pernah dilukiskan oleh masyarakat Jepun dan antara contoh yang paling masyhur adalah lukisan ‘Fiji Mermaid’ hasilan P.T. Barnum.

Namun, terdapat juga ningyo yang sama sekali tidak memiliki kemiripan dengan duyung-duyung Barat. Misalnya, dicatatkan bahawa dalam sejumlah cerita rakyat tempatan, ningyo tidak memiliki tubuh manusia pada separuh atas badannya, (atau paling tidak badan seperti monyet). Sebaliknya, mereka hanyalah ikan berkepala manusia/monyet/reptilia. Bagi ningyo sebegini, kepala mereka sering digambarkan dengan begitu hodoh, misalnya tidak sekata bentuknya, atau bertanduk, ataupun mulutnya dipenuhi dengan gigi taring.

Ningyo dengan tubuh ikan dan kepala manusia

Terdapat juga jenis ningyo yang dikenali sebagai amabie/amabiko, yang dikatakan mempunyai paruh burung. Lebih daripada itu, bahagian tubuh bermula dari leher sehingga ke bawah pula dipenuhi dengan sisik.

KEUPAYAAN-KEUPAYAAN MISTIK

Ningyo dipercayai memiliki keupayaan-keupayaan mistik. Mereka juga dikaitkan dengan pelbagai magis. Misalnya, tangisan ningyo sering dikatakan mampu berubah menjadi butir-butir permata. Selain itu, sebahagian ningyo seperti amabie pula dianggap mampu meramal masa depan.

Dalam sebuah kisah yang direkodkan sekitar kurun ke-19, diceritakan bahawa seekor amabie pernah muncul dan meramalkan tentang tuah tuaian yang baik, dan juga nasib malang berupa menularnya wabak penyakit. Lebih daripada itu, amabie tersebut memaklumkan bahawa untuk menghindari berlakunya wabak, orang ramai perlu menghasilkan patung yang berbentuk sepertinya.

Marmar yang dihiasi gambaran Amabie dari zaman Edo

Ada juga ningyo lain yang dikisahkan bersifat jauh lebih buruk dan memiliki keupayaan untuk berubah-ubah bentuk. Keupayaan ini mereka gunakan untuk menggoda, menggamit dan mengumpan lelaki supaya terjun ke dalam laut dan menemui maut.

SAMI WANITA BERUSIA 800 TAHUN

Kepercayaan yang paling masyhur berkenaan kuasa sakti ningyo adalah kepercayaan bahawa dengan memakan daging mereka, seseorang akan meraih kehidupan yang abadi, atau paling tidak, jangka hayat yang panjang. Terdapat sejumlah kisah yang menceritakan tentang kemagisan daging ningyo. Namun, tiada kisah yang dapat menandingi kemasyhuran ‘Happyanku Bikuni’ (bermaksud ‘sami wanita 800 tahun’).

Hikayat ini bermula dengan seorang nelayan yang Berjaya menangkap seekor ningyo. Kemudian, beliau mengajak rakan-rakannya agar bertandang ke rumahnya untuk dijamu. Pun begitu, beliau tidak memaklumkan kepada mereka bahawa daging yang dihidang tersebut adalah daging ningyo. Walau bagaimanapun, rakan-rakannya dapat mengetahui hal yang sebenar tanpa pengetahuan si nelayan, justeru mereka tidak memakan daging tersebut.

Kemudian, entah bagaimana anak perempuan nelayan itu pula yang memakan daging ningyo itu. Susulannya, beliau berhenti menuia pada usia 15 tahun, dan kemudian menjadi seorang sami wanita dan hidup sehingga meninggal dunia pada usia 800 tahun.

Ningyo dari Konjaku Hyakki Shui karya Toriyama Sekien

KUIL TENSHOU-KYOUSHA KHUSUS UNTUK NINGYO

Masyarakat Jepun purba percaya pada kewujudan ningyo dan bahkan memiliki bukti fizikal bagi mengesahkan kewujudannya. Kuil Tenshou-Kyousha di Fujinomiya menyimpan dan memelihara tubuh milik makhluk yang dipercayai sebagai ningyo.

Menurut legenda, seekor ningyo pernah muncul di hadapan seorang putera Jepun. Ketika makhluk itu hampir mati, ia memaklumkan kepada si putera bagaimana beliau boleh menjadi ningyo. Menurutnya, beliau pada mulanya seorang nelayan. Akibat melanggar batas perairan semasa menangkap ikan, suatu sumpahan dikenakan ke atasnya sekaligus mengubahnya menjadi ningyo.

Kuil Tenshou-Kyousha di Fujinomiya

Nelayan tersebut menerima pengajaran, lalu meminta kepada si putera agar mendirikan sebuah kuil yang bakal menjadi tempat tubuhnya disimpan dan dipamerkan. Hal ini bertujuan supaya sesiapa sahaja yang melihat tubuh ningyo tersebut boleh mengambil iktibar. Mungkin, ningyo ini adalah spesimen ‘duyung’ terawal yang terdapat dalam kalangan masyarakat Jepun, dan antara gambaran yang paling masyhur adalah Duyung Fiji.

Ningyo di kuil Tenshou-Kyousha

DITERJEMAHKAN DAN DIOLAH DARI:

Wu Mingren. (22 April 2016). Magical Mermaids of Japanese Folklore. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/myths-legends/magical-mermaids-japanese-folklore-005755


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.